Translate

Monday, August 17, 2009

KISAH ANAK MUDA YANG MENGINSAFKAN

KELMARIN, saya menaiki penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Duduk di sebelah saya seorang anak muda yang balik semula bekerja di Semenanjung setelah pulang kira-kira seminggu di kampung kelahirannya kerana neneknya telah meninggal dunia.

Semasa dalam pesawat, kami bersembang-sembang. Saya bertanya dengannya mengenai pelbagai perkara. Jawapannya begitu berterus-terang. Ternyata, ceritanya begitu menarik. Tentang kehidupan keluarganya. Tentang pekerjaannya. Juga tentang kisah anak muda Sabah di perantauan.


Saya cuba mengorek rahsia kehidupannya kerana bagi saya, dia seorang anak muda yang ada prinsip dan jatidiri. Baik tentang kegigihannya dalam pekerjaan, mahupun tentang pendiriannya mahu membina kehidupan keluarganya.

Bagi saya, ada iktibar dan mesej menarik di sebalik kisah yang diceritakan anak muda itu. Dia yang sudah 16 tahun berhijrah ke Semenanjung, adalah seorang daripada ribuan anak muda Sabah yang meninggalkan kampung halaman dan merantau ke tempat lain untuk mencari sebuah kehidupan.

Kisahnya bagaikan sebuah drama kehidupan, dikelilingi pelbagai watak.

Dia berasal dari Kampung Bambangan, Inanam, di pinggir bandar raya Kota Kinabalu. Dia masih ingat sewaktu bersekolah dahulu, kampungnya itu dikelilingi hutan menghijau, majoriti penduduknya dari rumpun bangsa yang sama, saling mengenali antara satu sama lain.

Menurut anak muda itu, kehidupan dengan suasana kampung begitu menyeronokkan. Penduduk saling bertegur sapa biarpun rumah dibina dengan jarak yang jauh-jauh antara satu sama lain.

Tetapi kini, katanya, keadaan kampungnya sudah berubah. Banyak tanah kampung sudah berpindah milik. Dijual penduduk asal kepada bangsa lain, yang kemudian mendirikan rumah batu dan projek perumahan. Orang luar dari pelbagai pelosok negeri membeli projek perumahan tersebut, maka bertambahlah jumlah penghuni baru di situ.

Menurutnya lagi, pemandangan hutan menghijau kini semakin berkurangan. Digantikan rumah-rumah yang diperbuat daripada konkrit. Kalau dahulu penduduk kampung bertegur sapa, tetapi kini penghuni projek perumahan seperti tidak mengenali rapat.

Dari ceritanya itu, satu hal yang harus dijadikan peringatan, ialah penduduk tempatan perlu berhati-hati "menjaga" tanah dan jangan mudah menjualnya kepada orang lain semata-mata mahu mendapat keuntungan segera. Tanah adalah pusaka warisan yang harus kekal sepanjang zaman.

Tentang pekerjaannya, anak muda itu menceritakan bahawa dia sudah bekerja 12 tahun sebagai tukang masak di sebuah pusat peranginan di Pahang. Dia bekerja di situ setelah tamat kursus mengenai masakan yang diikutinya menerusi satu skim latihan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Menurutnya, sebahagian kawan-kawan yang sekursus dengannya dahulu sudah berpindah kerja. Ada yang sudah bekerja di bidang lain daripada kursus yang diikuti. Mereka berpindah kerja kerana terpengaruh dengan tawaran gaji di tempat baru atau dipengaruhi rakan lain.

Malahan, katanya, sudah ramai juga anak muda Sabah yang telah berkahwin dengan gadis-gadis sepekerjaan di Semenanjung. Begitu juga dengan gadis tempatan Sabah, ramai yang terus tinggal di sana setelah berkahwin dengan pemuda di Semenanjung.

Tetapi bagi anak muda itu, dia memberitahu saya bahawa dia tetap komited bekerja di tempat asalnya itu untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman, sambil mengumpul modal. Dia berhasrat untuk balik ke Sabah suatu hari nanti bagi memulakan perniagaan sendiri, meneruskan kehidupan di tempat sendiri.

Dia bersyukur kerana hingga kini dia tidak menghadapi masalah dengan majikannya. Dia mendapat layanan yang sama seperti pekerja lain, selain disediakan kemudahan seperti tempat tinggal, insentif dan cuti tahunan. Dia ada juga mendengar cerita mengenai belia Sabah yang ditipu majikan dan ejen-ejen mencari pekerjaan.

Tentang politik, anak muda itu tetap mengikuti kisah politik Sabah menerusi pelbagai saluran media termasuk internet. Malahan, katanya, setiap kali pilihan raya negeri diadakan, dia tidak terlepas peluang untuk pulang mengundi kerana biasanya tiket penerbangan disediakan oleh parti politik.

Anak muda itu gembira kerana kampungnya kini sudah banyak berubah dari segi pembangunan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN).

No comments: