Translate

Saturday, August 1, 2009

SALLEH SYOR 5KB TERAS TAMBAHAN PERJUANGAN UMNO

KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengesyorkan supaya ahli Umno menjunjung lima teras tambahan perjuangan sebagai usaha memperkukuhkan parti, sejajar perubahan yang diharapkan pucuk pimpinan parti.

Lima teras tambahan itu dirumuskannya sebagai 5KB, iaitu Kesetiaan Berjuang, Kejujuran Berbakti, Ketelusan Berkhidmat, Keikhlasan Bekerja dan Kesatuan Bertindak.

"Kesetiaan Berjuang bermaksud mengikut dasar parti, Kejujuran Berbakti bermakna tidak mengharapkan balasan, Ketelusan Berkhidmat bererti mengutamakan kepentingan umum, Keikhlasan Bekerja bererti tidak mementingkan diri sendiri dan Kesatuan Bertindak merupakan satu tanggungjawab secara kolektif," katanya.

Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Belud di sini, beliau berkata prinsip lima ini adalah sebagai tambahan kepada slogan yang dilaungkan oleh Umno selama ini, iaitu "Bersatu Bersetia Berkhidmat" yang senantisa menjadi pegangan.

"Kita meletakkan Kesetiaan Berjuang sebagai prinsip pertama kerana berpendapat ia merupakan teras kekuatan dan kejayaan parti. Pemimpin yang setia berjuang akan memperkukuhkan keyakinan ahli terhadap parti," katanya.

Dalam ucapannya yang bertemakan "BERSATU MENYUBUR CITRA PERJUANGAN" itu, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata teras perjuangan itu bertujuan menentukan Umno dapat diurus dengan sebaiknya.

"Pengurusan dan pentadbiran yang cekap, cepat dan tepat hendaklah menjadi amalan dalam pengurusan parti," katanya, sambil menyatakan pentingnya Umno menjadi agen perubahan sikap, budaya dan sosial.

Salleh turut mengajak setiap ahli parti supaya memperkukuhkan jalinan muafakat, meningkatkan kerjasama dan mengamalkan kerja berpasukan serta mengetepikan sebarang sengketa peribadi.

"Jika kita bersengketa, bercakaran dan bermusuhan sesama sendiri, kita akan menjadi lemah. Apabila kita lemah, orang lain tidak akan menghormati kita," katanya. Sebaliknya, kata beliau, apabila ahli parti bersatu, Umno menjadi teguh dan dapat mengatur langkah perjuangan secara berkesan.

"Kita juga hendaklah juga mempraktikkan semangat kerja berpasukan. Setiap ahli dan pemimpin di semua peringkat mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.

"Paling utama dalam prinsip kerja berpasukan, kita kena memberi sokongan pada seorang ketua. Dalam hal ini, pasukan kita kena jadi popular, barulah ia diminati oleh masyarakat.

"Demikian juga pemimpin, mestilah popular dalam konteks yang positif. Pasukan atau pemimpin yang popular akan sentiasa menjadi sanjungan, ikutan dan teladan," tegasnya.

Salleh berkata selain dalam Umno, kerjasama dengan rakan komponen Barisan Nasional (BN) juga penting bagi menentukan BN kekal sebagai tonggak pemerintahan.

Menurutnya, satu undi pun amat penting dalam suasana politik yang ada persaingan untuk mendapat sokongan.

No comments: