Translate

Saturday, September 26, 2009

KISAH DAN CABARAN HIDUP DI PERANTAUAN



MALAM tadi (25 September), ramai orang hadir pada rumah terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Kota Belud yang diadakan di sebuah restoran di Kampung Bobot, Kota Belud.

Sebagai Ketua Umno Bahagian selaku hos majlis itu, saya melayani setiap tetamu yang hadir dan bercerita dengan sebahagian mereka mengenai pelbagai kisah. Saya juga mendengar cerita mereka, mengenai bermacam hal, daripada soal politik dan kerajaan hingga kepada soal pengalaman kehidupan.

Bercerita mengenai soal kehidupan, saya teringat kisah hidup seorang rakyat Malaysia yang saya temui di Perth, Australia, baru-baru ini.

Rakyat Malaysia berbangsa Melayu berasal dari Melaka yang mengenalkan dirinya sebagai Hassan itu saya temui ketika berkunjung ke rumahnya semasa perayaan Aidilfitri di sana. Isteri kepada beliau ialah kakak kepada pemandu saya ketika saya menjadi Pengerusi Kraftangan Malaysia.

Keberanian Hassan merantau ke luar negara dan kecekalannya mengharungi kehidupan sehingga boleh `survive' di bumi asing biarpun tanpa pelajaran yang tinggi boleh dijadikan iktibar. Hassan meninggalkan kampung halamannya lebih 35 tahun lalu untuk mencari kehidupan jauh di perantauan -- destinasi dituju Christmas Island. Dia melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Setelah 15 tahun di sana, dia kemudian berhijrah ke Perth di tanah besar Australia, meneruskan pekerjaan yang boleh dilakukan asalkan mendapat wang secara halal. Menurut Hassan, ada dua perkara atau sikap yang mesti dimiliki seseorang untuk membolehkannya mengharungi cabaran kehidupan, iaitu tidak memilih pekerjaan dan apabila mendapat pekerjaan, hendaklah bersungguh-sungguh melakukannya.

Baginya, berdasarkan pengalamannya sendiri, banyak pekerjaan boleh dibuat yang mampu menjana pendapatan. Dia mengambil contoh di Perth sendiri, pekerjaan seperti membersih tingkap bangunan, memetik epal dan menjadi pelayan di restoran makanan segera menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Dia bersyukur kerana berkat semangat dan prinsipnya tidak memilih kerja itu, dia kini hidup dalam keadaan selesa, ada kereta dan kediaman yang sederhana, bersama isteri dan anak-anak. Ada antara anak-anaknya yang telahpun mendirikan rumahtangga dan hidup selesa.

Mendengar ceritanya itu, saya teringat pula kisah yang berlaku di negara kita melibatkan soal pembantu rumah di mana kita masih lagi bergantung kepada khidmat pembantu rumah warga asing sedangkan pekerjaan itu boleh dilakukan orang kita sendiri.

Baru-baru ini tercetus kontroversi berhubung pembantu rumah apabila timbul pelbagai cadangan, termasuk menetapkan gaji minimum. Barangkali sudah tiba masanya bagi pihak berwajib mengambil langkah proaktif menangani masalah ini. Umpamanya, menjadikan pekerjaan pembantu rumah itu sebagai satu kerjaya yang berstatus. Menukar istilah "pembantu rumah" kepada suatu terma baru bagi menghapuskan stigma negatif yang barangkali menjadi punca tidak ramai gadis muda tempatan menceburi pekerjaan itu.

Tidak dinafikan, khidmat pembantu rumah sangat penting bagi sesebuah keluarga, terutama mereka yang berkerja. Tetapi kebergantungan masyarakat kita terhadap pembantu rumah asing ada juga keburukan di sebalik kebaikan. Umpamanya, jika kita terlalu menyerahkan tugas mengasuh anak-anak kepada pembantu asing, mereka akan membesar dan terikut-ikut kepada cara pembawaan pembantu rumah terlibat. Misalnya, loghat pertututan anak-anak kecil boleh jadi terikut-ikut dengan loghat atau bahasa pembantu rumah itu.

Cerita pembantu rumah warga asing yang mencetuskan polemik di negara kita dan kisah Hassan mencari pekerjaan di negara asing, merupakan dua ilustrasi kehidupan yang harus menginsafkan dan perlu dijadikan iktibar bersama.

Seperti juga pembantu rumah warga asing di negara kita yang tidak pernah melupakan kampung mereka, Hassan juga demikian. Biarpun sudah berpuluh tahun di negara asing, dia tetap mengikuti perkembangan yang berlaku di Malaysia menerusi tv yang siarannya diperolehi menggunakan parabola.

Malahan, ketika saya sekeluarga berkunjung pada rumah terbukanya di Perth pada malam itu, kami sama-sama menonton siaran berita perdana RTM menerusi saluran TV1. Terasa seperti saya berada di rumah kami di Likas, Kota Kinabalu.

No comments: