Translate

Monday, October 5, 2009

JAMUAN AIDILFITRI CERMIN KEUTUHAN 1MALAYSIA





BELUM pun sampai jam 7 malam, ramai orang sudah mulai datang. Menjelang jam 8 malam, bahagian dalam dan kawasan perkarangan rumah saya sudah sesak. Ramai tidak mendapat tempat duduk. Sebahagian terpaksa berdiri sambil makan dan minum, berbual dan bersembang dengan kawan-kawan.

Demikianlah suasana Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediaman kami di Likas malam tadi. Tidak tersangka begitu ramai yang hadir, dari dekat dan jauh. Biarpun jamuan bermula jam 7 malam, tetapi ramai datang awal.

Saya menyambut, bersalam dan melayan tetamu-tetamu yang hadir. Demikian juga isteri saya dan anak-anak kami serta anggota keluarga terdekat. Sambil berdiri dan berjalan dengan para tetamu, saya berbicara spontan dengan mereka, kemudian duduk sekejap-sekejap dari satu meja ke meja lain untuk cuba melayani setiap mereka yang hadir.

Begitupun, tentu ramai juga yang tidak sempat kami bersalam. Kepada mereka ini, kami memohon kemaafan. Sesungguhnya, kami menghargai kehadiran anda!

Saya tidak menamakan majlis itu sebagai Rumah Terbuka, cuma sekadar jamuan Aidilfitri. Lagi pula, Rumah Terbuka Hari Raya sudah pun diadakan oleh Umno Bahagian Kota Belud yang saya terajui, di sebuah restoran di Kampung Bobot, Kota Belud, kira-kira dua minggu yang lalu.

Saya juga tidak menghebahkan jemputan terbuka mengenai jamuan itu menerusi suratkhabar, cuma sekadar mengundang kawan-kawan dan kenalan menerusi panggilan telefon, twitter, SMS dan facebook.

Maka itu, saya menjangkakan jumlah kehadiran "biasa-biasa" saja. Tetapi ternyata, jangkaan saya itu jauh meleset.

Mereka yang hadir begitu ramai, dan dari pelbagai kaum, latarbelakang dan kepercayaan. Terdetik dalam fikiran saya, betapa indah dan penuh warna kepelbagaian masyarakat kita. Kehadiran tetamu itu menjadi manifestasi gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ramai kawan-kawan dalam politik juga hadir memeriahkan majlis jamuan itu. Antara mereka termasuk Menteri Pembangunan Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sektar, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran.

Juga beberapa pembantu menteri Sabah seperti Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Datuk Edward Yong Oui Fah, Datuk Jainab Ahmad, Datuk Japlin Akim dan Datuk Herbert Timbun Lagadan.

Begitu juga ada beberapa wakil rakyat turut hadir seperti Datuk Ramlee Marhaban (Bugaya) dan Nilwan Kabang (Kunak).

Tidak terkecuali rakan-rakan yang berlainan fahaman politik seperti bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee yang telah membawa partinya, Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan bekas pemimpin Umno, Datuk John OT Ghani yang kini sudah bersama parti pembangkang.

Apapun, kehadiran pada majlis jamuan itu adalah petanda bahawa masih ramai sahabat dan kawan-kawan yang begitu akrab dan mengingati kami.

Rakan-rakan media juga "insist" mahu menemuramah saya dan untuk tidak menghampakan mereka, saya bersetuju untuk bercakap mengenai soal perpaduan saja.

Saya jelaskan bahawa soal perpaduan adalah ramuan penting dan prasyarat bagi negara mencapai kemajuan dalam apa bidang sekali pun. Justeru, setiap segmen masyarakat mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Apa saja agenda yang dirancang oleh kerajaan tidak mungkin mencapai matlamatnya tanpa pembabitan daripada rakyat sendiri.

Justeru, gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan merupakan suatu pendekatan proaktif yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri bagi meletakkan rakyat dan negara ini ke suatu tahap yang membanggakan.

Saya tegaskan bahawa bagi mencapai matlamat dan gagasan tersebut, maka setiap rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum ini, perlu bersatu teguh di belakang kepemimpinan kerajaan.

Rakan-rakan media, seperti kelazimannya, hanya menjadikan topik perpaduan sebagai mukadimah temuramah. Selepas itu, mereka beralih soalan kepada isu politik, khususnya mengenai pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Saya menjawab soalan mereka secara realistik bahawa Barisan Nasional (BN) tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi tersebut atas beberapa faktor pertimbangan.

Pertama, kerana kawasan itu sememangnya kubu tradisi Umno sejak dahulu. Kedua, kerana calon yang diketengahkan oleh BN iaitu Tan Sri Isa Samad merupakan pemimpin popular dan dekat di hati pengundi Bagan Pinang. Ketiga, kerana pembangkang sekadar meniupkan politik provokatif tanpa wawasan yang boleh meyakinkan. Keempat, ia sekadar pilihan raya kecil yang tidak mungkin membawa perubahan politik, baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

Selepas melayani kawan-kawan daripada media, saya meneruskan sembang dengan tetamu lain, berbicara mengenai pelbagai hal dalam suasana santai dan terbuka. Cerita berkisar daripada soal politik dan negara, hingga kepada hal-hal kecil seperti kehidupan dan ragam masyarakat.

Tidak terkecuali mengenai dunia siber, betapa pantas dan berpengaruhnya rangkaian internet mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang dekat. Facebook menjadi bualan, Twitter menjadi ikutan, media alternatif menjadi sebutan.

Menjelang tengah malam, tetamu mulai beransur pulang. Waktu itu, saya baru terasa ibu jari kaki kanan saya yang terseleliuh semakin sakit kerana begitu banyak berjalan-jalan melayani tetamu yang hadir.

Saya tidak melihat jam ketika mata hendak terlelap malam tadi. Tetapi subuh tadi, saya bangkit seperti biasa untuk solat, kemudian menghadap laptop membuat catatan ini serta mengemaskini fb seperti kelazimannya.

No comments: