Translate

Wednesday, October 28, 2009

PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN

SABTU lalu, saya berada di Istana Negeri, Kota Kinabalu, mengiringi isteri, Hajjah Raya Erom, menerima darjah kebesaran negeri, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK), membawa gelaran Datuk, yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Biarpun Istana Negeri bukan lagi asing bagi saya, namun kehadiran saya kali ini dirasakan lebih istimewa dan bermakna. Isteri saya menerima darjah kebesaran daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan dan pengiktirafan ke atas sumbangannya kepada masyarakat, terutama berkaitan kebajikan.

Pada istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran negeri itu, saya bertemu dengan ramai kawan-kawan, sama ada dalam perkhidmatan awam dan swasta mahupun politik.

Ada yang saya kenal sewaktu almarhum ayahnda saya menjadi Ketua Menteri dan kemudian sebagai Yang Dipertua Negeri, manakala yang lain menjadi rapat dengan saya ketika saya menjadi Ketua Menteri.

Ketika jamuan ringan selepas istiadat rasmi selesai, saya berbual dengan sebahagian mereka yang hadir. Rata-rata yang menerima bintang dan darjah kebesaran pada hari itu kelihatan ceria dan gembira, tanda mereka berbangga dan mensyukuri penghargaan yang diterima.

Saya nyatakan kepada mereka bahawa penghargaan yang diterima itu merupakan suatu pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan yang diberikan. Dan ia sebenarnya tidak perlu dicari atau dikejar, sebaliknya ia akan datang dengan sendirinya.

Yang penting kita perlu melaksanakan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh komitmen dan kesungguhan. Perkara yang sama sering saya nyatakan ketika berucap dalam sesuatu majlis atau bertemu rakyat.

Saya menyatakan bahawa seseorang yang bekerja mesti berusaha dengan sepenuh komitmen ke arah memberi kepuasan - baik kepada diri sendiri, mahupun organisasi dan majikan.

Apabila bekerja, jangan sekali-kali memikirkan soal ganjaran atau imbuhan. Jangan juga bekerja semata-mata untuk mencari populariti atau memburu pengiktirafan, kerana kedua-duanya (populariti dan pengiktirafan) akan datang dengan sendirinya selepas kita membuat kerja dengan baik dan memuaskan.

Sama ada sebagai penjawat awam, bekerja di sektor swasta atau pun terlibat dalam politik, tanggungjawab seseorang itu tidak jauh bezanya. Bekerja untuk rakyat dan masyarakat.

Jika rakyat dan masyarakat ini berpuas hati terhadap khidmat yang kita beri, sudah tentu mereka akan menyanjung tinggi, menghormati dan menghargai kita. Sebab itu, semua jabatan dan agensi kerajaan mempunyai Piagam Pelanggan untuk dipatuhi, dan terbaru kerajaan memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI).

Justeru, setiap orang ada peranan masing-masing biarpun berlainan profesion. Orang politik dan kerajaan perlu sama-sama memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Mereka perlu melakukan kerja dan tanggungjawab diamanahkan dengan jujur dan ikhlas supaya pada akhirnya mendapat kepuasan dalam kerjaya masing-masing.

Setelah membuat kerja yang cemerlang dan memuaskan itu, pengiktirafan akan datang dengan sendirinya. Sebagai penjawat awam misalnya, pengiktirafan datang dengan pelbagai cara, kenaikan pangkat, anugerah cemerlang jabatan dan darjah kebesaran negeri.

Demikian juga bagi orang politik, pengiktirafan juga datang dengan bermacam cara, termasuk pelantikan ke jawatan lebih mencabar atau penganugerahan darjah dan pingat kebesaran negeri atau negara.

No comments: