Translate

Sunday, October 18, 2009

PERHIMPUNAN MELAKAR DIMENSI BARU PERJUANGAN UMNO



SAYA tidak ingat lagi berapa kali saya bangkit dan bersama-sama perwakilan lain menyahut secara spontan ucapan penggulungan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang penuh bersemangat pada petang Jumaat lepas.

Yang saya ingat, semua berdiri serentak, sambil menyahut "Sedia", "Setuju" dan "Boleh" setiap kali Datuk Seri Najib melontarkan cabaran di dalam ucapan yang penuh emosi petang itu.

Dewan Merdeka PWTC, tempat berlangsungnya perhimpunan agung khas Umno, bagaikan medan peperangan. Seorang jeneral sedang memimpin batalionnya, memberi arahan dan atur gerak kepada para anggota. Seruan jeneral disambut laungan anggota-anggota di barisan hadapan.

Demikianlah suasana pada hari terakhir perhimpunan agung Umno Jumaat lepas, yang melakar sejarah apabila membuat pindaan ke atas perlembagaan untuk memperkasakan parti mengharungi cabaran politik.

Seperti perwakilan lain, saya bersama barisan perwakilan Umno Bahagian Kota Belud yang saya ketuai, dapat merasakan bara semangat para ahli parti untuk menjunjung perjuangan sebagaimana diharapkan oleh Presiden.

Perjuangan yang dijunjung adalah untuk berubah - dari segi minda dan tingkah laku, pendekatan dan tindakan.

Dari semangat perwakilan, saya merasakan seluruh akar-umbi Umno sudah bersedia untuk mengharungi "perubahan" yang menjadi tema ucapan pemimpin Nombor Satu dan Nombor Dua Umno di perhimpunan itu.

Ucapan dasar Datuk Seri Najib bertema "Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan" manakala Tan Sri Muhyiddin yang merasmikan serentak Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pula "Menggalas Tuntutan Perubahan".

Bertitik-tolak dari situ, perkataan "perubahan" terus menjadi sebutan kalangan pemimpin dan ahli Umno sepanjang persidangan. Suara ulasan mengenai "perubahan" bergema di Dewan Merdeka ketika perwakilan berbahas, kemudian terus pula menjadi bualan di luar dewan persidangan.

Daripada apa yang dirumuskan oleh Presiden dan Timbalan Presiden, perubahan yang dimaksudkan itu merangkumi semua aspek dengan matlamat akhirnya untuk memperkasakan Umno, dan menjadikannya terus unggul dan relevan.

Sememangnya, itu jugalah tujuan perhimpunan kali ini yang membuat pindaan ke atas tujuh perkara dalam Perlembagaan Umno, yang telah dijanjikan oleh Datuk Seri Najib sewaktu mengambil alih teraju kepemimpinan parti awal tahun ini.

Pindaan perlembagaan parti yang diluluskan perwakilan sebulat suara, bukan saja telah melakar sejarah buat parti, tetapi turut mencorakkan dimensi baru halatuju perjuangan Umno.

Ia.merupakan transformasi politik dalam Umno sebagai tunjang utama Barisan Nasional (BN). Berikutan itu, disarankan juga agar parti-parti komponen lain mengikut jejak yang dirintis Umno itu.

Perubahan yang diutarakan oleh pemimpin tertinggi itu sebenarnya manifestasi kesungguhan merealisasikan ikrar yang disuarakan ketika perhimpunan agung yang lepas, antaranya membanteras amalan tidak sihat seperti politik wang. Ketika itu, rata-rata pemimpin dan ahli sepakat untuk membawa perubahan kepada parti.

Dari apa yang dirumuskan pada perhimpunan kali ini, mesej utama yang hendak disampaikan ialah hakikat bahawa "Umno bukan tempat cari makan" dan mereka yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat, tidak seharusnya mengharapkan ganjaran atau sesuatu.

Dengan lulusnya pindaan beberapa fasal dalam perlembagaan Umno, bermakna parti sudah melangkah ke arah perubahan. Bermakna, apa yang diwar-warkan oleh kepemimpinan parti sebelum ini, bukan lagi omong-omong kosong atau retorik semata-mata.

Satu hal lagi yang menarik apabila Presiden menyatakan mengenai ciri-ciri pemimpin dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu diberi perhatian oleh setiap ahli. Pemimpin mesti popular. Calon pilihan raya juga mesti popular.

Ini penting kerana parti yang kuat bergantung kepada barisan pemimpin yang mantap. Perlu diakui bahawa matlamat akhir berpolitik adalah untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Oleh kerana KPI parti adalah untuk menang pilihan raya, sudah tentu kredibiliti pemimpin menjadi pertimbangan utama. Sebab itulah, Datuk Seri Najib secara berterus-terang menyatakan bahawa Umno perlu mencari calon yang betul apabila tiba musim pilihan raya nanti.

Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting yakni peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara.

Kesimpulannya, perubahan adalah bertujuan untuk memperkuatkan Umno secara keseluruhannya.

No comments: