Translate

Sunday, December 20, 2009

KRISMAS SEBAGAI WADAH PERPADUAN RAKYAT BERBILANG KAUM


SEJAK beberapa hari lalu, saya melihat bandaraya Kota Kinabalu mengalami kesesakan lebih daripada hari-hari biasa. Banyak kenderaan memasuki bandar. Ramai orang bertumpu ke pusat beli-belah. Semuanya dengan urusan masing-masing. Cuti sekolah penghujung tahun sememangnya sentiasa dipenuhi dengan kesibukan. Ibu bapa membawa anak-anak berjalan-jalan, sambil membeli kelengkapan peralatan sekolah yang akan menjelang kira-kira dua minggu lagi.

Di tengah kesibukan itu, saya juga menyaksikan mereka yang membuat persiapan menyambut Krismas. Ini menambahkan kemeriahan suasana di pusat beli-belah. Apatah lagi, Kota Kinabalu telah dipilih oleh Kerajaan Pusat sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Terbuka Krismas Malaysia pada 27 Disember ini.

Secara peribadi, saya juga mempunyai ramai saudara, kenalan dan sahabat beragama Kristian. Justeru, tentunya saya juga turut gembira kerana kita sekali lagi dapat menyambut perayaan ini dalam keadaan negara kita yang aman tanpa sengketa kaum, pergolakan politik dan pertikaian ekonomi.

Seperti sambutan hari kebesaran suku kaum lain, Hari Krismas memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat toleransi beragama, keharmonian budaya, persefahaman dan perpaduan.

Jalinan ini diperkukuhkan lagi menerusi amalan hidup dan tradisi rumah terbuka serta kunjung-mengunjungi, yang memberi kesempatan kepada semua orang mengeratkan jalinan perpaduan dan ikatan silaturahim. Ia menjadi pemangkin kepada kejayaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya.

Kita bersyukur kerana rakyat pada umumnya memahami kepentingan perpaduan untuk mencapai kemajuan. Dengan sikap sentiasa bersedia menerima antara satu sama lain, saling menghormati adat dan budaya orang lain, maka kita dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan merayakan Hari Krismas ini.

Sambutan perayaan ini, termasuk penganjuran Hari Terbuka Krismas Malaysia, adalah bukti jelas bahawa negara kita sentiasa mengamalkan prinsip toleransi beragama, keharmonian budaya dan semangat perpaduan yang kukuh.

Tahap perpaduan di negeri Sabah, yang mempunyai lebih daripada 30 kumpulan etnik berada pada kedudukan terbaik dan boleh menjadi contoh teladan atau "role model" kepada pencapaian gagasan 1Malaysia.

Keharmonian ini sudah terbina sejak sekian lama, daripada generasi sebelum ini yang berjaya menyemai benih-benih perpaduan. Generasi hari ini bertanggungjawab mempertahan dan meneruskan prinsip ini. Perbezaan budaya dan kelainan bahasa pertuturan bukanlah penghalang bagi kita untuk terus bekerja bersama-sama bagi kebaikan dan kepentingan jangka panjang.

Semua peringkat masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik dan budaya perlu terus memantapkan perpaduan. Ini penting untuk diutamakan dalam usaha kita mencapai kemajuan negara dan keharmonian hidup rakyat. Ini juga menjadi faktor utama betapa perlu kita berinteraksi antara satu sama lain dalam kehidupan kita seharian. Sambutan-sambutan perayaan seperti Krismas, Hari Raya dan perayaan-perayaan lain, merupakan wadah untuk rakyat menjadikan hubungan di kalangan mereka dengan lebih erat dan mesra lagi.

Dalam hidup bermasyarakat yang berbilang kaum ini, perkara paling penting ialah kita mestilah sentiasa menyemai semangat muhibah, toleransi dan perpaduan supaya keadaan ini memudahkan lagi pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan, sekaligus membolehkan kita menikmati kehidupan yang lebih baik. Keharmonian adalah pemangkin kemajuan negeri dan negara kita. Apabila negara aman dan harmoni, pastinya ramai pelancong dan pelabur datang. Dan keadaan sebaliknya berlaku jika negara kita kucar-kacir, tidak stabil dan berlaku pertelingkahan etnik.

Maka itu, dalam suasana dan semangat Krismas ini, rakyat keseluruhannya perlu mengeratkan lagi ikatan persefahaman antara satu sama lain.

Marilah kita sama-sama menyambut perayaan ini dalam semangat yang akan terus membawa kemajuan kepada kita serta mengeratkan lagi perhubungan dan persaudaraan antara pelbagai kaum, serta saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Begitupun, dalam suasana kemeriahan menyambut hari kebesaran yang penuh bermakna ini, janganlah dilupakan mereka yang kurang bernasib baik di kalangan kita, demikian juga pasukan keselamatan yang telah banyak menabur bakti, mencurah jasa dan menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian dalam negara kita.

Akhirnya, saya dan isteri serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh masyarakat Kristian.

No comments: