Translate

Saturday, December 26, 2009

MENINGGALKAN 2009 YANG PENUH KENANGAN, MELANGKAH KE TAHUN BARU DENGAN PENGHARAPAN TINGGI


Beberapa hari lagi kita meninggalkan Tahun 2009. Tentunya banyak kenangan dan peristiwa, pahit dan manis, kita lalui sepanjang tahun ini.

Sementara kita mempersiapkan diri melangkah ke Tahun Baru 2010, sebaiknya kita merenung kembali tentang pencapaian sepanjang 2009 dan menjadikan yang baik sebagai teladan dan yang kurang baik sebagai iktibar, dengan matlamat untuk sama-sama membawa negeri kita ini ke arah kemakmuran dan kesejahteraan yang berterusan.

Sepanjang 2009, banyak peristiwa berlaku di pentas politik negara kita, demikian juga di Sabah yang menyusuli tsunami politik pasca pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Kemelut yang berterusan dan pertikaian berpanjangan telah menjadikan tahun 2009 penuh dengan bermacam-macam adegan politik getir lagi mencemaskan.

Di Semenanjung, empat negeri - Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang - kini ditadbir pembangkang, manakala Perak yang pada mulanya dimenangi pembangkang, dikuasai kembali oleh Barisan Nasional (BN) tahun ini.

Sabah secara realitinya kekal sebagai kubu kuat bagi BN. Malahan, kekuatan ini disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai "fixed deposit" yang sangat bernilai, menyumbang kepada kekuatan BN di peringkat pusat.

Dan sebagai imbalan atas sumbangan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah melantik ramai pemimpin dari Negeri Bawah Bayu ini menduduki pelbagai jawatan tinggi dan penting dalam kerajaan, termasuk jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, TimbalanYang Dipertua Dewan Negara, Menteri serta Timbalan Menteri.

Sementara di negeri Sabah pula menyaksikan peralihan kepemimpinan Umno di lapan bahagian ketika proses pemilihan parti diadakan, sekali gus mencerminkan kehendak akar-umbi menuntut perubahan dan pembaharuan.

Selain Bahagian Kota Belud yang saya terajui semula, tujuh bahagian lagi yang mempunyai ketua baru ialah Beluran, Batu Sapi, Sepanggar, Kudat, Silam, Papar dan Kota Marudu.

Demikianlah sepintas lalu peristiwa yang mencatat sejarah politik negara tahun 2009. Sementara tahun 2010 yang merupakan "Year of the Tiger" mengikut kalender Cina memungkinkan kita berhadapan lebih banyak cabaran baru.

Secara peribadi, tahun 2009 turut membawa makna dalam perjuangan politik saya. Selain dipilih semula menerajui Umno Bahagian Kota Belud, kepemimpinan tertinggi parti turut memberi kepercayaan besar dengan melantik saya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah.

Kepercayaan yang diberikan oleh ahli di peringkat akar-umbi dan amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh pucuk pimpinan parti ini, menuntut saya untuk meluangkan sebanyak mungkin masa, tenaga dan perhatian kepada urusan politik.

Dalam siri perjumpaan saya dengan ahli serta pemimpin Umno pelbagai peringkat di Sabah, saya telah menyatakan pendirian dan komitmen membantu Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman, selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah, untuk memperkukuh dan memantapkan lagi parti di negeri ini.

Saya katakan demikian kerana saya melihat tahun baru 2010 ini menuntut kita semua, khususnya barisan kepemimpinan politik, untuk bekerja lebih keras lagi menghadapi pelbagai cabaran di peringkat nasional dan domestik.

Ini kerana dalam keadaan dan suasana politik hari ini, rakyat sudah mempunyai pilihan. Biarpun mungkin tidak dianggap sebagai sistem dua parti secara mutlak, namun itulah sebenarnya yang wujud, iaitu satu komponen Barisan Nasional (BN) dan satu lagi gagasan Pakatan Rakyat (PR).

Isunya sekarang ialah rakyat mempunyai pilihan - sama ada BN atau PR. Justeru itu, pimpinan BN selaku pemerintah di peringkat Pusat dan kebanyakan negeri harus menentukan bahawa rakyat sentiasa bersama kita. Usaha ini terpikul lebih berat di bahu pemimpin-pemimpin Umno selaku tunjang utama kerajaan BN.

Jika kita gagal mendekati rakyat, maka dikhuatiri mereka akan beralih angin kepada parti alternatif dalam gagasan PR sebagaimana berlaku dan ditunjukkan di lima negeri di Semenanjung dalam PRU-12 lepas.

Untuk menentukan rakyat terus bersama kita, maka kita harus memahami dan mendengar denyutan rakyat. Kenapa mereka menjauhkan diri daripada parti-parti komponen BN? Kenapa mereka tidak bersama Umno, MCA, MIC dan Gerakan umpamanya?

Jika perasaan mereka diselami, sudah tentu mudah untuk menangani serta mendepani apa jua kehendak dan keperluan mereka.

Dalam menghadapi cabaran politik sebegini, barangkali sudah tiba masanya difikirkan bersama kemungkinan mewujudkan keahlian terus dalam Barisan Nasional sebagai wadah baru memastikan BN terus unggul dan relevan.

Menerusi kaedah baru itu, mereka yang komited kepada perjuangan BN tetapi tidak menyukai parti-parti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking menyebabkan mereka merasa bosan akan dapat terus bersama kita. Mereka mempunyai wadah untuk terus bersama kita.

Ringkasnya, cara ini dapat menyekat mereka daripada menyertai pembangkang. Namun cadangan ini memerlukan perincian lanjut dengan mengambil kira sistem dan perlembagaan dalam BN.

Sebagai langkah permulaan, mungkin usaha penjenamaan semula atau "re-brand" Barisan Nasional dirintis, dengan singkatan atau panggilan BN saja supaya mendekatkannya dengan hati rakyat. Selanjutnya, difikirkan pula logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN.

Langkah dan pendekatan ke arah ini harus difikirkan secara serius kerana ia diyakini dapat membantu menjamin survival dan kelangsungan BN di persada politik tanah air.

Justeru, dalam meneruskan perjalanan kita melangkah ke Tahun Baru ini, saya mengajak seluruh lapisan rakyat agar terus bekerja bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan apa jua perancangan dan inisiatif membangunkan negeri kita ini.

Sokongan rakyat adalah penentu kejayaan agenda yang dirancang oleh pemimpin.

Sementara kita mensyukuri segala nikmat kejayaan sepanjang 2009, marilah kita tingkatkan tekad dan bulatkan azam untuk mencapai kejayaan lebih besar lagi di tahun-tahun mendatang ini.

Akhirnya, dengan rasa syukur ke hadrat Ilahi, saya dan isteri, Raya Erom, serta keluarga mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mudah-mudahan Tahun Baru ini membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi kita semua.

No comments: