Translate

Saturday, December 12, 2009

SABAH CONTOH TERBAIK KONSEP 1MALAYSIA


Oleh NEWMOND TIBIN

KOTA KINABALU: Sabah yang sinonim dengan panggilan "Negeri di Bawah Bayu, tidak saja kaya dengan keindahan semula jadi tetapi ia juga kaya dengan kepelbagaian suku kaum dan warisan budaya penduduknya.
Walaupun berlainan agama dan budaya, penduduk di negeri ini, yang kini hampir mencecah empat juta orang, sentiasa menunjukkan sikap saling menghormati dan bertolak ansur.
Ikatan yang kuat ini memungkinkan rakyat membangunkan satu landasan yang kondusif untuk memantapkan perpaduan kaum.
Sebenarnya, Sabah mempunyai lebih 30 kumpulan etnik dengan tidak kurang 50 kumpulan bahasa dan 90 dialek, yang mana lebih 30 daripada bahasa itu dimiliki kaum Bumiputera seperti Bajau, Murut, Rungus, Latod, Irranun, Talantang, Sonsogon, Likabau, Garoh (Kimaragang), Tinagas, Idahan, Sungai dan Dusun.
Namun kepelbagaian ini bukan menjadi penghalang untuk mereka menikmati kehidupan yang harmoni dan aman seperti yang wujud sekarang.
Tidak harianlah, Sabah dilihat sebagai contoh terbaik kepada konsep 1Malaysia. Gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini, antara lain, menekankan perpaduan nasional, mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan 5 Prinsip Rukun Negara.
Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) yang juga bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Salleh Tun Said mengupas isu ini dalam temu bual dengan Ketua Biro Bernama Sabah, Newmond Tibin. Berikut ialah petikan temu bual itu:-

BERNAMA: Secara umum, apakah pengertian konsep 1Malaysia pada pandangan Datuk?
SALLEH: Ramai orang sudah mengulas, menulis dan memperkata mengenai hal ini. Bermacam pendapat dan pandangan kita dapat. Bagi saya, konsep 1Malaysia membawa aspirasi dan gagasan besar pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk menyatukan rakyat, menjalin perhubungan antara kaum yang lebih mantap dan memupuk perpaduan yang lebih kukuh.
Ini menjadi keutamaan kerajaan kerana soal perpaduan ini merupakan prasyarat bagi kemakmuran negara serta kesejahteraan hidup rakyat. Sebuah kerajaan yang teguh bermula daripada ikatan perpaduan rakyat yang kukuh. Jika semangat toleransi dan persefahaman dalam kalangan rakyat agak rapuh, maka kerajaan juga tidak stabil dan apabila kerajaan tidak stabil, maka pelaksanaan agenda pembangunan tidak dapat dilaksana secara berkesan.
Natijahnya, konsep 1Malaysia ini secara jelas mencerminkan komitmen kerajaan mendahulukan rakyat. Ia membawa kesaksamaan dan kesamarataan bagi segenap lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit. Di dalam konsep 1Malaysia ini, diterapkan lapan nilai sebagai tunjang utama, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Tentunya menjadi harapan pimpinan kerajaan agar pemupukan terhadap nilai- nilai murni ini dapat membawa kejayaan besar kepada Malaysia dalam jangka masa panjang.

BERNAMA: Bolehkah konsep ini dijayakan dan bagaimana penerimaan rakyat terhadapnya?
SALLEH: Memang terdapat pelbagai pandangan mengenainya. Ulasan-ulasan yang kita nampak tidak semuanya sama. Ada pro dan kontra. Malahan, ada yang bersikap skeptikal dan sinis. Pihak pembangkang mempersendakannya. Tetapi semua ini tidak melunturkan kefahaman umum terhadapnya. Sebaliknya, ia menjadi kekuatan yang menyemarakkan lagi azam rakyat untuk terus bersatu padu, memperkuat ikatan persefahaman.
Kejayaan konsep ini bukan sekadar terletak pada bahu pimpinan kerajaan, tetapi sebenarnya lebih berat di bahu rakyat sendiri. Hingga kini rakyat memahami dan sudah mula menterjemah prinsip-prinsip yang terkandung dalam gagasan ini. Melihat kepada reaksi umum itu, maka saya optimis konsep ini boleh berjaya mencapai matlamat pimpinan kerajaan.

BERNAMA: Apakah signifikan konsep 1Malaysia ini dalam konteks Sabah?
SALLEH: Bagi saya, konsep ini membawa makna besar kepada negeri Sabah yang terpisah oleh Laut China Selatan dari Semenanjung Malaysia. Pertama, ia tentu saja membolehkan negeri ini bergerak seiringan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung yang fasa pembangunannya lebih pantas daripada kita di sini. Kedua, ia membawa refleksi tentang erti perpaduan dalam kepelbagaian.
Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak ialah contoh 1Malaysia. Justeru dalam konteks Sabah, walaupun negeri ini mempunyai lebih daripada 30 etnik dan sub-etnik, tetapi semangat kesatuan dan perpaduan rakyatnya tetap mantap. Ini fakta menarik jika dibuat perbandingan di Semenanjung yang mempunyai tiga etnik utama, iaitu Melayu, Cina dan India serta lain-lain. Sebenarnya, prinsip-prinsip 1Malaysia itu sudah terpakai sejak sekian lama di Sabah, sama ada dalam sosioekonomi mahupun sosiopolitiknya.

BERNAMA: Apa yang Datuk maksudkan?
SALLEH: Ya, sejak mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, kita mempraktikkan penggunaan satu bahasa secara meluas, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi dan bahasa perniagaan, biarpun dalam kepelbagaian adat dan kebudayaan masyarakat yang bersilang fahaman dan ideologi.
Orang di Sabah begitu fasih berbahasa Melayu sehinggakan mungkin sukar untuk membezakan sama ada mereka orang Bumiputera ataupun tidak, kerana semuanya begitu fasih bertutur dalam satu bahasa. Lambang ikatan 1Malaysia juga tergambar dalam kehidupan harian masyarakat negeri ini. Kita lihat di kedai-kedai kopi misalnya, banyak premis perniagaan dikongsi bersama oleh orang Islam dan bukan Islam.
Peniaga bukan Islam menjual minuman, manakala di sudut kedai yang sama disewa oleh orang Islam yang menjual makanan halal. Orang berlainan agama makan dalam premis yang sama tanpa rasa segan dan malu. Keadaan ini menjadi satu kebiasaan bagi kita di Sabah. Ia juga berkait dengan sejarah peradaban dan perkahwinan campur di antara rakyat berlainan fahaman. Secara peribadi, saya juga mempunyai ramai saudara-mara yang bukan beragama Islam dan tidak ada masalah langsung dalam mengharungi kehidupan.
Dalam majlis- majlis keramaian, misalnya kenduri dan perkahwinan, sudah menjadi amalan bagi masyarakat di Sabah menyediakan hidangan untuk tetamu yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.

BERNAMA: Bagaimana rakyat negeri ini boleh menyumbang kepada pencapaian gagasan 1Malaysia?
SALLEH: Seperti rakyat negeri lain, kita juga komited untuk bersama-sama dalam arus pembangunan negara merangkumi semua bidang, termasuk ekonomi. Sebab itulah dalam pilihan raya umum lepas, rakyat Sabah memberi sokongan mutlak kepada Barisan Nasional (BN) sehinggakan kita hampir mencapai status "sifar pembangkang" baik di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.
Kemenangan besar itu menjadikan Sabah diiktiraf sebagai "fixed deposit" dan banyak membantu kekuatan BN di peringkat pPusat. Dalam konteks 1Malaysia, tentu saja rakyat negeri ini sentiasa berdiri teguh menyokong dan terus mengukuhkan BN yang ditunjangi oleh Umno. Rakyat negeri ini sangat meyakini konsep 1Malaysia ini mampu mengangkat martabat masyarakat pelbagai kaum, ke suatu tahap yang membanggakan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.
Kita akan berusaha menentukan rakyat dapat bersama-sama menikmati pembangunan, dan bukan menjadi penonton pembangunan atau penunggu bantuan saja, sebaliknya sama-sama berusaha merebut peluang dan potensi yang tersedia.

BERNAMA: Bagaimana matlamat ini boleh dicapai, sedangkan parti politik pembangkang menjadikan 1Malaysia sebagai senjata mendesak penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?
SALLEH: Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 70-an untuk membanteras kemiskinan serta menyusun semula masyarakat. Ia telah berjaya membawa banyak perubahan dalam masyarakat kita, bukan saja dalam kalangan orang Melayu tetapi juga semua kaum. Desakan berhubung penghapusan DEB itu sebenarnya sengaja dilontarkan oleh pembangkang untuk mencipta polemik dan kontroversi bagi mencari keuntungan politik.
Bagi saya, tuntutan mereka yang kononnya berasaskan istilah adil dan saksama itu mencerminkan kecetekan pemikiran dan tidak melihat masa depan dalam perspektif menyeluruh. Dan mungkin juga mereka sengaja memejamkan mata untuk melihat intipati 1Malaysia itu dari sudut yang negatif. Jika dilihat secara mikro, konsep 1Malaysia ini jelas membawa mesej dan harapan pimpinan kita memakmurkan rakyat dengan mengutamakan pencapaian termasuklah di Sabah.

BERNAMA: Bagaimana Datuk melihat kebebasan media di Sabah dalam konteks pencapaian 1Malaysia?
SALLEH: Sejak dahulu lagi, peranan media dalam pembangunan negara tidak dapat dipisahkan. Ia banyak memainkan peranan dalam memupuk perpaduan, persefahaman dan integrasi dalam kalangan rakyat majmuk sebagaimana diperincikan dalam huraian konsep 1Malaysia, iaitu menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing.
Pengamal media di Sabah telah dapat berfikir melepasi kepentingan kaum dan kelompok. Selain bersikap objektif dan bertanggungjawab, mereka juga kritikal dan memberi ruang kepada pembangkang tanpa membelakangkan nilai-nilai dan etika kewartawanan. Saya katakan demikian kerana media di Sabah sering melaporkan tentang masalah dan rungutan serta keperitan hidup rakyat, dan inilah sebenarnya yang diharapkan menerusi konsep 1Malaysia, iaitu memperbaiki hubungan kaum dan membentuk sebuah masyarakat yang progresif.
Jelas bahawa media di Sabah turut sama-sama mendasari prinsip utama 1Malaysia, iaitu kebersamaan dan kekitaan bagi menjayakan konsep ini. Daripada segi akses kepada maklumat pun, media di Sabah lebih terbuka berbanding akhbar nasional atau akhbar lain di negeri-negeri lain di Malaysia iaitu memberi ruang yang hampir sama kepada semua orang termasuk parti pembangkang mengutarakan atau menyampaikan mesej untuk tatapan umum.
Di Sabah, adakalanya akhbar tempatan menyiarkan atau menonjolkan isu yang dibangkitkan oleh pembangkang di muka hadapan dan pembaca melihatnya sebagai perkara biasa sahaja. Walaupun kebebasan akhbar lebih terserlah di Sabah, namun BN juga tetap menjadi pilihan rakyat seperti yang berlaku pada pilihan raya lepas kerana rakyat bijak menilai maklumat yang diterima.
Dalam konteks ini, saya fikir media Sabah juga boleh dijadikan contoh atau role model kepada media kebangsaan supaya mengamalkan dasar yang lebih terbuka, sekaligus menjayakan aspirasi konsep 1Malaysia. - BERNAMA

No comments: