Translate

Friday, February 27, 2009

Sindrom SMS Mencemaskan

SETIAP subuh apabila saya “on” telefon bimbit selepas sembahyang subuh, lazimnya banyak khidmat pesanan ringkas (SMS) akan terpapar pada skrin. Ini menunjukkan bahawa ramai yang menghantar SMS pada tengah malam selepas saya “off” telefon bimbit sebelum melelapkan mata.

Sudah menjadi kelaziman saya untuk tidak menutup telefon bimbit sepanjang masa kecuali ketika tidur pada waktu malam.

Apabila saya menghadiri acara atau sedang bermesyuarat, telefon bimbit saya sentiasa dalam mod ”silent” dan biasanya SMS sentiasa ada selang beberapa ketika. Saya tidak dapat mengira jumlah SMS yang saya terima setiap hari, begitu juga jumlah SMS yang saya jawap atau hantar.

Berdasarkan pengalaman ini, saya merumuskan bahawa SMS telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat kita hari ini. Ia menjadi satu kemudahan komunikasi paling mudah, cepat dan efisien berbanding cara komunikasi konvensional.

Dengan harga telefon bimbit pelbagai jenama yang mampu dibeli (selain set telefon terpakai) membolehkan sebahagian besar daripada masyarakat hari ini memiliki telefon bimbit, termasuk orang kampung di pedalaman terpencil.

Saya katakan SMS merupakan cara komunikasi paling mudah disebabkan ia boleh dihantar dari mana-mana lokasi, termasuk dalam kereta atau sedang berjalan mahupun ketika dalam tandas. Ia jauh lebih memudahkan berbanding cara dahulu seperti menghantar surat mahupun emel.

SMS juga cepat dan efisien kerana mesej dapat dihantar dan diterima pada masa yang sama, berbanding kemudahan komunikasi lain.

Pelbagai pandangan dan pendapat mengenai kebaikan dan keburukan SMS.

Ada yang menyalahgunakannya untuk tujuan tidak baik, termasuk menyebarkan fitnah dan khabar angin. Ada SMS yang memerlukan jawapan, ada juga yang sekadar untuk makluman.

Yang pasti, SMS telah menjadi seperti “habit” manusia era IT ini – tidak kiralah sama ada ia dianggap sebagai satu kemudahan, keperluan atau pembaziran. Saya katakan demikian kerana saya tertarik dengan laporan akhbar mengenai satu analisa yang menunjukkan Malaysia berada di tempat ketiga di Asia Pasifik dari segi aliran SMS ketika sambutan Krismas dan Tahun Baru, dengan mencatat 1.075 bilion pesanan.

Perangkaan itu menunjukkan realiti sikap masyarakat Malaysia yang barangkali sudah dilanda “sindrom” SMS ke satu tahap yang mencemaskan.

Acision, syarikat pemesejan terkemuka dunia, dilaporkan menyebut bahawa Malaysia di tempat ketiga, selepas Filipina dengan 2.36 bilion dan Indonesia yang mencatatkan sehingga 1.193 bilion pesanan. Laporan itu juga menyatakan bahawa musim perayaan masih kekal menjadi tumpuan bagi trafik yang tinggi untuk kedua-dua pengendali dan pengguna.

Kita adalah sebahagian daripada penyumbang perangkaan itu.Sejauh mana kewajarannya, dengan mengambil kira ketidaktentuan ekonomi global serta tiupan kegawatan yang disebut-sebut, mungkin sudah tiba masanya untuk kita sama-sama mengambil iktibar daripadanya.

SMS sebagai komunikasi murah, hanya beberapa sen bagi setiap pesanan, boleh melalaikan yang boleh menyebabkan bil telefon meningkat naik tanpa disedari.

Monday, February 16, 2009

SALLEH SAID KERUAK TARIK DIRI REBUT JAWATAN MT-Admin

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini mengumumkan menarik diri daripada pertandingan merebut jawatan Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno dalam pemilihan parti bulan depan.Salleh berkata keputusan itu dibuat memandangkan ramai calon dari Sabah yang melepasi kuota kelayakan bertanding jawatan MT pada Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan dari 24 hingga 28 Mac ini.
.

"Saya mengambil keputusan untuk tidak menawarkan diri supaya peluang pemimpin Umno Sabah untuk menduduki kerusi MT lebih cerah."Tumpuan saya sekarang ialah untuk membantu mengukuhkan Umno bahagian KotaBelud dan juga memainkan peranan sebagai anggota jawatankuasa Badan Perhubungan Umno negeri," katanya kepada Bernama di sini hari ini.Salleh yang kembali menerajui Umno bahagian Kota Belud selepas menang padapemilihan parti peringkat bahagian tahun lepas, berkata beliau sudah menerimasurat pemberitahuan dan borang penerimaan pencalonan dari ibu pejabat Umno baru-baru ini.

Katanya borang penerimaan itu sepatutnya dikembalikan ke ibu pejabat Umnosebelum atau selewat-lewatnya 20 Feb ini.Berikutan keputusan itu, beliau yang juga presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) berterima kasih kepada semua bahagian yang mencalonkannya.Salleh turut menyambut baik ketetapan Badan Perhubungan Umno negeri yangmenyokong mana-mana pemimpin Umno Sabah yang layak dan menerima pencalonan untuk bertanding jawatan MT Umno.

Wednesday, February 4, 2009

DARJAH KEBESARAN MANIFESTASI PENGIKTIRAFAN KEPADA PENGAMAL MEDIA

TAHNIAH kepada beberapa pengamal media yang menerima darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu.

Mereka termasuk Penasihat Editorial Bernama, Datuk Azman Ujang, Ketua Pengarang Bernama, Datuk Yong Soo Heong, Ketua Pengarang Star Publication (M) Bhd, Datuk Wong Chun Wai; dan Ketua Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Semua mereka menerima darjah kebesaran tersebut dalam satu istiadat di Istana Negara kelmarin.

Mendahului senarai penerima ialah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin dan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti AkhtarAziz, yang dikurniakan darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Darjah kebesaran yang diberikan kepada pengamal media itu, adalah manifestasi penghargaan terhadap peranan dan sumbangan mereka membantu proses pembangunan negara.

Secara peribadi, saya berpendapat sememangnya media memainkan peranan penting dalam kemajuan dan kemakmuran sesebuah negara, apatah lagi dalam konteks Malaysia yang dihuni masyarakat berbilang kaum, agama dan kepercayaan.

Agensi berita nasional dan media arus perdana antara lain memikul amanah dan tanggungjawab besar untuk mengekalkan perpaduan serta keharmonian kaum.

Pendekatan mesti bersifat objektif, laporan pula hendaklah secara proaktif dan penyampaian secara membina, tanpa menciptakan polemik atau mensensasikan sesuatu perkara.

Kepentingan negara sentiasa diutamakan tanpa mengabaikan tanggungjawab sosial membela nasib rakyat.

Dalam era globalisasi ini, fungsi dan peranan media arus perdana semakin mencabar,mengambil kira kemunculan laman web dan blog sebagai media alternatif yang semakin banyak serta kehadiran akhbar-akhbar kecil yang mewarnai dunia persuratkhabaran.

Sementara laman web, blog dan akhbar lain mungkin mempunyai pandangan berbeza dalam sesuatu isu, media arus perdana pula berperanan mengimbangi dan “memperbetulkan” keadaan, bukannya menambahkan sensasi atau memburukkan lagi keadaan.

Di satu sudut, media arus perdana juga tidak disekat kebebasan untuk melaporkan sesuatu isu atau hal kemasyarakatan yang melibatkan kepentingan rakyat kerana itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial.

Biarpun terikat dengan beberapa perundangan seperti Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA), namun saya melihat media arus perdana di negara ini pada umumnya tetap mendapat kebebasan.

Malahan, akhir-akhir ini, ada yang bersifat kritikal dalam pemberitaan mereka – kritikal dalam konteks penulisan, bukan kritikal yang dipengaruhi sentimen kaum atau agama – misalnya dalam isu-isu berkaitan kecederaan dan kematian tahanan polis.

Begitu juga dalam politik, media arus perdana sudah berani menyiarkan analisa-analisa yang bernada kritikal terhadap parti yang menunjangi pemerintahan kerajaan. Misalnya, selepas pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu yang menyaksikan kegagalan Barisan Nasional (BN) mempertahankannya, banyak analisa yang mendedahkan kelemahan di sana-sini disiarkan oleh media arus perdana. Malahan, Bernama, sebagai agensi berita nasional, turut membuat analisa yang membongkar fakta di sebalik kegagalan itu.

Semua ini adalah manifestasi kebebasan media yang bersifat membina.

Justeru, penganugerahan darjah kebesaran kepada pengamal media daripada kerajaan merupakan suatu penghargaan dan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan yang dimainkan selama ini.

Tahniah dan syabas kepada mereka sekali lagi – kebetulan pula saya mengenali mereka secara peribadi – dan teruskanlah khidmat terbaik anda demi agama, bangsa dan negara kita!