Translate

Sunday, March 29, 2009

BATANG AIR: KEYAKINAN DI SEBALIK KEMERIAHAN DAN KERAMAHAN PENDUDUK




KELMARIN (Ahad) saya berada di Lubok Antu, Sarawak, menyertai beberapa pemimpin mengiring calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air.

Pilihan raya kecil yang ditetapkan pada 7 April ini, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN, Malcom Mussem Lamoh dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang.

YB Datuk Seri Shafie,YB Dato Ahmad Shabery Chek dan saya sendiri telah
menaiki helikopter bersama YAB Tan Sri Abdul Taib Mahmud dari Kuching ke Lubok Antu untuk menyertai perarakan menuju ke Pusat Penamaan calun.Ketibaan kami disambut dengan begitu meriah oleh penduduk tempatan di daerah itu yang majoritinya berketurunan Iban.

Umumnya, saya melihat kawasan Batang Air sudah mengecapi banyak kemajuan dan pembangunan asas.

Biarpun sungai menjadi sistem perhubungan dan pengangkutan utama penduduk di situ, namun kemudahan jalan raya turut disediakan selain bekalan air dan elektrik di beberapa kawasan.

Begitu juga kemudahan pendidikan dan kesihatan yang sudah dibawa ke kawasan itu.

Melihat kepada semangat dan reaksi penduduk tempatan itu, BN tidaklah mengharungi laluan sukar untuk mempertahankan kerusi DUN Batang Air.

Malahan, sentimen sedemikian turut dikongsi bersama oleh Tan Sri Abdul Taib yang berpendapat bahawa BN mempunyai banyak kelebihan berbanding pembangkang.

Selain agenda pembangunan untuk rakyat, katanya, BN mempunyai peluang cerah mengekalkan kerusi itu kerana faktor calon.

“Kita punya peluang yang baik. Kita ada calon yang amat baik,” kata Taib sebagai merujuk Mussem yang ditampilkan oleh BN.

“Jika dibuat perbandingan antara kedua calon itu, mereka adalah jauh berbeza. Mussem punya pengetahuan yang baik dalam operasi pentadbiran. Beliau tidak perlu menjerit atau menyalahkan orang lain untuk berkhidmat kepada rakyat,” tambah beliau lagi.

Kerusi DUN Batang Air kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot, pada 24 Feb lalu, selepas koma akibat serangan angin ahmar sejak 22 Mei tahun lalu.

Sambutan hangat penduduk tempatan kepada pemimpin dan penyokong BN, juga disebabkan sikap dan kepimpinan mendiang sebelum ini yang diakui sebagai mesra rakyat, sehinggakan pemergiannya begitu dirasai oleh penduduk kawasan Lubok Antu, khususnya di Batang Air.

Setiausaha Sulit mendiang, Nelson Naga Alam, dilaporkan berkata Unting banyak berjasa kepada penduduk apabila berjaya mengubah wajah daerah kecil itu dengan pembangunan.

Katanya, sumbangan Unting yang utama ialah mempertingkatkan kemudahan infrastruktur, jalan perhubungan, bekalan elektrik serta memperkenalkan Batang Ai, Lubok Antu sebagai tapak pelancongan yang baru menerusi Pesta Batang Ai Lubok Antu.

Dalam pada itu, Mussem berjanji untuk meneruskan agenda pembangunan yang dirancang untuk kawasan Batang Air.

"Saya sendiri sanggup bertungkus lumus bagi meneruskan usaha-usaha pembangunan di Batang Air. Oleh itu, penduduk Batang Air patut beri peluang kepada saya," katanya.

Beliau juga berkata bahawa beliau sudah melawat sebahagian besar kawasan berkenaan yang mempunyai 22,270 penduduk, kebanyakannya anggota masyarakat Iban, dengan 8,006 daripada mereka adalah pemilih berdaftar.

Katanya, beliau memang sudah biasa dengan kebanyakan tempat di daerah terpencil berkenaan, yang dikuasai selama tiga penggal oleh BN melalui Datuk Dublin Unting Ingkot, sehinggalah beliau meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

"Saya yakin saya lebih rapat dengan peringkat akar umbi, daripada kalangan kakitangan awam, hinggalah kepada penduduk rumah panjang di kawasan berkenaan,” katanya.


Saturday, March 28, 2009

SUNTIKAN SEMANGAT BARU MENGIRINGI KEPULANGAN PEWAKILAN UMNO



SETELAH lima hari berkampung di PWTC, Kuala Lumpur, perwakilan Umno dari seluruh negara mula berangkat pulang ke kawasan masing-masing dengan membawa harapan baru bagi memulakan perubahan serta transformasi kepada parti.

Perjalanan pulang perwakilan pastinya diiringi dengan kenangan manis ekoran beberapa peristiwa berlaku semasa persidangan kali ini.

Paling ketara dan bersejarah pastinya proses peralihan kepimpinan yang berjalan lancar dan penuh tertib.

Bermula peralihan jawatan Presiden daripada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak, disusuli pula pemilihan jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) selain pada sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum itu.

Sejarah juga tercipta pada Sabtu apabila bekas Presiden Umno dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, hadir pada sesi penggulungan perbahasan di Dewan Merdeka, PWTC, biarpun sebelum itu telah menyatakan pendirian tidak akan menghadirinya.

Tambah mengembirakan lagi apabila Dr Mahathir memberi bayangan tentang kesediaannya untuk menyertai Umno dalam tempoh terdekat ini.

Perwakilan telah membuat pilihan sebuah saf kepimpinan yang dianggap oleh Najib sebagai cukup ampuh buat Umno untuk mengharungi cabaran mendatang.

Timbalan Presiden yang baru, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta tiga Naib Presiden baru, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, merupakan gandingan mantap yang diyakini mampu membawa perubahan buat parti.

Berdasarkan perbahasan perwakilan, rata-rata menyifatkan saf kepimpinan yang diterajui Datuk Seri Najib ini sebagai yang terbaik lantaran menggabungkan muka lama dan baru.

Kini terpikul tanggungjawab besar pada bahu setiap pemimpin yang dipilih untuk merealisasikan impian bagi pembaharuan itu sebagai satu realiti.

Harapan begitu tinggi disandarkan oleh perwakilan untuk melihat perubahan dan pembaharuan itu dalam tempoh yang tidak begitu lama. Proses ke arah itu tidak boleh dilambatkan atau diperlahankan, kerana ahli di peringkat akar-umbi memerhati perkembangan dan mengikuti setiap gerak-geri pemimpin yang diharapkan.

Sepanjang berkampung di PWTC, begitu banyak suara harapan kedengaran dari segenap kawasan, yang mahukan suatu anjakan paradigma untuk parti, supaya Umno kekal unggul dan relevan.

Umno perlu berubah segera sebelum hanyut dan terjerumus dalam putaran arus politik yang ganas.

Seperti diakui oleh Datuk Seri Mohd Najib sendiri, bahawa Umno harus berubah kerana, jika tidak, parti akan rebah dalam pilihan raya akan datang.

Melihat kepada nada suara perwakilan dan pimpinan pelbagai peringkat, jelas bahawa Umno kini berada di landasan betul untuk mengharungi proses transformasi.

Keyakinan bagi Umno melakukan perubahan ini diperkuatkan lagi dengan kenyataan tegas Datuk Seri Najib pada ucapan penggulungannya.

Antara yang ditekannya, sebagai bukti keseriusan Umno untuk melakukan perubahan ialah cadangan bagi meminda perlembagaan parti, bagi menghapuskan sistem kuota, dan menggubal sistem pemilihan parti yang baru sempena dengan perhimpunan agungnya bagi 2009 hujung tahun ini.

Cadangan itu yang diucapkannya dengan penuh bersemangat mendapat tepukan bergemuruh daripada perwakilan dan pemerhati, sekali gus menunjukkan ia sebagai satu suntikan semangat baru paling bermakna buat ahli-ahli Umno.

Friday, March 27, 2009

GANDINGAN PIMPINAN MANTAP MERINTIS PEMBAHARUAN UMNO



DEBARAN mengenai keputusan pemilihan pucuk pimpinan Umno berakhir malam tadi. Teka-teki siapa membarisi saf baru bagi penggal 2008-2011 sudah terjawab.

Presiden Umno yang baru, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak diberikan oleh perwakilan gandingan pimpinan baru untuk memperkasakan Umno mengharungi cabaran, merealisasikan pembaharuan dan memenuhi harapan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dipilih sebagai Timbalan Presiden yang baru, menewaskan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dengan majoriti 659 undi. Muhyiddin memperolehi 1,575 undi manakala Muhammad pula 916 undi.

Sementara tiga Naib Presiden yang dipilih ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Menteri Kebudayaan, Keseniaan dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Ahmad Zahid memperolehi 1,592 undi, manakala Hishamuddin (1,515) dan Shafie (1,445).

Barisan kepimpinan baru Umno dimantapkan lagi dengan pemilihan 25 jawatan Majlis Tertinggi (MT) yang menggandingkan muka lama dan baru.

Terdapat beberapa kejutan dalam pemilihan kali ini – ada nama besar kecundang, ada pemimpin tidak berjawatan dipilih.

Apapun, perwakilan telah membuat keputusan pemilihan sebuah barisan baru untuk membantu Presiden menahkoda zaman dan melestarikan Umno.

Pemilihan yang dibuat oleh perwakilan pada peringkat MT ini adalah kesinambungan suntikan imunisasi politik pembaharuan yang dibuat, bermula di peringkat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri sebelum ini.

Umumnya, melihat kepada trend pemilihan yang dibuat, nampaknya ahli-ahli parti bersuara senada mahukan pembaharuan dan perubahan bagi menyegarkan semula Umno yang dilihat semakin layu.

Saf kepimpinan baru yang dipilih itu pastinya menjadi sandaran harapan perwakilan dan ahli Umno di peringkat akar-umbi, untuk berani melakukan anjakan paradigma supaya parti terus unggul dan relevan merentasi zaman.

Mereka perlu tangkas untuk mengembalikan semula kegemilangan Umno selepas prestasi buruk dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Ini bermakna terpikul di bahu setiap pemimpin berkenaan suatu amanah dan tanggungjawab besar untuk bangsa, agama dan negara.

Seperti disebutkan oleh Shafie: "Cabaran besar pertama yang akan dihadapi ialah untuk memenangi tiga pilihan raya kecil pada 7 April depan iaitu Bukit Gantang (Perak), Bukit Selambau (Kedah) dan Batang Ai (Sarawak)".
Beliau berkata Umno perlu mengangkat agenda rakyat sebagai perjuangan utama jika parti itu mahu mengembalikan semula sokongan rakyat yang lebih padu.
"Umno harus berubah dari segi pendekatan, melihat apa keperluan rakyat di akar umbi, termasuk konsep penyatuan rakyat," katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid menyifatkan Datuk Seri Najib yang menang jawatan Presiden tanpa bertanding dan Tan Sri Muhyiddin yang dipilih sebagai Timbalan Presiden, sebagai satu gandingan yang mantap.
Katanya, para perwakilan telah membuat keputusan yang bijak.Beliau juga gembira dengan barisan anggota Majlis Tertinggi (MT) yang terpilih.
"Saya melihat 50 peratus anggota MT adalah muka baru, ketiga-tiga Naib Presiden juga adalah muka-muka baru."Ini adalah pasukan yang akan membantu Presiden untuk menunaikan tanggungjawab dan menterjemahkan agenda parti," katanya.
Hishammuddin yang merupakan bekas Ketua Pemuda Umno pula mengakui setiap pemimpin yang dipilih dalam barisan kepimpinan baru mempunyai peranan untuk melakukan yang terbaik bagi memastikan Umno terus diterima rakyat.
"Yang penting adalah membentuk satu pasukan yang mantap yang mampu memimpin negara, bukan sahaja untuk orang Melayu, tetapi seluruh rakyat jelata," katanya.
Natijahnya, perwakilan telah membuat pilihan bijak dengan menyediakan suatu gandingan mantap kepimpinan Umno yang pastinya diyakini mampu membawa perubahan besar.

Sememangnya, Umno perlu melalui proses transformasi untuk kekal sebagai tunjang keutuhan Barisan Nasional (BN) yang menjadi pengharapan segenap lapisan rakyat.

Thursday, March 26, 2009

SUNTIKAN IMUNISASI POLITIK JANA KEKUATAN BARU WANITA, PEMUDA DAN PUTERI UMNO



SEKALUNG tahniah diucapkan kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Ketiga-tiga mereka telah dipilih oleh perwakilan Umno untuk mengetuai sayap Wanita, Pemuda dan Puteri, dalam pemilihan yang diadakan malam kelmarin.

Shahrizat memenangi jawatan Ketua Wanita dengan mendapat 507 undi, manakala penyandang, Datuk Seri Rafidah Aziz, memperoleh 280 undi.

Sementara Khairy pula menang dengan memperolehi 304 undi, menewaskan Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (254 undi) dan Datuk Muhkriz Mahathir (232).

Rosnah yang juga Ahli Parlimen Papar memenangi jawatan Ketua Puteri dengan 245 undi, mengalahkan lima calon lain.

Kemenangan mereka membuktikan penerimaan ahli terhadap kepimpinan dan keyakinan terhadap kewibawaan mereka mengemudi perjuangan.

Di sebalik sokongan itu, sebenarnya tersimpan harapan tinggi perwakilan untuk melihat perubahan dan pembaharuan bagi menjadikan Umno terus kukuh dan unggul serta diterima rakyat seluruhnya.

Apapun analisa mengenai jumlah undi yang diterima atau faktor-faktor yang membawa kemenangan, kemenangan mereka adalah manifestasi kekuatan sebagai pemimpin terbaik pada pengamatan para perwakilan. Yang turut bertanding, tetapi tewas, juga sebenarnya dari kalangan pemimpin terbaik, cuma tidak mencukupi sokongan untuk diangkat dan dijulang sebagai ketua.

Kecuali sayap Wanita, jawatan Ketua Pemuda dan Puteri menjadi rebutan berikutan kedua-dua penyandangnya melepasi had kelayakan dan mengambil keputusan melepaskan jawatan.

Pemilihan ketua baru bagi ketiga-tiga sayap parti itu menunjukkan suntikan imunisasi politik yang diberikan perwakilan seiring dengan perubahan yang mahu digarap oleh pucuk kepimpinan parti.

Biarpun senario pemilihan ketua ketiga-tiga sayap parti itu mungkin berbeza, namun keputusan yang dibuat oleh perwakilan menunjukkan mereka mahukan sesuatu yang baru untuk membawa keyakinan baru kepada halatuju perjuangan parti.

Wednesday, March 25, 2009

NAJIB MENAHKODA ZAMAN, MELESTARIKAN UMNO







NYANYIAN lima lagu membuka tirai perhimpunan agung Umno malam tadi ketika Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, merasmikan serentak ketiga-tiga sayap parti – Pemuda, Wanita dan Puteri di Dewan Merdeka PWTC.

Perwakilan kelihatan begitu bersemangat ketika menyanyikan lagu-lagu itu, lambang keperkasaan jiwa mengharungi perjuangan di gelanggang politik tanah air.

Majlis perasmian tersebut menjadi detik bermulanya perhimpunan parti yang akan berlangsung sehingga hujung minggu ini.

Dalam ucapannya yang bertemakan “Menahkoda Zaman” itu, Datuk Seri Najib menitipkan peringatan dan pesanan cukup bermakna buat pemimpin dan ahli parti, termasuk di peringkat akar-umbi.

Lebih penting lagi, beliau mengemukakan beberapa cadangan dan pandangan yang menjurus ke arah memperkukuh dan memperkasakan lagi Umno, untuk dipertimbangkan perwakilan demi survival dan masa depan bangsa.

Datuk Seri Najib, yang bakal mengambil alih teraju kepimpinan Umno daripada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, turut meminta perwakilan yang berhimpun kali ini agar memberikannya satu saf kepimpinan yang padu untuk bersama-sama beliau mengharungi perjuangan.

Antara yang digariskannya termasuk barisan pemimpin mestilah setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi, agar ia menjadi sebuah armada yang cukup gagah menempuhi apa jua cabaran.

Justeru, peringatan dan nasihat serta harapan dan permintaan Datuk Seri Najib itu hendaklah dihayati oleh setiap pemimpin dan ahli Umno demi kelangsungan perjuangan parti.

Turut ditegaskannya ialah keberanian membuat perubahan dan menerima perubahan.

Bermakna, terpikul di bahu perwakilan Umno pada perhimpunan kali ini bagi menentukan masa depan dan halatuju Umno.

Pemimpin dan ahli Umno perlu mesra rakyat, mendekati rakyat dengan penuh dedikasi tanpa mengharapkan imbuhan.

Inilah juga antara lain mesej yang disuarakan oleh Datuk Seri Abdullah ketika menyampaikan amanat pada majlis Taklimat Presiden, petang Selasa di Dewan Merdeka PWTC.

Pak Lah antara lain mahukan agar barisan kepimpinan baru yang bakal dipilih pada perhimpunan ini, hendaklah terdiri daripada satu barisan kepimpinan yang disenangi rakyat.

Memandangkan perhimpunan kali ini adalah yang julung kali selepas pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac 2008, maka setiap perwakilan sewajarnya menoleh jejak-jejak yang telah ditinggalkan untuk membolehkan kita melangkah dengan penuh keyakinan.

Ini kerana banyak pengalaman menjadi pengajaran dalam pilihan raya umum lepas, antaranya kelemahan dalaman parti yang terbiar tanpa usaha memperbetulkan keadaan.

Kini adalah masa terbaik bagi ahli Umno, khususnya perwakilan untuk melestarikan parti supaya Umno kekal relevan sepanjang zaman.

Selamat Bersidang!

Sunday, March 22, 2009

ANJAKAN PARADIGMA PERKUKUHKAN UMNO



MINGGU ini, perhatian pemimpin dan ahli Umno terarah ke PWTC di mana berlangsungnya perhimpunan agung tahunan parti kita. Berbeza dengan sebelum ini, perhimpunan kali ini menjadi perhatian utama berikutan proses pemilihan pucuk kepimpinan yang diadakan.

Sebagai parti yang menjadi tunjang pemerintahan negara sejak berdekad lamanya, pemilihan pucuk kepimpinan Umno kali ini menjadi penentu kepada masa depan dan survival bangsa kita, iaitu Melayu dan Bumiputera keseluruhannya.

Yang jelas, perhimpunan kali ini menguji kematangan pemimpin dan ahli Umno dalam mendepani pelbagai cabaran politik. Saya katakan demikian kerana orang Melayu dan Bumiputera umumnya berada di persimpangan jalan.

Biarpun Umno sinonim sebagai sebuah parti untuk orang Melayu, tetapi perubahan masa dan peredaran zaman telah memperluaskan skopnya sebagai wadah perjuangan bangsa Bumiputera keseluruhannya, lantaran sayapnya telah berkembang ke seberang Laut China Selatan.

Justeru, apabila memperkatakan mengenai cabaran orang Melayu, ia sebenarnya juga menjurus kepada cabaran masyarakat Bumiputera keseluruhannya.

Saya melihat, dalam keadaan politik mutakhir tanah air, terdapat beberapa cabaran perlu ditangani bersama. Pertama, cabaran semasa orang Melayu ialah mengekalkan kuasa politik. Ini penting dijaga dan dicari penyelesaiannya kerana pada hari ini, kuasa politik Melayu adalah bagaikan telur di hujung tanduk.

Keadaan menjadi bertambah genting apabila kita melihat analisa serta data-data mengenai beberapa negeri di mana pengundi Melayu/Islam dari kalangan minoriti seperti Negeri Sembilan (50%), Selangor (49.7%), Perak (44.4%), Kuala Lumpur (32.4%) dan Pulau Pinang (33.6%) serta negeri-negeri lain di mana pengundi marginal Melayu/Islam seperti Melaka (54.3%) dan Johor (53.9%).

Ini bererti pengundi bukan Melayu menguasai banyak negeri berbanding orang Melayu. Ini adalah cabaran besar yang perlu dihadapi oleh orang Melayu umumnya dan UMNO khasnya dalam pilihan raya umum ke-13.

Sekarang ini pun bilangan kerusi Melayu di Parlimen adalah sedikit. Selepas Mac 2008, ini adalah kerusi yang dimiliki oleh orang Melayu:

UMNO menang 78 daripada 222 kerusi iaitu 35.3% sahaja. Kerusi Melayu seluruhnya di Parlimen adalah seperti berikut: UMNO 78, PAS 23, PKR 12 dan Sarawak 11—bererti 124 kerusi Melayu semuanya atau 55.8% sahaja.

Satu lagi cabaran semasa orang Melayu ialah kerana pola pengundian rakyat sama ada di kalangan pengundi muda, kelas menengah dan bukan Melayu berubah. Jika pola pengundian sebegini berterusan, iaitu rakyat mengundi berdasarkan intellectual voting dan bukan lagi tactical voting, maka kedudukan UMNO dan BN akan terancam dalam pilihan raya yang akan datang.

Berlakunya senario seperti ini adalah kerana satu sebab utama yang tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara iaitu KRISIS KEYAKINAN DAN KEPERCAYAAN RAKYAT KEPADA PEMIMPIN UMNO.

Persoalannya, mengapa ini berlaku? Inilah yang sama-sama perlu perhatian. Sejarah menunjukkan bahawa negara kita menghadapi pelbagai perubahan disebabkan oleh beberapa faktor yang melingkari persada politik tanah air. Misalnya, pada 1969, perubahan disebabkan oleh faktor sosioekonomi dan perkauman, manakala pada 1990 tercetus krisis kepimpinan Mahathir-Ku Li. Pada tahun 1999 pula, terjadi apa yang dilihat sebagai krisis kepimpinan Mahathir-Anwar dan pada tahun lepas (2008) berlaku krisis keyakinan dan kepercayaan rakyat kepada UMNO.

Cabaran seterusnya bagi orang Melayu adalah kerana pemimpin dan orang Melayu tidak lagi bersatu. Banyak isu yang berlaku kebelakangan ini yang mana untuk bersatu antara UMNO dengan PAS pun susah; pemimpin yang bertanding dalam partipun ada yang mengutuk sesama sendiri. Inilah cabaran besar yang perlu dilihat secara luas dan proaktif oleh kita semua.

Kita juga melihat cabaran orang Melayu adalah kerana UMNO yang menjadi tonggak politik Melayu tidak tidak berada di kemuncaknya. Ini berlaku kerana UMNO dah jadi macam trading house dengan isu politik wang dan sistem kuota. Oleh itu, parti UMNO perlu distruktur semula supaya UMNO boleh back on track.

Cabaran semasa yang lain termasuk mempertahankan ketuanan Melayu dan kontrak sosial.

Manakala cabaran ekonomi—kos hidup rakyat, pekerjaan dan kesejahteraan rakyat. UMNO perlu membuktikan bahawa ia mampu melawan kekuatan welfare state pembangkang dengan menajdi parti yang mendokong konsep welfare state yang lebih memberi mafaat kepada rakyat dan negara.

Pelbagai pendapat dilontarkan oleh pelbagai pihak menganai cara menangani cabaran ini. Secara peribadi, saya ingin berkongsi pendapat cara terbaik ke arah ini.

Pertama, kita perlu berusaha ke arah memantapkan kekuatan UMNO sebagai tonggak kekuatan Melayu. Antara yang perlu dilakukan ialah:

i. ubah sistem pemilihan dalam parti kerana sistem sekarang seperti tidak membuka peluang kepada pemimpin baru.

ii. Mantapkan strategi mendekati pengundi dengan cara jangan insult intelek pengundi, elakkan jadi pemimpin yang ada denial syndrome, pemimpin perlu bersedia to listen not to dictate, segarkan kempen dengan idea baru yang segar.

Selain itu, dasar parti UMNO perlu berubah. Misalnya, Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu diberi nafas baru dengan menjadikan ia sebagai dasar yang membela rakyat dan bukan dianggap untuk kroni.

Juga pendekatan pemimpin UMNO perlu berubah sesuai dengan tuntutan semasa. Contohnya, glorify perbezaan pendapat dan demokrasi dalam UMNO, elakkan sikap double standard dan wujudkan suasana feel good dalam parti. Lebih penting, kita mesti berusaha untuk memperkuatkan ekonomi orang Melayu.

Kesimpulannya, UMNO dan pemimpin Melayu perlu BERSATU DAN MEMAHAMI REALITI DAN KEPERLUAN POLITIK BARU. Anjakan paradigma dari segi pendekatan politik dan cara memperkasakan Melayu adalah perlu.

Monday, March 16, 2009

AHLI UMNO TINGGALKAN NEGERI, KINI BERKAMPUNG DI KUALA LUMPUR



DALAM tempoh beberapa hari akan datang, kota metropolitan Kuala Lumpur menjadi tumpuan ahli-ahli Umno dari seluruh negara.

Mereka berkampung di ibu negara menjelang berlangsungnya perhimpunan agung tahunan Umno Mac ini, yang bakal mencipta sejarah, sebagai detik peralihan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Selain ribuan perwakilan dari seluruh pelosok tanah air, ribuan lagi pemerhati menjejaki bangunan PWTC atas nama dan tiket perjuangan parti.

Inilah yang berlaku pada setiap kali perhimpunan parti di setiap tahun – ia dinantikan dengan penuh minat oleh setiap ahli Umno di mana mereka berlumba-lumba dan berusaha mencari peluang dan kesempatan untuk sama-sama hadir biarpun sekadar sebagai pemerhati.

Kesempatan mereka datang ke Kuala Lumpur turut dipergunakan untuk berkunjung ke pelbagai destinasi pelancongan menarik selain “menyerbu” pusat beli-belah sekitar Lembah Klang.

Tidak hairanlah jika dalam tempoh terdekat ini, kita sering terjumpa dengan ahli-ahli Umno berljalan-jalan di pusat beli-belah seperti The Mall, Sogo,sepanjang jalan Chow kit dan jalan Tuanku abdul Rahman.

Dan seperti lazimnya juga, selepas berakhirnya perhimpunan agung parti nanti, ramai juga ahli Umno akan ke Nilai, Negeri Sembilan, yang sememangnya terkenal sebagai tempat jualan borong pelbagai barangan yang menawarkan kadar harga yang cukup murah.

Bagi ahli Umno dari Sabah (satu-satunya negeri di seberang Laut China Selatan) yang mempunyai bahagian parti ini, perhimpunan tahunan parti telah menjadi seperti suatu pesta yang cukup meriah.

Selain perwakilan yang sememangnya dibiayai untuk hadir, ramai lagi pemerhati hadir menyertai rombongan bahagian masing-masing. Kewujudan syarikat penerbangan tambang murah AirAsia, memberi peluang kepada ramai orang untuk datang ke Kuala Lumpur. Mereka membuat tempahan awal, sama ada secara persendirian atau berkumpulan.

Sejak beberapa hari lalu, saya sendiri terserampak dengan ramai orang Sabah di Kuala Lumpur. Ada yang tinggal di hotel, manakala sebahagian pula menumpang dengan sanak-saudara atau pun anak-anak yang bekerja di ibu negara.

Ada yang saya temui itu kali pertama datang ke Kuala Lumpur. Ada juga yang saya temui pada setiap tahun perhimpunan parti diadakan.

Bagi pemerhati, perhimpunan ini menjadi ruang masa mereka “melancong” selain mengikuti proses dan perjalanan mesyuarat parti yang dianggotai bersama.

Tidak hairanlah, mereka menggunakan pelbagai cara dan kaedah untuk dapat bersama-sama hadir. Ada yang melobi pemimpin, ada yang mencari penaja sendiri. Tidak kurang juga yang datang dengan biaya sendiri.

Kesempatan untuk hadir bukan sekadar dapat mengikuti suasana dan kemeriahan perhimpunan itu sendiri, tetapi lebih penting dapat mengenali serta menjalin muafakat sesama ahli Umno dari tempat dan negeri lain.

Pertemuan ini bukan sekadar dapat mengeratkan muhibah dan integrasi antara kaum dan wilayah, tetapi lebih penting dapat membantu memperkukuhkan Umno yang menunjangi pemerintahan negara kita.

Ini kerana para pemerhati berkesempatan untuk berkongsi cerita dan pengalaman sesama pemerhati ketika berjalan-jalan di luar dewan persidangan.

Berdasarkan pengalaman-pengalaman sebelum ini, ada segelintir pemerhati menjadi golongan yang lebih “excited” menghadiri perhimpunan kerana mungkin dengan agenda tersendiri mereka.

Bagi saya, kehadiran dalam perhimpunan, terutama di kalangan pemerhati, adalah satu hal yang subjektif. Yang penting adalah komitmen perjuangan untuk survival parti.

Saya katakan demikian kerana perjuangan ke arah memperkukuhkan parti tidak ada noktah dan penghujung. Usaha mesti berterusan bagi menentukan Umno sentiasa dan terus relevan.
Justeru bagi perwakilan, mereka mempunyai tanggungjawab dan amanah cukup besar untuk ditunaikan pada perhimpunan kali ini.

Perwakilan bukan sekadar bertanggungjawab untuk mempertahankan parti dan memelihara kestabilan yang sudah terjalin, tetapi lebih penting bakal menentukan halatuju dan masa depan Umno menerusi proses pemilihan yang bakal dibuat pada kali ini.

Perwakilan perlu memilih barisan kepimpinan untuk mengemudi perjuangan parti, sekurang-kurangnya untuk tiga tahun ke hadapan.

Dengan persetujuan telah dicapai bagi proses peralihan jawatan Presiden daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, kini gelanggang terbuka bagi perebutan jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden dan Majlis Tertinggi selain daripada kepimpinan dalam sayap Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Selamat Bersidang!

Thursday, March 12, 2009

"KONSPIRASI POLITIK MELAYU" TAMBAH KHAZANAH BUKU POLITIK


PETANG Rabu lepas, saya diundang melancarkan buku "Konspirasi Politik Melayu" tulisan anak jati Sabah, Musli Oli di sebuah Restoran Rafflesia Chicken Hut di The Mall, Kuala Lumpur.


Kehadiran saya disambut ramai penulis politik dan blogger, antara mereka Syed Hussin Alatas atau lebih dikenali Pak Habib, Zabidi, Norza Kepol, Yassin Salleh,Sayuti,Yahya Ismail dan ramai lagi.


Ketika bersembang-sembang dengan rakan-rakan penulis itu, sebelum dan selepas acara pelancaran, perbualan kami terarah kepada cerita politik. Maklumlah, buku yang saya lancarkan itu juga buku politik.Tambahan lagi, suasana politik tanah air kini begitu hangat dengan pelbagai isu.


Saya katakan suasana politik hangat kerana tidak lama lagi Umno bakal mengadakan perhimpunan agung tahunan yang bakal menyaksikan proses peralihan kuasa, demikian juga di pihak parti pembangkang kini berhadapan dengan pelbagai kemelut. Dan tambah menarik lagi ialah pilihan raya kecil di Kedah, Perak dan Sarawak -- pastinya menghangatkan suasana politik tanah air.


Secara peribadi, saya rasa gembira dan bangga dengan kegigihan Musli Oli menyiapkan buku terbarunya itu. Kalau tidak silap saya, ia buku kelapan yang diterbitkannya.


Gembira kerana buku tersebut menambahkan lagi khazanah buku politik di negara kita. Bangga kerana Musli Oli adalah anak kelahiran Kota Belud, kawasan yang saya wakili sebagai Ketua Bahagian dan sebelum ini sebagai Ahli Parlimen.


Tidak ramai anak jati Kota Belud, dan Sabah barangkali secara umum, yang segigih Musli dalam menghasilkan sesuatu penulisan. Sementara kegigihannya itu menjadi kebanggaan, saya berharap ia juga menjadi sumber inspirasi dan pendorong kepada penulis muda untuk mengikut jejaknya.


Saya tambah gembira dan bangga kerana dengan kemunculan buku terbaru itu, Musli telah meletakkan namanya sebaris dengan nama-nama penulis politik tersohor tanah air.


Penerbitan buku politik setiap kali menjelang perhimpunan agung Umno adalah perkara biasa, dan telah menjadi satu trend. Ramai penulis menghasilkan buku, kebanyakannya untuk menonjolkan seseorang individu tertentu. Ini satu perkembangan yang harus dilihat secara positif.


Menerusi pembacaan buku-buku tersebut, orang ramai khususnya ahli Umno dan perwakilan yang menghadiri perhimpunan parti akan mendapat pandangan daripada pelbagai sudut. Tidak melihat seseorang dari satu sudut semata-mata.


Dengan membaca buku-buku sedemikian, kita tidak semestinya akur atau menyetujuinya. Setidak-tidaknya kita mendapat gambaran dari beberapa dimensi -- pro dan kontra -- dan itulah yang biasanya dijadikan sandaran apabila membuat pilihan nanti.


Yang penting, sesebuah buku itu ditulis dengan tulus dan ikhlas -- bukan atas perasaan dengi atau niat jahat bagi menjatuhkan seseorang. Seseorang penulis akan dinilai daripada hasil karyanya.

Friday, March 6, 2009

MENYELAMI TREND PERWAKILAN UMNO MEMBUAT PILIHAN

PENGHUJUNG bulan ini, Umno bakal melalui transformasi kepemimpinan. Peralihan pada peringkat tertinggi sudah disepakati dan direstui ahli-ahli akar-umbi di peringkat cawangan, bahagian dan negeri-negeri

Menerusi persepakatan itu, Presiden parti, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, sempena mesyuarat agung tahunan Umno kali ini.

Serentak dengan proses peralihan kuasa tertinggi itu, ahli-ahli Umno akan turut membuat pilihan barisan kepemimpinan baru, termasuk bagi jawatan Timbalan Presiden,Naib Presiden dan Majlis Tertinggi (MT) serta pada sayap Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Pemilihan kali ini dilihat begitu penting. Ia menjadi petunjuk masa depan dan penentu halatuju parti dalam menghadapi pelbagai cabaran politik mendatang.

Dalam suasana politik yang penuh dengan bermacam kemungkinan, lebih-lebih lagi ketidaktentuan suasana ekonomi global serta kontroversi dan kemelut yang dicipta oleh pihak-pihak tertentu, sudah pasti proses peralihan kali ini menguji kematangan para perwakilan.

Ada beberapa persoalan yang menarik untuk dianalisa menjelang berlangsungnya mesyuarat agung tahunan Umno pada penghujung bulan ini.

Antaranya ialah bagaimana sikap dan trend perwakilan dalam membuat pilihan mereka nanti?

Adakah mereka mengikut kehendak ahli di peringkat cawangan yang telah memilih mereka menjadi perwakilan ke peringkat bahagian? Atau berdasarkan pencalonan yang dibuat oleh bahagian masing-masing? Mengikut mandat perwakilan yang memilih mereka? Berdasarkan kedudukan dan jawatan seseorang dalam kerajaan atau pengalaman seseorang pemimpin? Mungkin juga mengikut kuota negeri atau menuruti kehendak kepimpinan?

Lebih penting lagi, apakah perwakilan akan membuat pilihan berdasarkan kepada pengaruh wang? Persoalan ini sengaja dilontarkan berikutan sudah ada macam-macam cerita dan cakap-cakap mengenai elemen sedemikian.

Bukan rahsia lagi kini calon-calon yang bertanding pelbagai jawatan dalam parti menjelajah ke seluruh negeri untuk bertemu perwakilan secara peribadi selain daripada pertemuan-pertemuan rasmi yang diaturkan untuk memperkenalkan calon-calon bertanding.

Perwakilan Umno kini memikul tugas dan amanah besar bagi memastikan Umno terus kukuh, relevan dan kekal berpengaruh di persada politik tanah air.

Pilihan barisan kepemimpinan yang bakal dibuat akan mencerminkan keunggulan Umno sebagai parti dominan yang menunjangi pemerintahan negara.
.
Apakah perwakilan mahukan barisan muka baru atau menggandingkan dengan pemimpin lama, segalanya hanya diketahui penghujung bulan ini.

Empat Rakyat Dalam Senarai Dermawan 2009 Forbeas

Tun Ahmadsah Abdullah, DSP Raya Erom, Tan Sri Jeffrey Cheah dan Tan Sri Lim Kok Wing

SINGAPURA, 5 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah, adalah antara empat rakyat Malaysia yang dinobatkan oleh Forbes Asia sebagai "Wira Dermawan 2009".

Mereka yang lain ialah Datin Seri Panglima Raya Erom, juga dari Sabah dan isteri bekas ketua menteri Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak; pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah; serta presiden dan pengasas Lim Kok Wing University of Creative Technology, Tan Sri Lim Kok Wing.

Forbes Asia hari ini mengedarkan terbitan tahunan "Heroes of Philanthropy" ketiganya dan terbitan kedua yang menyenaraikan 48 penderma terkemuka -- empat daripada setiap 12 negara terpilih -- yang memberikan sumbangan yang besar dan ada kalanya inovatif, bagi tujuan amal di Asia dan di negara-negara lain.

Dalam satu siaran media di sini, Forbes Asia berkata yang terpilih bukanlah semestinya mereka yang menghulurkan derma terbesar, sebaliknya pilihan itu bertujuan menonjolkan orang yang bermurah hati dari golongan yang berbeza-beza , sebahagiannya yang terpilih tahun lepas, tetapi kebanyakannya nama baru yang patut diberikan pengiktirafan.

Ia berkata krisis kewangan global menjejaskan kekayaan di seluruh Asia, tetapi tahun lepas masih merupakan tahun yang baik bagi sumbangan amal kerana hartawan dan penderma-penderma cuba meneruskan komitmen amal mereka dan antara penerima manfaat itu ialah mangsa gempa bumi Sichuan dan angin puting beliung Myanmar.

Dalam kata-kata penghargaannya, majalah itu berkata Ahmadshah, 62, pemilik harta berskala kecil, mengasaskan Yayasan Tun Ahmadshah pada 2004 untuk membantu mereka yang memerlukan dan menderma kira-kira AS$13,000 setahun.

Ia mengeluarkan biasiswa dan membiayai program pendidikan bagi pelajar-pelajar yang kurang bernasib baik, membayar kos perubatan dan kelengkapan penjagaan kesihatan, serta membantu ibu tunggal, anak-anak yatim dan mangsa tragedi.

Raya Erom, 46, mewarisi sebahagian besar kekayaannya daripada bapa mertuanya, Tun Mohd Said Keruak, yang juga bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, dan melabur dalam sektor pembangunan harta, perkayuan dan pelancongan.

Menurut Forbes Asia, beliau yang bercita-cita membantu seramai orang yang mungkin sejak di bangku sekolah lagi itu menjalankan kerja amal dalam pembangunan kanak-kanak, pendidikan, kesihatan, kesenian, muzik perlindungan alam sekitar dan kesukanan.

Raya Erom kemudian menubuhkan Yayasan Kebajikan Suria pada 1996, dan yayasan itu telah membantu lebih 1,000 kanak-kanak di seluruh Sabah.

Tahun lepas beliau menderma sejumlah AS$37,000 dan bentuk wang dan barangan, dan tahun ini yayasan itu akan menubuhkan bahagian kaunseling wanita bagi menangani cabaran kerjaya, kemurungan, kemandulan dan penderaan.

Majalah itu berkata Cheah, 63, memulakan Tabung Amanah Pendidikan Sunway pada 1997, yang telah mengeluarkan biasiswa kolej bernilai AS$12 juta sejak penubuhannya.

Beliau menderma AS$3 juta tahun lepas, kebanyakannya bagi pembinaan dan kerja baik pulih sekolah rendah dan menengah, dan kini merancang untuk menjadikan dana amanah itu sebagai Yayasan Tan Sri Jeffrey, menjelang pertengahan tahun ini, dengan mengambil contoh Yayasan Harvard.

Tentang Lim, 62, Forbes Asia berkata beliau telah menyumbang dan menganjurkan kempen mengumpul dana bagi segalanya, dari usaha membanteras AIDS hinggalah menentang dasar apartheid.

Misi beliau ialah "merintis jalan bagi pembelajaran individu yang memerlukan untuk mengembangkan bakat dan kemahiran mereka sepenuhnya agar mereka boleh menyumbangkan kepada pembinaan negara," kata Forbes.

Tahun lepas, Lim menyumbang sejumlah AS$22,000 kepada perjuangan rakyat Palestin melalui kempen mengumpul dana "Plight of Palestinians: From Grim to Bleak", kata majalah itu.

Monday, March 2, 2009

BAJET MINI BUKTI KOMITMEN KERAJAAN BELA RAKYAT HADAPI KEGAWATAN

TARIKH 10 Mac kini ditunggu-tunggu penuh minat oleh semua orang. Pemimpin politik – sama ada kerajaan mahupun pembangkang, tokoh korporat dan peniaga kecil, pekerja sektor awam dan swasta, serta rakyat biasa di jalanan, menantikan ketibaan tarikh tersebut dengan penuh debaran serta pengharapan. Ini kerana pada tarikh tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan, akan membentangkan pakej rangsangan kedua atau bajet mini, bertujuan mengukuhkan ekonomi negara yang kini menghadapi tempias dari kegawatan ekonomi global.

Semua orang menantikannya dengan penuh debaran kerana ia diharapkan membawa sinar serta harapan baru, dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang semakin dirasakan kesannya kini. Pelbagai spekulasi dan bayangan diberikan mengenai intipati bajet mini tersebut, termasuk apa yang dikatakan sebagai berita kejutan buat rakyat. Inilah yang menjadikan rakyat tidak sabar-sabar menantikan kedatangan tarikh berkenaan.

Kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, menyatakan bahawa jumlah peruntukan dalam bajet mini yang akan diumumkan nanti adalah lebih besar daripada pakej rangsangan sebelum ini.

“Saya tidak boleh menyatakan jumlah pakej tersebut. Tetapi ia lebih besar daripada pakej yang diumumkan pada November lalu. Jadi anda semua perlu tunggu kerana ia akan diumumkan pada 10 Mac ini,’’ kata Perdana Menteri pada sidang akhbar bersama wartawan antarabangsa selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-14 di Hua Hin, Thailand, baru-baru ini.

Yang pasti, pembentangan bajet mini ini merupakan bukti komitmen serta kesungguhan kerajaan untuk membela nasib rakyat dalam mengharungi kegawatan ekonomi yang melanda seluruh pelosok dunia.

Negara kita tidak terkecuali daripada kesan dan tempias kegawatan itu lantaran sistem ekonomi dan perdagangan terbuka yang diamalkan. Justeru, mahu tidak mahu, kita perlu mengambil sesuatu langkah bagi mengimbangi kesan kegawatan. Dan bajet mini ini merupakan satu daripada pendekatan kerajaan menentukan rakyat tidak terus terbeban.

Khabarnya pakej rangsangan ini merangkumi semua sektor ekonomi dan pelbagai industri serta seluruh segmen masyarakat, baik di bandar mahu pun desa.

Pandangan pakar-pakar ekonomi merumuskan bahawa bajet mini itu bakal mengukuhkan ekonomi negara dan menjadikannya berdaya tahan. Mereka optimis bahawa inisiatif baru Kerajaan Pusat itu memberikan impak besar terhadap pasaran domestik, sekali gus berupaya membawa negara mengharungi pelbagai isu yang melanda pada masa ini.

Ini kerana teras pelaksanaan pakej rangsangan kali ini dikatakan turut mengambil masalah ekonomi bagi tempoh sederhana dan jangka panjang.

Natijahnya, pembentangan bajet mini ini adalah kesinambungan daripada pakej pertama bernilai RM7 bilion yang dibentangkan sebelum ini. Ia merupakan usaha berterusan kerajaan memastikan negara terus berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran.

Pakej rangsangan pertama dahulu merupakan hasil cadangan Jawatankuasa Majlis Ekonomi Negara. Majlis Ekonomi Negara ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos tahun lalu dengan dipengerusi oleh Perdana Menteri, bagi menggantikan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Majlis Ekonomi Negara antara lain berfungsi sebagai badan penasihat, mengadakan perbincangan setiap bulan, manakala Jawatankuasa Eksekutifnya berbincang setiap minggu untuk membincangkan isu ekonomi semasa, cadangan dasar dan juga tindakan.

Berdasarkan reaksi umum sehingga kini, rata-rata rakyat mengharapkan khabar gembira daripada pakej rangsangan kedua ini. Sudah banyak “clue” dan “hint” diberikan oleh pemimpin tertinggi kerajaan mengenai intipati bajet mini tersebut, namun semuanya masih bersifat spekulasi dan hanya akan bertukar menjadi realiti pada 10 Mac ini.