Translate

Thursday, April 30, 2009

SALLEH HADIR MAJLIS KESYUKURAN KEMENANGAN BATANG AI


KUCHING: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak menghadiri majlis kesyukuran dan meraikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil DUN Batang Ai, di Kelab Sarawak di sini kelmarin.

Majlis tersebut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tetamu kehormat.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam; Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Sri Dr James Jemut Masing dan Adun baru kawasan Batang Ai, Malcolm Mussen Lamoh.

Dalam pilihan raya kecil awal bulan ini, Malcolm menewaskan bekas Anggota Parlimen Lubok Antu, Jawah Gerang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 1,854 undi.

Saturday, April 25, 2009

SALLEH IKRAR KEKALKAN SABAH SEBAGAI "FIXED DEPOSIT" BAGI BN



KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata beliau menghargai dan berterima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantiknya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah yang baru.

Katanya, pelantikan itu merupakan satu amanah yang perlu ditunaikannya, terutama dalam membantu memperkukuhkan Umno di negeri ini yang disifatkan oleh Najib sebagai "simpanan tetap" (fixed deposit) bagi Barisan Nasional (BN).

"Saya berjanji untuk memberikan kerjasama penuh kepada Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah sekarang, Datuk Seri Musa Aman.

"Sabah merupakan kubu kuat Umno dan BN...keadaan ini perlu dipertahankan," katanya yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud ketika diminta mengulas mengenai pelantikannya itu.

Senarai barisan kepimpinan Umno dan pengerusi-pengerusi perhubungan Umno diumumkan oleh Najib yang turut menyaksikan Musa kekal sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, manakala bekas timbalannya,Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dilantik sebagai Pengerusi baru Badan Perhubungan Umno Kedah.

Thursday, April 23, 2009

MENGHARGAI SOKONGAN PENGUNDI BATANG AI KEPADA "PERINTAH"





SEMALAM saya menerima jemputan melalui SMS daripada Datuk Seri Dr James Masing untuk hadir ke majlis kesyukuran pada 29 April ini, bagi meraikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai, awal bulan ini.

Dr James adalah rakan lama saya dan beliau ialah Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) yang mana calon partinya yang bertanding di Batang Ai mencapai kemenangan dengan majoriti besar.

Saya terima jemputan tersebut dan akan hadir pada majlis berkenaan kerana kemenangan itu membawa makna serta pengertian besar bukan saja bagi negeri Sarawak dan penduduk Batang Ai sendiri, tetapi juga kepada BN dan negara keseluruhannya.

Saya katakan demikian berdasarkan pengamatan sepanjang kempen lepas di mana saya turut serta dalam beberapa siri perjumpaan dan ceramah, yang menyaksikan sentimen penduduk Sarawak tetap memilih agenda politik pembangunan dan mengetepikan politik perkauman.

Jelas dalam suasana politik di Semenanjung yang masih hangat hingga kini, keadaan di Sarawak begitu berbeza dan amat stabil sungguhpun pakatan pembangkang berhabis-habisan mahu menjatuhkan kerajaan BN Sarawak.

Dalam pilihan raya kecil lepas, BN mengekalkan kerusi DUN Batang Ai dengan majoriti besar 1,854 undi, sekali gus menggambarkan masyarakat Iban di pedalaman begitu kuat menyokong kerajaan dan menolak pembangkang.

Calon BN, Malcom Mussen Lamoh memperoleh 3,907 undi, mengalahkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang (2,053 undi).

Ketika pengumuman kemenangan Malcom itu, Dr. James Masing bersama-sama Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abang Johari Tun Openg dan Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan, berada di pusat pengiraan undi bagi meraikan kemenangan cemerlang BN itu.

Kerusi DUN Batang Ai kosong selepas penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot (BN) meninggal dunia pada 24 Februari setelah koma sembilan bulan akibat diserang angin ahmar.

Bagi saya, kemenangan BN di Batang Ai membawa beberapa mesej penting.

Pertama, ia memperkukuhkan realiti bahawa Sarawak dan Sabah, dua negeri di seberang Laut China Selatan, tetap menjadi kubu kuat BN sejak dulu hingga kini, sebagaimana dibuktikan ketika pilihan raya umum tahun lepas.

Kedua, kemenangan BN di Batang Ai adalah petanda jelas bahawa politik pembangunan yang menjadi teras perjuangan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Pehin Seri Abdul Taib Mahmud, diterima oleh majoriti rakyat Sarawak.

Dalam siri perjumpaannya, Tan Sri Pehin Seri Abdul Taib sentiasa mengajak rakyat bersatu padu tanpa mengira kaum dan beliau mempamerkan kepimpinan yang jelas matlamatnya.

Saya kenal Tan Sri Pehin Seri Abdul Taib secara peribadi. Semasa saya menjadi Ketua Menteri Sabah dahulu, beliau banyak memberi `tips' politik kepada saya dan ia menjadi ilmu yang amat saya hargai.

Beliau nampak lembut, tapi tegas dan berbudi pekerti. Beliau memberi erti perjuangan kepada orang Sarawak dan menekankan kepentingan negeri dalam konteks negara Malaysia. Sistem residen masih dikekalkan dan amat berkesan sekali dalam usaha melaksanakan pembangunan di Sarawak yang kawasannya amat luas.

Tidak syak lagi, Tan Sri Pehin Seri Abdul Taib telah berjaya membawa transformasi pembangunan untuk negeri Sarawak dengan sumber ekonominya kini telah dipelbagaikan dan tidak lagi bergantung kepada sumber hutan semata-mata.

Secara umum, saya melihat rakyat Sarawak rata-rata menyokong Perintah (istilah yang mereka gunakan) iaitu BN biarpun pelbagai usaha cuba dilakukan oleh pembangkang untuk menidakkan sokongan itu. Dan majlis kesyukuran yang akan diadakan pada 29 April ini adalah sebagai penghargaan ke atas pengundi Batang Ai yang terus memberi sokongan padu kepada "Perintah".

Tuesday, April 21, 2009

PENANTIAN DI PENANTI: TANDING ATAU TIDAK?




KEKOSONGAN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti di Pulau Pinang kini telah menjadi bahan perbahasan hangat dan polemik di kalangan pemimpin dan parti-parti politik sejak kebelakangan ini.

Perdebatannya bukan sekadar punca kepada kisah yang membawa kekosongan kerusi tersebut, tetapi juga berkisar kepada sama ada Barisan Nasional (BN) perlu bertanding atau sebaliknya dalam pilihan raya kecil itu kelak.

Ini berikutan pandangan yang dilontarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada Jumaat lepas, yang membayangkan kemungkinan BN tidak bertanding.

"Terlalu banyak masa, tenaga, wang ringgit dibelanjakan untuk pilihan raya kecil yang tidak perlu sebenarnya," demikian kata Perdana Menteri, sambil menyatakan bahawa rakyat pada dasarnya tidak suka kepada pilihan raya kecil yang sengaja diadakan.

Soal pembaziran wang juga menjadi pertimbangan. Laporan media menyebut bahawa sejak pilihan raya umum Mac 2008, negara telah menyaksikan lima pilihan raya kecil membabitkan perbelanjaan lebih RM30 juta oleh Suruhanjaya Pilihan Raya dan polis untuk mengendali dan memastikan kelancaran pilihan raya kecil.

Dalam pada itu, Najib menjelaskan juga bahawa sebarang keputusan mengenai perkara itu akan dibincang bersama parti-parti komponen BN yang lain, yang perlu sepakat untuk menyetujuinya.

Kerusi DUN Penanti kosong selepas penyandangnya yang juga Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, Mohammad Fairus Khairuddin, 32, meletakkan jawatan minggu lalu, atas.alasan ingin memberi tumpuan penuh terhadap usahanya melanjutkan pelajaran ke pascasiswazah dan sekali gus memberikan masa kepadanya untuk bersama dengan keluarga yang selama ini terpaksa berkorban dalam memenuhi tugasannya.

SPR dijangka bermesyuarat Rabu ini untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil Penanti.

Penanti adalah salah satu kerusi DUN dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang disandang oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu, Mohammad Fairus Khairuddin memperoleh 7,346 undi dengan majoriti 2,219, menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Kenyataan yang dilontarkan oleh Datuk Seri Najib itu, yang disokong dengan asas-asas yang kuat, turut mendapat sokongan pelbagai pihak, tetapi ada juga yang berpendapat sebaliknya dengan alasan mereka yang tersendiri.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, misalnya memberikan pandangan berbeza, juga dengan asas-asas yang rasional, sekali gus menimbulkan pandangan pro dan kontra.

Terbaru, beliau menyatakan bahawa sebarang keputusan BN, sama ada untuk bertanding pada pilihan raya kecil Penanti, tidak harus berdasarkan kepada kepada peluang untuk menang sahaja.

"Ia bukan soalan untuk menang atau kalah, kita underdog di sana tetapi kita jangan pinggirkan penyokong-penyokong kita sendiri," demikian pendapat Dr Mahathir.

Sebelum ini, Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata jika cadangan BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu menjadi kenyataan, ia akan membantu meredakan suasana politik, manakala Timbalan Presiden Gerakan, Chang Ko Youn, berkata parti itu bersetuju jika BN tidak bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu, berpendapat BN hendaklah bertanding di Penanti.

Perbahasan mengenai sama ada BN bertanding atau sebaliknya menghangatkan lagi penantian di Pananti.

Apapun, Datuk Seri Najib semestinya telah memikirkan semasak-masaknya sebelum mengemukakan syor itu, dengan mengambil kira keadaan persekitaran politik tanah air.

Sebagai ahli parti, kita sememangnya berhak memberikan pandangan mengenainya, malah kebebasan untuk melontarkan idea tanpa sekatan merupakan manifestasi sikap keterbukaan Datuk Seri Najib mendepani cabaran politik.

Yang penting pada akhirnya nanti, apabila parti memuktamadkan keputusan berhubung sesuatu perkara, setiap ahli parti perlu menerimanya dan sama-sama mempertahankan keputusan tersebut.

Bagi rakyat dan pemimpin Umno di Penanti, mereka menyerahkan kepada MT Umno dan BN untuk membuat keputusan sama ada bertanding atau sebaliknya.

Bekas calon BN di Penanti, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid, berkata perkara itu terserah kepada pimpinan tertinggi memutuskannya, tetapi menegaskan: "Kami di Bahagian Permatang Pauh sudah bersedia untuk pilihan raya kecil ini jika parti bertanding."

Wednesday, April 15, 2009

IKTIBAR DI SEBALIK PERGOLAKAN POLITIK THAILAND



BULETIN Utama TV3 malam tadi menyiarkan interviu bersama Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Husni Zai Yaakob, yang antara lain menasihatkan rakyat negara ini menangguhkan sementara hasrat berkunjung ke negara itu.


Nasihat diberi berikutan pergolakan politik negara berkenaan yang menyaksikan penunjuk perasaan antikerajaan yang berbaju merah terus memberikan tekanan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Abhisit Vijjajiva.


Sejak beberapa hari lalu, mereka mengadakan protes di hampir pelosok bandar raya Bangkok biarpun pihak berkuasa telah mengisytiharkan perintah darurat sebagai usaha menangani krisis yang semakin meruncing itu.


Kumpulan penunjuk perasaan berbaju merah pro bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra itu, sebelum ini telah berhimpun di Pattaya dan menyerbu tempat mesyuarat pemimpin-pemimpin Asean sehingga memaksa Sidang Kemuncak Asean ke-14 dibatalkan.


Melihat keadaan mutakhir ini, nampaknya belum ada jalan keluar yang memungkinkan kemelut politik Thailand akan berakhir dalam tempoh terdekat ini.


Nasib Abhisit kini semakin genting berikutan keengganan penunjuk perasaan untuk berunding, sebaliknya terus mendesak beliau meletakkan jawatan serta mengadakan pilihan raya baru.


Jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil Abhisit dan kerajaan pimpinannya akan menerima nasib serupa seperti Perdana Menteri Samak Sundaravej dan Somchai Wongsawat yang tumbang akibat tekanan daripada penunjuk perasaan.


Jika Samak dan Somchai, kedua-duanya memimpin kerajaan yang dipilih rakyat dan pro-Thaksin tumbang di tangan penunjuk perasaan berbaju kuning, tidak mustahil Abhisit bakal tumbang di tangan penunjuk perasaan berbaju merah.


Penunjuk perasaan mendakwa pembatalan mesyuarat Asean merupakan kejayaan awal mereka untuk menumbangkan kerajaan. Insiden itu benar-benar memalukan Thailand, terutama kerajaan Abhisit yang baru berusia empat bulan.


Berikutan pembatalan sidang berkenaan, Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, terpaksa memendekkan lawatannya dan pulang lebih awal bersama-sama pemimpin dan ketua kerajaan Asean yang lain.


Seperti orang lain, saya juga tertarik untuk mengikuti perkembangan yang berlaku di Thailand itu kerana banyak pengajaran dan iktibar boleh dipelajari di sebaliknya. Rentetan peristiwa yang berlaku membawa mesej tersendiri.


Jika diimbas sejarah politik Thailand, apa yang dihadapi Abhisit kini hampir ada persamaan dengan nasib menimpa Thaksin yang menghadapi tekanan penunjuk perasaan berbaju kuning dan akhirnya digulingkan sewaktu menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.


Kekacauan yang berlaku di kota Bangkok pastinya menjejaskan kegiatan ekonomi negara itu. Dengan asyik berdemonstrasi, banyak sektor seperti perniagaan, pelancongan dan pengangkutan terjejas. Pelabur dan pelancong menjauhkan diri. Dan ini sesuatu yang akhirnya merugikan kerajaan dan rakyat.

Justeru, budaya sedemikian tidak harus ditiru kerana banyak cara dan kaedah boleh digunakan untuk menyelesaikan sesuatu sengketa. Masalah politik misalnya perlu diselesaikan mengikut ruang-ruang politik yang sedia ada, bukan dengan berdemonstrasi.

Rakyat mempunyai saluran yang boleh digunakan, iaitu kuasa undi menerusi proses pilihan raya yang termaktub dalam sistem demokrasi.
Yang penting, soal keselamatan negara tidak boleh digadai, manakala kepentingan rakyat harus sentiasa didahulukan walau dalam apa keadaan sekali pun.


Politik tidak bermakna jika rakyat dalam keadaan rasa cemas dan tidak selamat.

Mungkin wajar untuk direnungkan semula kenyataan pertama Datuk Seri Mohd Najib selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ketika mengumumkan pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan serentak itu juga menyatakan bahawa kajian semula terhadap Akta ISA akan dijalankan.


Perdana Menteri antara lain berkata: "Saya sedar sudah tepat masanya kita mengambil langkah-langkah demikian untuk mengukuhkan lagi keyakinan rakyat terhadap pihak yang berwajib atas soal keselamatan negara serta mengembalikan keutamaan kita untuk menangani ancaman-ancaman yang dianggap merbahaya dan munasabah."


Di penghujung amanatnya itu, Datuk Seri Mohd Najib menyebut: "Dengan ini, saya mengajak seluruh warga untuk sama-sama melaksanakan satu transformasi besar buat Negara dengan semangat: Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan."


Sama-sama kita renungkan!

Thursday, April 9, 2009

PASUKAN BARU KABINET AMPUH, MAMPU MEMBAWA PERUBAHAN





SEPERTI orang lain, saya juga menunggu untuk menonton siaran langsung menerusi televisyen pengumuman Kabinet baru oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak petang kelmarin (Khamis).

Pengumuman tepat jam 3 petang itu dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia yang ingin melihat sebuah saf kepimpinan baru yang diharapkani mampu membawa perubahan dan anjakan paradigma.

Ternyata, YAB Datuk Seri Najib menterjemahkan apa yang dibayangkannya dan dihasratkannya ketika dinobatkan sebagai Presiden Umno baru-baru ini, yang kemudian diulangi lagi selepas dilantik secara rasmi sebagai Perdana Menteri keenam pada 3 April lepas.

Beliau membariskan saf kepimpinan yang mengandingkan muka lama dan baru bagi memacu pembangunan negara selaras slogan pentadbirannya iaitu "Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan".

Berdiri di sisinya Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, YAB Datuk Seri Najib mengumumkan pasukan baru dalam barisan Kabinetnya dengan tenang dan penuh keyakinan, sambil sesekali tersenyum.

Secara keseluruhannya, Perdana Menteri yang mengecilkan saiz Kabinetnya kepada 28 menteri dengan 25 kementerian, telah menampilkan tujuh muka baru dan menggugurkan lapan anggota jemaah menteri yang lepas.




YAB Datuk Seri Najib sendiri mengekalkan portfolio Menteri Kewangan yang disandangnya sejak 19 Sept 2008, ekoran pertukaran portfolio pertahanan dengan Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi.




"Inilah saf dan inilah pasukan kita yang diharapkan menjadi cerminan kekuatan serta wajah kemajmukan Malaysia melalui Barisan Nasional yang mewakili semua rakyat dari setiap penjuru dan pelusuk Malaysia," demikian antara ungkapan Perdana Menteri ketika mengumumkan barisan Kabinet baru itu di Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya.

Secara umumnya, saya melihat pasukan baru Kabinet ini sebagai memenuhi harapan dan kehendak majoriti rakyat.

Ia bukan sekadar mewakili kepentingan dan keperluan rakyat pelbagai peringkat, tetapi turut mengambil kira perwakilan daripada negeri-negeri yang mempunyai peranan besar serta memberi sumbangan bermakna kepada kekuatan dan kestabillan politik.

Sesuatu yang jelas, dalam konteks negeri Sabah, barisan Kabinet baru ini adalah cermin penghargaan pimpinan Kerajaan Pusat terhadap sumbangan dan peranan negeri Sabah.

Ini terbukti menerusi pelantikan pemimpin-pemimpin dari Sabah ke jawatan penting lagi strategik.

Pelantikan empat pemimpin Sabah sebagai menteri dan tiga sebagai timbalan menteri menunjukkan satu penghargaan untuk rakyat dan negeri Sabah.

Empat pemimpin Sabah yang dilantik sebagai menteri penuh dalam penyusunan semula Kabinet baru Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ialah Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Anifah Aman sebagai Menteri Luar; Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernad Dompok; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal; dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Maximus Ongkili.

Sementara tiga lagi dilantik sebagai Timbalan Menteri ialah Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin sebagai Timbalan Menteri Kesihatan; Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abdul Rahim Bakri (Timbalan Menteri Pengangkutan) dan Presiden LDP, Datuk V K Liew (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri).

Hakikatnya, pelantikan pemimpin Sabah ke jawatan penting sedemikian bukan saja sebagai satu tanggungjawab dan amanah besar, tetapi sebenarnya suatu penghargaan dan penghormatan paling bermakna.

Misalnya, jawatan Menteri Luar yang disandang YB Datuk Anifah, ia merupakan suatu jawatan sangat penting.

Inilah juga kali pertama pemimpin Sabah diberi penghargaan dan penghormatan menjawat jawatan yang terkanan itu. Justeru, menyandang jawatan berkenaan pastinya mengetengahkan peranan serta kewibawaan pemimpin Sabah di peringkat global dan antarabangsa.

Bagi pemimpin dari negeri Sabah, portfolio yang diberikan kepada mereka cukup membawa makna yang signifikan.

Misalnya, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi merupakan kementerian penting dalam menjana pembangunan ekonomi rakyat.

Sementara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah pula sangat besar peranannya dalam memacu pembangunan kawasan di luar-luar bandar, termasuk agenda ke arah membasmi kemiskinan tegar.

Demikian juga Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, ia merupakan sebuah kementerian strategik dalam usaha kita membawa kemajuan ICT kepada masyarakat di luar bandar, khususnya di Sabah dan juga Sarawak.

Bagi penyandang jawatan Timbalan-timbalan menteri juga dilihat cukup bersesuaian dan relevan dengan keadaan negeri ini.

Umpamanya, jawatan Timbalan Menteri Kesihatan juga bertepatan memandangkan keadaan serta kemudahan asas kesihatan di negeri Sabah masih memerlukan perhatian, demikian juga Kementerian Pengangkutan di mana banyak perkara perlu dilakukan untuk memajukan sistem pengangkutan di negeri ini.

Sementara jawatan sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri akan membolehkan pemimpin Sabah menyuarakan pelbagai masalah dan keperluan secara terus kepada pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan.

Kesimpulannya, pasukan baru dalam barisan Kabinet YAB Datuk Seri Najib ini merupakan gandingan ampuh yang diharap mampu membawa perubahan sebagaimana dijanjikan.

Tuesday, April 7, 2009

SABAH, SARAWAK KEKAL KUBU BN




SAYA amat gembira bila pengundi Batang Ai memberikan sokongan mutlak dengan majoriti lebih besar lagi kepada Barisan Nasional (BN).

Sebenarnya saya sudah dapat membaca pendirian orang Batang Ai yang mahukan kesinambungan agenda pembangunan BN serta menolak politik sempit dan sentimen yang dibawakan pembangkang. Saya perhatikan mereka mahu memberi sokongan kepada "Perintah"(istilah yang mereka gunakan)

Malahan sejak hari penamaan calon pun, ketika saya menyertai beberapa pemimpin BN mengarak calon, Malcolm Mussen Lamoh, sudah kelihatan jelas sokongan daripada masyarakat setempat biarpun pada waktu itu dikatakan pihak pembangkang bakal memberikan saingan sengit.

Sepanjang mengikuti siri kempen yang diketuai oleh Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, saya mendapati rata-rata pengundi Batang Ai menyatakan sepenuh keyakinan bahawa hanya BN berkemampuan membawa perubahan, kemajuan dan kemakmuran untuk mereka.

Nyata benar, pengundi Batang Ai menterjemahkan keyakinan itu menerusi sokongan padu kepada calon BN ketika mereka keluar mengundi kelmarin (Selasa) dengan peningkatan majoriti kepada 1,854 undi.

Malcom mendapat 3,907 undi, menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang yang memperolehi 2,053 undi. Sebagai rekod, Jawah Gerang pernah berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Parlimen Lubok Antu di mana kawsan itu merangkumi DUN Batang Ai.

Pilihan raya kecil Batang Ai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot, yang juga Menteri Muda Pertanian dan Sukan pada 24 Februari akibat serangan angin ahmar.

Tahniah dan syabas kepada Ketua Menteri Sarawak, YAB Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta pemimpin BN negeri yang "turun padang" untuk memastikan BN mengekalkan kerusi berkenaan dengan mengetengahkan apa yang disebut sebagai politik pembangunan.

Ucapan sama juga ditujukan khas buat YB Datuk Shafie yang mengetuai jentera kempen, terbang bersama beberapa pemimpin Umno dan BN, dari Kuala Lumpur,sehari selepas berakhirnya perhimpunan agung Umno.

Kerja keras YB Datuk Shafie bersama pemimpin lain berkempen, dengan menaiki bot dan menggunakan pacuan empat roda, keluar masuk kampung serta turun naik Rumah Panjang, nampaknya membawa hasil yang pastinya mengembirakan.

Sebagai seorang daripada pemimpin kanan Umno yang baru dipilih perwakilan dan seorang menteri Pusat yang berpengalaman, beliau telah berjaya membuktikan keupayaan dan kemampuannya mengetuai jentera kempen pilihan raya.

Kejayaan itu antara lain pastinya disebabkan sikap dan personalitinya yang berjiwa rakyat selain memahami keadaan geografi serta citarasa masyarakat Bumiputera di Sarawak yang berjiran dengan negeri asalnya, Sabah.

Lebih penting, di sebalik kemenangan bergaya BN di Batang Ai ini, ia sebenarnya gambaran jelas, realiti dan manifestasi bahawa kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak ini adalah kubu kuat BN sejak dulu hingga kini.

Ketika negeri-negeri lain di Semenanjung berdepan cabaran getir ketika pilihan raya umum tahun lepas, Sabah dan Sarawak menjadi pelengkap kemenangan mudah bagi membolehkan BN membentuk kerajaan.

Biarpun tidak mencukupi majoriti dua pertiga, namun kemenangan mutlak BN di kedua-dua negeri ini telah menjadi "penyelamat" yang cukup bermakna.

Dalam pilihan raya serentak di tiga kawasan -- dua di Semenanjung iaitu Bukit Selambau dan Bukit Gantang dan satu di Sarawak, iaitu Batang Ai -- ternyata negeri di seberang Laut China Selatan ini sekali lagi menjadi "penyelamat" maruah BN daripada kecundang di kesemua kawasan.

Mengambil kira realiti ini, rakyat di Sabah dan Sarawak pastinya mengharapkan "reward" daripada pimpinan baru Kerajaan Pusat yang diterajui Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Bagi mereka, inilah masa terbaik bagi Kuala Lumpur membuktikan keikhlasan memberi penghargaan kepada Sabah dan Sarawak menerusi memberi perhatian yang lebih dari dahulu.

Saturday, April 4, 2009

PENDUDUK BATANG AI MEYAKINI KEMAMPUAN BN MEMBAWA PERUBAHAN









PAGI ini (Sabtu, 4 April) saya telah menyertai rombongan YB Dato Seri Shafie Apdal, Naib Presiden UMNO berkempen di Batang Ai, membantu calon Barisan Nasional (BN), Malcolm Mussen Lamoh.

Turut sama dalam rombongan kami Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis, YB Dato Rahim Ismail dan Adun Kudat merangkap Setiausaha Agung Parti Liberal Demokratik (LDP), YB Teo Chee Kang.

Kami berkunjung ke Nanga Jela, sebuah Rumah Panjang yang didiami oleh masyarakat Iban/Dayak.

Kami disambut dengan penuh tradisi dan penduduk tempatan amat mesra sekali.

Berdasarkan reaksi dan sambutan masyarakat tempatan, nyata sokongan mereka kepada Barisan Nasional begitu jelas kerana mereka dapat merasai pembangunan yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan.

Calon yang ditampilkan oleh BN juga nyata disenangi oleh masyarakat tempatan.

Apa yang jelas, berdasarkan maklum balas penduduk, pembangkang lebih memberi tumpuan kepada isu tanah dan menonjolkan kepimpinan dan khidmat

Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang, telah pernah berkhidmat selama lima penggal sebagai Ahli Parlimen Lubok Antu di mana kawsan itu merangkumi DUN Batang Ai.

Menjelang pengundian Selasa ini, BN perlu melipatgandakan usaha mendekati pengundi. Ia bagi memastikan pengundi tidak terkeliru atau dikelirukan oleh pembangkang.

Antara tugas jentera BN yang perlu dilakukan sekarang ialah menjawab isu-isu parti lawan dan menyakinkan pengundi tentang kebaikan BN selama ini dan jangan terpengaruh dengan politik sempit yang diamalkan oleh parti lawan.

Usaha ini mesti dibuat memandangkan pembangkang bukan saja cuba memanipulasi pelbagai isu remeh-temeh, tetapi juga cuba meniupkan sentimen bagi meraih sokongan.



Pada sebelah petangnya, kami menghadiri majlis semarak bersama pemimpin Program Segulai Sejalai anjuran Kawasan Rukun Tetangga Pekan Lubok Antu.

YB Dato Seri Shafie diberi penghormatan merasmikan program tersebut dan dalam ucapannya, beliau antara lain minta masyarakat setempat senantiasa bersatu padu dan menyokong kepada kerajaan.

Beliau menegaskan bahawa sokongan terhadap BN penting bagi meneruskan agenda pembangunan yang dirancang kerajaan untuk rakyat.



Sehari suntuk berkempen di Batang Ai, menyakinkan saya terhadap peluang BN untuk memperolehi kemenangan berdasar sambutan yang diterima.

Rata-rata rakyat di kawasan itu mengharapkan pembelaan daripada pimpinan kerajaan untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

Rakyat meyakini bahawa hanya kerajaan BN saja berkemampuan membawa perubahan dan kemajuan untuk penduduk, terutama di luar bandar seperti Batang Ai.

Pilihan raya kecil Batang Ai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Dublin Unting Ingkot, yang juga Menteri Muda Pertanian dan Sukan pada 24 Februari akibat serangan angin ahmar.

Pengundian ditetapkan pada Selasa ini.

Friday, April 3, 2009

NAJIB SEBAGAI PM: BERKILAU KARISAMA KEPIMPINAN

HARI ini (Jumaat, 3 April) sejarah baru terukir setelah YAB Datuk Seri Najib Tun Razak mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-6 dalam satu istiadat di Balairong Seri, Istana Negara.

Beliau mengambil alih teraju kepimpinan negara daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang melepaskan jawatan itu, setelah memegangnya selama kira-kira lima tahun.

Peralihan kuasa penuh tertib itu, menerusi satu pelan yang telah disepakati bersama sebelum ini, memberi keyakinan terhadap masa depan negara kita.

Proses peralihan kuasa kepimpinan negara ini menyusul daripada peralihan dalam kepimpinan Umno, menerusi perhimpunan agung tahunan parti minggu lalu.

Dengan menjadi nahkoda sebuah parti yang menunjangi pemerintahan negara, dan sekali gus sebagai Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib memikul tanggungjawab dan amanah besar untuk bangsa, agama dan negara keseluruhannya.

Berdasarkan latarbelakang dan kepimpinan anak sulung kepada Perdana Menteri kedua ini, beliau cukup diyakini mampu membawa Malaysia menuju ke suatu era yang menjadi kebanggaan rakyatnya.

Ini kerana maklum balas rakyat akar-umbi menunjukkan pemilihan YAB Datuk Seri Najib sebagai Presiden Umno dan kemudian pelantikan sebagai Perdana Menteri, disambut gembira dan penuh kesyukuran.

Yang disandarkan adalah harapan tinggi rakyat melihat perubahan dan kemajuan sementara beliau meneruskan segala perancangan pembangunan dan agenda perjuangan yang belum selesai.

Karisma kepimpinan YAB Datuk Seri Najib sudah menyerlah sejak sekian lama, malahan telah membuktikannya menerusi pelbagai jawatan yang disandangnya dalam Kabinet.

Legasi kepimpinan allahyarham bapanya sebagai Bapa Pembangunan, juga menjadi satu lagi faktor keyakinan ramai terhadap kemampuan YAB Datuk Seri Najib membawa perubahan untuk Malaysia.

Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, sebagai Perdana Menteri kedua menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra, merupakan seorang negarawan yang begitu disenangi oleh rakyat.

Secara peribadi, sebagai ahli Umno yang telah menyandang pelbagai jawatan kerajaan dan parti di peringkat negeri, saya sememangnya mengenali YAB Datuk Seri Najib – seorang yang tegas dan berprinsip,mudah didekati,pendengar yang baik mesra dan senang dibawa berbincang.

Dan di sebalik wajahnya yang kadangkala kelihatan serius, beliau sebenarnya seorang yang begitu peramah, mempunyai sifat humor dan pandai berjenaka, termasuk apa yang sering diceritakannya sebagai cerita atau jenaka “orang Pahang”.

Lebih penting dari itu, saya melihat YAB Datuk Seri Mohd Najib mempunyai pemikiran tajam dan sering memandang jauh ke hadapan, melangkaui masa dan zaman.

Mengambil kira stail dan gaya kepimpinannya, saya optimis YAB Datuk Seri Najib mampu melaksana tugas serta tanggungjawabnya sebagai pemimpin tertinggi negara tercinta ini.Keyakinan saya ini berdasarkan kepada kewibawaan dimilikinya serta pengalaman yang diwarisinya sepanjang berada dalam kerajaan.

Justeru, saya percaya, YAB Datuk Seri Mohd Najib mempunyai banyak idea dan perancangan untuk rakyat dan negara.

Semua itu mampu dilaksanakannya menerusi gandingan saf kepimpinan yang ampuh, baik di peringkat parti mahupun kerajaan, sebagaimana disuarakannya ketika perhimpunan agung Umno minggu lalu.

Sementara saf kepimpinan dalam Umno sudahpun diketahui, kini tumpuan dan perhatian terarah kepada saf kepimpinan dalam kerajaan pula.

Sebagai Ketua Eksekutif kerajaan, YAB Datuk Seri Mohd Najib harus diberi kebebasan menentukan dan memilih saf kepimpinannya dalam kerajaan. Ini penting kerana hanya menerusi gandingan kepimpinan mantap saja membolehkan beliau mengemudi pentadbiran negara secara berkesan, apatah lagi dengan mengambil kira pelbagai cabaran semasa yang dihadapi dunia ketika ini.