Translate

Tuesday, June 30, 2009

MENCARI JALAN KELUAR BEBAN PENJAWAT AWAM


AKHBAR arus perdana dan tempatan, laman web dan blog melaporkan kenyataan mengenai nasib kakitangan awam yang menerima gaji tidak sampai separuh daripada jumlah gaji setiap bulan, gara-gara potongan pelbagai pinjaman yang dibuat.


Masalah berlaku disebabkan oleh peningkatan kos sara hidup, terutama di kawasan bandar yang tidak pula seiring dengan kenaikan gaji penjawat awam.

Dalam laporan itu, Setiausaha Agung Cuepacs, Ahmad Shah Mohd Zin, dilaporkan berkata bahawa kira-kira 450,000 orang daripada 1.2 juta petugas awam menghadapi masalah hutang dan golongan berkenaan perlu diberi perhatian khas kerana mereka mudah terjerumus dalam gejala rasuah.

Justeru, beliau berharap ketua-ketua mereka di jabatan atau kementerian mengambil sikap berperikemanusiaan dalam mengendalikan masalah mengenai kumpulan ini, yang rata-ratanya membawa pulang hanya 40 peratus daripada gaji mereka.


"Kebanyakan gaji mereka dipotong untuk pelbagai pinjaman seperti perumahan dan kenderaan atau mengubah suai rumah," katanya.


Biarpun ramai penjawat awam diberi kelonggaran oleh kerajaan untuk membuat kerja sambilan seperti membawa teksi, menjadi agen jualan langsung dan berniaga untuk menampung pendapatan, namun semua itu masih tidak mencukupi.


Berita tersebut yang turut menghiasi laporan akhbar tempatan di Sabah harus menjadi iktibar dan membuka mata semua pihak. Ada mesej yang harus diperhalusi di sebalik kenyataan itu. Ada iltizam yang mesti dipelajari sebelum keadaan menjadi bertambah terok.


Secara peribadi, saya melihat gejala ini disebabkan oleh beberapa faktor dalaman dan luaran, baik di sebelah pihak berkuasa mahupun kalangan penjawat awam itu sendiri.


Apa yang disebutkan oleh Cuepacs sebagai punca itu adalah faktor-faktor luaran saja, misalnya potongan pinjaman perumahan dan kenderaan di mana ia merupakan suatu keperluan asas bagi setiap penjawat awam, tidak kira di peringkat mana pun.


Mendapatkan pinjaman untuk membeli rumah adalah sesuatu yang lebih bijak dan menguntungkan, begitu juga membeli kenderaan bagi kegunaan ke pejabat dan menghantar anak-anak ke sekolah merupakan sesuatu yang lebih memudahkan berbanding tidak memiliki kenderaan sendiri.


Dalam hal ini, barangkali ada mekanisme perlu diikhtiarkan oleh agensi berkaitan termasuk institusi kewangan bagi meringankan bebanan penjawat awam terbabit, misalnya dari segi rebat dan subsidi, kadar faedah dan tempoh pembayaran.


Hal ini harus dibuat pertimbangan dengan mengambil kira peningkatan kos sara hidup di bandar yang semakin tinggi.


Selain faktor luaran, faktor dalaman juga penting untuk dilihat secara mikro -- soal kemampuan, pengaruh persekitaran dan gaya hidup era masakini. Di sinilah letaknya kekuatan "iman" dan jatidiri seseorang untuk memastikan ia tidak terperangkap dalam beban hutang


Saya katakan demikian kerana sudah menjadi kebiasaan dalam hati nurani setiap insan keinginan untuk menikmati kehidupan yang terbaik, lalu berlakulah fenomena perbandingan dan persaingan. Ternampak jiran membeli kereta baru, terdetiklah juga di hati untuk memiliki kereta baru; terlihat orang sebelah membuat "renovation" rumah maka kita pun mengikut mereka; terdengar mereka membeli TV plasma, maka kita pun menukar televisyen yang ada -- sedangkan jika dianalisis kadar pendapatan, semuanya di luar kemampuan untuk memilikinya.


Apabila tuntutan keinginan "hati nurani" ini tidak dapat disekat, kita pun mencari jalan baru, misalnya mendapatkan pinjaman dari bank, mencari "ah long" atau menggunakan kad kredit.


Di penghujung bulan, setelah dikira-kira jumlah potongan pinjaman dan bayaran balik kad kredit, jumlah gaji bersih yang diterima jauh lebih rendah daripada sepatutnya (sedangkan ia sepatutnya diguna sebagai perbelanjaan harian menampung keperluan keluarga).


Keadaan menjadi lebih terok lagi bagi penghuni di bandar yang kos sara hidupnya jauh lebih tinggi berbanding di luar bandar.


Di dalam keadaan kritikal sedemikianlah, seseorang penjawat awam mudah terjerumus dalam kancah rasuah ketika menjalankan tugasnya, sebagaimana disebutkan oleh Setiausaha Agung Cuepacs itu.


Satu hal yang juga perlu dilihat ialah soal gaji kakitangan awam yang dikatakan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup. Perbandingan boleh dibuat mengenai perbelanjaan 30 tahun lepas, 20 tahun lepas dan lima tahun lepas, misalnya belanja persekolahan anak-anak. Kemudian bandingkan dengan kadar kenaikan gaji kakitangan awam dalam tempoh yang sama.

Monday, June 22, 2009

MANTAPKAN ORGANISASI SEBAGAI SATU PASUKAN KUAT: SALLEH



KINARUT: Pergerakan Pemuda UMNO Sabah perlu menjadikan parti UMNO kuat dan dipercayai rakyat terutama generasi muda, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said.


Beliau berkata dalam sesebuah organisasi hanya ada satu pemimpin yang boleh mentabir dan memimpin dan bukan dua pemimpin untuk menjadi satu pasukan yang kuat.

"Dalam satu organisasi mesti ada pemimpin yang berkaliber untuk memperjuangkan parti UMNO dan menentukan ogranisasi ini akan terus kukuh dan mantap. Inilah tugas utama Pemuda UMNO," tegas Salleh.

Justeru itu, Pemuda UMNO perlu ada kebolehan untuk memimpin pergerakan Pemuda, bukan sahaja di negeri tetapi juga di peringkat bahagian seterusnya di akar umbi agar ahli-ahli UMNO dan rakyat masih mempercayai kepimpinan UMNO demi mendapatkan sokongan rakyat.

"Pemuda Sabah mesti bersemangat baru, cara pemikiran baru, ilmu yang baru dan paling utama harus berani menghadapi cabaran baru. Sekiranya kita masih di takuk lama, minda kita tidak boleh menerima perubahan maka tiada erti perjuangan itu '' ujar beliau.

Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan Bengkel Pemuda UMNO Sabah di Borneo Paradise Beach Hotel, Kinarut kelmarin.

Hadir sama Timbalan Ketua UMNO bahagian Papar, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Naib Ketua Pemuda, Haji Awang Kadin Tang, wakil kepada Ketua UMNO bahagian Papar, Amri Abu Bakar serta ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian.

Menurut Salleh yang juga Ketua UMNO bahagian Kota Belud meminta semua kepimpinan Pemuda mempunyai perjuangan dan pegangan dalam parti.

"Perjuangan itu pokok utama dan akur kepada pucuk kepimpinan kita dan bantu pemimpin atasan kita. Pemuda UMNO perlu memainkan peranan penting dalam menjadikan negeri Sabah sebagai ‘fixed deposit’ selama-lamanya," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda UMNO Sabah, Azman Ruslan berkata Pemuda UMNO akan menjadikan slogan ‘Rakan Pembela Rakyat’ diperluaskan seluruh bahagian Pemuda UMNO dan juga di perinvkat akar umbi.

Beliau berkata slogan itu akan ‘dipasarkan’ kepada Ketua-ketua Pemuda UMNO bahagian agar ahli-ahli Pemuda UMNO dapat menerapkan konsep atau slogan ini untuk mendekati generasi muda.

Jelasnya, Pemuda UMNO mesti dilihat sebagai pemimpin muda yang mempunyai peranan besar dan bersedia untuk bersama-sama dengan pemimpin atasan untuk membela rakyat.

"Slogan Rakan Pembela Rakyat secara tidak langsung dapat mendekati semua generasi muda dan ini perlu kerana ada ramai generasi muda tidak kira mereka ahli UMNO, belia, pengundi muda atau pengundi atas pagar perlu di dekati.

"Rakan Pembela Rakyat telah diadaptasi daripada Pemuda UMNO Papar, di mana rakan pembela rakyat dapat mendekati belia-belia dan ahli-ahli UMNO apabila Pemuda Papar menganjurkan pelbagai program di peringkat kampung di Papar," ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Keningau.

Tuesday, June 16, 2009

ANTARA REALITI PINDAAN PERLEMBAGAAN DAN MANIFESTASI KEKUATAN PARTI


MINGGU lepas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil keputusan meminda perlembagaannya atas matlamat mengisi Agenda Perubahan yang dijanjikannya kepada rakyat.

Tindakan parti pembangkang itu menyusuli keputusan yang dibuat oleh Umno ketika perhimpunan agung parti Mac lepas untuk meminda perlembagaan bagi tujuan menjadikan Umno terus relevan dan dekat di hati rakyat.

Bagi PKR, langkah meminda perlembagaan itu diambil kerana mendengar suara segenap lapisan anggotanya yang mahukan “perlembagaan yang menzahirkan semangat dan Agenda Perubahan”, manakala Umno pula berbuat demikian kerana mendengar denyut nadi ahli-ahli di peringkat akar-umbi.

Matlamat akhir pindaan perlembagaan kedua-dua parti itu adalah bertujuan menjadikan parti lebih demokratik dalam proses memilih pemimpin, sekali gus menjadikannya sentiasa relevan, kukuh dan berpengaruh.

Ia tentunya sebagai usaha menarik minat rakyat terhadap parti serta menunjukkan parti adalah bersifat terbuka dan bersih daripada amalan-amalan tidak sihat seperti pengaruh politik wang.

Sememangnya, setiap parti politik yang mahu kekal utuh atau sentiasa kelihatan berpengaruh, perlu mengambil tindakan-tindakan yang juga kelihatan proaktif dengan mengambil kira citarasa dan kehendak masyarakat umum.

Justeru, pindaan perlembagaan adalah satu daripada langkah untuk parti bergerak mara ke hadapan.

Sebagaimana yang dijelaskan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pindaan perlembagaan partinya itu adalah untuk membolehkan parti bergerak dengan lebih rancak ke arah mengisi Agenda Perubahan yang dijanjikan kepada rakyat.

“Kita mahu Parti Keadilan Rakyat menjadi wadah perubahan sebenar,” katanya pada Kongres Nasional Khas minggu lepas, sambil menyatakan keyakinan pindaan itu mampu memantapkan lagi PKR daripada tahap sekarang.

Antara lain pindaan perlembagaan PKR itu membabitkan usul mengehadkan tempoh presiden kepada tiga penggal, memindahkan hak memilih pucuk pimpinan kepada ahli biasa, memperkenalkan sistem undi sulit dalam parti, menambah jumlah Naib Presiden serta memperuntukkan 30 peratus jawatan penting kepada wanita.

Yang lain termasuk mengurangkan had umur ahli Angkatan Muda PKR daripada 40 kepada 35 tahun.

Di pihak Umno pula, pindaan perlembagaannya akan dimuktamadkan pada perhimpunan agung parti yang dijadualkan pada Oktober depan.

Pindaan antara lain membabitkan rombakan sistem pemilihan jawatan dan kuota pencalunan.

Ketika perhimpunan agung lepas, para perwakilan begitu hangat dan bersemangat membahaskan isu berkenaan kerana berpendapat sistem sedia ada menuntut pembaharuan dan perubahan.

Ia sejajar dengan anjakan perubahan dan pembaharuan yang dibawa oleh Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Pindaan yang bakal dibuat termasuk menyentuh sistem kuota pencalonan bagi barisan Majlis Tertinggi (MT) dan hak mengundi.

Jawatankuasa Teknikal Pindaan Perlembagaan UMNO sudah bermesyuarat beberapa kali bagi memperincikan pindaan berkenaan.

Ketika ini, kelayakan bertanding jawatan Presiden perlu mendapat pencalonan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada 191 bahagian UMNO, Timbalan Presiden (20 peratus), Naib Presiden (10 peratus) dan ahli MT (lima peratus).

Dalam konteks sistem kuota, penghapusannya akan membolehkan sesiapa sahaja yang merasakan diri mereka layak, boleh menawarkan diri di semua peringkat.

Langkah ini dilihat mampu menjadikan Umno lebih telus, bebas serta memberi peluang kepada semua orang untuk menawar diri dan mendapat tempat jika ada sokongan daripada ahli.

Lebih penting lagi, semua lebih 20,400 cawangan UMNO di seluruh negara diberi peluang mengemukakan pandangan dan maklum balas berhubung draf pindaan perlembagaan itu.

Ini satu lagi pendekatan Umno untuk memastikan agar parti sentiasa dekat di hati rakyat.

Perhimpunan Agung Umno 2009 akan berlangsung dari 13 hingga 16 Oktober depan.

Natijahnya, pindaan perlembagaan yang dibuat oleh PKR dan Umno ini menjurus kepada matlamat untuk memenangi hati rakyat.

Sememangnya, setiap parti politik yang berhasrat senantiasa releven perlu mengambil kira citarasa dan kehendak masyarakat umum dalam membuat pindaan.

Parti tidak boleh menyisihkan diri daripada perkembangan semasa, termasuk yang berlaku di sekeliling kita setiap masa.

Bagaimanapun, akhirnya kejayaan sebuah parti tidak bergantung semata-mata kepada pindaan perlembagaan.

Dasar parti dalam usaha ingin membangun negara dan rakyat, pendekatan pemimpin-pemimpin parti menangani sebarang pemasalahan atau isu,penonjolan pemimpin-pemimpin yang ada pengikut peribadi, keyakinan rakyat ke atas kepimpinan akan menjadi antara faktor penting menentukan pengaruh parti di kalangan majoriti rakyat.
Parti kena dijadikan organisasi yang popular dan diminati oleh semua lapisan masyarakat.

Friday, June 12, 2009

PILIHAN RAYA INDONESIA: KESINAMBUNGAN ATAU PERUBAHAN?



KELMARIN bermula sudah kempen secara terbuka pilihan raya Presiden Republik Indonesia yang bukan saja menarik perhatian warganya dari seluruh pelosok dunia, tetapi turut diikuti perkembangannya oleh banyak negara dan individu lainnya.

Saya tidak terkecuali. Bukan saja disebabkan banyak pertalian dan kebersamaan sosiobudaya antara Indonesia dan Malaysia, tetapi juga persamaan di pentas politik yang bertunjangkan sistem demokrasi dalam proses pemilihan pimpinan parti untuk menjadi pemerintah.

Terbaru di Jakarta dilaporkan ketiga-tiga pasangan pemimpin yang bertanding, iaitu Susilo Bambang Yudhoyono-Boediono, Jusuf Kalla-Wiranto dan Megawati Soekarnoputri-Prabowo, mengisytiharkan deklarasi untuk mengadakan kempen secara damai.

Perisytiharan itu menunjukkan bermulanya kempen terbuka yang akan berlangsung sehingga 4 Julai ini, kemudian tempoh bertenang tiga hari dari 5 hingga 7 Julai, sebelum pengundian berlangsung pada 8 Julai.

Ia juga bermaksud ikrar semua calon yang bertanding untuk berkempen secara sihat mengikut lunas-lunas perundangan dan mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia, Abdul Hafiz Anshary, berkata ikrar pilihan raya damai yang diadakan di Hotel Bidakarta itu, diharap dapat mencegah kejadian yang tidak diingini sepanjang berlangsung kempen terbuka.

Sehubungan itu, Abdul Hafiz meminta rakyat Indonesia menunjukkan kepada dunia bahawa pilihan raya di republik ini boleh berjalan dengan lancar dan demokrasi dapat terus berkembang sihat.

Beliau turut meminta penyokong ketiga-tiga pasangan yang bertanding supaya menerima sesiapa juga yang menang dan terus memberi sokongan kepada pemimpin serta kerajaan yang terpilih.

Pilihan raya Indonesia ini akan menentukan sama ada mahukan kesinambungan kepimpinan Susilo Bambang Yudhoyono atau lebih dikenali sebagai SBY yang kini bergandingan dengan tokoh bank, Boediono, atau melakukan perubahan dengan memilih sama ada pasangan Mega-Prabowo atau JK-Wiranto.

Begitupun, SBY yang sentiasa kelihatan tenang begitu yakin untuk mendapat sokongan bagi meneruskan pemerintahannya, demikian juga Mega dan JK.

Serentak dengan perisytiharan terbuka kelmarin, ketiga-tiga pemimpin memulakan gerakan kempen masing-masing.

Laporan laman web Pemilu Indonesia turut melaporkan kenyataan dan aktiviti kempen ketiga-tiga pasangan yang bertanding.

Pasangan calon presiden dan wakil presiden Susilo Bambang Yudhoyono-Boediono misalnya menggunakan kesempatannya berorasi di deklarasi pemilu damai itu, untuk mengajak seluruh rakyat menyampaikan aspirasinya dalam pemilihan presiden 8 Julai mendatang.

“Gunakan hak pilihnya, jangan golput,” kata Yudhoyono dalam orasinya di acara yang berlangsung di Ruang Birawa, Menara Bidakara, pada Rabu.

SBY berharap pemilihan presiden bisa berlangsung secara terus, umum, bebas, rahsia, jujur dan adil. Beliau mengajak segenap lapisan masyarakat untuk mempertahankan suasana yang aman, tertib dan damai.

Calon presiden incumbent itu menyatakan semakin mekarnya demokrasi merupakan jerih payah pemimpin dari masa ke masa. Untuk itu, ia mengharapkan kompetisi dalam pilpres mendatang dibangun dengan kompetisi yang berbudaya dan beretika.

“Keadaan politik dinamis, kompetisi boleh keras, panas tetapi tetaplah tak perlu melebihi batas-batas kepatutan,” katanya, sambil meminta supaya kempen berjalan secara sehat, berbudaya dan beretika.

“Mari kita jalin silaturahmi, karena silaturahmi itu indah,” katanya, dan menambah bahawa meskipun posisi politik berbeda-beda, namun para pemimpin harus memberi contoh kepada rakyat bahawa kompetisi bisa berlangsung dengan indah.

Sementara itu, JK pula menegaskan bahawa siapapun yang terpilih dalam pemilu presiden 2009 maka ia adalah presiden bagi seluruh rakyat Indonesia yang harus didukung bersama.

“Siapapun yang menang akan kita dukung bersama karena merupakan presiden kita semua,” kata Jusuf Kalla ketika memberikan pidato politik pada deklarasi pemilu damai yang bertema “Pemilu Penuh Persaudaraan” di Jakarta, Rabu malam.

Menurutnya, pilihan raya itu bererti meminta keputusan dari rakyat siapa yang akan diberikan mandat untuk memimpin bangsa ke depan.

“Saya merasa kami (JK-Wiranto) adalah yang terbaik. Tapi kalau kami tidak menang, bererti ada yang lebih baik dan kami akan mendukungnya,” kata Kalla, sambil disambut tepuk tangan meriah.

Justeru, JK mengharapkan proses pilihanraya itu berlangsung dengan penuh perdamaian dan ia harus dilaksanakan sesuai dengan aturan-aturan yang ada.

“Karena dengan aturan akan terjaga keadilan. Dan keadilan akan membuahkan kedamaian,” katanya.

Sementara itu, Mega dalam hujahnya pula menimbulkan soal hukum yang diperjuangkannya, dengan menyatakan penilaiannya bahawa penegakan hukum di negeri ini belum optimal.

“Supremasi hukum masih kurang berjalan baik,” katanya dalam acara ‘Capres Bicara Hukum’ di Hotel Four Seasons, Jakarta.


Penegakan hukum, kata Megawati, masih kerap pandang bulu, sambil memberi contoh beberapa kes yang seharusnya sudah masuk ke pengadilan namun tak diproses.

Megawati mengatakan kes di Mahkamah Agung juga banyak yang terabaikan karena jumlah hakim kurang. “Dari sekian hakim tak bisa tangani sekian banyak kes,” katanya.

Selain itu, beliau turut membangkitkan soal Islam dengan menyatakan bahawa nilai-nilai keIslaman masih sangat relevan untuk diterapkan dalam kehidupan saat ini.

Dalam satu majlis pelancaran buku Islam dalam Bingkai Keindonesiaan dan Kemanusiaan karya Prof Dr Syafii Maarif, di Jakarta, beliau ditanya bagaimana reaksinya terhadap tanggapan konon dirinya kurang Islam.

Mega menjawab: “Islam itu di sini,” sambil meletakkan tangan di dadanya.

Sebelumnya, beliau bercerita bahwa ayahnya, Bung Karno, sering mengajarkan bagaimana melihat Islam seperti halnya yang dituliskan Syafii, yang disapanya Buya. Bagi Mega, Islam mengandung nilai-nilai keramahan.

“Saya tadi mendengar, Islam itu ramah. Saya berbunga-bunga mendengarnya, hal yang menyentuh dan membuat tersentuh. Banyak hal yang harus dilihat dari kacamata keIslaman dan dalam bingkai yang disebut kemanusiaan,” katanya.

Saturday, June 6, 2009

SALLEH HADIR MAJLIS MAKAN MALAM BERSAMA TPM



KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said menghadiri majlis makan malam Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama pemimpin Barisan Nasional (BN) dan anggota perkhidmatan awam di Sabah, kelmarin.


Majlis yang diadakan di sebuah hotel di ibu negeri turut dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman serta pemimpin parti komponen BN Sabah.


Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran kini dalam rangka lawatan rasmi ke Sabah dan mempunyai beberapa acara, termasuk merasmikan Hari Guru peringkat negeri Sabah di SMK Ken Hwa, Keningau.