Translate

Tuesday, July 28, 2009

SEKETIKA BERSEMBANG DENGAN TAN SRI ABDUL TAIB MAHMUD



AHAD lepas, saya berkesempatan makan tengah hari dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud di kediamannya di Kuching, bersama-sama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Puan Sri.

Sambil makan, kami bercerita dan bersembang-sembang mengenai pelbagai hal, daripada soal politik dan pembangunan, hinggalah kepada masalah dan kisah masyarakat.

Sebagai seorang tokoh besar dan "veteran politican", cerita Tan Sri Abdul Taib amat menarik dan bermakna, terutama tentang bagaimana beliau mentadbir negeri yang begitu luas serta mengurus rakyat yang begitu banyak kaum dengan pelbagai budaya, adat resam dan kepercayaan.

Saya mendengar penuh minat ceritanya. Politik pembangunan yang menjadi perjuangannya nyata merupakan faktor kejayaan utama sehingga membolehkan beliau kekal sebagai pemimpin paling lama dalam sistem pemerintahan yang berasaskan demokrasi.

Tan Sri Abdul Taib bukan saja menjadi tokoh besar yang menjadi kebanggaan Sarawak dan Sabah (dua negeri di Malaysia Timur), tetapi juga merupakan satu-satunya pemimpin yang masih berkhidmat dan cergas memimpin sedangkan ramai pemimpin seangkatan dengannya sudah bersara, sama ada dalam politik mahu pun kerajaan.
Saya mengamati prinsipnya.

Nyata Tan Sri Abdul Taib seorang pemimpin yang tegas. Ketokohannya memang tiada bandingan, komitmennya jelas begitu tinggi. Sarawak beruntung mempunyai pemimpin berkaliber sepertinya.

Dari pengamatan saya, beliau merupakan seorang "leader" yang "cool" dan lembut ketika bercakap tapi setiap percakapannya itu amat berkesan.

Secara peribadi, saya dapat menyelami pendirian politiknya yang tidak suka berkonfrantasi, termasuk dengan Kuala Lumpur dalam apa-apa hal sekalipun. Dia menyelesaikan setiap urusan atau masalah politik menerusi pendekatan musyawarah.

Lantaran itu, beliau membayangkan keyakinannya bahawa Barisan Nasional (BN) tidak menghadapi masalah besar untuk mencapai kemenangan besar dalam pilihan raya akan datang.

Saya melihat Tan Sri Abdul Taib mempunyai karisma kepemimpinan tersendiri yang tidak ramai orang memilikinya. Caranya bercakap, layanannya serta budi bahasa dan tutur kata tidak pernah berubah.

Saya kenal beliau secara peribadi dan saya masih ingat, ketika dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah dahulu, Tan Sri Abdul Taib adalah antara pemimpin terawal yang saya kunjungi.

Ketika itu, saya nyatakan kepadanya hasrat untuk berkongsi pengalaman bagaimana memajukan negeri Sabah dan Sarawak.

Tan Sri Abdul Taib sudah lebih 20 tahun memimpin negeri Negeri Bumi Kenyalang. Kestabilan politik yang dibawanya membolehkan agenda pembangunan dilaksana dengan berkesan.

Hari ini, Bandaraya Kuching yang indah dan cantik, bersih dan tersusun (terbahagi kepada dua, iaitu Utara dan Selatan) telah mencapai kemajuan pesat.

Sepanjang berada di Kuching untuk menghadiri program rasmi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, iaitu promosi kraf, di mana saya menjadi pengerusinya, saya menyaksikan kemajuan ketara berbanding beberapa tahun lalu.

Terbaru, Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang berharga RM300 juta menjadi mercu tanda kemajuan Sarawak dan kebanggaan rakyatnya.

Perbualan kami begitu rancak. Dari satu topik ke topik lain. Cerita panjang. Tanpa disedari, jam sudah menunjukkan hampir 3 petang. Ketika saya dan Tan Sri Pandikar serta Puan Sri berangkat meninggalkan kediamannya, Tan Sri Abdul Taib menghadiahkan kami CD kompilasi lagu-lagu allahyarham P Ramlee di mana beliau merupakan peminat penyanyi dan pelakon tersebut.

Sembang seketika bersama Tan Sri Abdul Taib memberi saya banyak pengalaman berharga. Saya rasa beruntung kerana kesempatan berbual bicara dengannya, dan tidak rasa rugi biarpun terlepas penerbangan balik ke Kota Kinabalu pada jam 3.30 petang itu.

Saya kemudian mengambil penerbangan Air Asia pada malamnya dan sampai di Kota Kinabalu menjelang 12 tengah malam hari yang sama.

Tuesday, July 21, 2009

UMNO BUKAN SYARIKAT

Ahad lepas, saya dijemput menutup Bengkel Percambahan Minda Umno Bahagian Sepanggar di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Ketika Ketua Bahagian Sepanggar, Saudara Jumat Idris, menyampaikan jemputan kepada saya beberapa hari sebelum itu, saya terfikir-fikir juga apakah intipati ucapan dan mesej yang hendak disampaikan.

Tengok tajuk program saja sudah cukup berat. Bengkel percambahan minda. Terfikir oleh saya, minda berkaitan mentaliti dan persepsi. Minda bermaksud pemikiran dan fahaman. Bukan mudah untuk membentuk minda, apatah lagi untuk merubahnya.

Lantas saya mengambil keputusan untuk fokus ucapan kepada soal perjuangan Umno. Bagi saya, dengan menghayati dan memahami falsafah perjuangan, kita boleh menjadi ahli parti yang berkualiti. Ahli yang berkualiti mampu memberi sumbangan bermakna kepada parti.

Sebagai parti tonggak pemerintahan, Umno perlu ahli yang berkualiti, terutama dalam saf kepemimpinan. Saya turut membuat kajian mengenai kualiti ahli dan falsafah.

Pada petang itu, saya memulakan ucapan dengan mengingatkan ahli Umno membezakan antara perjuangan dan perkhidmatan. Perjuangan bermaksud berusaha secara ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran. Perkhidmatan pula bermakna memberi bantuan dan ia adalah tanggungjawab.

Kemudian, ahli parti menilai dan membezakan antara perjuangan tulen Umno dengan perjuangan parti pembangkang. Kerana kedua-duanya ada perbezaan. Umno teguh berakar-umbi kerana perjuangan yang mendasarinya, ideologi yang dipegang serta prinsip perkongsian yang dipraktikkan, sedangkan pakatan pembangkang berpaut pada isu dan sentimen.

Saya tegaskan bahawa dengan memahami erti perjuangan untuk parti, ia membolehkan setiap ahli melaksanakan tugas dan peranan masing-masing serta mencapai matlamat berpolitik dan menjadikan Umno sebagai wadah perjuangan.

Lanjutan dari itu, saya tekankan lagi bahawa setiap ahli perlu memahami kedudukan Umno sebagai sebuah organanisasi politik. Umno bukan kementerian, jabatan atau agensi kerajaan, juga bukan sebagai syarikat. Ini kerana Umno ada dasar. Setiap ahli mesti ada prinsip dan pegangan perjuangan yang seharusnya menjurus kepada soal agama, bangsa dan negara.

Manakala dalam konteks negeri Sabah, perjuangan tambahan adalah untuk rakyat dan negeri kerana itulah sebenarnya yang menjadi keutamaan apabila Umno diberi laluan mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991. Hasil perjuangan untuk parti dapat dilihat dalam pilihan raya. Kerana pilihan raya itu adalah Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) parti politik, di mana rakyat menghakimi apa yang diperjuangkan oleh parti.

Saya juga menceritakan mengenai perbezaan antara parti dan kerajaan. Parti membuat rekomendasi kepada kerajaan, manakala kerajaan antara lain melaksanakan dasar yang dibuat oleh parti. Untuk kefahaman lebih mudah, ahli Umno "pejamkan mata" dan berfikir sejenak apa yang boleh dibuat oleh Umno jika Umno bukan parti pemerintah?

Contoh mudah, untuk memohon projek rumah PPRT misalnya, seseorang perlu berdaftar dengan E-Kasih untuk mendapatkannya daripada kerajaan. Begitu juga jika berlaku kebakaran rumah, proses mendapat bantuan kerajaan seperti "menuntut insurans" kerana pelbagai perkara perlu dilampirkan, termasuk laporan pihak berkuasa.

Mesej akhir yang saya sampaikan pada bengkel tersebut ialah amalan kerja berpasukan sebagai teras kekuatan Umno. Bagi saya, setiap ahli perlu bekerja sebagai satu pasukan dengan seorang ketua atau nahkoda. Setiap ahli mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Kerja berpasukan membolehkan sesuatu disempurnakan secara mudah dan berkesan. Seorang nahkoda menentukan arah haluan pelayaran.

Saya melihat bengkel tersebut berjaya mengilap minda, memperkasa perjuangan parti, mengangkat darjat Umno.

Monday, July 20, 2009

PUPUK SEMANGAT KERJA BERPASUKAN, HAYATI PRINSIP PERJUANGAN UMNO: SALLEH

KOTA KINABALU: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said mahu setiap ahli memupuk semangat kerja berpasukan kerana setiap ahli mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Pada masa sama, beliau mahu setiap ahli menghayati prinsip perjuangan menyertai Umno supaya parti kekal relevan, unggul dan menjadi tonggak pemerintahan.

"Setiap ahli Umno perlu bekerja sebagai satu pasukan, satu ketua atau nahkoda kerana kita semua ada peranan masing-masing. Kita bertanggungjawab membina sebuah pasukan yang mantap dan mampu mengharungi cabaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menutup Bengkel Percambahan Minda Umno Bahagian Sepanggar di sini kelmarin.

Hadir sama Ketua Umno Bahagian, Jumat Idris serta seluruh pimpinan Umno Bahagian Sepanggar. Bengkel sehari itu disertai 106 ahli Umno.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata setiap ahli Umno memahami erti perjuangan untuk parti, dan tahu membezakan antara perjuangan dan perkhidmatan.

Dengan cara ini, katanya, ia membolehkan setiap ahli melaksanakan tugas dan peranan serta mencapai matlamat berpolitik dan Umno sebagai wadah perjuangan.

"Umno bukan kementerian, jabatan dan agensi atau syarikat. Umno ada dasar dan kita mesti ada pegangan dalam perjuangan," katanya, sambil menyatakan bahawa perjuangan mestilah menjurus kepada soal agama, bangsa dan negara.

Menurutnya, dalam konteks negeri Sabah, perjuangan tambahan adalah untuk rakyat dan negeri ini kerana itulah sebenarnya yang menjadi keutamaan apabila Umno diberi laluan mengembangkan sayapnya ke negeri ini pada tahun 1991.

Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud menegaskan bahawa setiap ahli parti komited kepada perjuangan kerana Umno berbeza dengan parti pembangkang.

Katanya, matlamat akhir berpolitik adalah untuk mencapai kemenangan dalam pilihan raya dan itulah sebenarnya Indeks Pencapaian Prestasi (KPI) bagi parti politik di mana rakyat menghakimi apa yang diperjuangkan oleh parti.

"Kita mestilah menentukan bahawa penyokong tradisi tidak lari, manakala pengundi baru terus bersama kita," tegasnya, sambil mengakui banyak isu politik semasa yang boleh merubah senario politik dari semasa ke semasa.

Mengenai bengkel itu, Salleh memuji usaha yang dilakukan oleh Umno Bahagian Sepanggar dan menyifatkannya sebagai langkah proaktif ke arah menentukan halatuju dan masa depan perjuangan parti.

Katanya, program sedemikian juga membolehkan setiap ahli dan pemimpin di peringkat bahagian menyelami permasalahan dan seterusnya mengambil langkah penyelesaian.

Beliau mengakui pada umumnya Umno Bahagian Sepanggar cukup mantap, tetapi ia tidak seharusnya melalaikan kerana sejarah beberapa pilihan raya sebelum ini menunjukkan adanya sokongan pembangkang di kawasan itu.

"Kini dengan tindakan Parti Maju Sabah (SAPP) meninggalkan BN, sudah tentu mereka mempunyai penyokong tradisi dan ia perlu kita beri perhatian," katanya sebagai merujuk kawasan Parlimen Sepanggar yang sebelum ini ditandingi dan diwakili SAPP sebelum parti itu meninggalkan BN tahun lepas.

PERSEMBAHAN BUDAYA MERIAHKAN MAJLIS MAKAN MALAM USBO

KOTA KINABALU: Persembahan pelbagai warisan budaya masyarakat rumpun Bajau memeriahkan majlis Makan Malam Amal Persatuan Bajau Bersatu Sabah (USBO) yang diadakan di sebuah hotel di ibu negeri malam tadi.

Persembahan selama sejam itu menampilkan persembahan tarian, alat muzik dan nyanyian lagu-lagu pelbagai etnik dalam rumpun Bajau, antaranya Iranun, Ubian dan Suluk.

Gabungan pelbagai warisan budaya dalam satu persembahan itu menjadi manifestasi ke arah menjayakan konsep 1Malaysia.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menjadi tetamu kehormat majlis berkenaan yang dihadiri lebih 400 orang.

Menyambut ketibaan para tetamu dan jemputan termasuk Presiden Usbo, Datuk Seri Salleh Said.

Dalam ucapannya, Salleh berkata matlamat utama penganjuran majlis ini adalah untuk mengisi dana Usbo dan untuk digunakan bagi melaksanana pelbagai kegiatan dan aktiviti yang telah dirancangkan.

"Menerusi acara sebegini, ia bukan saja mengeratkan persefahaman dan memperkukuhkan jalinan silaturahim antara satu sama lain, tetapi juga menjadi pentas terbaik mengetengahkan warisan senibudaya rumpun masyarakat kita.

"Dengan demikian, ia secara langsung mendukung gagasan pimpinan kerajaan mewujudkan sebuah bangsa yang bersatu padu, dinamik dan progresif, sekali gus merealisasikan slogan 1Malaysia," katanya.

Sehubungan itu, Salleh berkata pihaknya bercadang membawa program berkenaan ke Kuala Lumpur pada masa akan datang, bagi mengangkat warisan budaya rumpun masyarakat Bajau ke pentas nasional.

Wednesday, July 15, 2009

IKTIBAR DI SEBALIK KEPUTUSAN MANIK URAI



KEPUTUSAN pilihan raya kecil kawasan Manik Urai menyaksikan Pas mengekalkannya. Manik Urai melerai banyak persoalan, tetapi pada masa sama Manik Urai turut merungkai pelbagai teka-teki.

Setelah keputusan yang memihak kepada pembangkang (dengan majoriti tipis) diketahui, serentak itu macam-macam persepsi dibuat terhadap masa depan politik kepartian, survival terhadap perjuangan ideologi dan ramalan masa depan, dalam konteks sistem demokrasi berparlimen yang menjadi tonggak pemerintahan negara.

Pelbagai segmen masyarakat, memberikan bermacam pendapat, pandangan dan rumusan di sebalik keputusan pilihan raya kecil itu.

Mereka memberikan pelbagai teori dan anologi, malah ada yang berani membuat andaian drastik bahawa angin perubahan sudah mulai bertiup.

Dari sudut politik, keputusan itu tentunya suatu tamparan buat Pas yang pada awalnya yakin mempertahankan kawasan berkenaan dengan majoriti selesa sehingga 2,000 undi mengikut bancian awal.

Bagaimanapun, mereka pasti ada hujah tersendiri sebagai reaksi pada keputusan itu. Di sebalik berpesta gembira meraikan kemenangan itu, mereka tentu saja tercari-cari apakah sebab dan punca yang membawa kepada kemerosotan undi dan majoriti yang diperolehi. Di sebuah negeri yang dianggap sebagai kubu, bagaimana mungkin Pas hampir kalah?

Sementara pembangkang dengan hujah mereka, demikian juga Umno dan Barisan Nasional (BN). Sudah tentu ada analisis tersendiri untuk mengkaji keputusan yang hampir terduga itu. Realitinya, kemenangan moral kepada Umno/BN.

Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika memberi reaksinya menyatakan bahawa BN tidak perlu berasa kecewa dengan keputusan pilihan raya kecil Manik Urai itu kerana walaupun tewas, namun ia jelas menunjukkan sudah ada peningkatan sokongan yang jelas terhadap BN.

"Saya percaya ini petanda bahawa rakyat sudah faham menilai kepimpinan Perdana Menteri dan langkah-langkah yang diambil untuk membawa pembaharuan dalam negara," katanya, sambil menyatakan bahawa bedah siasat akan dilakukan untuk dijadikan iktibar bagi perkara-perkara yang perlu BN perbaiki.

Dalam pilihan raya kecil itu, calon Pas, Mohd Fauzi Abdullah, 50, menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, dengan majoriti tipis 65 undi. Mohd Fauzi memperoleh 5,348 undi, manakala Tuan Aziz mendapat 5,283 undi.

Manik Urai mempunyai 12,293 pengundi berdaftar termasuk 25 pengundi pos. Daripada jumlah itu, seramai 10,631 atau 87 peratus pengundi keluar mengundi, iaitu jumlah peratusan tertinggi keluar mengundi dalam mana-mana pilihan raya kecil.

Biarpun kemenangan Pas itu sememangnya sudah dijangka, namun jumlah majoriti yang merosot itu barangkali tidak terduga oleh kebanyakan orang. Ini kerana pilihan raya kecil itu diadakan di sebuah negeri dikuasai Pas sejak sekian lama yang begitu kuat sentimen dan sudah berakar-umbi ideologi mereka, mengatasi prinsip dan dasar politik pembangunan.

Sudah tentu Pas akan memberi pelbagai alasan ke atas kekurangan majoriti yang agak besar itu. Awal-awal lagi orang kuat Nik Aziz Nik Mat, Husam Musa, melemparkan tuduhan kononnya Umno menggunakan politik wang sebagai faktor menyebabkan kemerosotan undi Pas.

Secara perbandingan, majoriti Pas merosot sebanyak 1,287 berbanding majoriti yang diperoleh penyandang sebelum ini, Allahyarham Ismail Yaacob sebanyak 1,352 pada pilihan raya umum 2008.

Ismail memenangi DUN Manik Urai sejak pilihan raya umum 1985, namun tidak bertanding pada pilihan raya umum 2004, yang menyaksikan BN menang kerusi itu dengan majoriti 53 undi melalui calonnya, Mohamed Zulkifli Omar. Ismail bagaimanapun bertanding semula kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lalu dan menewaskan Mohamed Zulkifli dengan majoriti 1,352 undi.

Manik Urai adalah satu daripada empat kawasan DUN dalam kawasan Parlimen Kuala Krai. Tiga lagi kawasan DUN ialah Mengkebang, Guchil dan Dabong.

Saya berada di Manik Urai pada hari penamaan calon dan turut serta dalam beberapa siri kempen kemudiannya bersama Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa Aman. Sejak awal, ramalan peluang bagi BN dan pembangkang adalah 50-50. Tetapi bermula kempen berlangsung, saya mendapati sudah ada trend perubahan di kalangan pengundi, termasuk golongan generasi muda Melayu, selain dari kalangan penyokong tradisi.

Sepanjang kempen, BN mengetengahkan isu pembangunan, sedangkan Pas dan pakatan pembangkang lebih cenderung memainkan isu agama, isu royalti minyak, selain menggunakan isu nasional seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan krisis politik di Perak.Strateji BN memberi tumpuan kepada kempen rumah ke rumah dan mempengaruhi pengundi yang dikategorikan sebagai "atas pagar" nampaknya amat berkesan.

Ada pengundi terpengaruh dan terpedaya, ada juga yang bersifat terbuka dan tidak mudah percaya. Di peti undi, mereka membuat pertimbangan sendiri. Keputusannya, jumlah undi Umno meningkat, undi Pas menurun.

Kemerosotan undi yang diperolehi Pas ini dengan sendirinya mencerminkan bahawa pengaruh Umno sudah kembali dan ia satu petanda yang baik.

Lebih penting, angin perubahan ini tentunya berkait juga dengan pendekatan serta polisi kepimpinan baru Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, yang baru saja melepasi 100 hari pertama pada minggu lalu, dengan membawa citra perjuangan menerusi gagasan 1Malaysia.

Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan, berpendapat Manik Urai memberi banyak hikmah untuk memantapkan parti mengharungi cabaran mendatang. Baginya, peningkatan undi diperolehi Umno adalah satu kemenangan. Umno telah berusaha sedaya mungkin, dan hasilnya majoriti Pas jatuh menjunam kepada 65 undi berbanding 1,352 undi pada tahun lalu.

Perangkaan ini dengan sendirinya manjadi manifestasi penerimaan terbuka sebahagian rakyat terhadap kerajaan dan parti pemerintah, sekali gus menangkis konotasi konon pengundi menolak politik pembangunan yang dibawa oleh BN.

Wednesday, July 8, 2009

SALLEH BANTU KEMPEN BN DI MANIK URAI



KUALA KRAI: Pemimpin UMNO Negeri Sabah telah turun padang membantu jentera pilihanraya Barisan Nasional (BN) berkempen dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri bersama pemimpin UMNO negeri yang lain termasuk Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said telah mengiringi calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat ke pusat penamaan calon, kelmarin.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai kumpulan penyokong mengiringi calon BN ke pusat penamaan calon dengan berarak dari bangunan Pejabat UMNO Bahagian Kuala Krai.

Antara pemimpin UMNO Sabah yang hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, Datuk Seri Abd.Ghapur Haji Salleh, Ketua UMNO Bahagian Papar, Datuk Abd.Rahim Ismail, dan Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Rosnah Abd.Rashid Shirlin.

Yang lain ialah Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Datuk Hajah Azizah Mohd. Dun, ADUN Banggi, Abd. Mijul Unaini, ADUN Sebatik, Abd. Muis Haji Picho, ADUN Sulabayan, Datuk Haji Harman Mohamad.

Tuesday, July 7, 2009

SALLEH LAWAT PEJABAT KRAFTANGAN MALAYSIA KELANTAN




KOTA BHARU: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM), Datuk Seri Salleh Said mengadakan lawatan ke pejabat cawangan PKKM Kelantan di Kilometer 10, Jalan Kuala Krai, di sini.


Ketibaan beliau disambut oleh Pengarah serta kakitangan PKKM cawangan Kelantan.


Sempena lawatan itu, beliau diberi taklimat mengenai fungsi dan operasi pejabat cawangan tersebut selain melawat ke beberapa bahagian di pejabat cawangan tersebut.


Lawatan tersebut adalah antara program kunjungan Datuk Salleh ke pejabat-pejabat cawangan perbadanan itu di seluruh negara.

Sunday, July 5, 2009

EKUINAS: LANGKAH BIJAK, PENDEKATAN PRAGMATIK





SETELAH kira-kira seminggu penubuhan Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) diumumkan, pelbagai reaksi, komen dan pandangan kedengaran daripada pelbagai pihak -- pemimpin politik, masyarakat peniaga Bumiputera dan badan bukan kerajaan (NGO).

Umumnya mereka memuji langkah yang diambil kerajaan itu dan menyifatkannya sebagai pendekatan pragmatik Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak untuk memastikan penyertaan Bumiputera yang lebih bermakna dan efektif dalam bidang ekonomi.

Ekuinas juga dianggap sebagai antara pendekatan baru yang diperkenalkan kerajaan sebagai kesinambungan kepada dasar liberalisasi ekonomi yang dilaksanakan oleh kepimpinan Datuk Seri Najib di mana dasar liberalisasi itu turut mendapat pujian daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Daripada reaksi-reaksi tersebut dapat dirumuskan harapan tinggi masyarakat agar Ekuinas dapat membawa perubahan dan mengangkat martabat rakyat, khususnya dari kalangan Bumiputera yang selama ini dikatakan terlalu bergantung kepada "tongkat kerajaan".

Di sebalik reaksi tersebut tersimpan mesej kepada Bumiputera agar memanfaatkan kemudahan yang tersedia menerusi Ekuinas, iaitu sebuah institusi pelaburan baru dengan modal permulaan RM500 juta dan sasaran dana sehingga RM10 bilion.

Ini sejajar dengan fungsinya sebagai satu instrumen untuk meningkatkan pegangan ekuiti Bumiputera, iaitu fungsi yang dikatakan gagal dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) sehingga menyebabkan ia tidak berganjak daripada paras 19 peratus selama 19 tahun.

Ketika mengumumkan penubuhan Ekuinas itu, Perdana Menteri menyatakan bahawa ia adalah dana ekuiti swasta yang akan menumpukan pelaburan di dalam sektor-sektor berpotensi mengalami pertumbuhan tinggi – pelancongan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), perubatan, minyak dan gas serta bioteknologi.

Ia dilaksanakan kerana berdasarkan fakta, sehingga kini jumlah penguasaan ekuiti Bumiputera hanya sekitar 19.4 peratus, iaitu masih jauh ketinggalan berbanding sasaran awal sebanyak 30 peratus.

Menyedari hakikat itu, maka kerajaan menggantikan FIC dengan satu instrumen baru, iaitu Ekuinas yang akan memberi tumpuan untuk meningkatkan pelaburan syarikat Bumiputera yang berpotensi.

Melihat kepada matlamat tersebut, adalah perlu bagi masyarakat peniaga Bumiputera khususnya memanfaatkan dengan sebaik mungkin peluang yang tersedia agar tidak terus ketinggalan dalam persaingan dengan bukan Bumiputera.

Selagi masyarakat Bumiputera terus berpeluk tubuh menunggu bantuan kerajaan semata-mata, maka selagi itulah mereka akan ketinggalan di belakang, apatah lagi dalam era dunia tanpa sempadan kini menuntut semua orang bertindak pantas dan cepat.

Sememangnya banyak sektor berpotensi diterokai oleh Bumiputera, kini proses transformasi itu terletak pada bahu mereka sendiri lantaran kemudahan-kemudahan telah pun disediakan. Masyarakat Bumiputera perlu ke hadapan, membangun bersama bangsa lain.

Oleh kerana Bumiputera sudah agak ketinggalan dalam persaingan sebelum ini, maka adalah perlu langkah mereka dipercepatkan supaya dapat bergerak dan mengejar bangsa lain.

Perlu diakui bahawa tahap kompetitif kini sudah berlainan berbanding dahulu, terutama daripada aspek modal, kemahiran dan pengetahuan. Begitu juga pentas persaingan telah berubah di arena global yang kini berdepan pula dengan krisis ekonomi sejagat.

Yang penting bagi masyarakat Bumiputera kini adalah mengubah "mind-set". Kalau dahulu sektor yang diusahakan mungkin dalam bidang-bidang kecil saja, tetapi kini seharusnya diperluaskan dalam lapangan lebih besar pula.

Jumlah usahawan Bumiputera yang berjaya masih sedikit bilangannya, justeru sudah tiba masanya usaha ke arah itu diperhebatkan lagi seiring matlamat mencapai Wawasan 2020.