Translate

Saturday, August 29, 2009

SYARULNIZAM SALLEH PRESIDEN MAJLIS PELAJAR DI AUSTRALIA

KOTA KINABALU: Syarulnizam Salleh, anak sulung bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, telah dipilih sebagai Presiden Majlis Pelajar Malaysia di Australia, Bahagian Queensland (MASCA Queensland 08/09) pada mesyuarat tahunan yang diadakan di Brisbane kelmarin (28 Ogos).

Syarulnizam yang berumur 22 tahun mendapat Ijazah Undang-Undang (LLB) dari University of Western Australia, Nizam ketika ini melanjutkan pengajian Master of Law (LLM) di Queensland.

Beliau merupakan seorang peguam muda yang akan diterima sebagai pengamal di Mahkamah Supreme Brisbane pada awal bulan Sept ini.

MASCA ialah sebuah organisasi pelajar Malaysia di Australia. Ia dipayungi organisasi induk, dikenali MASCA Kebangsaan, dan mempunyai cawangan di peringkat negeri dan satu daripadanya ialah MASCA Queensland.

MASCA mendapat sokongan daripada Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) dalam menganjurkan pelbagai acara untuk pelajar Malaysia yang menuntut di Australia.

Objektif utama MASCA Queensland ialah membantu menyelaras dan menyatupadukan semua persatuan pelajar di sekitar Queensland. Ia dilakukan dengan membantu persatuan utama pelajar Malaysia di Queensland seperti University of Queensland (UQ), Queensland University of Technology (QUT), Bond University (BU) dan Griffith University (GU).

MASCA Queensland turut terbabit dalam pelbagai persidangan dan kejohanan sukan di peringkat kebangsaan, Sukan Merdeka, sambutan Deeparaya dan lawatan Suruhanjaya Tinggi Malaysia ke Brisbane.

Wednesday, August 26, 2009

KEMERDEKAAN: MENGHARGAI PEJUANG MERINTIS MASA DEPAN

Bersama Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Hj Mulia (kiri) dan Serin Sudah (kanan) bergambar di Kg Taun Gusi Kota Belud sementara menunggu waktu berbuka puasa.

SETELAH beberapa hari demam, Selasa lepas barulah saya berkesempatan ke luar rumah. Petangnya berbuka puasa bersama ahli Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud, kemudian tarawih di sebuah perkampungan tidak jauh dari situ.

Demikianlah rutin saya setiap kali Ramadan menjelang. Begitu banyak undangan majlis berbuka puasa di kawasan selain majlis-majlis rasmi bersama kenamaan yang perlu dihadiri.

Ramadan kali ini lebih bermakna lagi kerana jatuhnya dalam suasana bulan kemerdekaan yang penuh makna dan pengertian. Ramadan menguji kesabaran dan ketaqwaan, manakala kemerdekaan menginsafkan tentang erti perjuangan.

Begitupun, suasana sambutan kemerdekaan yang bermula awal bulan ini tidak begitu dirasakan kemeriahannya.

Malahan kini, "mood" sambutan di kalangan masyarakat tidaklah semeriah tahun-tahun sebelum ini biarpun sambutan kemuncak 31 Ogos akan menjelang beberapa hari lagi.

Kelihatan jalan-jalan utama dan bangunan kerajaan sudah dihias dengan Jalur Gemilang, namun masih ada juga premis perniagaan dan bangunan persendirian yang tidak mengambil inisiatif serupa. Demikian juga rumah kediaman dan kenderaan-kenderaan di jalan raya, bilangan yang memasang bendera negara tidak sebanyak berbanding dahulu.

Biasanya sebelum ini, premis perniagaan dan bangunan serta pemilik kenderaan bersaing sesama sendiri, berlumba-lumba memasang bendera terbesar atau terpanjang, menghias yang tercantik, serta pelbagai idea kreatif untuk menarik perhatian.

Apakah faktor yang menyebabkan hal ini terjadi? Ada yang mengaitkannya dengan soal kegawatan ekonomi. Ramai dikatakan mengawal perbelanjaan bagi menghadapi ketidaktentuan masa depan.

Di sebalik `mood' yang kelihatan suram ini, persoalan timbul apakah semangat patriotisme dan jatidiri di kalangan rakyat, terutama generasi muda, telah mulai luntur?

Pastinya, pengibaran bendera semata-mata tidak melambangkan keperibadian seseorang. Demikian juga nyanyian lagu-lagu patriotik tidak semestinya dapat mewakili suara hati dan semangat juang para perwira negara.

Bagi saya, sambutan kemerdekaan harus diterjemahkan ke arah usaha pembangunan sebuah negara bangsa yang berdaulat dan disegani. Setiap rakyat perlu mensyukuri kemerdekaan yang dikecapi, bergerak seiring membangun bersama.

Rakyat harus bersyukur kerana setelah 52 tahun merdeka, Malaysia kini telah mengecapi kemajuan hasil daripada perjuangan tokoh masa silam. Justeru pada detik ulangtahun kemerdekaan ini, setiap warganegara Malaysia sewajarnya bangga kerana akhirnya kita tidak lagi bertuankan penjajah asing.

Kini, kitalah sendiri membentuk dan menentukan masa depan mengikut acuan yang dikehendaki.

Tidak syak lagi bahawa sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan kemudian disusuli pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, negara kita telah menghadapi banyak rintangan politik, ekonomi dan sosial.

Namun segala rintangan dan cabaran itu berjaya diharungi hasil perpaduan, muafakat dan semangat patriotisme setiap warga, yang akhirnya berjaya meletakkan Malaysia sebaris dengan negara-negara maju.

Kepayahan kita mencapai kemerdekaan harus menjadi iktibar bersama dalam menempuhi cabaran masa depan. Segala yang dinikmati hari ini perlulah dipertahankan supaya tidak lenyap dan lesap begitu saja.

Kunci utama mempertahankan kemakmuran ini hanyalah menerusi jalinan muhibah dan ikatan perpaduan yang jitu, apatah lagi dalam konteks kepelbagaian kaum dan agama di kalangan rakyat negara ini.

Kita sewajarnya berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk melindungi dan memelihara keamanan, kemajuan serta kemakmuran yang dinikmati selama ini untuk faedah masa depan anak-anak kita.

Hakikatnya, kemerdekaan yang dikecapi ini telah membahagiakan ramai orang. Selain telah menukar wajah dan dimensi landskap pembangunan negara, rata-rata kehidupan rakyat masakini sudah berubah ke tahap yang jauh lebih baik berbanding sebelumnya.

Sementara kita mengenang jasa para pemimpin terdahulu yang telah mempertaruhkan jiwa raga mereka mencapai kemerdekaan, marilah kita sama-sama menggalas tanggungjawab yang terpikul di bahu masing-masing dengan penuh dedikasi bagi merintis masa depan dan menjadikan hari esok lebih baik daripada hari ini.

Friday, August 21, 2009

Salam Ramadan dan Selamat Manunaikan Ibadah Puasa.

Assalamualikum WTB, Sempena bulan mulia ini, Ramadan Al Mubarak, Saya sekeluarga mengambil kesempatan mengucapkan Salam Ramadan dan Selamat menunaikan kewajiban ibadah puasa kepada rakan-rakan dan seluruh umat Islam di mana jua berada. Semoga bulan mulia ini dapat menguatkan lagi iltizam kita semua untuk menunaikan kewajiban dan dapat berbakti kepada agama, bangsa dan tanahair. IssyaAllah.

Wassalam
SALLEH SAID KERUAK SEKELUARGA.
Ogos, 2009.

Thursday, August 20, 2009

MAJLIS TAHLIL MENJELANG RAMADHAN



KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah menghadiri 'Majlis Tahlil' menjelang Ramadhan malam kelmarin di Sri Gaya, kediaman rasmi Ketua Menteri.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Juhar Haji Mahiruddin; menteri Kabinet negeri; dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak serta pemimpin Umno, termasuk Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri.

Kelihatan dalam gambar (dari kiri) Datuk Salleh Tun Said, Tan Sri Ampong Puyon, Datuk Yahya Hussin, Datuk Juhar Mahiruddin, Mufti Negeri, Datuk Ahmad Alawi Haji Adnan dan Pengerusi MUIS, Datuk Syed Abas Syed Ali.

Monday, August 17, 2009

KISAH ANAK MUDA YANG MENGINSAFKAN

KELMARIN, saya menaiki penerbangan AirAsia dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur. Duduk di sebelah saya seorang anak muda yang balik semula bekerja di Semenanjung setelah pulang kira-kira seminggu di kampung kelahirannya kerana neneknya telah meninggal dunia.

Semasa dalam pesawat, kami bersembang-sembang. Saya bertanya dengannya mengenai pelbagai perkara. Jawapannya begitu berterus-terang. Ternyata, ceritanya begitu menarik. Tentang kehidupan keluarganya. Tentang pekerjaannya. Juga tentang kisah anak muda Sabah di perantauan.


Saya cuba mengorek rahsia kehidupannya kerana bagi saya, dia seorang anak muda yang ada prinsip dan jatidiri. Baik tentang kegigihannya dalam pekerjaan, mahupun tentang pendiriannya mahu membina kehidupan keluarganya.

Bagi saya, ada iktibar dan mesej menarik di sebalik kisah yang diceritakan anak muda itu. Dia yang sudah 16 tahun berhijrah ke Semenanjung, adalah seorang daripada ribuan anak muda Sabah yang meninggalkan kampung halaman dan merantau ke tempat lain untuk mencari sebuah kehidupan.

Kisahnya bagaikan sebuah drama kehidupan, dikelilingi pelbagai watak.

Dia berasal dari Kampung Bambangan, Inanam, di pinggir bandar raya Kota Kinabalu. Dia masih ingat sewaktu bersekolah dahulu, kampungnya itu dikelilingi hutan menghijau, majoriti penduduknya dari rumpun bangsa yang sama, saling mengenali antara satu sama lain.

Menurut anak muda itu, kehidupan dengan suasana kampung begitu menyeronokkan. Penduduk saling bertegur sapa biarpun rumah dibina dengan jarak yang jauh-jauh antara satu sama lain.

Tetapi kini, katanya, keadaan kampungnya sudah berubah. Banyak tanah kampung sudah berpindah milik. Dijual penduduk asal kepada bangsa lain, yang kemudian mendirikan rumah batu dan projek perumahan. Orang luar dari pelbagai pelosok negeri membeli projek perumahan tersebut, maka bertambahlah jumlah penghuni baru di situ.

Menurutnya lagi, pemandangan hutan menghijau kini semakin berkurangan. Digantikan rumah-rumah yang diperbuat daripada konkrit. Kalau dahulu penduduk kampung bertegur sapa, tetapi kini penghuni projek perumahan seperti tidak mengenali rapat.

Dari ceritanya itu, satu hal yang harus dijadikan peringatan, ialah penduduk tempatan perlu berhati-hati "menjaga" tanah dan jangan mudah menjualnya kepada orang lain semata-mata mahu mendapat keuntungan segera. Tanah adalah pusaka warisan yang harus kekal sepanjang zaman.

Tentang pekerjaannya, anak muda itu menceritakan bahawa dia sudah bekerja 12 tahun sebagai tukang masak di sebuah pusat peranginan di Pahang. Dia bekerja di situ setelah tamat kursus mengenai masakan yang diikutinya menerusi satu skim latihan yang diperkenalkan oleh kerajaan.

Menurutnya, sebahagian kawan-kawan yang sekursus dengannya dahulu sudah berpindah kerja. Ada yang sudah bekerja di bidang lain daripada kursus yang diikuti. Mereka berpindah kerja kerana terpengaruh dengan tawaran gaji di tempat baru atau dipengaruhi rakan lain.

Malahan, katanya, sudah ramai juga anak muda Sabah yang telah berkahwin dengan gadis-gadis sepekerjaan di Semenanjung. Begitu juga dengan gadis tempatan Sabah, ramai yang terus tinggal di sana setelah berkahwin dengan pemuda di Semenanjung.

Tetapi bagi anak muda itu, dia memberitahu saya bahawa dia tetap komited bekerja di tempat asalnya itu untuk menimba sebanyak mungkin pengalaman, sambil mengumpul modal. Dia berhasrat untuk balik ke Sabah suatu hari nanti bagi memulakan perniagaan sendiri, meneruskan kehidupan di tempat sendiri.

Dia bersyukur kerana hingga kini dia tidak menghadapi masalah dengan majikannya. Dia mendapat layanan yang sama seperti pekerja lain, selain disediakan kemudahan seperti tempat tinggal, insentif dan cuti tahunan. Dia ada juga mendengar cerita mengenai belia Sabah yang ditipu majikan dan ejen-ejen mencari pekerjaan.

Tentang politik, anak muda itu tetap mengikuti kisah politik Sabah menerusi pelbagai saluran media termasuk internet. Malahan, katanya, setiap kali pilihan raya negeri diadakan, dia tidak terlepas peluang untuk pulang mengundi kerana biasanya tiket penerbangan disediakan oleh parti politik.

Anak muda itu gembira kerana kampungnya kini sudah banyak berubah dari segi pembangunan yang dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN).

Saturday, August 15, 2009

MESYUARAT UMNO SABAH


KETUA Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah mempengerusikan mesyuarat Umno Negeri Sabah (gambar) di Ibu Pejabat Umno Sabah di Kota Kinabalu, malam kelmarin.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Salleh Tun Said, Setiausaha Umno, Datuk Yahya Hussin, Bendahari Datuk Hajiji Mohd. Noor dan Ketua Penerangan, Datuk Sapawi Haji Ahmad.

Friday, August 14, 2009

KENAKAN TINDAKAN TEGAS TERHADAP PIHAK HINA ISLAM: SALLEH

KOTA BELUD: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak, termasuk orang politik (poltican) yang mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam.

Beliau berkata perbuatan yang menyentuh sensitiviti agama Islam dianggap menghasut dan boleh mencetuskan ketegangan antara kaum, justeru boleh dikenakan mengikut Akta Hasutan.

Katanya, setiap orang seharusnya peka dengan sensitiviti agama di negara ini dan tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan antara satu sama lain.

"Setiap orang tertakluk kepada batas undang-undang yang perlu dipatuhi biarpun negara kita mengamalkan prinsip kebebasan," katanya selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (Usia) Kota Belud di Dewan Tun Said di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengulas kenyataan menghina agama Islam oleh pihak tertentu sebagai reaksi terhadap pandangan penceramah bebas, Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, berhubung isu anak luar nikah.

Selain kritikan balas oleh Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Loke Siew Fook yang lebih menjurus kepada serangan peribadi, isu tersebut menjadi semakin hangat apabila wujudnya reaksi melampau dalam laman blog sehingga ke tahap menghina agama Islam.

Berikutan itu, pelbagai pihak termasuk pemimpin UMNO dan pembangkang Islam mendesak supaya pihak berkenaan dikenakan tindakan segera kerana ia boleh menimbulkan situasi tegang di kalangan rakyat pelbagai agama di negara ini.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah berkata pihak berkuasa perlu menyiasat segera perkara itu dan seterusnya mengambil tindakan sebelum keadaan menjadi bertambah buruk.

"Perkara ini tidak boleh dibiarkan berterusan, kerajaan kena bertindak supaya tidak ada lagi pihak yang berani memperlekehkan agama Islam," tegasnya.

Terdahulu dalam ucapannya, Salleh meminta Usia memainkan peranan secara proaktif dalam program dakwah termasuk mendekati golongan remaja dengan pelbagai pendekatan yang bersesuaian.

"Dalam agenda pembangunan dan penyatuan ummah, kita perlu tampil membimbing golongan remaja ini kerana mereka merupakan bakal pemimpin masa depan," katanya.

Beliau mengakui banyak cabaran perlu dihadapi oleh Usia dalam usaha pembangunan dakwah yang menjadi teras penubuhannya kira-kira 40 tahun yang lalu.

Salleh bagaimanapun memuji kejayaan Usia yang kini telah mempelbagaikan kegiatannya merangkumi ekonomi, termasuk pembangunan hartanah dan perladangan.

Usia kini diterajui oleh bekas Yang Dipertua Negeri Sabah dan bekas Ketua Menteri, Tun Sakaran Dandai. Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Usia Kota Belud, Lamsil Hamidsor.

Monday, August 10, 2009

BANGGA BERBAJU BATIK, LAMBANG JATIDIRI DAN SEMANGAT PATRIOTIK

SELEPAS menunaikan solat di Masjid Kampung Likas pada Jumaat lepas, saya balik ke rumah makan tengah hari dan kemudian ke pusat beli-belah terkenal 1Borneo untuk merasmikan Promosi Batik dan Tenun, anjuran Kraftangan Malaysia, pada kira-kira jam 3 petang.

Sesuai dengan majlis itu, saya memakai batik lengan panjang. Demikian juga pegawai-pegawai lelaki Kraftangan Malaysia yang menyambut ketibaan saya. Sementara pegawai dan staf wanita yang lain mengenakan baju kurung selain ada yang berkebaya.

Majlis didahului dengan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku, diikuti tarian sambut tamu sebelum ucapan dan selingan persembahan kebudayaan serta peragaan pakaian berasaskan batik dan tenunan.

Ketika berucap, saya menyatakan komitmen Kraftangan Malaysia di mana saya menjadi pengerusinya untuk terus memajukan industri batik dan tenunan tempatan, seterusnya berusaha mengangkatnya hingga ke persada global menerusi promosi di luar negara.

Saya juga berasa bangga dan kagum dengan sokongan pengusaha batik dan tenunan tempatan menjayakan promosi itu yang kali pertama diadakan di Sabah.

Dari atas pentas tempat saya berucap, terdapat gerai-gerai pengusaha batik dan tenunan, bukan saja dari Sabah tetapi juga dari beberapa negeri di Semenanjung, yang mengambil bahagian dalam promosi berkenaan yang berlangsung selama lima hari.

Sebahagian besar pegawai kerajaan dan tetamu yang hadir pada majlis petang itu juga berpakaian batik, termasuk mereka dari kalangan masyarakat Tionghua dan Kadazandusun. Ini menunjukkan batik merupakan pakaian untuk semua kelompok masyarakat.

Secara peribadi, saya sememangnya senang dan selesa setiap kali memakai batik. Malahan, dalam koleksi pakaian saya, memang terdapat banyak baju batik pelbagai corak dan jenis kain, dengan lengan pendek dan panjang.

Selain diperolehi dalam negara, sebahagiannya juga saya beli ketika berkunjung ke luar negara seperti Indonesia yang memang terkenal dan popular dengan batiknya. Dengan stailnya yang tersendiri, batik sesuai dipakai oleh semua rakyat negara ini tanpa kekok.

Malahan sekarang ini, sudah ada macam-macam fesyen batik diperkenalkan di pasaran, untuk memenuhi citarasa dan keperluan masyarakat. Batik lengan pendek misalnya, boleh dipakai semasa santai dan majlis tidak formal. Pemakainya nampak `smart'.

Seharusnya, masyarakat kena berasa seronok dan bangga memakai batik. Jangan kita asyik pakai `kot' dan tali leher dengan kameja saja. Sebagai rakyat Malaysia, kita harus berasa bangga setiap kali memakai baju batik kerana ia lambang jatidiri dan semangat patriotik.

Selaras usaha menggalakkan pemakaian batik, kerajaan telahpun mewajibkan semua penjawat awam untuk memakai batik pada hari Khamis. Pihak Kraftangan Malaysia akan menyokong dan membantu usaha menjayakan program berkenaan.

Mengambil kira komitmen ini jugalah, maka saya menyarankan supaya gedung-gedung perniagaan membantu mempromosikan batik dan juga kraftangan tempatan, dengan menyediakan sudut khas ataupun insentif lain kepada pengusaha.

Satu daripada usaha yang boleh dibuat gedung-gedung perniagaan ini ialah menawarkan diskaun untuk sewaan ruang jualan kepada pengusaha batik dan kraftangan.

Ketika saya mengadakan lawatan ke Indonesia baru-baru ini, saya dapati pihak swasta di sana termasuk gedung perniagaan di Sarena Tamrin, Blok M dan Dewan Pameran Industri Kecil dan Sederhana, Semanggi, Jakarta, ada memperuntukkan ruang jualan khas untuk produk kraf tempatan mereka. Ini menunjukkan usaha mereka sama-sama membantu industri dalam negara sendiri.

Penglibatan pihak swasta sangat penting untuk menentukan kejayaan usaha promosi yang dilaksanakan kerajaan. Semua "player" dalam sektor berkaitan, termasuk pemandu teksi dan pemandu pelancong memainkan peranan penting.

Pemandu teksi dan pemandu pelancong misalnya boleh membawa pelancong ke tempat jualan produk tempatan, termasuklah batik dan kraftangan.

Di Kota Kinabalu sendiri terdapat pasar kraftangan yang begitu popular dengan pelbagai kraftangan dari negara jiran sehinggakan ia menjadi tumpuan setiap pelancong yang datang. Biarpun pasar kraftangan itu turut menjual pelbagai produk tempatan, tetapi namanya sudah sinonim dengan kraftangan negara jiran, justeru keadaan perlu diperbetulkan.

Friday, August 7, 2009

GEDUNG PERNIAGAAN PERLU PROMOSI BATIK. KRAFTANGAN: SALLEH

KOTA KINABALU: Pengerusi Kraftangan Malaysia, Datuk Seri Salleh Said Keruak meminta gedung-gedung perniagaan membantu mempromosikan batik dan kraftangan tempatan sebagai usaha memajukan industri berkenaan di negara ini.

Katanya, gedung membeli-belah boleh mengambil peranan secara proaktif sama ada dengan menyediakan sudut atau ruang pameran khas mahupun insentif lain kepada pengusaha tempatan.

"Gedung membeli-belah boleh menawarkan diskaun untuk sewaan ruang jualan semasa promosi diadakan di mana usahawan akan dikenal pasti oleh Kraftangan Malaysia.

"Kita mengalu-alukan usaha dan penglibatan pihak swasta seperti gedung perniagaan dalam usaha mempromosikan batik dan kraftangan tempatan," katanya berucap merasmikan Promosi Batik dan Tenun di pusat beli-belah 1Borneo di sini petang ini.

Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata industri batik dan kraftanga mempunyai potensi cerah untuk berkembang da;ln Krftangan Malaysia akan terus membangunkan industri ini.

Katanya, nilai jualan di peringkat domestik dan antarabangsa bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini saja berjumlah RM30.98 juta, dengan seramai 1,502 penyertaan usahawan melalui 195 aktiviti promosi.

Beliau berkata jualan kraf bagi tempoh sama di Sabah adalah RM848,801 melalui 28 aktiviti promosi dan penyertaan seramai 191 usahawan tempatan.

Salleh juga berkata bahawa pihaknya akan terus berusaha membangunkan usahawan melalui projek Satu Daerah Satu Industri (SDSI) di mana ketika ini terdapat 67 projek SDSI sedang dibangunkan di seluruh negara, termasuk 12 di Sabah.

"Jualan di bawah projek SDSI bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini ialah RM10.7 juta, termasuk RM2.4 juta di Sabah," katanya.

Tuesday, August 4, 2009

GALAK GENERASI MUDA SERTAI SEKTOR PERTANIAN: SALLEH

BEAUFORT: Bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyarankan agar langkah proaktif diambil bagi menggalakkan generasi muda berumur 40 tahun ke bawah dilibatkan secara aktif dalam sektor pertanian.

Beliau berkata langkah itu penting memandangkan peranan generasi muda dalam negara adalah amat penting dalam menjayakan pembangunan pertanian negara secara mampan dan berkesan.

"Dengan menggalakkan penglibatan secara langsung generasi muda dalam sektor ini, kita yakin ia mampu menyumbang ke arah menjana pertumbuhan ekonomi," katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tahunan PPK Beaufort di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Kehormat PPK Beaufort, Mohd Nazri Abdullah dan Pengerusi PPK Beaufort, Asmuni Jusrin.

Salleh sehubungan itu mengalu-alukan pengumuman Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar, baru-baru ini untuk melantik empat lagi Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) berumur 40 tahun ke bawah untuk memberi peluang kepada generasi muda melibatkan diri secara aktif dalam pertanian.

Bagaimanapun, kata Mohd Noh, mereka tidak akan dibayar elaun mesyuarat seperti yang diperoleh tujuh Ahli Lembaga Pengarah lain yang dilantik oleh PPK.

Salleh yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Peladang Negeri Sabah yakin pelantikan tersebut dapat memberi pendedahan kepada generasi muda masa kini.

Beliau juga mengalu-alukan penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian di setiap kawasan Parlimen seluruh negara.

Beliau berkata pelantikan wakil PPK dalam majlis berkenaan sekaligus membolehkan PPK yang dianggotai penternak, peladang dan nelayan terbabit secara langsung dalam penyelarasan projek pertanian di setiap kawasan Parlimen.

"PPK merupakan organisasi yang mengetahui dan memahami keadaan setempat di setiap kawasan, justeru adalah penting ia dilibatkan dalam agenda pembangunan pertanian negara," katanya.

Salleh berkata dengan menganggotai majlis berkenaan, wakil PPK dapat berbincang dan berinteraksi secara terus dengan para pegawai pertanian yang bertanggungjawab untuk kawasan masing-masing.

Dalam pada itu, Salleh meminta rakyat negeri ini supaya melipatgandakan usaha mmajukan kawasan tanah terbiar dengan kegiatan pertanian atau perladangan.

"Jangan biarkan tanah terbiar. Usahakan dengan kegiatan menguntungkan, apatah lagi dalam keadaan suasana ekonomi global yang tidak menentu," katanya, sambil menyatakan bahawa kerajaan menyediakan pelbagai kemudahan dan insentif bagi memajukan sektor pertanian.

Beliau berkata dengan mengusahakan kawasan tanah, ia sudah tentu dapat menampung keperluan sendiri, sekali gus membantu kerajaan mengurangkan pergantungan kepada import bahan makanan.

"Ketika ini, kita berhadapan dengan cabaran ekonomi global yang membawa kesan rantaian apabila harga barangan dan perkhidmatan turut meningkat.

"Fenomena ini mengakibatkan krisis makanan global yang turut memberikan impak negatif kepada negara kita, justeru PPK perlulah memainkan peranan secara proaktif," katanya.

Sunday, August 2, 2009

BERSATU MENYUBUR CITRA PERJUANGAN

TIADA penyediaan karpet merah, bunga manggar dan paluan kompang. Itulah pembaharuan suasana pada mesyuarat perwakilan Umno bahagian saya, Kota Belud pada Sabtu lepas.

Sejurus tiba kira-kira jam 9.00 pagi, saya terus memasuki dewan sambil bersalaman dengan beberapa orang yang menunggu di pintu masuk.

Seperti biasa, mesyuarat dimulakan dengan doa dan nyanyian lagu Negaraku, Sabah Tanah Air dan parti sebelum saya menyampaikan ucapan perasmian. Lebih 600 perwakilan menghadiri mesyuarat tersebut selain pemerhati dan penyokong parti.

Selesai ucapan perasmian, mesyuarat ditangguhkan sementara untuk rehat dan jamuan ringan. Sekali lagi, pembaharuan dibuat dengan tidak menyediakan ruang minum khas VIP, sebaliknya semua orang minum di ruang yang sama, makan makanan yang sama, sambil berbual mesra antara satu sama lain.

Pembaharuan itu dibuat sejajar dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, selepas mengambil alih teraju pemerintahan negara, agar segala proses protokol dalam satu-satu acara itu dikurangkan, kerana yang penting dan perlu diutamakan ialah pemimpin mendengar serta menyelesaikan masalah rakyat.

Saya mengambil tajuk "BERSATU MENYUBUR CITRA PERJUANGAN" sebagai tema ucapan pada pagi itu, dengan menghuraikan senario politik dan cabaran perjuangan yang harus diharungi bersama.

Saya memulakan ucapan dengan menyentuh soal pindaan perlembagaan Umno yang merupakan suatu perubahan drastik daripada amalan tradisi yang perlu difahami oleh setiap ahli parti.

Saya jelaskan kepada perwakilan bahawa Umno membuat pindaan itu kerana parti bersifat terbuka dan senantiasa mendengar suara ahli-ahli di peringkat akar-umbi.
Kemudian saya menghuraikan kebaikan kerja berpasukan dan mengetepikan sengketa peribadi.

Dalam hal ini, saya tegaskan bahawa setiap ahli parti perlu mempraktikkan semangat kerja berpasukan. Kerja berpasukan bermaksud kita bertindak bersama, melangkah serentak dan bergerak seiringan.

Paling utama dalam prinsip kerja berpasukan, kita kena memberi sokongan pada seorang ketua atau nahkoda yang mengemudi perjuangan, tidak kiralah sama ada pada peringkat cawangan dan bahagian mahupun negeri dan Pusat.

Kerjasama juga penting diperluaskan dalam konteks Barisan Nasional kerana ia merangkumkan gagasan lebih besar.

Intipati "point" saya dalam hal ini ialah hakikat bahawa satu undi pun penting. Sebagai iktibar, saya mengajak ahli Umno mengimbas keputusan pilihan raya kecil di DUN Manik Urai, di mana jumlah undi majoriti kecil yang diperolehi pembangkang menunjukkan betapa tingginya nilai setiap undi itu.

Gagasan pimpinan baru yang dibawakan oleh Datuk Seri Najib juga saya "highlight" dalam ucapan itu dan saya menyifatkannya sebagai suntikan semangat buat ahli-ahli Umno.

Slogan yang ditekankan oleh Datuk Seri Najib "Berubah atau Rebah" membuktikan harapan pucuk pimpinan untuk membawa pembaharuan kepada parti demi survival masa depan.

Demikian juga slogan "1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' yang diketengahkan Perdana Menteri, merupakan suatu gagasan yang memberi keyakinan baru kepada rakyat, yang pastinya menjadi teras dalam apa jua tindakan yang dilaksanakan.

Saya nyatakan secara optimis kepada perwakilan bahawa segala usaha dan pendekatan proaktif kepimpinan Perdana Menteri ini, membawa dimensi baru buat rakyat dan negara seluruhnya.

Tidak lupa saya menyentuh mengenai citra perjuangan Umno Sabah dan prinsip-prinsip baru yang perlu diterapkan oleh setiap ahli.

Di sinilah saya mencadangkan lima prinsip tambahan yang perlu dijunjung oleh setiap ahli parti.

Lima prinsip tambahan yang saya rumuskan sebagai 5KB itu ialah Kesetiaan Berjuang (bermaksud mengikut dasar parti), Kejujuran Berbakti (bermaksud tidak mengharapkan balasan), Ketelusan Berkhidmat (bermaksud mengutamakan kepentingan umum), Keikhlasan Bekerja bermaksud tidak mementingkan diri sendiri) dan Kesatuan Bertindak (bermaksud satu tanggungjawab secara kolektif.

Saya nyatakan kepada mereka bahawa prinsip 5KB ini adalah sebagai tambahan kepada slogan yang dilaungkan oleh Umno selama ini iaitu "Bersatu Bersetia Berkhidmat" yang sememangnya akan senantisa menjadi pegangan pemimpin di bahagian ini, dalam mengayuh perjuangan parti.

Selepas berhenti rehat untuk jamuan ringan, mesyuarat disambung dan perwakilan memilih wakil tujuh dan membahaskan mengenai usul pindaan perlembagaan, manakala ucapan penggulungan dibuat oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian Kota Belud.

Keseluruhannya, mesyuarat pada hari itu berjalan lancar.

Saturday, August 1, 2009

SALLEH SYOR 5KB TERAS TAMBAHAN PERJUANGAN UMNO

KOTA BELUD: Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak mengesyorkan supaya ahli Umno menjunjung lima teras tambahan perjuangan sebagai usaha memperkukuhkan parti, sejajar perubahan yang diharapkan pucuk pimpinan parti.

Lima teras tambahan itu dirumuskannya sebagai 5KB, iaitu Kesetiaan Berjuang, Kejujuran Berbakti, Ketelusan Berkhidmat, Keikhlasan Bekerja dan Kesatuan Bertindak.

"Kesetiaan Berjuang bermaksud mengikut dasar parti, Kejujuran Berbakti bermakna tidak mengharapkan balasan, Ketelusan Berkhidmat bererti mengutamakan kepentingan umum, Keikhlasan Bekerja bererti tidak mementingkan diri sendiri dan Kesatuan Bertindak merupakan satu tanggungjawab secara kolektif," katanya.

Berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Belud di sini, beliau berkata prinsip lima ini adalah sebagai tambahan kepada slogan yang dilaungkan oleh Umno selama ini, iaitu "Bersatu Bersetia Berkhidmat" yang senantisa menjadi pegangan.

"Kita meletakkan Kesetiaan Berjuang sebagai prinsip pertama kerana berpendapat ia merupakan teras kekuatan dan kejayaan parti. Pemimpin yang setia berjuang akan memperkukuhkan keyakinan ahli terhadap parti," katanya.

Dalam ucapannya yang bertemakan "BERSATU MENYUBUR CITRA PERJUANGAN" itu, Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata teras perjuangan itu bertujuan menentukan Umno dapat diurus dengan sebaiknya.

"Pengurusan dan pentadbiran yang cekap, cepat dan tepat hendaklah menjadi amalan dalam pengurusan parti," katanya, sambil menyatakan pentingnya Umno menjadi agen perubahan sikap, budaya dan sosial.

Salleh turut mengajak setiap ahli parti supaya memperkukuhkan jalinan muafakat, meningkatkan kerjasama dan mengamalkan kerja berpasukan serta mengetepikan sebarang sengketa peribadi.

"Jika kita bersengketa, bercakaran dan bermusuhan sesama sendiri, kita akan menjadi lemah. Apabila kita lemah, orang lain tidak akan menghormati kita," katanya. Sebaliknya, kata beliau, apabila ahli parti bersatu, Umno menjadi teguh dan dapat mengatur langkah perjuangan secara berkesan.

"Kita juga hendaklah juga mempraktikkan semangat kerja berpasukan. Setiap ahli dan pemimpin di semua peringkat mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing.

"Paling utama dalam prinsip kerja berpasukan, kita kena memberi sokongan pada seorang ketua. Dalam hal ini, pasukan kita kena jadi popular, barulah ia diminati oleh masyarakat.

"Demikian juga pemimpin, mestilah popular dalam konteks yang positif. Pasukan atau pemimpin yang popular akan sentiasa menjadi sanjungan, ikutan dan teladan," tegasnya.

Salleh berkata selain dalam Umno, kerjasama dengan rakan komponen Barisan Nasional (BN) juga penting bagi menentukan BN kekal sebagai tonggak pemerintahan.

Menurutnya, satu undi pun amat penting dalam suasana politik yang ada persaingan untuk mendapat sokongan.