Translate

Saturday, September 26, 2009

KISAH DAN CABARAN HIDUP DI PERANTAUAN



MALAM tadi (25 September), ramai orang hadir pada rumah terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Kota Belud yang diadakan di sebuah restoran di Kampung Bobot, Kota Belud.

Sebagai Ketua Umno Bahagian selaku hos majlis itu, saya melayani setiap tetamu yang hadir dan bercerita dengan sebahagian mereka mengenai pelbagai kisah. Saya juga mendengar cerita mereka, mengenai bermacam hal, daripada soal politik dan kerajaan hingga kepada soal pengalaman kehidupan.

Bercerita mengenai soal kehidupan, saya teringat kisah hidup seorang rakyat Malaysia yang saya temui di Perth, Australia, baru-baru ini.

Rakyat Malaysia berbangsa Melayu berasal dari Melaka yang mengenalkan dirinya sebagai Hassan itu saya temui ketika berkunjung ke rumahnya semasa perayaan Aidilfitri di sana. Isteri kepada beliau ialah kakak kepada pemandu saya ketika saya menjadi Pengerusi Kraftangan Malaysia.

Keberanian Hassan merantau ke luar negara dan kecekalannya mengharungi kehidupan sehingga boleh `survive' di bumi asing biarpun tanpa pelajaran yang tinggi boleh dijadikan iktibar. Hassan meninggalkan kampung halamannya lebih 35 tahun lalu untuk mencari kehidupan jauh di perantauan -- destinasi dituju Christmas Island. Dia melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan.

Setelah 15 tahun di sana, dia kemudian berhijrah ke Perth di tanah besar Australia, meneruskan pekerjaan yang boleh dilakukan asalkan mendapat wang secara halal. Menurut Hassan, ada dua perkara atau sikap yang mesti dimiliki seseorang untuk membolehkannya mengharungi cabaran kehidupan, iaitu tidak memilih pekerjaan dan apabila mendapat pekerjaan, hendaklah bersungguh-sungguh melakukannya.

Baginya, berdasarkan pengalamannya sendiri, banyak pekerjaan boleh dibuat yang mampu menjana pendapatan. Dia mengambil contoh di Perth sendiri, pekerjaan seperti membersih tingkap bangunan, memetik epal dan menjadi pelayan di restoran makanan segera menjanjikan pendapatan yang lumayan.

Dia bersyukur kerana berkat semangat dan prinsipnya tidak memilih kerja itu, dia kini hidup dalam keadaan selesa, ada kereta dan kediaman yang sederhana, bersama isteri dan anak-anak. Ada antara anak-anaknya yang telahpun mendirikan rumahtangga dan hidup selesa.

Mendengar ceritanya itu, saya teringat pula kisah yang berlaku di negara kita melibatkan soal pembantu rumah di mana kita masih lagi bergantung kepada khidmat pembantu rumah warga asing sedangkan pekerjaan itu boleh dilakukan orang kita sendiri.

Baru-baru ini tercetus kontroversi berhubung pembantu rumah apabila timbul pelbagai cadangan, termasuk menetapkan gaji minimum. Barangkali sudah tiba masanya bagi pihak berwajib mengambil langkah proaktif menangani masalah ini. Umpamanya, menjadikan pekerjaan pembantu rumah itu sebagai satu kerjaya yang berstatus. Menukar istilah "pembantu rumah" kepada suatu terma baru bagi menghapuskan stigma negatif yang barangkali menjadi punca tidak ramai gadis muda tempatan menceburi pekerjaan itu.

Tidak dinafikan, khidmat pembantu rumah sangat penting bagi sesebuah keluarga, terutama mereka yang berkerja. Tetapi kebergantungan masyarakat kita terhadap pembantu rumah asing ada juga keburukan di sebalik kebaikan. Umpamanya, jika kita terlalu menyerahkan tugas mengasuh anak-anak kepada pembantu asing, mereka akan membesar dan terikut-ikut kepada cara pembawaan pembantu rumah terlibat. Misalnya, loghat pertututan anak-anak kecil boleh jadi terikut-ikut dengan loghat atau bahasa pembantu rumah itu.

Cerita pembantu rumah warga asing yang mencetuskan polemik di negara kita dan kisah Hassan mencari pekerjaan di negara asing, merupakan dua ilustrasi kehidupan yang harus menginsafkan dan perlu dijadikan iktibar bersama.

Seperti juga pembantu rumah warga asing di negara kita yang tidak pernah melupakan kampung mereka, Hassan juga demikian. Biarpun sudah berpuluh tahun di negara asing, dia tetap mengikuti perkembangan yang berlaku di Malaysia menerusi tv yang siarannya diperolehi menggunakan parabola.

Malahan, ketika saya sekeluarga berkunjung pada rumah terbukanya di Perth pada malam itu, kami sama-sama menonton siaran berita perdana RTM menerusi saluran TV1. Terasa seperti saya berada di rumah kami di Likas, Kota Kinabalu.

Tuesday, September 15, 2009

Undangan Rumah Terbuka Sempena Hari Raya Aidilfitri.

Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Ahli jawatankuasanya dan Ahli-ahli UMNO Kota Belud
Dengan tulus ikhlasnya mempersilakan
Tan Sri/ Datuk/ Datin/Tuan/Puan/Cik dan seluruh masyarakat amnya

untuk hadir ke Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Kota Belud sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan diadakan seperti berikut:-

Tarikh: 25 September, 2009. (Hari Jumaat)
Masa: Mulai Jam 7.00 Petang hingga Jam 10.00 Malam.
Tempat: Dewan Serbaguna, Restoran Rasa Sayang, Kg. Bobot, Kota Belud.

Kami amat mengalukan kehadiran anda ke Majlis kami ini kelak dan kami mengucapkan jutaan terima kasih.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
Dengan Ingatan Tulus Ikhlas, Maaf Zahir dan Batin.
DARIPADA:
Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Ahli JawatanKuasa Bahagian dan ahli-ahli UMNO Kota Belud.

Monday, September 14, 2009

CATATAN PENGALAMAN DI KOTA BRISBANE


Ketika berada di Brisbane, Australia, baru-baru ini, saya dan isteri sempat meninjau sebahagian kotanya. Bandarnya bersih dan tersusun, manakala sistem pengangkutan awamnya dikira efisien.

Kami menaiki bas ke beberapa destinasi sekitar kota. Memang seronok. Selain dapat menikmati udara segar dan pemandangan kota yang indah, perjalanan dengan bas juga membolehkan saya menyaksikan pelbagai karenah, ragam dan gelagat manusia.

Sebagai pelancong asing di kota Brisbane, ada juga pengalaman menarik yang boleh dikongsikan bersama. Paling ketara ialah kesopanan mereka.Saya katakan demikian kerana ketika menaiki sebuah bas awam, mereka yang menunggu tidak berebut-rebut untuk naik. Sebaliknya, mereka berbaris dan beratur. Malahan, mereka mendahulukan golongan yang sudah berusia untuk naik dan mendapatkan tempat duduk terlebih dahulu.

Cara mereka itu adalah suatu teladan yang baik dan perlu dijadikan iktibar. Saya percaya, ia diperhatikan oleh ramai pelancong asing seperti saya, dan pastinya ia memberikan imej positif pada nama kota Brisbane.

Sikap tidak mementingkan diri sendiri merupakan suatu amalan terpuji. Justeru, wajarlah barangkali jika sikap dan budaya sedemikian dapat diterapkan dalam masyarakat kita, terutama yang melibatkan sistem pengangkutan awam.

Pengalaman kecil itu adalah realiti kehidupan bahawa tidak semua cara yang dibawakan oleh Barat itu sesuatu yang tidak bagus. Ada juga sebahagian cara mereka yang boleh diteladani.

Berkunjung ke Australia, sama ada untuk makan angin atau membeli-belah, tidak ada masalah bagi rakyat Malaysia kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa pertuturan utama di situ. Mudah berkomunikasi jika tersesat jalan. Papan-papan tanda, arah jalan dan bangunan di situ juga semuanya ditulis dalam Bahasa Inggeris.

Berkunjung ke Australia sama seperti ke London atau New York, kita akan melihat "orang putih" di sana-sini, tetapi jarak penerbangannya jauh lebih dekat berbanding ke negara "orang putih" yang lain. Maknanya, kos lebih murah.

Syarikat penerbangan nasional dan Air Asia mengadakan penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke beberapa bandar utama di Australia. Manakala jika dari Kota Kinabalu boleh naiki Brunei Airlines dan hanya perlu transit di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam.

Australia kini menjadi antara negara pilihan ibu bapa di Malaysia menghantar anak mereka melanjutkan pengajian. Selain dikira dekat dengan negara kita, standard pembelajaran di sana juga adalah sama dengan institusi pengajian tinggi antarabangsa yang bertaraf dunia.

Tuesday, September 8, 2009

TWITTER SEBAGAI KEPERLUAN ERA DUNIA TANPA SEMPADAN


SAYA dan isteri sudah dua hari berada di Brisbane, Australia, kerana menghadiri majlis penerimaan anak sulung kami, Syarulnizam, sebagai Pengamal Undang-undang di Queensland.

Penerbangan kami dari Kota Kinabalu pada Ahad lalu transit selama kira-kira satu setengah jam di Bandar Seri Begawan.

Dan sementara menunggu penerbangan sambungan, saya sempat update maklumat dalam laman blog mikro, Twitter, dengan menulis ringkas: "Sampai Brunei dan flight ke Brisbane jam 11.10 pagi" Sesampai di Brisbane, saya menambah maklumat dalam Twitter lagi dengan menulis: "Tiba di Brisbane, kami tinggal di Royal Albert Hotel."

Demikianlah mudah dan pantasnya maklumat dapat disalurkan menerusi alam siber pada era dunia tanpa sempadan kini. Biarpun berlainan waktu dan berjauhan tempat, Twitter mendekatkan semua orang yang mempunyai kemudahan capaian internet.

Sebelum kami berangkat pun, saya sudah memasukkan dalam "Twitter Updates"(www.twitter.com/sallehsaid) blog saya mengenai perjalanan saya ke Australia ini serta program-program yang bakal dihadiri, sekali gus memudahkan orang ramai mengetahui program dan pergerakan saya.

Bagi penduduk di kawasan Kota Belud di mana saya menjadi Ketua Umno di bahagian tersebut, diari dalam Twitter itu memudahkan mereka yang ada urusan menemui saya di mana-mana acara saya hadiri.

Twitter, sebagaimana juga rangkaian sosial popular, Facebook (fb) merupakan satu lagi kaedah komunikasi yang cepat dan mudah, yang mendekatkan banyak orang serta membolehkan kita mengetahui perkembangan semasa yang berlaku.

Seperti juga fb, saya join, register dan kendalikan sendiri Twitter menerusi laptop dan telefon bimbit Blackberry. Kini sudah menjadi satu kebiasaan bagi saya melayari fb dan mengemaskini Twitter setiap kali ada kesempatan.

Di Sabah, hampir keseluruhan kawasan mempunyai akses, sama ada menerusi broadband mahupun talian telefon bimbit. Jadi, mudahlah bagi kita berkomunikasi biarpun dalam kenderaan yang sedang bergerak.

Seperti yang saya nyatakan dalam tulisan sebelum ini bahawa fb dan Twitter merupakan satu wadah interaksi masyarakat. Malahan, dalam fb semua orang boleh berdebat dan berinteraksi mengenai sesuatu topik yang dibangkitkan. Misalnya, selepas saya "post" gambar bersama Nizam dalam fb sejurus selesai majlis pada Isnin, ramai orang dari Malaysia, khususnya Sabah memberikan komen dan mengucapkan tahniah (walaupun tidak bersemuka) atas kejayaan anak sulung lelaki kami yang kini bergelar peguam, sedangkan saya dan isteri masih berada di negara Kangaroo ini.

Sesungguhnya, generasi hari ini tidak boleh buta internet. Semua orang kena belajar ICT supaya kita tidak ketinggalan dalam perlumbaan dunia siber.

Internet bukan lagi untuk golongan berada saja, sebaliknya harus dijadikan sebagai satu keperluan semua peringkat masyarakat. Saya melihat semakin ramai orang, termasuk kalangan orang politik menggunakan saluran ICT untuk berkomunikasi. Dulu mereka membangunkan laman web dan pangkalan data kawasan, kemudian mewujudkan blog sendiri dan kini mendaftar dalam fb, Twitter dan MySpace.

Saya adalah antara yang terawal mewujudkan laman web, iaitu www.keruak.com pada 2006, disusuli blog menerusi www.sskeruak.blogspot.com.

Selamat belayar dalam dunia siber!

Monday, September 7, 2009

SYAHRULNIZAM SALLEH DITERIMA SEBAGAI PENGAMAL UNDANG-UNDANG DI QUEENSLAND

KOTA KINABALU: Syarulnizam Salleh, anak lelaki sulung bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, hari ini diterima secara rasmi sebagai Pengamal Undang-undang di Queensland, Australia.

Majlis penerimaan itu diadakan di Mahkamah Rayuan di Brisbane, dan turut disaksikan oleh Salleh bersama isteri, Datin Seri Raya Erom.

Syarulnizam yang berumur 22 tahun mendapat Ijazah Undang-Undang (LLB) dari University of Western Australia. Beliau ketika ini melanjutkan pengajian Master of Law (LLM) di Queensland.

Minggu lalu, Syarulnizam dipilih sebagai Presiden Majlis Pelajar Malaysia di Australia, Bahagian Queensland (MASCA Queensland 08/09).

Gambar menunjukkan Syarulnizam (dua kiri) bergambar bersama Salleh (kanan) dan Raya (kiri) sejurus majlis selesai.

Wednesday, September 2, 2009

FACEBOOK GELOMBANG BARU DUNIA ICT


SEBENARNYA saya sudah lama mahu `join' Facebook (fb) dan tanya anak saya, Hafez, yang berumur 12 tahun. Dia kata, fb untuk orang muda remaja saja dan sebenarnya dia memang sudah daftar di fb. Jadi sayapun tidak join Tetapi baru-baru ini, ada kawan-kawan menyarankan supaya saya masuk fb. Maka saya pun register sendiri dan terperanjat mendapati ramai juga orang politik dan kawan-kawan lama, termasuk dari media sudah join fb.

Kini telah menjadi kebiasaan dan kemestian bagi saya untuk melayari fb setiap kali ada kelapangan. Malahan, saya juga kini seperti "ketagih" mengambil gambar menggunakan telefon bimbit Blackberry dan kemudian muatkan gambar tersebut ke dalam fb dengan serta-merta.

Beberapa hari lepas, ketika menghadiri majlis berbuka puasa yang dihadiri YAB Ketua Menteri Sabah di Beaufort, saya mengambil gambar acara tersebut dan terus memuatkannya dalam fb.

Begitu juga sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan ke-52 peringkat negeri Sabah yang diadakan di Kompleks Sukan Likas, saya mengambil gambar di situ dan langsung memasukkannya ke dalam fb.

Saya melihat fb telah menjadi wadah interaksi masyarakat dari seluruh pelosok bumi dan pelbagai latarbelakang. Macam-macam kisah, cerita dan idea dipaparkan dan dikongsikan, yang kemudian mengundang reaksi secara spontan.

Ada yang mengetengahkan idea secara serius, ada yang sinis dan tidak kurang yang berbunga-bunga bahasanya.

Saya biasanya memuatkan petikan kata-kata hikmah dalam Bahasa Inggeris ke dalam fb dan berasa gembira kerana sering mendapat reaksi yang pelbagai. Itu tandanya masyarakat bersikap responsif pada keadaan.

Fb kini telah menular sebagai demam di negara kita. Ramai orang sudah demam fb. Kalau kita tengok, awal subuh selepas bersahur, akan kelihatan ramai orang sudah online.

Fb adalah wadah interaksi yang bagus. Ia menjadi medan perbincangan, mengasah minda untuk berfikir mengenai macam-macam hal. Juga mengeratkan jalinan muhibah kerana rata-rata yang kita masukkan dalam rangkaian fb adalah kalangan orang yang dikenali. Kita boleh `jejak kasih' dan mencari kawan-kawan lama menerusi fb.

Melalui fb, kita tahu perkembangan terkini kawan-kawan dan juga mereka yang related dengan kita. Kita juga mendapat maklumat terkini mengenai pelbagai perkara.

Selain fb, dua lagi wadah interaksi yang turut diminati sekarang ialah Twitter di mana saya turut mendaftar dan satu lagi, MySpace. Seperti juga fb, Twitter dan MySpace adalah percuma dan boleh menjadi rangkaian menyampaikan maklumat yang pantas.

Fb dan Twitter saya kendalikan sendiri. Jadi, mudah bagi saya memilih dan menapis mereka yang mahu "add" dalam rangkaian kita. Sepatutnya kita "add" kawan-kawan saja, tapi sekarang ini semua nak masuk dan saya pun control, tak terima semua.

Yang pasti, kita tidak boleh lari daripada perkembangan dunia ICT dan fb merupakan antara wadah yang kita tidak boleh tercicir. Kita hidup dalam suasana dunia baru dan perlu mengikuti perkembangan semasa.

Sememangnya, ada keburukan di sebalik kecanggihan teknologi ICT seperti ini, tapi ia jangan dilihat sebagai penghalang untuk mengguna kaedah baru ni.

Saya teringat kisah seorang yang minta di "add" yang saya tidak kenal dan dia tanya: "Betulkah ini Dato Seri Salleh?" dan saya kata ya. Dia mungkin ingat orang lain handle fb saya.

Yang agak menyedihkan kita adanya segelintir manusia menggunakan kemudahan dan kecanggihan FB itu untuk tujuan tertentu.. Lazimnya, orang-orang yang kita "add" adalah kawan-kawan dan mereka sepatutnya berlagak sedemikian, tetapi ada satu atau dua orang yang bermotif lain dan mereka yang bersikap begitu bukanlah kawan sejati. Orang semacam ini kita "delete" saja dari senarai rangkaian kita dan selesai cerita!

Hakikatnya, fb telah membawa gelombang baru dalam dunia ICT dalam masyarakat kita.