Translate

Wednesday, October 28, 2009

PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN

SABTU lalu, saya berada di Istana Negeri, Kota Kinabalu, mengiringi isteri, Hajjah Raya Erom, menerima darjah kebesaran negeri, Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK), membawa gelaran Datuk, yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Biarpun Istana Negeri bukan lagi asing bagi saya, namun kehadiran saya kali ini dirasakan lebih istimewa dan bermakna. Isteri saya menerima darjah kebesaran daripada kerajaan negeri sebagai penghargaan dan pengiktirafan ke atas sumbangannya kepada masyarakat, terutama berkaitan kebajikan.

Pada istiadat pengurniaan darjah dan bintang kebesaran negeri itu, saya bertemu dengan ramai kawan-kawan, sama ada dalam perkhidmatan awam dan swasta mahupun politik.

Ada yang saya kenal sewaktu almarhum ayahnda saya menjadi Ketua Menteri dan kemudian sebagai Yang Dipertua Negeri, manakala yang lain menjadi rapat dengan saya ketika saya menjadi Ketua Menteri.

Ketika jamuan ringan selepas istiadat rasmi selesai, saya berbual dengan sebahagian mereka yang hadir. Rata-rata yang menerima bintang dan darjah kebesaran pada hari itu kelihatan ceria dan gembira, tanda mereka berbangga dan mensyukuri penghargaan yang diterima.

Saya nyatakan kepada mereka bahawa penghargaan yang diterima itu merupakan suatu pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan yang diberikan. Dan ia sebenarnya tidak perlu dicari atau dikejar, sebaliknya ia akan datang dengan sendirinya.

Yang penting kita perlu melaksanakan tugas dan amanah yang diberi dengan penuh komitmen dan kesungguhan. Perkara yang sama sering saya nyatakan ketika berucap dalam sesuatu majlis atau bertemu rakyat.

Saya menyatakan bahawa seseorang yang bekerja mesti berusaha dengan sepenuh komitmen ke arah memberi kepuasan - baik kepada diri sendiri, mahupun organisasi dan majikan.

Apabila bekerja, jangan sekali-kali memikirkan soal ganjaran atau imbuhan. Jangan juga bekerja semata-mata untuk mencari populariti atau memburu pengiktirafan, kerana kedua-duanya (populariti dan pengiktirafan) akan datang dengan sendirinya selepas kita membuat kerja dengan baik dan memuaskan.

Sama ada sebagai penjawat awam, bekerja di sektor swasta atau pun terlibat dalam politik, tanggungjawab seseorang itu tidak jauh bezanya. Bekerja untuk rakyat dan masyarakat.

Jika rakyat dan masyarakat ini berpuas hati terhadap khidmat yang kita beri, sudah tentu mereka akan menyanjung tinggi, menghormati dan menghargai kita. Sebab itu, semua jabatan dan agensi kerajaan mempunyai Piagam Pelanggan untuk dipatuhi, dan terbaru kerajaan memperkenalkan Indeks Prestasi Utama (KPI).

Justeru, setiap orang ada peranan masing-masing biarpun berlainan profesion. Orang politik dan kerajaan perlu sama-sama memberi khidmat terbaik kepada masyarakat. Mereka perlu melakukan kerja dan tanggungjawab diamanahkan dengan jujur dan ikhlas supaya pada akhirnya mendapat kepuasan dalam kerjaya masing-masing.

Setelah membuat kerja yang cemerlang dan memuaskan itu, pengiktirafan akan datang dengan sendirinya. Sebagai penjawat awam misalnya, pengiktirafan datang dengan pelbagai cara, kenaikan pangkat, anugerah cemerlang jabatan dan darjah kebesaran negeri.

Demikian juga bagi orang politik, pengiktirafan juga datang dengan bermacam cara, termasuk pelantikan ke jawatan lebih mencabar atau penganugerahan darjah dan pingat kebesaran negeri atau negara.

Saturday, October 24, 2009

RAYA EROM, WIRA DERMAWAN 2009 FORBES ASIA KINI BERGELAR DATUK



KOTA KINABALU, 24 Okt (Bernama) -- Pengerusi Yayasan Kebajikan Suria (YKS) Datuk Raya Erom, yang dinobatkan sebagai Wira Dermawan oleh Majalah Forbes Asia awal tahun ini, menerima darjah kebesaran Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran "Datuk" Sabtu.

Anugerah itu disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Ahmadshah Abdullah, sempena sambutan ulang tahun ke-63 beliau di Istana Negeri di sini.

Menerusi YKS yang merupakan sebuah institusi kebajikan, Raya selaku sukarelawan, dermawan dan aktivis kebajikan, telah banyak membantu golongan kurang bernasib baik dari seluruh negeri ini.

Beliau juga terlibat dalam pelbagai aktiviti kebajikan dan kesukarelawanan, sehinggakan dipilih sebagai penerima beberapa anugerah, termasuk Anugerah Tokoh Sukarelawan Kebajikan Wanita (Tahun 2003), Anugerah Khas Tokoh Belia Wanita (Tahun 2003) dan Anugerah Maulidur Rasul (Tahun 2002).

Selain menjadi Pengerusi YKS, beliau juga menjadi Penaung Persatuan Kecergasan dan Pembangunan Orang Tua Kota Kinabalu (Persatuan KOAT) dan mantan anggota Badan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil-wakil Rakyat Sabah (Bakisa).

Raya mendirikan rumahtangga dengan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak, dan pasangan itu mempunyai empat cahaya mata -- Mohd Syarulnizam, Syazeera, Mohd Hafeez dan Syeera.

Sunday, October 18, 2009

PERHIMPUNAN MELAKAR DIMENSI BARU PERJUANGAN UMNO



SAYA tidak ingat lagi berapa kali saya bangkit dan bersama-sama perwakilan lain menyahut secara spontan ucapan penggulungan Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang penuh bersemangat pada petang Jumaat lepas.

Yang saya ingat, semua berdiri serentak, sambil menyahut "Sedia", "Setuju" dan "Boleh" setiap kali Datuk Seri Najib melontarkan cabaran di dalam ucapan yang penuh emosi petang itu.

Dewan Merdeka PWTC, tempat berlangsungnya perhimpunan agung khas Umno, bagaikan medan peperangan. Seorang jeneral sedang memimpin batalionnya, memberi arahan dan atur gerak kepada para anggota. Seruan jeneral disambut laungan anggota-anggota di barisan hadapan.

Demikianlah suasana pada hari terakhir perhimpunan agung Umno Jumaat lepas, yang melakar sejarah apabila membuat pindaan ke atas perlembagaan untuk memperkasakan parti mengharungi cabaran politik.

Seperti perwakilan lain, saya bersama barisan perwakilan Umno Bahagian Kota Belud yang saya ketuai, dapat merasakan bara semangat para ahli parti untuk menjunjung perjuangan sebagaimana diharapkan oleh Presiden.

Perjuangan yang dijunjung adalah untuk berubah - dari segi minda dan tingkah laku, pendekatan dan tindakan.

Dari semangat perwakilan, saya merasakan seluruh akar-umbi Umno sudah bersedia untuk mengharungi "perubahan" yang menjadi tema ucapan pemimpin Nombor Satu dan Nombor Dua Umno di perhimpunan itu.

Ucapan dasar Datuk Seri Najib bertema "Menjunjung Tradisi Menzahir Perubahan" manakala Tan Sri Muhyiddin yang merasmikan serentak Perhimpunan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pula "Menggalas Tuntutan Perubahan".

Bertitik-tolak dari situ, perkataan "perubahan" terus menjadi sebutan kalangan pemimpin dan ahli Umno sepanjang persidangan. Suara ulasan mengenai "perubahan" bergema di Dewan Merdeka ketika perwakilan berbahas, kemudian terus pula menjadi bualan di luar dewan persidangan.

Daripada apa yang dirumuskan oleh Presiden dan Timbalan Presiden, perubahan yang dimaksudkan itu merangkumi semua aspek dengan matlamat akhirnya untuk memperkasakan Umno, dan menjadikannya terus unggul dan relevan.

Sememangnya, itu jugalah tujuan perhimpunan kali ini yang membuat pindaan ke atas tujuh perkara dalam Perlembagaan Umno, yang telah dijanjikan oleh Datuk Seri Najib sewaktu mengambil alih teraju kepemimpinan parti awal tahun ini.

Pindaan perlembagaan parti yang diluluskan perwakilan sebulat suara, bukan saja telah melakar sejarah buat parti, tetapi turut mencorakkan dimensi baru halatuju perjuangan Umno.

Ia.merupakan transformasi politik dalam Umno sebagai tunjang utama Barisan Nasional (BN). Berikutan itu, disarankan juga agar parti-parti komponen lain mengikut jejak yang dirintis Umno itu.

Perubahan yang diutarakan oleh pemimpin tertinggi itu sebenarnya manifestasi kesungguhan merealisasikan ikrar yang disuarakan ketika perhimpunan agung yang lepas, antaranya membanteras amalan tidak sihat seperti politik wang. Ketika itu, rata-rata pemimpin dan ahli sepakat untuk membawa perubahan kepada parti.

Dari apa yang dirumuskan pada perhimpunan kali ini, mesej utama yang hendak disampaikan ialah hakikat bahawa "Umno bukan tempat cari makan" dan mereka yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada rakyat, tidak seharusnya mengharapkan ganjaran atau sesuatu.

Dengan lulusnya pindaan beberapa fasal dalam perlembagaan Umno, bermakna parti sudah melangkah ke arah perubahan. Bermakna, apa yang diwar-warkan oleh kepemimpinan parti sebelum ini, bukan lagi omong-omong kosong atau retorik semata-mata.

Satu hal lagi yang menarik apabila Presiden menyatakan mengenai ciri-ciri pemimpin dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu diberi perhatian oleh setiap ahli. Pemimpin mesti popular. Calon pilihan raya juga mesti popular.

Ini penting kerana parti yang kuat bergantung kepada barisan pemimpin yang mantap. Perlu diakui bahawa matlamat akhir berpolitik adalah untuk memenangi pilihan raya dan membentuk kerajaan.

Oleh kerana KPI parti adalah untuk menang pilihan raya, sudah tentu kredibiliti pemimpin menjadi pertimbangan utama. Sebab itulah, Datuk Seri Najib secara berterus-terang menyatakan bahawa Umno perlu mencari calon yang betul apabila tiba musim pilihan raya nanti.

Maknanya, dalam memilih calon, individu itu perlulah seseorang yang diterima masyarakat tempatan di samping mempunyai kualiti untuk berkhidmat kepada tiga peringkat penting yakni peringkat rakyat, peringkat parti dan peringkat negara.

Kesimpulannya, perubahan adalah bertujuan untuk memperkuatkan Umno secara keseluruhannya.

SEKITAR PERHIMPUNAN AGUNG UMNO




Thursday, October 15, 2009

"MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN" DAN "MENERAJU PERUBAHAN"

"MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN" menjadi tema ucapan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno di PWTC, dua hari lalu (13 Oktober).

Saya mendengar, menghayati dan menyelami intipati ucapannya itu. Ia dimulakan dengan huraian mengenai jiwa baru Umno, mendepani cabaran, haluan perubahan dan memacu perubahan, selain penekanan mengenai kesatuan hati, minda, amal dan matlamat.


Lebih penting ditegaskan tentang peranan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno dalam memperkasakan Umno menahkoda zaman di bawah teraju Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak.


Mesej utama ucapan Tan Sri Muhyiddin itu mengajak seluruh ahli parti bersatu usaha, tenaga dan perjuangan bagi menjadikan Umno terus utuh dan relevan sepanjang zaman. Itulah yang dimaksudkannya sebagai cabaran bersama dalam mangalas tuntutan perubahan.


Seperti yang diungkapkannya dalam ucapannya itu, Tan Sri Muhyiddin menyatakan: "UMNO di bawah teraju YAB Presiden sudah memulakan langkah tegas untuk memacu perubahan, sekaligus memenangi semula hati dan jiwa rakyat. Kita sudah mengambil langkah untuk melakukan proses penilaian semula secara serius tentang cara dan kaedah mendepani rakyat. Kita juga sudah menjadikan kehendak, aspirasi dan keperluan rakyat sebagai teras komitmen kita. Kita mengutamakan rakyat. Rakyat kita dahulukan."


Justeru, kata beliau, semangat dan hala tuju baru ini mesti segera digarap dan digembeleng agar menjadi arus dan gelombang yang lebih besar, yang nantinya akan melonjakkan perjuangan parti kita ke mercu kejayaan dan kegemilangan.


"Namun begitu, saya ingin tegaskan bukan UMNO sahaja yang perlu berubah. Parti-parti komponen Barisan Nasional juga perlu berubah. Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti Barisan Nasional. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan kepada semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana yang telah digariskan oleh YAB Presiden dalam gagasan 1Malaysia," demikian harapan beliau.


Sehubungan dengan itu, beliau melontarkan harapan agar gema seruan perubahan dan pembaharuan ini mesti segera disahut dengan hati yang cekal dan dada yang terisi dengan obor perjuangan. Jadilah pendokong parti yang bersatu, bersetia dan berkhidmat.


Setiap ahli Umno perlu menjadi pemimpin sejati yang tinggi akal budi, suci jiwa rohani, berani menghadapi cabaran dan cekal memacu perubahan.


Selesai ucapan Timbalan Presiden itu, ada kawan-kawan mengusik saya tentang persamaan tema ucapan tersebut dengan buku terbaru saya berjudul "MENERAJU PERUBAHAN" iaitu kompilasi tulisan-tulisan sepanjang kira-kira dua tahun lalu.


Saya cuma katakan kepada mereka bahawa ia hanyalah satu kebetulan persamaan tema, yang mungkin satu kebetulan yang ada signifikannya dalam mengharungi pelbagai cabaran Umno di arena politik.


Saya memilih "MENERAJU PERUBAHAN" sebagai judul buku ini bertujuan mengajak pembaca supaya sentiasa bersikap terbuka, berpandangan global dan berfikir `di luar kotak' dalam apapun isu yang dihadapi.


Bagi saya, kita tidak lagi boleh menyempitkan pemikiran kerana ia boleh menghalang ke arah kemajuan, terutama dalam konteks dunia yang penuh persaingan ini.


Itulah sebenarnya mesej MENGGALAS TUNTUTAN PERUBAHAN dan MENERAJU PERUBAHAN.

Monday, October 12, 2009

IKTIBAR DARI KEMENANGAN MANIS DI BAGAN PINANG


KETIKA berkempen di Bagan Pinang, saya dapat mengagak bahawa Barisan Nasional (BN) bakal menempah kejayaan mudah dalam pilihan raya kecil di kawasan tersebut.

Rata-rata pengundi yang saya temui menyatakan bahawa mereka komited bersama BN, mahukan kesinambungan agenda pembangunan dan menolak politik pembangkang.

Begitupun pada ketika itu, saya tidak mahu membayangkan bahawa BN akan mencapai kemenangan lebih besar daripada pilihan raya sebelum ini. Saya tidak mahu jentera parti "over confident" lalu bekerja sambil lewa. Saya memberikan mereka kata-kata semangat. Saya tegaskan, yang penting adalah kemenangan. BN mesti menang kerana ia adalah kawasan tradisi BN. Soal majoriti jangan fikirkan sangat. Kerana ia akan datang dengan sendirinya kemudian.

Ternyata apa yang disuarakan oleh pengundi Bagan Pinang kepada saya itu suatu realiti. Tentunya, ia hasil daripada kerja keras semua petugas dan jentera BN yang berkampung di situ, yang diketuai sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pengundi Bagan Pinang bersatu hati dan memberikan kemenangan mutlak kepada Tan Sri Mohd Isa Samad yang mewakili BN.

Analisa menunjukkan BN mencatat kemenangan di semua peti undi. Mohd Isa menewaskan calon Pas, Zulkefly Mohd Omar, dengan majoriti lebih besar, iaitu 5,435 undi, berbanding majoriti 2,333 undi dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Mohd Isa memperolehi 8,013 undi, manakala Zulkefly mendapat 2,578 undi. Undi yang ditolak pula 223.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, calon BN ketika itu, allahyarham Azman Mohd Nor memperolehi 6,430 undi, manakala calon Pas, Ramli Ismail mendapat 4,097 undi.

Secara perbandingan, berdasarkan keputusan tersebut, undi diperolehi Pas kali ini berkurangan hampir separuh berbanding pilihan raya umum 2008.

Kemenangan BN dengan majoriti yang amat besar kali ini membawa mesej penting yang pastinya boleh dijadikan iktibar dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 nanti.

Kunci kejayaan BN di Bagan Pinang ialah kesatuan pemimpin-pemimpin Umno di Negeri Sembilan dan Bahagian. Ia juga bukti betapa pakatan pembangkang begitu kucar-kacir dan tidak berkesan, juga realiti bahawa ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak diterima oleh pengundi Bagan Pinang.

Satu hakikat jelas di Bagan Pinang ialah pemilihan calon. Perdana Menteri selaku Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, membuat keputusan tepat memilih Mohd Isa sebagai calon BN walaupun ada bantahan daripada beberapa pihak, sekali gus membuktikan parti bersatu dan konsep 1Malaysia diterima rakyat.

Prinsip kepemimpinan parti yang sentiasa mendengar dan mendahulukan rakyat, lalu memilih Mohd Isa, telah membuahkan hasil.Mohd Isa sememangnya calon yang dikehendaki rakyat di situ dan Umno mempersetujuinya, maka itu BN mudah menang. Faktor calon tidak lagi berbangkit kerana beliau (Mohd Isa) merupakan seorang yang popular, berjasa dan mesra dengan semua lapisan masyarakat.

Natijahnya, calon kena popular di kalangan pengundi supaya mudah bagi parti untuk bekerja. Apabila ini dituruti, maka tidak ada masalah untuk mencapai kemenangan. Rakyat tahu dan bijak menilai mana pemimpin yang popular.

Pengundi sekarang sudah berbeza berbanding dahulu. Mereka melihat suasana dari kacamata sendiri. Dalam konteks Bagan Pinang sendiri, Mohd Isa memang diketahui umum sebagai seorang pemimpin yang senang bergaul dan mengetahui kehendak semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama.

Apapun, kemenangan BN di Bagan Pinang pastinya sesuatu yang mengembirakan bagi BN setelah menghadapi kekalahan di semua pilihan raya kecil sebelum ini, kecuali di Batang Ai, Sarawak.

Seperti reaksi awal Tan Sri Muhyiddin, kejayaan BN di Bagan Pinang sangat manis, lebih-lebih lagi apabila merekodkan kemenangan di semua peti undi.

Menurutnya, kemenangan itu adalah bukti kebangkitan BN serta manifestasi penerimaan semula semua kaum terhadap BN selain menang di semua lapan peti undi.

"Kemenangan ini menunjukkan titik perubahan rakyat yang yakin dan percaya terhadap dasar-dasar yang dibawa oleh BN," demikian reaksi spontan Timbalan Perdana Menteri, sejurus pengumuman mengenai kemenangan Mohd Isa malam tadi.

Kemenangan besar Mohd Isa ini juga tentunya terhasil daripada sokongan pengundi muda yang sebelum ini sering dianggap sebagai berfikiran agak radikal. Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim, juga nyata gembira dan turut menyifatkannya sebagai "kemenangan manis" apatah lagi semua saluran pengundi muda menunjukkan sokong padu kepada BN.

Dengan mengambil kira senario politik mutakhir ini, maka kemenangan BN di Bagan Pinang tidak harus menjadi kebanggan semata-mata. Banyak pengajaran, teladan dan contoh boleh diambil dalam rangka menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Dari apa yang dapat dilihat di Bagan Pinang, pucuk pimpinan mendengar suara ahli di peringkat akar-umbi dan mengambil kira populariti calon, ternyata membuahkan hasil yang manis. Inilah antara iktibar yang boleh dipelajari, selain banyak lagi pengalaman dan pengajaran yang boleh menginsafkan.

Yang jelas, angin perubahan sudah mulai bertiup di Bagan Pinang.

Saturday, October 10, 2009

BUKU "MENERAJU PERUBAHAN" SEDIA KE PASARAN



SEKALI lagi, saya mengambil keputusan membukukan tulisan-tulisan saya dalam laman web dan blog sepanjang kira-kira dua tahun lalu. Selain memperkayakan khazanah bacaan, saya berharap buku ini menjadi himpunan maklumat dan ilmu yang dapat dikongsikan bersama.

Buku terbaru berjudul "MENERAJU PERUBAHAN" ini sudah siap dicetak dan kini boleh ditempah secara on-line atau alamat di penghujung catatan ini.

Sebahagian daripada artikel ini turut disiarkan oleh akhbar tabloid mingguan, Buletin Rakyat, yang berpejabat di Kuala Lumpur.

Mengandungi 101 artikel, buku MENERAJU PERUBAHAN ini merupakan kompilasi kedua saya selepas yang pertama bertajuk "CATATAN SEBUAH PERJALANAN" pada September 2007. Kandungannya lebih banyak, isu yang ditulis juga lebih luas skopnya, merangkumi pelbagai topik semasa yang berlaku di persekitaran kehidupan kita.

MENERAJU PERUBAHAN dipilih sebagai judul buku ini bertujuan mengajak pembaca supaya sentiasa bersikap terbuka, berpandangan global dan berfikir `di luar kotak'. Kita tidak lagi boleh menyempitkan pemikiran kerana ia boleh menghalang ke arah kemajuan, terutama dalam konteks dunia yang penuh persaingan ini.

Saya membukukan tulisan-tulisan dalam laman web dan blog itu memandangkan masih ada antara masyarakat kita tidak mempunyai akses kepada dunia internet atau tidak berkesempatan melayarinya. Justeru. dengan membukukan tulisan-tulisan itu, sudah tentu lebih ramai dapat mengikuti catatan saya, sekali gus menyelami hati dan pendirian saya mengenai pelbagai isu.

Sebahagian daripada frasa-frasa dalam buku ini diubah suai sedikit untuk dipadankan dengan sifatnya sebagai sebuah buku tanpa mengubah maksud dan mesej dalam tulisan asal saya. Gambar asal dalam laman web dan blog pula digantikan dengan gambar hiasan mengenai aktiviti dan program saya.

Yang jelas, apa yang saya huraikan dalam tulisan-tulisan ini adalah berdasarkan pengamatan dan pengalaman di sepanjang jajaran kehidupan. Ia umpama sebuah catatan perjalanan sebagaimana judul buku pertama saya dahulu.

Gelagat manusia yang saya temui antara yang menginspirasikan saya ketika menulis. Saya memerhati dan menganalisa karektor manusia yang saya akrabi di setiap kawasan yang saya singgahi. Memang demikian sifat saya, suka berjalan-jalan sendirian atau bersama keluarga, kerana dari perjalanan itu kita dapat mengutip banyak pengalaman.

Buku ini diterbitkan dalam waktu yang agak singkat. Justeru, jika ada kesilapan yang tidak disengajakan atau kekurangan yang tidak menyenangkan, saya ingin memohon berbanyak kemaafan terlebih dahulu.

Tempahan boleh dibuat menerusi emel: ichong69@yahoo.com atau telefon 019-9911119 atau 088-423954 dan fax 088-426420.

\Semoga buku ini memanfaatkan kita semua. Selamat membaca!

Monday, October 5, 2009

JAMUAN AIDILFITRI CERMIN KEUTUHAN 1MALAYSIA





BELUM pun sampai jam 7 malam, ramai orang sudah mulai datang. Menjelang jam 8 malam, bahagian dalam dan kawasan perkarangan rumah saya sudah sesak. Ramai tidak mendapat tempat duduk. Sebahagian terpaksa berdiri sambil makan dan minum, berbual dan bersembang dengan kawan-kawan.

Demikianlah suasana Jamuan Hari Raya Aidilfitri di kediaman kami di Likas malam tadi. Tidak tersangka begitu ramai yang hadir, dari dekat dan jauh. Biarpun jamuan bermula jam 7 malam, tetapi ramai datang awal.

Saya menyambut, bersalam dan melayan tetamu-tetamu yang hadir. Demikian juga isteri saya dan anak-anak kami serta anggota keluarga terdekat. Sambil berdiri dan berjalan dengan para tetamu, saya berbicara spontan dengan mereka, kemudian duduk sekejap-sekejap dari satu meja ke meja lain untuk cuba melayani setiap mereka yang hadir.

Begitupun, tentu ramai juga yang tidak sempat kami bersalam. Kepada mereka ini, kami memohon kemaafan. Sesungguhnya, kami menghargai kehadiran anda!

Saya tidak menamakan majlis itu sebagai Rumah Terbuka, cuma sekadar jamuan Aidilfitri. Lagi pula, Rumah Terbuka Hari Raya sudah pun diadakan oleh Umno Bahagian Kota Belud yang saya terajui, di sebuah restoran di Kampung Bobot, Kota Belud, kira-kira dua minggu yang lalu.

Saya juga tidak menghebahkan jemputan terbuka mengenai jamuan itu menerusi suratkhabar, cuma sekadar mengundang kawan-kawan dan kenalan menerusi panggilan telefon, twitter, SMS dan facebook.

Maka itu, saya menjangkakan jumlah kehadiran "biasa-biasa" saja. Tetapi ternyata, jangkaan saya itu jauh meleset.

Mereka yang hadir begitu ramai, dan dari pelbagai kaum, latarbelakang dan kepercayaan. Terdetik dalam fikiran saya, betapa indah dan penuh warna kepelbagaian masyarakat kita. Kehadiran tetamu itu menjadi manifestasi gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Ramai kawan-kawan dalam politik juga hadir memeriahkan majlis jamuan itu. Antara mereka termasuk Menteri Pembangunan Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sektar, Datuk Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal-Ehwal Pengguna, Datuk Azizah Mohd Dun dan Menteri di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Nasir Tun Sakaran.

Juga beberapa pembantu menteri Sabah seperti Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar, Datuk Edward Yong Oui Fah, Datuk Jainab Ahmad, Datuk Japlin Akim dan Datuk Herbert Timbun Lagadan.

Begitu juga ada beberapa wakil rakyat turut hadir seperti Datuk Ramlee Marhaban (Bugaya) dan Nilwan Kabang (Kunak).

Tidak terkecuali rakan-rakan yang berlainan fahaman politik seperti bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee yang telah membawa partinya, Parti Maju Sabah (SAPP) keluar daripada Barisan Nasional (BN) dan bekas pemimpin Umno, Datuk John OT Ghani yang kini sudah bersama parti pembangkang.

Apapun, kehadiran pada majlis jamuan itu adalah petanda bahawa masih ramai sahabat dan kawan-kawan yang begitu akrab dan mengingati kami.

Rakan-rakan media juga "insist" mahu menemuramah saya dan untuk tidak menghampakan mereka, saya bersetuju untuk bercakap mengenai soal perpaduan saja.

Saya jelaskan bahawa soal perpaduan adalah ramuan penting dan prasyarat bagi negara mencapai kemajuan dalam apa bidang sekali pun. Justeru, setiap segmen masyarakat mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing.

Apa saja agenda yang dirancang oleh kerajaan tidak mungkin mencapai matlamatnya tanpa pembabitan daripada rakyat sendiri.

Justeru, gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan merupakan suatu pendekatan proaktif yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri bagi meletakkan rakyat dan negara ini ke suatu tahap yang membanggakan.

Saya tegaskan bahawa bagi mencapai matlamat dan gagasan tersebut, maka setiap rakyat yang terdiri daripada berbilang kaum ini, perlu bersatu teguh di belakang kepemimpinan kerajaan.

Rakan-rakan media, seperti kelazimannya, hanya menjadikan topik perpaduan sebagai mukadimah temuramah. Selepas itu, mereka beralih soalan kepada isu politik, khususnya mengenai pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Saya menjawab soalan mereka secara realistik bahawa Barisan Nasional (BN) tidak ada masalah untuk mengekalkan kerusi tersebut atas beberapa faktor pertimbangan.

Pertama, kerana kawasan itu sememangnya kubu tradisi Umno sejak dahulu. Kedua, kerana calon yang diketengahkan oleh BN iaitu Tan Sri Isa Samad merupakan pemimpin popular dan dekat di hati pengundi Bagan Pinang. Ketiga, kerana pembangkang sekadar meniupkan politik provokatif tanpa wawasan yang boleh meyakinkan. Keempat, ia sekadar pilihan raya kecil yang tidak mungkin membawa perubahan politik, baik di peringkat negeri mahupun Pusat.

Selepas melayani kawan-kawan daripada media, saya meneruskan sembang dengan tetamu lain, berbicara mengenai pelbagai hal dalam suasana santai dan terbuka. Cerita berkisar daripada soal politik dan negara, hingga kepada hal-hal kecil seperti kehidupan dan ragam masyarakat.

Tidak terkecuali mengenai dunia siber, betapa pantas dan berpengaruhnya rangkaian internet mendekatkan yang jauh dan merapatkan yang dekat. Facebook menjadi bualan, Twitter menjadi ikutan, media alternatif menjadi sebutan.

Menjelang tengah malam, tetamu mulai beransur pulang. Waktu itu, saya baru terasa ibu jari kaki kanan saya yang terseleliuh semakin sakit kerana begitu banyak berjalan-jalan melayani tetamu yang hadir.

Saya tidak melihat jam ketika mata hendak terlelap malam tadi. Tetapi subuh tadi, saya bangkit seperti biasa untuk solat, kemudian menghadap laptop membuat catatan ini serta mengemaskini fb seperti kelazimannya.