Translate

Thursday, December 31, 2009

SALLEH BERSAMA PERDANA MENTERI DI KOTA KINABALU







Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak turut menyambut kedatangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kota Kinabalu baru-baru ini.
Najib yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor berada di Sabah untuk merasmikan kongres tahunan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), sebuah parti komponen Barisan Nasional (BN) dan menghadiri sambutan Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2009 di Padang Merdeka, Kota Kinabalu.
Sebahagian gambar rakaman lensa Keruak.Com sepanjang lawatan Perdana Menteri itu.

Saturday, December 26, 2009

MENINGGALKAN 2009 YANG PENUH KENANGAN, MELANGKAH KE TAHUN BARU DENGAN PENGHARAPAN TINGGI


Beberapa hari lagi kita meninggalkan Tahun 2009. Tentunya banyak kenangan dan peristiwa, pahit dan manis, kita lalui sepanjang tahun ini.

Sementara kita mempersiapkan diri melangkah ke Tahun Baru 2010, sebaiknya kita merenung kembali tentang pencapaian sepanjang 2009 dan menjadikan yang baik sebagai teladan dan yang kurang baik sebagai iktibar, dengan matlamat untuk sama-sama membawa negeri kita ini ke arah kemakmuran dan kesejahteraan yang berterusan.

Sepanjang 2009, banyak peristiwa berlaku di pentas politik negara kita, demikian juga di Sabah yang menyusuli tsunami politik pasca pilihan raya umum ke-12 pada Mac 2008.

Kemelut yang berterusan dan pertikaian berpanjangan telah menjadikan tahun 2009 penuh dengan bermacam-macam adegan politik getir lagi mencemaskan.

Di Semenanjung, empat negeri - Kelantan, Selangor, Kedah dan Pulau Pinang - kini ditadbir pembangkang, manakala Perak yang pada mulanya dimenangi pembangkang, dikuasai kembali oleh Barisan Nasional (BN) tahun ini.

Sabah secara realitinya kekal sebagai kubu kuat bagi BN. Malahan, kekuatan ini disifatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebagai "fixed deposit" yang sangat bernilai, menyumbang kepada kekuatan BN di peringkat pusat.

Dan sebagai imbalan atas sumbangan tersebut, Kerajaan Persekutuan telah melantik ramai pemimpin dari Negeri Bawah Bayu ini menduduki pelbagai jawatan tinggi dan penting dalam kerajaan, termasuk jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, TimbalanYang Dipertua Dewan Negara, Menteri serta Timbalan Menteri.

Sementara di negeri Sabah pula menyaksikan peralihan kepemimpinan Umno di lapan bahagian ketika proses pemilihan parti diadakan, sekali gus mencerminkan kehendak akar-umbi menuntut perubahan dan pembaharuan.

Selain Bahagian Kota Belud yang saya terajui semula, tujuh bahagian lagi yang mempunyai ketua baru ialah Beluran, Batu Sapi, Sepanggar, Kudat, Silam, Papar dan Kota Marudu.

Demikianlah sepintas lalu peristiwa yang mencatat sejarah politik negara tahun 2009. Sementara tahun 2010 yang merupakan "Year of the Tiger" mengikut kalender Cina memungkinkan kita berhadapan lebih banyak cabaran baru.

Secara peribadi, tahun 2009 turut membawa makna dalam perjuangan politik saya. Selain dipilih semula menerajui Umno Bahagian Kota Belud, kepemimpinan tertinggi parti turut memberi kepercayaan besar dengan melantik saya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah.

Kepercayaan yang diberikan oleh ahli di peringkat akar-umbi dan amanah besar yang dipertanggungjawabkan oleh pucuk pimpinan parti ini, menuntut saya untuk meluangkan sebanyak mungkin masa, tenaga dan perhatian kepada urusan politik.

Dalam siri perjumpaan saya dengan ahli serta pemimpin Umno pelbagai peringkat di Sabah, saya telah menyatakan pendirian dan komitmen membantu Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman, selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sabah, untuk memperkukuh dan memantapkan lagi parti di negeri ini.

Saya katakan demikian kerana saya melihat tahun baru 2010 ini menuntut kita semua, khususnya barisan kepemimpinan politik, untuk bekerja lebih keras lagi menghadapi pelbagai cabaran di peringkat nasional dan domestik.

Ini kerana dalam keadaan dan suasana politik hari ini, rakyat sudah mempunyai pilihan. Biarpun mungkin tidak dianggap sebagai sistem dua parti secara mutlak, namun itulah sebenarnya yang wujud, iaitu satu komponen Barisan Nasional (BN) dan satu lagi gagasan Pakatan Rakyat (PR).

Isunya sekarang ialah rakyat mempunyai pilihan - sama ada BN atau PR. Justeru itu, pimpinan BN selaku pemerintah di peringkat Pusat dan kebanyakan negeri harus menentukan bahawa rakyat sentiasa bersama kita. Usaha ini terpikul lebih berat di bahu pemimpin-pemimpin Umno selaku tunjang utama kerajaan BN.

Jika kita gagal mendekati rakyat, maka dikhuatiri mereka akan beralih angin kepada parti alternatif dalam gagasan PR sebagaimana berlaku dan ditunjukkan di lima negeri di Semenanjung dalam PRU-12 lepas.

Untuk menentukan rakyat terus bersama kita, maka kita harus memahami dan mendengar denyutan rakyat. Kenapa mereka menjauhkan diri daripada parti-parti komponen BN? Kenapa mereka tidak bersama Umno, MCA, MIC dan Gerakan umpamanya?

Jika perasaan mereka diselami, sudah tentu mudah untuk menangani serta mendepani apa jua kehendak dan keperluan mereka.

Dalam menghadapi cabaran politik sebegini, barangkali sudah tiba masanya difikirkan bersama kemungkinan mewujudkan keahlian terus dalam Barisan Nasional sebagai wadah baru memastikan BN terus unggul dan relevan.

Menerusi kaedah baru itu, mereka yang komited kepada perjuangan BN tetapi tidak menyukai parti-parti komponen tertentu kerana terlalu banyak politiking menyebabkan mereka merasa bosan akan dapat terus bersama kita. Mereka mempunyai wadah untuk terus bersama kita.

Ringkasnya, cara ini dapat menyekat mereka daripada menyertai pembangkang. Namun cadangan ini memerlukan perincian lanjut dengan mengambil kira sistem dan perlembagaan dalam BN.

Sebagai langkah permulaan, mungkin usaha penjenamaan semula atau "re-brand" Barisan Nasional dirintis, dengan singkatan atau panggilan BN saja supaya mendekatkannya dengan hati rakyat. Selanjutnya, difikirkan pula logo baru yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN.

Langkah dan pendekatan ke arah ini harus difikirkan secara serius kerana ia diyakini dapat membantu menjamin survival dan kelangsungan BN di persada politik tanah air.

Justeru, dalam meneruskan perjalanan kita melangkah ke Tahun Baru ini, saya mengajak seluruh lapisan rakyat agar terus bekerja bersama-sama dengan kerajaan untuk menjayakan apa jua perancangan dan inisiatif membangunkan negeri kita ini.

Sokongan rakyat adalah penentu kejayaan agenda yang dirancang oleh pemimpin.

Sementara kita mensyukuri segala nikmat kejayaan sepanjang 2009, marilah kita tingkatkan tekad dan bulatkan azam untuk mencapai kejayaan lebih besar lagi di tahun-tahun mendatang ini.

Akhirnya, dengan rasa syukur ke hadrat Ilahi, saya dan isteri, Raya Erom, serta keluarga mengucapkan Selamat Tahun Baru 2010 kepada seluruh rakyat Malaysia.

Mudah-mudahan Tahun Baru ini membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan bagi kita semua.

Sunday, December 20, 2009

KRISMAS SEBAGAI WADAH PERPADUAN RAKYAT BERBILANG KAUM


SEJAK beberapa hari lalu, saya melihat bandaraya Kota Kinabalu mengalami kesesakan lebih daripada hari-hari biasa. Banyak kenderaan memasuki bandar. Ramai orang bertumpu ke pusat beli-belah. Semuanya dengan urusan masing-masing. Cuti sekolah penghujung tahun sememangnya sentiasa dipenuhi dengan kesibukan. Ibu bapa membawa anak-anak berjalan-jalan, sambil membeli kelengkapan peralatan sekolah yang akan menjelang kira-kira dua minggu lagi.

Di tengah kesibukan itu, saya juga menyaksikan mereka yang membuat persiapan menyambut Krismas. Ini menambahkan kemeriahan suasana di pusat beli-belah. Apatah lagi, Kota Kinabalu telah dipilih oleh Kerajaan Pusat sebagai tuan rumah bagi sambutan Hari Terbuka Krismas Malaysia pada 27 Disember ini.

Secara peribadi, saya juga mempunyai ramai saudara, kenalan dan sahabat beragama Kristian. Justeru, tentunya saya juga turut gembira kerana kita sekali lagi dapat menyambut perayaan ini dalam keadaan negara kita yang aman tanpa sengketa kaum, pergolakan politik dan pertikaian ekonomi.

Seperti sambutan hari kebesaran suku kaum lain, Hari Krismas memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat toleransi beragama, keharmonian budaya, persefahaman dan perpaduan.

Jalinan ini diperkukuhkan lagi menerusi amalan hidup dan tradisi rumah terbuka serta kunjung-mengunjungi, yang memberi kesempatan kepada semua orang mengeratkan jalinan perpaduan dan ikatan silaturahim. Ia menjadi pemangkin kepada kejayaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya.

Kita bersyukur kerana rakyat pada umumnya memahami kepentingan perpaduan untuk mencapai kemajuan. Dengan sikap sentiasa bersedia menerima antara satu sama lain, saling menghormati adat dan budaya orang lain, maka kita dapat menikmati kehidupan yang sejahtera dan merayakan Hari Krismas ini.

Sambutan perayaan ini, termasuk penganjuran Hari Terbuka Krismas Malaysia, adalah bukti jelas bahawa negara kita sentiasa mengamalkan prinsip toleransi beragama, keharmonian budaya dan semangat perpaduan yang kukuh.

Tahap perpaduan di negeri Sabah, yang mempunyai lebih daripada 30 kumpulan etnik berada pada kedudukan terbaik dan boleh menjadi contoh teladan atau "role model" kepada pencapaian gagasan 1Malaysia.

Keharmonian ini sudah terbina sejak sekian lama, daripada generasi sebelum ini yang berjaya menyemai benih-benih perpaduan. Generasi hari ini bertanggungjawab mempertahan dan meneruskan prinsip ini. Perbezaan budaya dan kelainan bahasa pertuturan bukanlah penghalang bagi kita untuk terus bekerja bersama-sama bagi kebaikan dan kepentingan jangka panjang.

Semua peringkat masyarakat yang terdiri dari pelbagai etnik dan budaya perlu terus memantapkan perpaduan. Ini penting untuk diutamakan dalam usaha kita mencapai kemajuan negara dan keharmonian hidup rakyat. Ini juga menjadi faktor utama betapa perlu kita berinteraksi antara satu sama lain dalam kehidupan kita seharian. Sambutan-sambutan perayaan seperti Krismas, Hari Raya dan perayaan-perayaan lain, merupakan wadah untuk rakyat menjadikan hubungan di kalangan mereka dengan lebih erat dan mesra lagi.

Dalam hidup bermasyarakat yang berbilang kaum ini, perkara paling penting ialah kita mestilah sentiasa menyemai semangat muhibah, toleransi dan perpaduan supaya keadaan ini memudahkan lagi pelaksanaan projek-projek pembangunan kerajaan, sekaligus membolehkan kita menikmati kehidupan yang lebih baik. Keharmonian adalah pemangkin kemajuan negeri dan negara kita. Apabila negara aman dan harmoni, pastinya ramai pelancong dan pelabur datang. Dan keadaan sebaliknya berlaku jika negara kita kucar-kacir, tidak stabil dan berlaku pertelingkahan etnik.

Maka itu, dalam suasana dan semangat Krismas ini, rakyat keseluruhannya perlu mengeratkan lagi ikatan persefahaman antara satu sama lain.

Marilah kita sama-sama menyambut perayaan ini dalam semangat yang akan terus membawa kemajuan kepada kita serta mengeratkan lagi perhubungan dan persaudaraan antara pelbagai kaum, serta saling menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.

Begitupun, dalam suasana kemeriahan menyambut hari kebesaran yang penuh bermakna ini, janganlah dilupakan mereka yang kurang bernasib baik di kalangan kita, demikian juga pasukan keselamatan yang telah banyak menabur bakti, mencurah jasa dan menyumbang kepada perpaduan dan keharmonian dalam negara kita.

Akhirnya, saya dan isteri serta seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh masyarakat Kristian.

Saturday, December 12, 2009

SABAH CONTOH TERBAIK KONSEP 1MALAYSIA


Oleh NEWMOND TIBIN

KOTA KINABALU: Sabah yang sinonim dengan panggilan "Negeri di Bawah Bayu, tidak saja kaya dengan keindahan semula jadi tetapi ia juga kaya dengan kepelbagaian suku kaum dan warisan budaya penduduknya.
Walaupun berlainan agama dan budaya, penduduk di negeri ini, yang kini hampir mencecah empat juta orang, sentiasa menunjukkan sikap saling menghormati dan bertolak ansur.
Ikatan yang kuat ini memungkinkan rakyat membangunkan satu landasan yang kondusif untuk memantapkan perpaduan kaum.
Sebenarnya, Sabah mempunyai lebih 30 kumpulan etnik dengan tidak kurang 50 kumpulan bahasa dan 90 dialek, yang mana lebih 30 daripada bahasa itu dimiliki kaum Bumiputera seperti Bajau, Murut, Rungus, Latod, Irranun, Talantang, Sonsogon, Likabau, Garoh (Kimaragang), Tinagas, Idahan, Sungai dan Dusun.
Namun kepelbagaian ini bukan menjadi penghalang untuk mereka menikmati kehidupan yang harmoni dan aman seperti yang wujud sekarang.
Tidak harianlah, Sabah dilihat sebagai contoh terbaik kepada konsep 1Malaysia. Gagasan yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ini, antara lain, menekankan perpaduan nasional, mendahulukan kepentingan rakyat dan mengutamakan pencapaian. Konsep ini selari dengan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan 5 Prinsip Rukun Negara.
Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) yang juga bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Salleh Tun Said mengupas isu ini dalam temu bual dengan Ketua Biro Bernama Sabah, Newmond Tibin. Berikut ialah petikan temu bual itu:-

BERNAMA: Secara umum, apakah pengertian konsep 1Malaysia pada pandangan Datuk?
SALLEH: Ramai orang sudah mengulas, menulis dan memperkata mengenai hal ini. Bermacam pendapat dan pandangan kita dapat. Bagi saya, konsep 1Malaysia membawa aspirasi dan gagasan besar pimpinan YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, untuk menyatukan rakyat, menjalin perhubungan antara kaum yang lebih mantap dan memupuk perpaduan yang lebih kukuh.
Ini menjadi keutamaan kerajaan kerana soal perpaduan ini merupakan prasyarat bagi kemakmuran negara serta kesejahteraan hidup rakyat. Sebuah kerajaan yang teguh bermula daripada ikatan perpaduan rakyat yang kukuh. Jika semangat toleransi dan persefahaman dalam kalangan rakyat agak rapuh, maka kerajaan juga tidak stabil dan apabila kerajaan tidak stabil, maka pelaksanaan agenda pembangunan tidak dapat dilaksana secara berkesan.
Natijahnya, konsep 1Malaysia ini secara jelas mencerminkan komitmen kerajaan mendahulukan rakyat. Ia membawa kesaksamaan dan kesamarataan bagi segenap lapisan rakyat tanpa mengira warna kulit. Di dalam konsep 1Malaysia ini, diterapkan lapan nilai sebagai tunjang utama, iaitu budaya kecemerlangan, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti.
Tentunya menjadi harapan pimpinan kerajaan agar pemupukan terhadap nilai- nilai murni ini dapat membawa kejayaan besar kepada Malaysia dalam jangka masa panjang.

BERNAMA: Bolehkah konsep ini dijayakan dan bagaimana penerimaan rakyat terhadapnya?
SALLEH: Memang terdapat pelbagai pandangan mengenainya. Ulasan-ulasan yang kita nampak tidak semuanya sama. Ada pro dan kontra. Malahan, ada yang bersikap skeptikal dan sinis. Pihak pembangkang mempersendakannya. Tetapi semua ini tidak melunturkan kefahaman umum terhadapnya. Sebaliknya, ia menjadi kekuatan yang menyemarakkan lagi azam rakyat untuk terus bersatu padu, memperkuat ikatan persefahaman.
Kejayaan konsep ini bukan sekadar terletak pada bahu pimpinan kerajaan, tetapi sebenarnya lebih berat di bahu rakyat sendiri. Hingga kini rakyat memahami dan sudah mula menterjemah prinsip-prinsip yang terkandung dalam gagasan ini. Melihat kepada reaksi umum itu, maka saya optimis konsep ini boleh berjaya mencapai matlamat pimpinan kerajaan.

BERNAMA: Apakah signifikan konsep 1Malaysia ini dalam konteks Sabah?
SALLEH: Bagi saya, konsep ini membawa makna besar kepada negeri Sabah yang terpisah oleh Laut China Selatan dari Semenanjung Malaysia. Pertama, ia tentu saja membolehkan negeri ini bergerak seiringan dengan negeri-negeri lain di Semenanjung yang fasa pembangunannya lebih pantas daripada kita di sini. Kedua, ia membawa refleksi tentang erti perpaduan dalam kepelbagaian.
Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak ialah contoh 1Malaysia. Justeru dalam konteks Sabah, walaupun negeri ini mempunyai lebih daripada 30 etnik dan sub-etnik, tetapi semangat kesatuan dan perpaduan rakyatnya tetap mantap. Ini fakta menarik jika dibuat perbandingan di Semenanjung yang mempunyai tiga etnik utama, iaitu Melayu, Cina dan India serta lain-lain. Sebenarnya, prinsip-prinsip 1Malaysia itu sudah terpakai sejak sekian lama di Sabah, sama ada dalam sosioekonomi mahupun sosiopolitiknya.

BERNAMA: Apa yang Datuk maksudkan?
SALLEH: Ya, sejak mencapai kemerdekaan dan pembentukan Malaysia, kita mempraktikkan penggunaan satu bahasa secara meluas, iaitu Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi dan bahasa perniagaan, biarpun dalam kepelbagaian adat dan kebudayaan masyarakat yang bersilang fahaman dan ideologi.
Orang di Sabah begitu fasih berbahasa Melayu sehinggakan mungkin sukar untuk membezakan sama ada mereka orang Bumiputera ataupun tidak, kerana semuanya begitu fasih bertutur dalam satu bahasa. Lambang ikatan 1Malaysia juga tergambar dalam kehidupan harian masyarakat negeri ini. Kita lihat di kedai-kedai kopi misalnya, banyak premis perniagaan dikongsi bersama oleh orang Islam dan bukan Islam.
Peniaga bukan Islam menjual minuman, manakala di sudut kedai yang sama disewa oleh orang Islam yang menjual makanan halal. Orang berlainan agama makan dalam premis yang sama tanpa rasa segan dan malu. Keadaan ini menjadi satu kebiasaan bagi kita di Sabah. Ia juga berkait dengan sejarah peradaban dan perkahwinan campur di antara rakyat berlainan fahaman. Secara peribadi, saya juga mempunyai ramai saudara-mara yang bukan beragama Islam dan tidak ada masalah langsung dalam mengharungi kehidupan.
Dalam majlis- majlis keramaian, misalnya kenduri dan perkahwinan, sudah menjadi amalan bagi masyarakat di Sabah menyediakan hidangan untuk tetamu yang beragama Islam dan bukan beragama Islam.

BERNAMA: Bagaimana rakyat negeri ini boleh menyumbang kepada pencapaian gagasan 1Malaysia?
SALLEH: Seperti rakyat negeri lain, kita juga komited untuk bersama-sama dalam arus pembangunan negara merangkumi semua bidang, termasuk ekonomi. Sebab itulah dalam pilihan raya umum lepas, rakyat Sabah memberi sokongan mutlak kepada Barisan Nasional (BN) sehinggakan kita hampir mencapai status "sifar pembangkang" baik di peringkat Dewan Undangan Negeri mahupun Parlimen.
Kemenangan besar itu menjadikan Sabah diiktiraf sebagai "fixed deposit" dan banyak membantu kekuatan BN di peringkat pPusat. Dalam konteks 1Malaysia, tentu saja rakyat negeri ini sentiasa berdiri teguh menyokong dan terus mengukuhkan BN yang ditunjangi oleh Umno. Rakyat negeri ini sangat meyakini konsep 1Malaysia ini mampu mengangkat martabat masyarakat pelbagai kaum, ke suatu tahap yang membanggakan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.
Kita akan berusaha menentukan rakyat dapat bersama-sama menikmati pembangunan, dan bukan menjadi penonton pembangunan atau penunggu bantuan saja, sebaliknya sama-sama berusaha merebut peluang dan potensi yang tersedia.

BERNAMA: Bagaimana matlamat ini boleh dicapai, sedangkan parti politik pembangkang menjadikan 1Malaysia sebagai senjata mendesak penghapusan Dasar Ekonomi Baru (DEB)?
SALLEH: Dasar Ekonomi Baru telah diperkenalkan oleh Tun Abdul Razak pada tahun 70-an untuk membanteras kemiskinan serta menyusun semula masyarakat. Ia telah berjaya membawa banyak perubahan dalam masyarakat kita, bukan saja dalam kalangan orang Melayu tetapi juga semua kaum. Desakan berhubung penghapusan DEB itu sebenarnya sengaja dilontarkan oleh pembangkang untuk mencipta polemik dan kontroversi bagi mencari keuntungan politik.
Bagi saya, tuntutan mereka yang kononnya berasaskan istilah adil dan saksama itu mencerminkan kecetekan pemikiran dan tidak melihat masa depan dalam perspektif menyeluruh. Dan mungkin juga mereka sengaja memejamkan mata untuk melihat intipati 1Malaysia itu dari sudut yang negatif. Jika dilihat secara mikro, konsep 1Malaysia ini jelas membawa mesej dan harapan pimpinan kita memakmurkan rakyat dengan mengutamakan pencapaian termasuklah di Sabah.

BERNAMA: Bagaimana Datuk melihat kebebasan media di Sabah dalam konteks pencapaian 1Malaysia?
SALLEH: Sejak dahulu lagi, peranan media dalam pembangunan negara tidak dapat dipisahkan. Ia banyak memainkan peranan dalam memupuk perpaduan, persefahaman dan integrasi dalam kalangan rakyat majmuk sebagaimana diperincikan dalam huraian konsep 1Malaysia, iaitu menuntut setiap warganegara dan pemimpin memainkan peranan masing-masing.
Pengamal media di Sabah telah dapat berfikir melepasi kepentingan kaum dan kelompok. Selain bersikap objektif dan bertanggungjawab, mereka juga kritikal dan memberi ruang kepada pembangkang tanpa membelakangkan nilai-nilai dan etika kewartawanan. Saya katakan demikian kerana media di Sabah sering melaporkan tentang masalah dan rungutan serta keperitan hidup rakyat, dan inilah sebenarnya yang diharapkan menerusi konsep 1Malaysia, iaitu memperbaiki hubungan kaum dan membentuk sebuah masyarakat yang progresif.
Jelas bahawa media di Sabah turut sama-sama mendasari prinsip utama 1Malaysia, iaitu kebersamaan dan kekitaan bagi menjayakan konsep ini. Daripada segi akses kepada maklumat pun, media di Sabah lebih terbuka berbanding akhbar nasional atau akhbar lain di negeri-negeri lain di Malaysia iaitu memberi ruang yang hampir sama kepada semua orang termasuk parti pembangkang mengutarakan atau menyampaikan mesej untuk tatapan umum.
Di Sabah, adakalanya akhbar tempatan menyiarkan atau menonjolkan isu yang dibangkitkan oleh pembangkang di muka hadapan dan pembaca melihatnya sebagai perkara biasa sahaja. Walaupun kebebasan akhbar lebih terserlah di Sabah, namun BN juga tetap menjadi pilihan rakyat seperti yang berlaku pada pilihan raya lepas kerana rakyat bijak menilai maklumat yang diterima.
Dalam konteks ini, saya fikir media Sabah juga boleh dijadikan contoh atau role model kepada media kebangsaan supaya mengamalkan dasar yang lebih terbuka, sekaligus menjayakan aspirasi konsep 1Malaysia. - BERNAMA

Saturday, December 5, 2009

BTN BUKAN PENTAS POLITIK UMNO

Agak lama juga saya tidak membuat catatan baru di sini. Bukannya disengajakan, tapi sibuk dengan urusan haji di Tanah Suci.

Selama berada kira-kira dua minggu lebih di sana, saya sesekali juga melayari internet untuk mengikuti perkembangan di tanah air. Tetapi tidak berkesempatan membuat catatan.

Saya dan isteri tiba di tanah air pada Jumaat lepas. Penerbangan kami singgah di Kuala Lumpur sebelum sampai di Kota Kinabalu.

Semasa dalam penerbangan balik ke tanah air, saya pun tidak melepaskan peluang membaca surat-surat khabar kebangsaan.

Nampaknya, banyak juga isu-isu yang menarik berlaku sepanjang dua tiga minggu lepas.

Antaranya isu kursus Biro Tata Negara (BTN), krisis dalaman MCA, cerita Menteri Besar Kelantan, Nik Aziz Nik Mat, dan terbaru peletakan jawatan anak Tan Sri Taib Mahmud, iaitu Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman, sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Namun, yang menyenangkan hati saya, di Sabah tidak ada isu- isu besar dan panas, sama ada berkaitan kerajaan mahupun politik.

Alhamdulillah. Suasana politik yang terus stabil ini membolehkan kerajaan Sabah memberi tumpuan terhadap usaha melaksanakan program pembangunan untuk rakyat.

Pastinya, kestabilan politik ini terhasil daripada sokongan semua parti komponen dan dokongan rakyat yang berdiri teguh di belakang kepemimpinan kerajaan.

Di ruangan kali ini, saya ingin mengulas sedikit mengenai isu BTN. Saya tertarik untuk memberi pandangan dalam hal ini kerana saya sendiri secara peribadi pernah menyertai kursus anjuran badan tersebut.

Pada saya, apa yang diperolehi melalui kursus tersebut ialah ilmu yang amat memberi manfaat dan membantu membangkitkan semangat nasionalisma.

Fakta-fakta sejarah yang tepat dan isu-isu semasa yang dijelaskan sesungguhnya boleh membuka minda dan memberi inspirasi, justeru ia sesuai untuk difahami.

Pada saya, pihak-pihak tertentu sengaja mempolitikkan isu BTN ini untuk mengalihkan perhatian masalah dalaman parti mereka. Ia merupakan propaganda pembangkang menanguk di air keruh.

Saya setuju bahawa di bawah kepimpinan baru, maka kokurukulum ditambah dengan penjelasan berkaitan dasar 1Malaysia.

Bagi saya, BTN tetap relevan dalam usaha untuk menanam semangat patriotisme dan nilai-nilai murni di kalangan rakyat, termasuk berkaitan perlembagaan negara, ketaatan kepada Kesultanan Melayu dan pemerintah untuk menjamin kesejahteraan rakyat.

Kritikan dan tohmahan kerajaan dan Umno untuk mempengaruhi pemikiran pesertanya adalah tidak berasas. Kerana yang jelas, pendekatan yang dilaksana BTN adalah untuk memberi kesedaran, ilmu serta bimbingan tentang kaedah kehidupan bernegara.

Pertamanya, kursus-kursus anjuran BTN bukan hanya untuk orang Melayu sahaja tetapi semua bangsa yang memegang tiket warganegara. Justeru, BTN konon sebagai pentas politik Umno semata-mata adalah tidak tepat.Tenaga pengajar atau fasilitator terlatih memberi penerangan mengenai pelbagai bentuk ancaman keselamatan negara, selain menekankan pentingnya soal keamanan dan perpaduan dipertahankan.

Saya percaya mereka yang pernah mengikuti kursus anjuran BTN akan sependapat bahawa mereka mendapat banyak manfaat daripadanya.

Pengalaman yang diperolehi tidak mungkin dapat difahami sebegitu mendalami biarpun tertulis dalam buku teks yang diguna pakai dalam sukatan pelajaran.

Perbincangan dalam kumpulan menerusi sesi perbincangan juga mendekatkan peserta mengenai makna perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup. Ini tidak mungkin dapat diselami jika tidak diikuti secara mendalam.

Realitinya, BTN tetap relevan dan merupakan medium yang realistik untuk membawa kemakmuran serta kemajuan kepada negara kita.

Saya merumuskan bahawa ia merupakan pentas terbaik yang cukup objektif serta mampu membawa kemajuan kepada negara kita dalam jangka masa panjang.