Translate

Tuesday, January 5, 2010

MELENTUR BULUH BIARLAH DARI REBUNGNYA


HAMPIR seminggu sudah kita berada di Tahun Baru 2010 ini. Banyak cerita dan kisah pengalaman saya dengar dari kawan-kawan mengenai suasana di tahun baru ini.

Paling menarik cerita tentang anak-anak yang memulakan persekolahan formal dalam darjah satu. Kita juga nampak perbezaan suasana persekolahan sekarang berbanding zaman kita.

Demikian juga sikap anak-anak kecil sekarang berbanding dahulu. Anak kecil saya, Syeera, misalnya amat excited pada hari pertama persekolahan Isnin lepas. Dia masuk darjah satu di Chung Hwa School. Pada hari itu, dia bangun seawal jam 5.30 pagi dan menyusun sendiri beg serta alat tulisnya. Mamanya menghantar Syeera ke sekolah pada hari pertama dan menurut emaknya, dia tidak rasa takut pun, malahan mudah mesra dengan kawan-kawan sekelas yang baru dikenalinya.

Demikianlah perubahan suasana persekolahan dan pembelajaran hari ini. Anak-anak kecil bukan saja dididik dengan ilmu pendidikan, tetapi turut diberikan asuhan jiwa dan kekuatan semangat untuk berdikari.

Dulu pada zaman kita, keadaan mungkin berbeza. Ramai anak-anak menangis tidak mahu ditinggalkan ibu bapa yang menghantar mereka ke sekolah pada hari pertama. Maka ramailah ibu bapa "mengintai" anak-anak dari luar tingkap kelas, malahan ada yang menunggu anak mereka itu di luar sekolah sehingga sesi persekolahan selesai.

Tetapi pada hari ini, umumnya suasana sudah banyak berubah. Anak-anak sekarang begitu "confident" dan mampu berdikari walaupun pada usia enam atau tujuh tahun. Keadan ini disebabkan beberapa faktor, antaranya pendedahan kepada alam persekolahan sebelum mereka melangkah ke sekolah formal.

Ini kerana sudah menjadi satu kewajipan bagi setiap anak-anak dihantar ke Tadika dan Tabika sebelum melangkah ke darjah satu, sama ada di bandar mahu pun luar bandar. Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Pelajaran menyediakan kelas-kelas sedemikian, selain ada juga yang diusahakan oleh pihak swasta.

Pendidikan prasekolah ini merupakan pendekatan kerajaan untuk memberi asas yang kukuh dari segi mentaliti pelajar sejak awal lagi. Kekuatan mental yang lemah di waktu kecil, akan mempengaruhi perkembangannya dewasa nanti.

Sebab itu, kelas-kelas Tadika dan Tabika sedemikian turut disediakan di luar bandar, kerana matlamatnya untuk menyeimbangkan jurang pendidikan antara bandar dan desa. Ini adalah dasar kerajaan sebagai antara usaha untuk memajukan rakyat, membebaskan diri daripada kemunduran.

Pendidikan merupakan prasyarat mencapai kemajuan dalam apa bidang sekali pun. Justeru, kita harus mensyukuri dasar kerajaan ini yang terbukti telah memperlihatkan banyak kemajuan.

Sememangnya, ibu bapa harus memberi perhatian terbaik terhadap pendidikan anak-anak. Ia adalah pelaburan yang hasilnya tentu memberi manfaat kepada anak-anak, keluarga dan negara di masa depan.

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan kini, kita perlu melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu untuk menghadapi persaingan. Anak-anak sebagai golongan pelajar adalah merupakan aset yang paling berharga dan amat penting kepada negara.

Mereka adalah pendukung wawasan dan aspirasi kerajaan. Maka sudah sewajarnyalah aset ini diberi bimbingan, diberi peluang dan diketengahkan dengan harapan mereka dapat menerajui kerajaan dan negara dengan lebih baik suatu hari kelak.

Di pihak kerajaan, sama ada negeri mahupun Persekutuan, sememangnya sentiasa menitikberatkan pembangunan dan kemajuan bidang pendidikan, termasuk memberi bantuan yang perlu kepada semua jenis aliran sekolah di negeri ini, baik sekolah kebangsaan mahupun sekolah jenis kebangsaan.

Kini amanah memberi pendidikan kepada anak-anak terpikul di bahu setiap ibu bapa. Kita perlu membimbing dan memimpin anak-anak ini sejak kecil lagi, bak kata pepatah Melayu "Melentur Buluh Biarlah Dari Rebungnya"

No comments: