Translate

Sunday, January 17, 2010

TAHUN BARU YANG BERMAKNA DALAM KARIER POLITIK


Tanggal 4 Januari 2010 adalah tarikh bermakna dalam catatan kerjaya politik saya bila mana pada hari tersebut YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman, telah memanggil saya ke pejabat beliau dan menyerahkan surat pelantikan saya sebagai Penasihat Sains dan Teknoloji kepada Ketua Menteri dengan status jawatan bertaraf Menteri.

Perjumpaan bersama Ketua Menteri di pejabatnya di Wisma Innoprise itu turut disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Sukarti Wakiman. Dalam perjumpaan itu, Ketua Menteri telah menerangkan tanggungjawab saya. Selain daripada sebagai Penasihat, saya juga akan melaksanakan tugas-tugas yang diarah dari semasa ke semasa oleh beliau.

Secara peribadi, saya agak terkejut dengan pelantikan tersebut kerana tidak pernah menyangka akan diberikan tanggungjawab sedemikian penting.

Saya amat terharu dengan kepercayaan dan amanah yang diberikan kepada saya, dan akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin berdasarkan imu dan pengalaman yang di miliki.

Susulan dari pelantikan itu, pelbagai reaksi saya terima dan bermacam interpretasi saya dengar. Ada yang menyokong dan tidak kurang juga ada yang mempersoalkannya. Malahan, macam-macam andaian dibuat.

Namun pada saya, semua ini adalah perkara biasa.Yang penting tugas dilaksanakan sebaik-baiknya. Dengan pelantikan ini, bermakna saya sudah menjadi sebahagian daripada sistem pentadbiran kerajaan dan dekat dengan Ketua Menteri.

Sebelum ini, pelantikan saya sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah juga telah menjadikan saya sebahagian daripada jentera parti, dan hieraki itu mendekatkan diri saya dengan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Ini bermakna saya telah berada dalam kedua-dua sistem, iaitu kerajaan dan politik, untuk bersama-sama membantu Ketua Menteri mengurus tadbir parti dan kerajaan.

Saya berterima kasih kepada pimpinan parti di peringkat Pusat atas amanah yang diberikan, demikian juga pada pimpinan kerajaan di peringkat negeri.

Tentu saja, amanah ini membolehkan saya memainkan peranan lebih berkesan dalam memacu pembangunan negeri dan menjayakan apa jua perancangan serta agenda untuk rakyat.

Saya akan cuba memenuhi harapan dan ekspetasi rakyat yang pastinya meletakkan harapan tinggi terhadap gandingan kepemimpinan kami berdua.

Pelantikan terbaru ini bukan saja menjadi tarikh bersejarah dalam karier politik saya, tetapi barangkali juga merupakan Hadiah Tahun Baru pada Tahun Harimau (mengikut kalendar Cina) ini.

Dengan memegang kedua-dua jawatan ini, selain sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Belud, tentunya banyak kerja dan urusan menanti di hadapan. Barangkali masa untuk santai seperti sebelum ini mungkin semakin kurang.

Justeru barangkali juga keadaan ini akan menyebabkan saya tidak lagi dapat menulis dalam kolum Ilustrasi ini sekerap mungkin sebagaimana dahulu, lantaran himpitan masa terhadap tugasan yang lebih penting untuk rakyat dan negeri.

Begitu pun, saya akan cuba dan berusaha untuk terus menulis di sini setiap kali ada ruang masa dan kesempatan, dengan cerita dan topik yang lebih menyeluruh.

No comments: