Translate

Sunday, February 21, 2010

ANJAKAN PARADIGMA MEMPERKASA PERJUANGAN BN



BARISAN Nasional (BN) akan mengadakan satu konvensyen bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti itu pada akhir tahun ini, sebagai langkah memantapkan perjuangan dan menjadikannya lebih bersifat terbuka dan inklusif.

Hal ini diputuskan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada Jumaat malam dan telahpun diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam sidang media selepas itu.

Bagi tujuan itu, satu jawatankuasa khusus telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, untuk mengkaji cadangan pindaan perlembagaan itu.

Perdana Menteri berkata pada konvensyen itu juga nanti, satu dasar formal akan dibentuk bagi memberi pengiktirafan kepada tiga kumpulan yang cenderung menyokong kerajaan.

Tiga kumpulan tersebut adalah individu yang hendak menyertai BN, parti-parti politik yang berminat untuk menyokong BN serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang mesra BN.

Keputusan Dewan Tertinggi BN itu mendapat liputan meluas media cetak dan elektronik, termasuk media alternatif. Menyusul selepas itu, terdapat berbagai komen dan reaksi, ulasan dan pendapat dilontarkan.

Saya turut tertarik untuk berkongsi pandangan mengenai cadangan tersebut kerana sudah tiba masanya bagi kita melakukan anjakan paradigma dalam perjuangan memperkasa BN di persada politik tanahair.

Secara peribadi, saya sependapat dengan Perdana Menteri mengenai pentingnya BN melakukan suatu perubahan bagi menjadikannya lebih bersifat terbuka dan inklusif. Bagi tujuan tersebut, BN perlu memiliki dasar formal sebagai landasan perjuangan, termasuk dalam konteks memberi pengiktirafan terhadap mereka yang berada di luar BN tetapi menyokong atau sealiran dengan misi BN, umpamanya tiga kumpulan yang disebutkan dan dikenal pasti itu.

Bagi saya, BN perlu menyajikan atau menghidangkan sesuatu yang menarik dan "fresh" kepada masyarakat, suatu polisi yang dianggap saksama dan adil, serta memberi penekanan kepada kepentingn masyarakat umum, bukannya untuk segelintir golongan elit semata-mata.

BN perlu mempunyai daya tarikan kepada anak-anak muda terdiri dari semua kaum supaya ia sentiasa relevan kepada setiap generasi, dan gagah mengharungi sebarang ancaman politik.

Yang penting, BN kena menjadi parti yang moden dan peka melihat masa depan.

Saya pernah menulis sebelum ini mengenai pentingnya bagi BN melalui proses "re-branding" atau transformasi kerana dalam konteks politik negara hari ini, rakyat telah mempunyai dua pilihan, iaitu satu komponen BN dan satu lagi gagasan Pakatan Rakyat (PR). Justeru itu, pimpinan BN selaku pemerintah di peringkat Pusat dan kebanyakan negeri harus menentukan bahawa rakyat sentiasa bersamanya.

Untuk memenangi hati rakyat, maka kita harus memahami dan mendengar denyutan rakyat. Kenapa mereka menjauhkan diri daripada parti-parti komponen BN?

Dalam tulisan itu, saya telah mengemukakan beberapa cadangan, antaranya menimbang kemungkinan mewujudkan keahlian terus dalam BN, melakukan usaha penjenamaan semula dengan singkatan atau panggilan BN saja supaya mendekatkannya dengan hati rakyat, serta difikirkan logo baru BN yang lebih menarik serta mempunyai ciri-ciri dan pengertian gagasan 1Malaysia.

Saya melontarkan pendapat tersebut dengan mengambil kira senario jangka panjang demi menjamin survival dan kelangsungan BN di persada politik tanah air.

Lanjutan daripada saranan saya itu yang turut disiarkan dalam pelbagai media tempatan, beberapa pemimpin Umno dan BN tampil memberi reaksi yang pada umumnya bersifat positif dan meyakinkan.

Justeru, secara peribadi, saya berasa gembira dan senang dengan keputusan Dewan Tertinggi BN pada malam Jumaat lepas untuk mengadakan konvensyen pada akhir tahun bagi tujuan membincang pindaan perlembagaan, kerana setidak-tidaknya cadangan saya itu boleh dibahaskan kelak.

Sememangnya setiap cadangan perlu diperhalusi, apatah lagi ini melibatkan sebuah komponen besar seperti BN. Dalam rangka memperluaskan jaringan sahabat dengan kumpulan atau kelompok yang mendukung perjuangan, semua aspek pro dan kontra mesti diambil kira.

Perbincangan dalam hal ini akan melalui tiga peringkat penapisan, bermula di peringkat jawatankuasa khusus yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, kemudian ke peringkat Jawatankuasa Pengerusan yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum dibawa ke jawatankuasa tertinggi BN.

Semua parti komponen akan mempunyai wakil dalam setiap jawatankuasa itu dan mereka mempunyai jangka masa yang mencukupi bagi memperhalusinya sebelum tibanya konvensyen BN di penghujung tahun nanti.

No comments: