Translate

Friday, February 5, 2010

KRISIS PULAU PINANG DEDAH KEPINCANGAN PEMBANGKANG




SEJAK beberapa hari ini, saya melayari intenet dan membaca suratkhabar. Banyak laporan serta tulisan mengenai krisis kepemimpinan yang berlaku di Pulau Pinang, negeri diperintah pembangkang yang kini menuju kepada perpecahan.

Ramai pemimpin kerajaan dan pembangkang sudah mengulas mengenainya. Masing-masing dengan hujah dan pendapat masing-masing.

Bagi saya, apa yang berlaku di Pulau Mutiara itu menunjukkan ketidakupayaan pembangkang untuk bekerjasama menuju matlamat yang sama kerana ketiga-tiga parti, iaitu DAP, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berlainan ideologi dan perjuangan.

Masing-masing mahu mengejar kepentingan dan `political mileage'. Krisis yang tercetus sememangnya sudah dijangkakan kerana sejak awal lagi ketiga-tiga parti berbeza pendapat dan berlainan fahaman biarpun dianggap "tidur sebantal."

Begitupun bagi BN, apa yang berlaku tidak harus melalaikan untuk terus bekerja demi rakyat. Pimpinan BN mesti bersikap proaktif supaya tidak terperangkap dan terlena dalam kemelut yang dihadapi oleh parti pembangkang itu.

Yang penting, BN mesti memperkasakan perjuangan secara berterusan kerana rakyat sentiasa memerhati dan mengikuti gerak-geri kita.

Rakyat kini mempunyai pilihan, iaitu pakatan pembangkang dan Barisan Nasional. Secara jelas, antara Barisan Nasional dan pakatan pembangkang, wujud jurang yang begitu ketara sama ada dari segi prinsip, fahaman, pendekatan mahupun agenda perjuangan.

Berbanding pembangkang yang tidak kelihatan wawasannya, Barisan Nasional kini telah mempunyai tonggak gagasan 1Malaysia, yang mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Sementara krisis di Pulau Pinang itu membuka mata ramai orang terhadap senario politik kepartian pembangkang, ia tidak pula boleh dianggap sebagai satu kemenangan buat Barisan Nasional semata-mata.

Kita mesti bekerja secara berterusan, tanpa henti. Rekod pemerintahan yang dilaksanakan Barisan Nasional harus menjadi contoh dan asas perbandingan dengan apa yang termampu dilakukan oleh pembangkang.

Sebenarnya kecaman terbuka oleh pemimpin-pemimpin pakatan pembangkang negeri terbabit sendiri terhadap Ketua Menteri, Lim Guan Eng, sudah mencapai tahap yang serius, apabila pelbagai istilah dilemparkan ke atasnya.

Anggota Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, yang juga bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang melabelkan Lim sebagai diktator, cauvinis dan berfikiran komunis kerana sikapnya tidak suka dikritik.

Kenyataannya itu turut disokong oleh seorang lagi pemimpin PKR, iaitu Anggota Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, yang mendakwa Lim seorang yang angkuh dan harus disingkirkan daripada jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.

Daripada komen dan reaksi sehingga kini, krisis yang berlaku di Pulau Pinang, dan pertikaman lidah sesama pembangkang, sememangnya sudah diduga. Kerajaan yang dibentuk hanyalah ikatan sementara, umpama perkahwinan yang tidak mendapat restu, sekadar memenuhi agenda, kepentingan dan hasrat pemimpin semata-mata. Tapi bukan untuk kebaikan parti. Inilah realiti pakatan pembangkang.

No comments: