Translate

Monday, March 22, 2010

ANTARA KEFAHAMAN DAN HARAPAN DI SEBALIK MEB


SEJAK beberapa hari kebelakangan ini, banyak orang bercakap tentang Model Ekonomi Baru (MEB). Laporan akhbar dan media alternatif serta siaran televisyen banyak memperkatakan mengenainya.

Saya mengikuti pandangan dan pendapat yang dikemukakan pelbagai pihak berhubung MEB. Perdebatan mengenainya agak hangat, lebih-lebih lagi dengan penglibatan orang politik yang mengulas dari sudut politik.

Sebenarnya, pelaksanaan MEB ini sudah lama disuarakan oleh kerajaan bagi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju. Ia merupakan suatu pendekatan dan langkah berpandangan jauh untuk melonjakkan negara ke persada dunia.

Dengan memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi. MEB diyakini boleh membawa anjakan perubahan dalam dimensi ekonmi negara jangka panjang.

Yang penting pelaksanaannya perlu mendapat dokongan dan sokongan daripada semua pihak. Apa yang dihajatkan tidak mungkin tercapai dengan jayanya tanpa pengemblengan usaha bersama antara kerajaan dan rakyat di semua peringkat.Tidak terkecuali anggota perkhidmatan awam kerana mereka merupakan kunci kepada kejayaan pelaksanaan MEB kelak.

Negara kita memerlukan perkhidmatan awam yang cekap, berkesan dan pantas selain bertintegriti demi menentukan proses peralihan kepada model ekonomi baru ini menjadi kenyataan.

Dalam hal ini, adalah penting inovasi dan transformasi menyeluruh diaplikasi dalam perkhidmatan awam bagi menjadikan lebih relevan dalam era dunia globalisasi kini.

Tanggapan umum di kalangan rakyat biasa terhadap MEB ini masih agak bercelaru kerana ramai berpendapat ia merupakan suatu model baru yang berlainan daripada apa yang dipraktikkan sekarang.

Malahan, ada yang beranggapan ia lebih menumpukan kepada soal pertumbuhan ekonomi sedangkan MEB merupakan suatu kerangka pembangunan yang lebih holistik.

Ini bermakna soal pembangunan menyeluruh menjadi keutamaan dalam sasarannya, termasuklah nasib rakyat luar bandar akan terus mendapat pembelaan.Hal ini dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razakdi Kuala Lipis, beberapa hari lalu, yang memberi jaminan bahawa kerajaan sesekali tidak meminggirkan masyarakat luar bandar ketika merangka pelan strategik MEB itu.

Malahan, beliau menyatakan bahawa kerajaan juga telah menambah peruntukan RM750 juta kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk melaksanakan pelbagai lagi program luar bandar bagi memastikan rakyat luar bandar terus maju dan makmur.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan berharap peruntukan itu dapat membantu 543,000 penduduk miskin yang berdaftar melalui e-kasih termasuk di Sabah dan Sarawak menambah pendapatan golongan tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa melalui MEB kelak, pendapatan penduduk luar bandar terutamanya golongan petani dapat ditingkatkan lagi melalui pelbagai program pertanian baru seperti projek agropolitan.

Selain projek pengeluaran hasil pertanian, penduduk luar bandar turut dibekalkan dengan pelbagai ilmu keusahawanan dan budaya perniagaan.Dalam konteks ini, tentu saja menjadi harapan rakyat terutama golongan Bumiputera di kedua-dua negeri agar nasib dan kepentingan mereka terus terbela dalam MEB ini.

Adalah penting usaha terus diperkasakan untuk menentukan golongan Bumiputera menapak kukuh dalam kegiatan ekonomi, tidak terpinggir dalam perlumbaan ekonomi global yang mencabar.

Sementara penekanan diberi kepada soal ekonomi berintensif tinggi, aadalah disarankan juga supaya soal kepentingan ekonomi Bumiputera kekal menunjangi apa saja bentuk pendekatan yang dilaksana kelak,Ini penting supaya Bumiputera di Sabah dan Sarawak turut sama berkongsi menikmati kek ekonomi negara kita.

No comments: