Translate

Wednesday, April 28, 2010

MENGHAYATI MESEJ DI SEBALIK KEMENANGAN BN DI HULU SELANGOR


TENGAH hari Isnin lepas, saya dijemput atas kapasiti sebagai Penasihat Sains dan Teknologi Kepada Ketua Menteri Sabah, menjadi tetamu kehormat jamuan tengah hari anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bersama editor akhbar di Kota Kinabalu.

Ketika saya tiba, ramai rakan-rakan media sudah datang lebih awal. Sebahagian duduk semeja dengan saya, manakala yang lain di beberapa meja bersebelahan.

Di penghujung acara, saya ditemuramah oleh media. Mulanya mengenai isu bekalan elektrik di Sabah dan pelaksanaan projek loji arang batu untuk menambah kapasiti bekalan, tetapi kemudian soalan media menyimpang kepada keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang baru selesai sehari sebelum itu.

Pada hari tersebut, hampir kesemua akhbar di Sabah turut menyiarkan keputusan pilihan raya kecil Hulu Selangor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi berkenaan, sebagai tajuk utama di halaman depan.

Saya memberi jawapan dan penjelasan tentang realiti politik di Hulu Selangor di mana saya sendiri terlibat dalam kempen bersama-sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman, di beberapa lokasi dan markas Barisan Nasional.

Di sepanjang kempen, saya sudah merasakan tentang `mood' perubahan pengundi di Hulu Selangor yang sebelum ini kawasan tersebut diwakili oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Begitu pun, cabaran BN sememangnya sengit di Hulu Selangor dengan mengambil kira hakikat bahawa negeri tersebut diperintah oleh pembangkang, bukan BN.

Namun kejayaan calon BN, P. Kamalanathan, merampas semula kerusi tersebut dengan majoriti 1,725 undi merupakan kemenangan cukup bermakna, kerana bukan saja menewaskan peguam terkenal dan bekas menteri, Datuk Zaid Ibrahim, tetapi lebih penting petanda permulaan perubahan politik di kalangan rakyat terhadap pakatan pembangkang.

Dalam pilihan raya kecil itu, Kamalanathan yang juga Ketua Penerangan MIC memperoleh 24,997 undi, menewaskan Zaid, yang dipecat daripada Umno pada Disember 2008 kerana menghadiri perhimpunan parti pembangkang, menerima 23,272 undi.

Dalam pengamatan saya, kemenangan calon BN pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor itu merupakan satu pentanda baik kepada BN untuk merampas semula kerajaan negeri Selangor daripada Pakatan Rakyat (PR) pada pilihan raya umum akan datang.

Yang jelas lagi, kemenangan itu menunjukkan rakyat di kawasan berkenaan menyokong padu pendekatan dan dasar yang diperkenalkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Walaupun dalam keadaan di mana pihak lawan menggunakan terlalu banyak isu berbau fitnah, tetapi rakyat begitu matang untuk membuat keputusan. Saya melihat pilihan raya kecil itu dalam konteks bahawa kerajaan Selangor dipimpin oleh pakatan pembangkang, dan saya lihat mereka cuba membanding keputusan itu dengan apa yang berlaku di Ijok dalam pilihan raya kecil sebelum itu.

Di Ijok ketika itu kerajaannya adalah kerajaan BN, tetapi sekarang ini kerajaan Selangor dipimpin oleh PR. Jadi, saya melihat keputusan ini sebagai satu pungutan suara rakyat terhadap prestasi kerajaan pakatan rakyat di Selangor.

Umumnya, keputusan itu adalah isyarat rakyat yang tidak berpuas hati tentang apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Selangor kepada rakyat di negeri itu. Dalam keadaan sedemikian jelas bahawa BN telah dapat memenangi kawasan tersebut, dan ini satu petanda baik untuk menentukan agar Selangor dapat dikembalikan kepada BN pada pilihan raya umum akan datang.

Saya setuju dan sependapat dengan YAB Perdana Menteri bahawa keputusan di Hulu Selangor membawa erti yang amat besar kepada BN kerana bertanding di negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

Secara perkiraan nyata, kemenangan Kamalanathan kali ini, jika dibandingkan dengan keputusan pada tahun 2008, menunjukkan peralihan sokongan pada BN yang menghampiri 2,000 undi. Ini merupakan peralihan sangat besar ertinya, serta bukti BN telah dapat menawan hati dan fikiran rakyat.

Begitu pun, analisa terperinci perlu dibuat terhadap keputusan itu, terutama berkaitan sokongan pengundi Cina yang jelas didapati masih tidak memberi sokongan mutlak terhadap BN.

Analisa bertujuan mengenal pasti di mana silapnya, sekali gus memperbaiki keadaan untuk dijadikan iktibar pada masa hadapan demi survival BN di pentas politik nasional.

No comments: