Translate

Sunday, April 4, 2010

SIGNIFIKAN MEB DAN KEPENTINGANNYA KEPADA BUMIPUTERA


BANYAK sudah ulasan dan komen diberikan mengenai Model Ekonomi Baru (MEB). Sejak diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, minggu lalu, pelbagai reaksi kedengaran, termasuk dari kalangan masyarakat Bumiputera.

Sememangnya pengumuman mengenai MEB itu dinanti-nantikan banyak pihak sebelum ini, terutama di kalangan masyarakat Bumiputera kerana ia menjadi penentu terhadap masa depan ekonomi Bumiputera dalam menghadapi persaingan era globalisasi.

Saya sendiri melihat intipati MEB dan umumnya ia merupakan suatu pendekatan proaktif pimpinan kerajaan bukan saja untuk menjadikan Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi, tetapi juga melonjakkan ekonomi rakyat pelbagai kaum.

Ia telah dirangka sebegitu rupa bagi memastikan MEB ada kesinambungan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) biarpun tidak dinyatakan secara spesifik tawaran keistimewaan kepada mana-mana kaum.

Pentas terbuka yang disediakan menerusi MEB pastinya membolehkan Bumiputera untuk terus bersaing tinggi jika ada keupayaan dan kemampuan.

Di dalam MEB tidak disebutkan tentang kuota, namun kerajaan telah menegaskan hasrat untuk melihat kapasiti perniagaan Bumiputera disokong supaya mereka bukan saja boleh menjalankan perniagaan dengan lebih baik, tetapi juga mendahului persaingan.

Sokongan ini diberikan dalam bentuk penyediaan laluan teknologi dan pembiayaan kerana ini adalah bidang yang perlu terus ditingkatkan dan usahawan hanya meneruskan perniagaan tanpa perlu bimbang mengenai kekurangan yang ada.

Hal ini turut diakui oleh Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A Aziz, yang menyatakan bahawa MEB tidak mengetepikan tanggungjawabnya untuk meningkatkan dan memulihkan kapasiti usahawan Bumiputera.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan tidak akan campur tangan dengan keputusan perniagaan usahawan, sebaliknya hanya membantu menyediakan kemudahan untuk memudahkan mereka membuat keputusan perniagaan terbaik.

Justeru, katanya, MPEN akan memastikan pendekatan terbaik disediakan bagi menyokong bidang yang mempunyai potensi ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Melihat secara makro pelaksanaan MEB ini, ia sebenarnya membawa mesej jelas tentang komitmen kerajaan untuk memaju dan melonjakkan taraf hidup rakyat, seiring dengan gagasan 1Malaysia mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.

Jika peluang yang disediakan menerusi MEB dapat dimanfaatkan, ia boleh menjadi tunjang kepada ekonomi rakyat pelbagai kaum, sekali gus mengurangkan jurang kemiskinan penduduk di luar bandar.

Sasaran pendapatan perkapita penduduk negara ini telahpun ditetapkan dan kini usaha mencapainya memerlukan pengemblengan usaha bersepadu.

Banyak cara dan inisiatif yang diperkenalkan menerusi MEB boleh dimanfaatkan.

Ia bukan sekadar satu mekanisme mengurus ekonomi, tetapi lebih penting sebagai enjin yang menjana kemajuan negara dan pembangunan rakyat.

Disebutkan di dalam MEB tentang usaha menyegarkan semula peranan sektor swasta supaya dapat memacu pertumbuhan, membangun tenaga kerja yang berkualiti dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.

Misalnya dalam penggajian pekerja asing, jika ia dapat dikurangkan, tentunya aliran keluar wang negara ini dapat diminimumkan.

Perkiraan kasar penganalisis ekonomi yang menganggarkan terdapat dua juta pekerja asing di negara ini, jika setiap mereka menghantar balik RM100 sebulan, maka dalam tempoh sebulan sahaja RM200 juta mengalir keluar daripada negara ini atau anggaran RM2.4 bilion setahun.

Bermakna, dalam pelaksanaan MEB ini, sokongan dan perubahan sikap di kalangan rakyat sendiri, termasuk golongan Bumiputera amat diperlukan.

Mungkin badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti dewan-dewan perniagaan boleh memainkan peranan dengan mengemukakan cadangan bernas kepada kerajaan untuk dianalisa dan dipertimbangkan.

Lagipun, di dalam ucapan Perdana Menteri tempoh hari, beliau telah menyatakan bahawa kerajaan sentiasa terbuka dan mempelawa maklum balas daripada rakyat tentang MEB ini sebelum digubal dengan butir-butir terperinci nanti.

No comments: