Translate

Sunday, May 9, 2010

DALAM PASUKAN, SEMUA ADA PERANAN


BARU-BARU ini, saya telah dijemput untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan PIBG SMK Arshad Kota Belud, salah sebuah sekolah menengah tertua di Sabah.

Sememangnya saya sentiasa bersikap terbuka dan menerima undangan bagi acara yang ada kaitan dengan pendidikan atau pelajaran. Kerana pada saya, setiap pemimpin wajib menetapkan bidang ini sebagai keutamaan dalam agenda perjuangan mereka.

Ini kerana melalui bidang inilah, kita mampu mencapai kemajuan dalam apa bidang sekali pun, termasuklah usaha membasmi kemiskinan, selain memberi persediaan kepada masyarakat kita untuk bersaing dalam dunia tanpa sempadan.

Dalam hubungan ini, semua pihak ada peranannya. Di peringakat sekolah misalnya, PIBG, guru-guru dan murid-murid perlu bekerjasama dan bertindak sebagai satu pasukan. Kita tidak boleh bertindak semata-mata sebagai kumpulan yang berasingan, sebaliknya bekerja bersama sebagai satu pasukan, dengan matlamat untuk memberikan sesuatu yang terbaik kepada anak-anak kita.

Sebenarnya, dalam perjuangan ini, termasuk dalam konteks sesebuah organisasi pun, adalah penting untuk pemimpin memberi penekanan kepada usaha membina satu pasukan dan bukan membuat kumpulan masing-masing. Demikianlah juga dalam konteks 1Malaysia, kita perlu satu pasukan untuk merealisasikan objektifnya.

Bercakap mengenai usaha membina pasukan dan bukan kumpulan ini, saya tertarik dengan kenyataan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, pada Jumaat lepas, yang mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak mengamalkan sikap berkelompok dan berkomplot di kalangan mereka kerana kedua-dua elemen negatif itu boleh merebahkan parti.

Apa yang ditekankan oleh Perdana Menteri ketika merasmikan mesyuarat Umno di Pekan, Pahang, itu sebenarnya juga maksud yang saya sentuh, iaitu membina satu pasukan dan dalam pasukan ini, semua ada peranan masing-masing untuk menyumbang demi kemajuan dan kekuatan.

Dengan bekerjasama dan bersatu padu dalam satu pasukan, maka kita akan menjadi kuat. Sebaliknya, jika kita membawa haluan masing-masing, atau malahan berkomplot antara satu sama lain, ia akhirnya melemahkan parti. Dan apabila parti lemah, anasir-anasir luar mempunyai ruang untuk mengambil kesempatan dan akhirnya boleh merebahkan parti.

Menyedari hakikat inilah, maka Presiden Umno telah menegaskan bahawa kedua-dua sikap berkenaan harus dijauhi dan dielakkan.

Sebaliknya, kata beliau, semua ahli perlu bekerja dalam satu pasukan dan merancang apa saja pelaksanaan yang boleh memberi kebaikan kepada parti dan kepentingan untuk rakyat, bukannya menjatuhkan sesama ahli.

Sikap berpuak-puak atau mewujudkan kelompok boleh mengakibatkan ahli-ahli parti bermusuh sesama sendiri dan hilang tumpuan untuk berdepan dengan parti pembangkang serta melupakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Gejala sedemikian juga, jika dibiar berterusan, boleh menjejaskan keupayaan UMNO memenangi pilihan raya umum akan datang.

Justeru, adalah penting bagi ahli parti memperkasa perjuangan dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk merancang masa depan. Sejarah lampau telah membuktikan betapa amalan berpuak-puak ini sangat merugikan parti, masyarakat, kerajaan dan negara keseluruhannya.

Banyak sejarah peradaban boleh menjadi iktibar dan teladan, bukan sekadar di luar negara tetapi di dalam negara kita sendiri.

''Andai satu hari nanti UMNO rebah, perkara itu bukanlah disebabkan oleh orang atau pihak lain sebaliknya ahli parti kita sendiri yang sibuk menjatuhkan sesama sendiri. Kita akan kalah sekiranya tidak mengubah perangai kita, jadi buatlah yang terbaik. Yang penting bukan diri kita, bukan kelompok atau komplot kita, tetapi UMNO yang memperjuangkan masalah dan kepentingan rakyat," demikian tegas Perdana Menteri, sambil menyatakan bahawa kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di lima negeri ketika pilihan raya umum lalu perlu dijadikan iktibar bahawa parti itu tidak memiliki kekebalan politik.

Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan perkara itu akan berulang lagi sekiranya ada ahli yang terus mengamalkan sikap suka berkelompok dan berkomplot.

Bagi saya, adalah penting peringatan Perdana Menteri itu diambil iktibar. Pemimpin di semua peringkat sewajarnya menunjukkan teladan yang baik, termasuk bagi memberikan persepsi positif dan mengelak parti dilihat sebagai hanya mementingkan politik dalaman, bukan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Bersama-samalah mengukuhkan perpaduan dalam pasukan bagi mengelak amalan berpuak-puak yang boleh membawa perpecahan dan kehancuran.

No comments: