Translate

Sunday, May 23, 2010

MENGAMBIL IKTIBAR DARI SIBU, BN TERUS MELANGKAH KE HADAPAN

Sudah kira-kira dua minggu pilihan raya kecil Parlimen Sibu berlalu. Masih ramai yang bercakap mengenainya. Pelbagai analisa dibuat, bermacam diteori disuarakan. Parti pemerintah dan pembangkang masing-masing dengan alasan sendiri.

Biasalah dalam politik, yang menang akan memberikan sebab-sebabnya, dan yang kalah dengan alasannya.

Yang menang pasti menyatakan tentang kehebatan dan kelebihannya, manakala yang tewas akan mencari alasan, mencari punca dan mencari kesalahan.

Demikianlah yang berlaku dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu. DAP memenangi kerusi tersebut yang dulunya dipegang oleh BN. Parti pemerintah tewas tipis 398 undi.

Begitupun, realitinya BN tewas. Dalam pertandingan, kalah satu undi pun tetap dianggap kalah. Demikian juga menang satu undi, tetap dianggap sebagai satu kemenangan.Yang penting kini adalah meneruskan langkah ke hadapan.

Perjuangan politik BN tidak boleh berhenti di situ. Post-mortem yang dilakukan untuk mengenal pasti punca kekalahan hendaklah dijadikan iktibar memperbaiki kelemahan yang dihadapi, bagi menjadikan BN terus kukuh dan relevan di gelanggang politik.

Saya turut berkempen dalam kempen pilihan raya kecil Sibu. Dari maklum balas akar-umbi dan pengamatan saya sepanjang kempen, isu yang dibangkitkan di situ bersifat setempat dan bukan kerana kebencian terhadap BN atau dasar-dasar yang diperkenalkan.

Selain soal ekonomi dan pendidikan, isu lain yang dibangkitkan adalah berkaitan pengangguran, mitigasi banjir dan tanah adat.

Analisa pengundi juga menunjukkan bahawa penduduk luar bandar komited memberi sokongan kepada BN. Kebanyakan undi yang diperolehi pembangkang adalah dari kawasan bandar Sibu yang majoritinya pengundi berketurunan Cina.

Sebab itu, saya tidak bersetuju kenyataan seorang pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah yang merumuskan bahawa keputusan Sibu memberi gambaran Sabah dan Sarawak tidak lagi boleh dianggap sebagai "fixed deposit" bagi BN.

Saya katakan demikian kerana apa yang berlaku di Sibu adalah bersifat domestik dan tidak menggambarkan sentimen keseluruhan orang Sabah dan Sarawak.

Agak menyedihkan juga apabila keputusan pilihan raya kecil itu dikaitkan pula dengan soal kepemimpinan BN di peringkat negeri.Saya tegaskan bahawa Sibu adalah Sibu, justeru keputusan pilihan raya kecil di situ yang memihak kepada pembangkang tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa Sabah dan Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN.

Bagi saya, keputusan pilihan raya kecil Sibu tidak menggambarkan sokongan keseluruhan masyarakat di akar-umbi. Ianya kes terpencil yang berasaskan isu-isu tempatan.

Saya percaya pengundi Sibu akan menyesal kerana dengan mengundi pembangkang tidak akan menyelesaikan masalah mereka, dan pada pilihan raya akan datang mereka pasti akan kembali kepada BN.

Majoriti rakyat di Sabah, dan saya percaya juga di Sarawak, masih menyokong BN. Kita tidak boleh membuat kesimpulan berasaskan pilihan raya kecil ini sahaja dan kita mesti membuat analisis atau bedah siasat.

Secara realitinya, BN Sabah masih teguh dan majoriti parti komponennya menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ketua Menteri juga mendapat sokongan rakyat Sabah dan pemimpin persekutuan gembira dengan kepimpinan BN negeri.

Sebagai sebuah parti komponen BN, kita sepatutnya akur atau menyokong seorang pemimpin yang dipilih oleh kepimpinan BN.

Kesimpulannya, keputusan pilihan raya kecil Sibu tidak harus dikaitkan dengan senario politik di Sabah, apatah lagi memberi bayangan bahawa Sabah dan Sarawak kononnya tidak lagi harus dianggap sebagai 'simpanan tetap' BN.

No comments: