Translate

Wednesday, June 9, 2010

MENGETEPIKAN KEPENTINGAN DAN IDEOLOGI ATAS PRINSIP KEMANUSIAAN

SEJAK lebih seminggu lalu,media massa dan elektronik memberi fokus kepada cerita dua kapal misi bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza yang diserang dan ditahan pihak regim zionis Israel.

Ceritanya menjadi hangat dan isu perbualan memandangkan ramai rakyat Malaysia, terdiri daripada sukarelawan, Ahli Parlimen dan juga wakil media, berada di atas kedua-dua kapal berkenaan, iaitu Mavi Marmara dan Rachel Corrie.

Saya mengikuti cerita tersebut, membaca cerita mengenainya dan melihat gambar-gambar yang disiarkan. Selain menerusi akhbar arus perdana, saya juga mengikutinya menerusi media alternatif di mana pelbagai hujah, komen dan pandangan diberikan oleh pelbagai pihak dari pelbagai sudut yang berlainan latarbelakang, kepercayaan anutan dan fahaman politik.

Daripada pembacaan dan pemerhatian saya, jelas bahawa rakyat di negara kita mempunyai satu nada suara dalam hal-hal bersangkutan kemanusiaan. Dalam hal yang berlaku ke atas kapal misi bantuan kemanusiaan ke Gaza ini, pemimpin dan rakyat Malaysia bersatu suara mengecam dan mengutuk keganasan Israel, malahan mendesak agar Tel Aviv diheret ke muka pengadilan antarabangsa. Suara lantang ini bukan saja datang daripada pemimpin parti kerajaan, tetapi juga dari kalangan parti pembangkang dan rakyat biasa.

Ini jelas dapat dilihat pada Jumaat lepas, selepas solat, telah diadakan tunjuk perasaan dan demonstrasi di serata tempat yang digerakkan oleh pertubuhan politik dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang disertai bersama-sama oleh orang politik yang berlainan ideologi.

Di peringkat pimpinan lebih tinggi, pemimpin-pemimpin kerajaan dan pembangkang telah membuat kenyataan dan ulasan tegas sebagai menunjukkan kemarahan dan ketidakpuasan terhadap keganasan yang dilakukan rejim zionis Israel.

Dan sebagai bukti kesatuan pemimpin dan rakyat mengutuk perbuatan tersebut, Dewan Rakyat yang bersidang pada hari Isnin lepas telah sebulat suara meluluskan usul mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, sehingga mengakibatkan sembilan aktivis terkorban dan 12 rakyat Malaysia ditahan pada 31 Mei lepas.

Usul yang dibentang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, serta dibahaskan selama lebih lima jam oleh 28 Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang dan Bebas, sebelum diluluskan sebulat suara.

Keputusan sebulat suara itu diumumkan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee, ketika majoriti Anggota Parlimen berada dalam dewan kecuali mereka yang mempunyai urusan rasmi di luar, termasuk Anggota Parlimen Parit, Mohd Nizar Zakaria, yang turut mengikuti misi kemanusiaan ke Gaza bersama Perdana Global Peace Organisation (PGPO) dengan kapal MV Rachel Corrie.

Dewan Rakyat mempunyai 222 anggota dengan 137 mewakili Barisan Nasional, 77 pembangkang dan lapan anggota Bebas. Pembangkang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (25), DAP (29), Pas (23) dan Bebas (lapan).

Daripada 28 Ahli Parlimen yang membahaskan usul tersebut, 12 orang adalah daripada BN dan 13 daripada pakatan pembangkang serta dua anggota Bebas.

Suara senada Ahli-Ahli Parlimen ini untuk meluluskan usul tersebut menunjukkan betapa rakyat negara ini sememangnya bersatu hati dalam menangani isu-isu keganasan dan ketidakadilan global. Ia bukti pendirian Malaysia menyokong misi kemanusiaan ke Gaza yang digerakkan oleh NGO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam kenyataannya selepas meraikan enam sukarelawan Malaysia dalam kapal Rachel Corrie yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza yang dibebaskan oleh tentera Israel Sabtu lepas, menyatakan bahawa beliau tetap akan menyokong program dan usaha NGO untuk meneruskan penghantaran misi bantuan kemanusiaan ke Gaza.

"Saya fikir amat baik sekiranya NGO-NGO ini, kalau mereka bersetuju untuk terus membuat program seperti menghantar bantuan kemanusiaan dengan menggunakan bot-bot atau kapal-kapal tertentu atau dengan apa cara sekali pun.

"Ini adalah supaya masalah dan kesengsaraan yang dihadapi oleh rakyat Palestin di Gaza akan sentiasa dalam perhatian masyarakat dunia," katanya.

Najib berkata misi bantuan kemanu
siaan kepada rakyat Palestin telah membuka mata masyarakat dunia tentang kekejaman rejim zionis di Israel yang bertindak menghalang pasukan misi bantuan itu di perairan antarabangsa.

"Kita dapat lihat sekarang ini, betapa perubahan dari segi pendapat dunia, yang sudah pun memihak kepada rakyat Palestin dan rata-rata kerajaan Israel dikutuk oleh masyarakat antarabangsa," katanya.

Hakikatnya, serangan dan penahanan kapal dalam misi bantuan ke Gaza telah membuka mata dunia dan melihat keganasan yang dilakukan oleh Israel. Lebih penting dari itu, ia menyedarkan banyak pihak tentang penderitaan dan kesengsaraan yang dihadapi rakyat Palestin selama bertahun-tahun.

No comments: