Translate

Monday, June 28, 2010

MENGILAP PERJUANGAN SEJATI UNTUK SURVIVAL PARTI


AHAD kelmarin, saya dijemput oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Kota Belud untuk merasmikan persidangan perwakilan mereka.

Selaku Ketua Umno Bahagian, saya menerimanya kerana peluang itu memberi saya kesempatan berinteraksi dengan ahli-ahli di peringkat akar-umbi, seiring prinsip mendengar denyutan nadi mereka.

Sambutan agak hangat dan ucapan Ketua Pemuda Bahagian bersemangat. Para Perwakilan kelihatan begitu patriotik menjunjung perjuangan Umno yang telah bertapak di bumi Sabah selama kira-kira 19 tahun.

Ketika berucap, saya telah menjelaskan kepada mereka tentang perjuangan Umno dan menerangkan pengertian perjuangan untuk bangsa, agama dan Negara.

Saya juga telah menghuraikan kepada mereka tentang makna perjuangan dalam Umno, dengan mengajak ahli-ahli parti mengimbas kembali perjuangan parti.

Saya katakan kepada mereka betapa beruntung dan bertuah negeri dan rakyat Sabah di bawah naungan Umno kini. Bukan saja telah mewujudkan kestabilan politik, tetapi juga membawa kemakmuran kepada rakyat dan perubahan dari segi pembangunan.

Inilah yang perlu dipertahankan oleh setiap ahli parti bagi menentukan Umno terus kekal relevan sepanjang zaman. Sehingga kini, Umno Sabah dibawah kepimpinan YAB Datuk Seri Musa Aman cukup perkasa sebagai tunjang Barisan Nasional negeri, sekali gus negeri ini telah dianggap sebagai "fixed deposit" lantaran sumbangan besar kepada kemenangan BN di peringkat Pusat dalam pilihan raya umum lepas.

Justeru, dalam ucapan saya kelmarin, saya turut menggariskan dua perkara penting yang mesti diberi perhatian oleh semua ahli parti di semua peringkat, iaitu kesetiaan kepada parti dan keyakinan terhadap keupayaan Umno dan BN membawa pembangunan berterusan yang boleh memastikan Sabah terus kekal sebagai "fixed deposit" untuk BN.

Dalam hal ini, saya tegaskan kepada pemimpin dan ahli Pergerakan Pemuda pentingnya mereka mencari pendekatan terbaik untuk memenangi hati golongan muda, sama ada yang menjadi anggota Umno atau sebaliknya.

Turun padang adalah satu daripada pendekatan terbaik. Ia menjadikan Umno disenangi, pemimpin dihormati dan kerajaan disayangi.

Saya turut tegaskan kepada mereka pentingnya Pemuda mengikis sikap-sikap negatif seperti ego dan berlagak, sombong dan bongkak. Sebaliknya, Pemuda perlu tampil berbudi, mesra rakyat serta prihatin pada masyarakat selain berilmu, berakhlak mulia dan berketrampilan sejati.

Jika ciri-ciri ini dimiliki seseorang pemimpin Pemuda, ia akan menjadi mereka popular. Dan jika seseorang pemimpin itu sudah popular, secara tidak langsung Umno dan kerajaan turut menjadi popular dan terus diyakini oleh rakyat sebagai parti terunggul, serta boleh membawa perubahan dan kemajuan kepada negara.

Hakikatnya, saya katakan kepada mereka, bahawa mesyuarat-mesyuarat perwakilan parti, sama ada di peringkat sayap Pemuda, Wanita dan Puteri, mahupun peringkat bahagian, adalah wadah terbaik memperbaharui tekad dan azam mengilap perjuangan parti, demi survival Umno dan negeri.

Penghayatan terhadap prinsip perjuangan asal akan membantu mengembalikan parti ke landasan sebenar membela nasib rakyat dalam ertikata sebenar, sekali gus mengelak tersasar kepada perjuangan bersifat keperibadian.

No comments: