Translate

Saturday, September 4, 2010

HORMATI PRINSIP, SEMANGAT KEKELUARGAAN BN

HAMPIR semua akhbar di Sabah menyiarkan kenyataan saya membidas Datuk Chin Su Phin minggu lepas. Saya terpanggil membuat kenyataan keras itu kerana saya tidak dapat bertoleransi dengan tindak-tanduk Timbalan Presiden LDP itu yang bercakap seperti pembangkang, sedangkan ia bernaung di bawah Barisan Nasional.

Mana mungkin sebuah parti gabungan dibiarkan mencampuri urusan parti lain, malah mengugut pucuk pimpinan dengan menyatakan secara terbuka tidak dapat bekerjasama dengan ketua gabungan itu sendiri. LDP sepatutnya menghormati ketua, bukan menderhaka.

Kenyataan yang dibuat oleh Su Phin nyata berbelit-belit. Di satu pihak, dia menyatakan LDP tidak lagi dapat bekerja dengan YAB Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman. Tetapi di baris ayat lain, dia menyatakan akan terus menyokong dan bekerjasama dengan Umno serta menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri dan gagasan 1Malaysia.

Apa yang saya dapati, kenyataan Su Phin itu lebih bersifat peribadi. Apatah lagi, isu-isu yang dijadikannya sebagai alasan mengkritik pimpinan lebih menjurus kepada kepentingan peribadi, misalnya isu patung Mazu dan juga pelantikan pemimpin masyarakat di daerah Kudat. Mungkinkah isu yang disebut itu sekadar dijadikan sandaran?

Sebab itu, berani saya katakan bahawa kenyataan yang dibuat oleh Su Phin itu ada agenda politik tersendiri. Ada dalang di sebaliknya dan ada "tangan-tangan ghaib" memainkan peranan dengan matlamat melakukan serangan peribadi ke atas YAB Datuk Musa.

Ini adalah permainan pihak tertentu dan menjadikan Su Phin dan LDP sebagai alat. Jika kita masih ingat, pada bulan Mei yang lepas pun, Su Phin turut mengkritik kepimpinan YAB Datuk Musa dengan mendakwa kononnya ada krisis kepimpinan dalam BN negeri, dan kononnya Sabah dan Sarawak tidak lagi boleh dilayan sebagai `fixed deposit'. Kenyataan itu dikaitkannya dengan kekalahan BN mempertahankan kerusi Parlimen Sibu.

Kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh Su Phin itu adalah sebahagian daripada komplot menjatuhkan Ketua Menteri, termasuk adanya juga rancangan sulit yang meminta Perdana Menteri menggugurkan Musa selaku Pengerusi BN Sabah. Kita percaya ada dalang di sebalik semua ini dan kita tahu apa yang mereka lakukan, tetapi BN Sabah tidak akan membiarkan mereka merealisasikannya.

Jika isu yang diperjuangkan itu membabitkan kepentingan awam, ia perlu dibawa dan dibincang mengikut wadah dan saluran yang ada. Bukannya membuat kritikan terbuka serta melakukan serangan peribadi. Itulah juga sebenarnya prinsip dan semangat dalam keluarga BN.

Nyata kenyataan Su Phin itu mengundang kemarahan banyak pihak. Bukan saja di kalangan pemimpin Umno selaku tonggak BN negeri dan rakan sesama komponen yang mengkritiknya, tetapi juga mencetuskan krisis dalam LDP sendiri.

Ini terbukti dengan tindakan mengejut Naib Presiden LDP, Datuk Peter Pang En Yin, meninggalkan parti itu kerana tidak sependapat dengan Su Phin yang mengkritik YAB Datuk Musa. Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Peter Pang, beliau bertindak demikian kerana itulah pilihan yang ada, kerana prinsip politiknya tegas, tidak mahu dianggap bersekongkol dengan Su Phin.

Datuk Peter Pang menegaskan bahawa beliau komited menyokong dan mendokong dasar perjuangan BN, justeru soal kedudukannya dalam kerajaan, sebagai Timbalan Ketua Menteri serta Menteri Belia dan Sukan, diserah kepada Ketua Menteri menentukannya.

Dalam perkembangan terbaru, YAB Datuk Musa telah menjelaskan bahawa Datuk Peter Pang dikekalkan dalam semua jawatannya dalam kerajaan sehingga perkara itu dibincangkan dengan semua parti komponen BN.

Soal Datuk Peter Pang keluar daripada LDP adalah urusan parti itu, dan terpulang kepada beliau menentukan parti komponen mana yang hendak disertai. Kenyataan itu dibuat berikutan sudah ada tawaran daripada Gerakan kepada Datuk Peter Pang untuk menyertai parti itu.

Dengan perkembangan terbaru itu, dijangkakan politik Sabah akan terus menjadi tumpuan dalam beberapa waktu terdekat ini.

No comments: