Translate

Thursday, September 16, 2010

MENYUSURI LALUAN SABAH MENERUSI MALAYSIA

TARIKH 16 Sept menyaksikan sambutan julung kali Hari Malaysia, 47 tahun selepas Persekutuan Malaysia diwujudkan.

Tanggal itu diisytiharkan sebagai cuti umum tahunan bermula tahun ini dan dikenali sebagai Hari Malaysia, meraikan penubuhan Malaysia pada tarikh yang sama pada 1963.

Sebelum ini rakyat di Semenanjung meraikan Hari Merdeka pada 31 Ogos dan rakyat di Sabah dan Sarawak meraikan penubuhan Malaysia pada 16 Sept.

Bermula tahun ini rakyat Malaysia di kedua-dua belah akan menyaksikan sambutan berganda setiap tahun iaitu Hari Merdeka dan Hari Malaysia.

Sabah diberi penghormatan sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia julung kali dengan sambutan ini dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sejak mencapai kemerdekaan menerusi Malaysia, Negeri Bawah Bayu ini telah bertukar wajah dan berkembang maju dalam semua aspek termasuk pembangunan prasarana, pendidikan, sosial dan ekonomi.

Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (USBO) menyusuri laluan Sabah menerusi Malaysia dalam temu bual bersama Ketua Biro Bernama di Sabah, Newmond Tibin.

Berikut ialah transkrip temubual itu:-

BERNAMA: Sejauh mana signifikan atau penting Hari Malaysia yang disambut pada 16 Sept setiap tahun?

SALLEH: Jelas sekali, Kerajaan Pusat begitu mengambil berat terhadap kehendak dan keharmonian hidup rakyat jelata apabila mengisytiharkan tarikh 16 Sept sebagai cuti umum di seluruh negara. Selain itu, pengiktirafan 16 Sept sebagai Hari Malaysia akan melenyapkan kesangsian sesetengah pihak bahawa kononnya kerajaan Pusat seolah-olah menganggap tarikh itu tidak penting. Sebelum ini ada di kalangan penduduk tempatan yang merasa seolah-olah dipaksa merayakan 31 Ogos sebagai tarikh kemerdekaan. Ini kerana daripada segi sejarah jelas sekali Sabah memperoleh kemerdekaan menerusi pembentukan Malaysia hanya pada 16 Sept 1963. Maka dengan adanya pengisytiharan 16 Sept sebagai Hari Malaysia , saya menjangka tidak ada lagi pihak yang cuba mengungkit atau mempolitikkaan isu 16 Sept untuk meraih sokongan rakyat.

BERNAMA: Pengisytiharan cuti umum pada 16 Sept setiap tahun di seluruh negara menunjukkan kerajaan di bawah pimpian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar mahu menegakkan konsep 1Malaysia yang antara lain mengutamakan perpaduan nasional, dalam konteks Hari Malaysia bagaimana Datuk melihat ini dapat membantu memantapkan lagi perpaduan?

SALLEH: Sememangnya ia dapat memantapkan lagi perpaduan nasional, persefahaman, memupuk sikap hormat-menghormati dan memahami sensitiviti setiap kaum di negara ini untuk memastikan keamanan negara sentiasa terjamin. Konsep 1Malaysia dan sambutan Hari Malaysia akan merapatkan lagi hubungan kaum seluruh Malaysia, melambangkan kita sebagai satu keluarga. Pengisytiharan ini juga pasti mengukuhkan kesatuan dan perpaduan nasional antara rakyat Malaysia di Sabah, Sarawak dan Semenanjung seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri menerusi konsep 1Malaysia yang diilhamkannya. Pendek kata, tarikh 16 Sept ini penting kerana ia secara rasmi mengikat pelbagai kaum di negara ini di bawah satu kewarganegaraan - Malaysia. Ia adalah manifestasi komitmen pimpinan kita dalam konteks penyatuan nasional, seiring dengan gagasan 1Malaysia.

BERNAMA: Apakah cadangan Datuk untuk memantapkan lagi kefahaman rakyat negara ini terutama generasi muda terhadap kepentingan Hari Malaysia dan cadangan untuk menambah baik sambutan Hari Malaysia?

SALLEH: Saya berpendapat bahawa generasi muda khususnya golongan pelajar perlu diberi kefahaman yang mendalam tentang sejarah pembentukan Malaysia agar mereka tidak terkeliru mengenai Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ia dua tarikh yang berbeza, tapi masing-masing ada sejarah tersendiri. Ia adalah fakta sejarah negara yang tidak boleh diubah. Kefahaman generasi muda mengenainya sangat penting bagi mengelak berlakunya percanggahan pendapat yang akhirnya memesongkan fikiran generasi muda kita. Sambutan Hari Malaysia juga memberi peluang kepada generasi muda untuk mengimbau pengorbanan dan perjuangan pemimpin lampau yang membantu menjayakan proses pembentukan Malaysia dan seterusnya membangunkan negeri Sabah.

Satu daripada program pengisian yang perlu diperluaskan ialah pameran mengenai Hari Malaysia. Pameran Hari Malaysia tidak seharusnya diadakan di kawasan bandar sahaja malah ia boleh diadakan di peringkat daerah dalam skala yang kecil supaya kefahaman mengenainya dapat diserap ke seluruh segmen masyarakat. Dalam hal ini, saya menyambut baik langkah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan melalui Arkib Negara dengan kerjasama Arkib Negeri yang menganjurkan pameran khas sempena sambutan Hari Malaysia peringkat kebangsaan di Dewan Masyarakat Kota Kinabalu pada 16 Sept ini yang antara lain memperagakan koleksi artifak milik Bapa Kemerdekaan, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dengan cara ini, generasi muda sekali gus dapat mengenali sejarah peradaban bangsa sendiri. Walaupun secara umumnya, sejarah Malaysia termasuk penubuhan Malaysia diajar di sekolah, namun mungkin masih ada yang lupa mengenainya. Saya cadangkan agar Hari Malaysia disambut secara besar-besaran seperti sambutan Hari Kemerdekaan dan di setiap peringkat - sekolah, jabatan atau agensi kerajaan - dirayakan selama sebulan dengan pengisian pelbagai aktiviti menarik mengenai Hari Malaysia. Saya juga mencadangkan agar Jabatan Penerangan membukukan rententan terperinci sejarah 16 Sept untuk diedarkan kepada umum secara percuma. Selain itu, poster Hari Malaysia perlu diperbanyakkan bagi memastikan semangat Hari Malaysia itu dapat dirasai oleh rakyat di seluruh negara.

BERNAMA: Selepas Sabah merdeka menerusi gagasan Malaysia kira-kira 47 tahun lepas, masih ada kedengaran keluhan segelintir pemimpin negeri berkenaan perjanjian 20 perkara (yang melindungi kepentingan rakyat Sabah) termasuk soal pendidikan dan keistimewaan penduduk pribumi atau kaum minoriti. Apa komen Datuk?

SALLEH: Tidak dinafikan, Sabah kini semakin pesat membangun. Contohnya dalam soal pendidikan. Dulu kebanyakan bangunan sekolah adalah daripada buluh dan zink. Kanak-kanak ke sekolah pun berjalan kaki, berkaki ayam. Kadang-kadang ada yang tidak dapat meneruskan pelajaran kerana masalah kewangan, tambahan pula sebelum ini tidak ada universiti, kolej atau institut latihan kemahiran di Sabah. Tetapi kini, semuanya ada, bangunan sekolah di kawasan luar bandar diganti dengan bangunan yang lebih baik dan selesa. Para pelajar sekolah diberi bantuan kasut, baju seragam sekolah dan komputer 1Malaysia. Selain itu bagi ibu bapa murid yang kurang berkemampuan, anak-anak mereka diberi bantuan kewangan. Dari segi institut pengajian tinggi pula, Sabah kini mempunyai Universiti Malaysia Sabah, cawangan Universiti Teknologi Mara, Institut Kemahiran Mara, Politeknik, kolej swasta dan pusat-pusat latihan kemahiran lain yang disediakan kerajaan.

Begitu juga dengan etnik minoriti di Sabah, kerajaan sentiasa membela nasib mereka. Sebagai contoh dalam Rancangan Malaysia Ke-10, kerajaan berhasrat mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan etnik minoriti di Sabah daripada 22.8 peratus pada 2009 kepada 12 peratus pada akhir 2015. Bantuan khusus juga akan disalur kepada Bumiputera di Sabah terutama etnik minoriti menerusi strategi baru yang diambil kerajaan untuk memastikan penyertaan berkesan dan berterusan mereka dalam ekonomi, sekali gus menangkis tanggapan layanan kelas kedua terhadap golongan itu. Ini jelas menunjukkan kerajaan mengakui secara jelas akan keperluan menjaga kepentingan masyarakat asal atau minoriti di Sabah. Selain itu, ramai anak jati Sabah yang sudah diberi peluang memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam Persekutuan sejak Sabah mencapai kemerdekaan dengan pembentukan Malaysia. Namun begitu, kita juga mahu melihat penglibatan orang tempatan dalam perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah dipertingkatkan, dan saya yakin dan percaya kerajaan sedia ada mengambil kira pandangan orang Sabah dan melakukan penyesuaian secara berperingkat-peringkat.

BERNAMA: Bagaimana Datuk melihat kemajuan atau pencapaian yang dikecapi oleh rakyat di negeri ini sejak menyertai Malaysia?

SALLEH: Negeri ini semakin maju dan rakyatnya juga menerima pembangunan seiring dengan kemajuan Malaysia. Misalnya kemudahan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan elektrik luar bandar dan bekalan air, bantuan untuk rakyat kurang berkemampuan, pembasmian kemiskinan dan banyak lagi yang telah diperoleh hasil daripada penyertaan Sabah dalam Malaysia. Dasar kerajaan mencakupi semua rakyat Malaysia di seluruh pelosok negara agar tidak ada satupun kaum yang tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara. Ini penting bagi memastikan negara terus maju dan rakyatnya hidup bersatu padu.

Selain itu, kita juga melihat projek mega untuk rakyat Sabah termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Koridor Pembangunan Sabah, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kelompok Industri Kelapa Sawit (POIC) di Lahad Datu, Hab Pendidikan di Sandakan, dan banyak lagi yang akan menarik para pelabur ke negeri ini. Dengan kerajaan pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman yang mesra pelabur dan suasana kondusif di negeri ini, saya optimis Sabah berpotensi menjadi peneraju pertumbuhan serantau, khususnya dalam lingkungan Kawasan Pertumbuhan Asean Timur-Brunei, Indonesia, Malaysia dan Filipina (BIMP-EAGA).

BERNAMA: Akhir sekali, apakah pesanan Datuk kepada rakyat Sabah sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini?

SALLEH: Mungkin kita sedia maklum akan tanggungjawab kita untuk mengibarkan Jalur Gemilang setiap kali hari kemerdekaan, tetapi sikap segelintir masyarakat yang 'tidak ambil peduli dan tidak ingin tahu' membuatkan mereka lupa untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Oleh itu saya berharap rakyat Sabah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah setiap kali sambutan Hari Malaysia sebagai tanda kita mencintai dan menyayangi negeri kita dan negara Malaysia. Semangat patriotisme penting kerana ia menjadi teras keutuhan jatidiri, agar tidak mudah diperkotak katikkan anasir jahat. Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan seluruh lapisan rakyat pentingnya kita sama-sama mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi, jangan mudah terpedaya dengan dakyah mana-mana pihak yang barangkali cuba 'menangguk di air keruh' dengan cuba melaga-lagakan antara satu sama lain, semata-mata untuk memenuhi agenda mereka. Realitinya, Hari Malaysia mempunyai makna besar, bukan saja kepada rakyat Sabah dan Sarawak, tetapi buat rakyat Malaysia keseluruhannya kerana kita kini bernaung di bawah gagasan 1Malaysia. Akhir sekali saya merayu kepada rakyat Sabah khususnya yang tinggal di sekitar ibu negeri supaya datang beramai-ramai ke Padang Merdeka Khamis ini (16 Sept) bagi menjayakan program sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan.

No comments: