Translate

Wednesday, October 27, 2010

BN TIDAK PANDANG MUDAH PEMBANGKANG: TPM

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan memandang mudah dua calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

Menurut beliau BN tidak pernah mengambil pendekatan itu dan melihatnya sebagai satu cabaran yang bukan mudah dan akan dihadapi dengan strategi tertentu.

"Kita ada strategi tertentu yang akan disusun supaya pengundi Batu Sapi lebih yakin calon terbaik adalah Datin Linda (Tsen Thau Lin) dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan itu.

"Bagi saya, Datin Linda merupakan calon terbaik untuk bertanding di pilihan raya kecil Batu Sapi dan yakin dengan keputusan memilih beliau," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di Dewan Masyarakat Sandakan di sini Selasa.

Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Tsen calon BN dari Parti Bersatu Sabah, calon PKR, Ansari Abdullah dan Datuk Yong Teck Lee dari SAPP.

Muhyiddin, yang juga Penyelaras BN pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi berkata BN menyedari PKR dan SAPP akan membawa isu tempatan dan nasional dalam kempen pilihan raya kecil ini.

"Ia merupakan perkara biasa dalam pilihan raya dan kita akan mengenepikan perkara yang dibangkitkan oleh mereka kerana kita ada jawapan setiap perkara itu.

"Saya yakin kalau kita dapat mengenepikan masalah yang ditimbulkan dan memberi jawapan yang meyakinkan, pengundi akan memberi kepercayaan kepada calon kita," katanya.

Mengenai strategi BN menghadapi dua pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas, Muhyiddin berkata BN menyedari senario politik di dua kawasan itu adalah berbeza.

Katanya BN melihat kelainan senario politik di Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan sebagai satu cabaran dengan memberi tumpuan kepada strategi mendekati pengundi.

Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu suami Tsen, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya pada 9 Okt lepas di Kota Kinabalu.

No comments: