Translate

Sunday, October 17, 2010

MELIHAT SEMULA SISTEM KUOTA DALAM BN

LANDSKAP politik negara pasca pilihanraya umum ke-12 lepas sudah berubah. Selepas mengalami apa yang disebut sebagai tsunami politik, Barisan Nasional (BN) khususnya Umno melakukan pembaharuan mengangkat darjat dan martabat untuk disesuaikan dengan keperluan sejagat.

Pindaan terhadap Perlembagaan Umno antara pendekatan proaktif, bertujuan menganjak parti dalam jiwa dan pemikiran ahli akar-umbi. Biarpun belum teruji kerana pemilihan parti hanya dilangsungkan tahun hadapan, tetapi cakap-cakap luaran sehingga kini memberikan harapan positif.

Proses memperkasa Umno masih berterusan. Pimpinan tertinggi mengulangi saranan demi saranan bagi membawa parti kembali ke mercu kegemilangannya. Dan hal ini tentu saja akan menjadi topik perbahasan pada perhimpunan agung parti yang dijadualkan bermula pada 18 Oktober ini.

Begitupun, survival atau kelangsungan BN di atas pentas kekuasaan juga menuntut komitmen serta pengorbanan sesama anggota komponen. Sementara Umno kekal dominan, parti-parti lain juga mempunyai peranan masing-masing, baik kecil mahu pun besar.

Sebab itu saya tertarik dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di Rawang pada 9 Oktober lepas bahawa sistem kuota BN berhubung pembahagian kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya wajar dikaji semula.

Usaha ke arah itu wajar difikirkan dengan mengambil kira keadaan serta senario politik setempat, kerana pemikiran pengundi sekarang sudah jauh lebih matang berbanding dahulu dalam membuat penilaian.

Soal komposisi kaum sesebuah kawasan barangkali tidak lagi relevan dijadikan asas mutlak penetapan kuota kawasan. Yang penting, pengundi di kawasan berkenaan selesa dan gembira, serta sedia menerima calon yang diketengahkan tanpa mempersoal parti diwakili asalkan mewakili BN.

Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Hishammuddin, perkara itu bagaimanapun hanya boleh dilakukan jika mendapat kesepakatan dan persetujuan bersama parti komponen kerana BN bergerak di bawah satu payung.

"Kalau kita rasa ia tidak sesuai dengan tempat dan masa, kalau calon itu sendiri tidak boleh diterima oleh rakyat, sistem kouta sedia ada perlu dikaji semula tetapi ia mesti dibincang secara konsensus kerana kita bergerak di bawah satu parti iaitu BN.

"Ini kerana kita keluar bukan untuk mengaburi mata rakyat dengan janji-janji kosong tetapi pendekatan yang diambil hari ini menentukan landskap politik untuk tempoh 53 tahun akan datang," kata Datuk Hishammuddin lagi.

Tidak dinafikan realiti bahawa landskap politik pada pilihanraya umum akan datang menuntut pendekatan berbeza daripada amalan sebelum ini, demi menentukan calon-calon yang bertanding beroleh kemenangan.

Pengundi hari ini yang majoritinya generasi muda mempunyai selera politik yang berbeza. Sentimen mereka tidak banyak kepada soal falsafah atau kredibiliti parti kerana bagi mereka ia retorik semata-mata, tapi penilaian lebih kepada aspek luaran, misalnya personaliti calon. Jika ini diambil kira, bermakna penampilan, keperibadian dan latarbelakang seseorang itu lebih penting daripada gagasan dan falsafah perjuangan partinya. Kerana bagi generasi muda, apapun agenda yang diperjuangkan, ia tentu saja secara automatik dan secara menyeluruh, akan menjurus kepada pembelaan kepentingan masyarakat sejagat.

Mungkinkah suatu hari ini, kawasan yang bukan majoriti Bumiputera Islam boleh ditandingi oleh calon dari parti Bumiputera Islam; kawasan majoriti pengundi India ditandingi calon Melayu; kawasan majoriti pengundi Kadazandusun ditandingi orang Cina; kawasan pengundi Cina ditandingi orang Melayu; atau majoriti pengundi Iban ditandingi calon orang Melanau?

Bunyinya agak pelik, tapi bukan mustahil apatah lagi jika diambil kira landskap politik negara pada hari ini.

No comments: