Translate

Saturday, November 6, 2010

BN MENANG BESAR DI BATU SAPI




SANDAKAN: Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerusi Parlimen Batu Sapi apabila calonnya Datin Linda Tsen memenangi pertandingan tiga penjuru itu dengan majoriti lebih besar sebanyak 6,359 undi.
Tsen, balu mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah, dari Parti Bersatu Sabah (PBS) menewaskan saingannya Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan Ansari Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Tsen memperoleh 9,773 undi berbanding Ansari yang mendapat 3,414 undi dan Yong 2,031 undi.
Keputusan rasmi diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil Parlimen Batu Sapi, Haji Mohd Hamsan Haji Awang Supain di pusat penjumlahan undi di Dewan Masyarakat Sandakan, pada jam 8.35 malam kelmarin.
Kawasan Parlimen Batu Sapi mempunyai Parlimen Batu Sapi mempunyai 25,582 pemilih berdaftar dengan 1,535 adalah pemilih pos.
Mohd Hamsan juga memberitahu 372 undi ditolak dan peratusan terdekat keluar mengundi sebanyak 61 peratus.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian Datuk Edmund Chong Ket Wah pada 9 Oktober lepas, akibat kemalangan jalanraya di Kota Kinabalu.
Parlimen Batu Sapi merupakan kubu kuat BN sejak kawasan itu diwujudkan pada 2004 dengan memiliki dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting dan DUN Sekong.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kemenangan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas merupakan hadiah yang amat berharga buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata kemenangan itu cukup bermakna di atas kepimpinan beliau (Najib) yang sudah diterima oleh rakyat melalui gagasan 1Malaysia dan segala usaha-usaha pembangunan yang dilaksanakan.
”Kita rasa syukur kerana telahpun capai kemenangan dalam pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan DUN Galas," katanya satu sidang media selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi di Dewan Masyarakat Sandakan, malam tadi.
Beliau berkata keputusan amat membanggakan kerana peratusan majoriti yang besar lebih mengatasi pilihan raya umum lepas.
”Ucapkan setinggi terima kasih kepada pengundi yang ada di Batu Sapi dan di Galas," katanya, sambil berterima kasih kepada semua kaum yang menunjukkan sokongan cukup padu kepada calon BN di kedua-dua kawasan itu.
Muhyiddin juga mengucapkan tahniah kepada Pengarah Pilihan Raya Kecil BN di kedua kawasan itu, Datuk Seri Musa Aman dan Tengku Razaleigh Hamzah bersama jenteranya yang telah bekerja keras bagi memastikan kemenangan.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan kemenangan ini sebagai perakuan kepada apa yang telah dilakukan oleh Perdana Menteri.
”Saya lihat satu trend yang cukup membanggakan. Selain daripada kawasan peti undi itu Melayu atau Bumiputura Islam dan bukan Islam, tapi peti undi orang Cina yang saya lihat satu petanda yang membanggakan dan mengalakkan," katanya.
Menurutnya, undi yang diperolehi dari semua kaum dan kawasan yang dahulu tidak mendapat sokongan kali ini sudah meningkat.
”Keputusan ini, pembangkang ditolak oleh rakyat, apa saja bentuk kempen yang berbentuk fitnah ataupun tidak berasas, Sabah for Sabahan, autonomi tidak diterima lagi," tegasnya.
Beliau berkata perkembangan yang tunjukkan bahawa rakyat Sabah menjadi sebahagian penting daripada rakyat 1Malaysia.

No comments: