Translate

Sunday, November 21, 2010

BAJET MEMPERKASA PEMBANGUNAN LUAR BANDAR: SALLEH

KOTA KINABALU: Bajet negeri 2011 diyakini dapat membantu memperkasa pembangunan kawasan luar bandar berikutan penyediaan peruntukan yang besar untuk agenda luar bandar serta program pembasmian kemiskinan, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Salleh Tun Said.
Beliau berkata penyediaan peruntukan itu menunjukkan keprihatinan kerajaan untuk membela nasib rakyat di luar bandar, bertujuan merapatkan jurang pembangunan dengan kawasan bandar.
"Yang penting bagi merealisasikan matlamat ini ialah sistem penyampaian hendaklah menentukan pelaksanaanya menepati sasaran," katanya mengulas pembentangan Bajet negeri 2011 oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Hj Aman di DUN Sabah pada Jumaat.
Dalam Bajet 2011, sejumlah RM162.12 juta diperuntukkan untuk menyediakan peruntukan khas untuk pembiayaan projek-projek kecil luar bandar. Ia antara lain bagi melaksanakan program yang berpotensi menaikkan taraf dan kualiti hidup masyarakat luar bandar termasuk golongan mudah miskin, miskin, dan miskin tegar.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah berkata, penyediaan peruntukan itu membuktikan keprihatinan kerajaan membela nasib rakyat di luar bandar yang majoritinya masih dibelenggu kemiskinan.
Katanya, antara aspek yang perlu diberi perhatian dan penekanan ialah penyediaan kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, selain membaiki kemudahan seperti jambatan, balai raya dan seumpamanya.
Beliau berkata kerajaan sentiasa mengamalkan dasar pembangunan seimbang, berusaha merapatkan jurang kemajuan di bandar, seiring gagasan 1Malaysia mendahulukan rakyat dan mengutamakan pencapaian.
Sambil memuji Bajet negeri 2011 yang disifatkan sebagai bajet prihatin, Salleh optimis matlamat dan sasaran mampu dicapai oleh jentera penyampaian kerajaan di mana anggota perkhidmatan awam turut diberikan bantuan khas yang boleh menjadi pendorong bagi memberikan khidmat terbaik.
Sehubungan itu, beliau berharap semua pihak termasuk jabatan dan agensi kerajaan serta pemimpin masyarakat setempat bekerjasama menjayakan agenda dan matlamat Bajet negeri 2011.
Ini, katanya, termasuk mengenal pasti projek kecil luar bandar yang perlu diberi keutamaan dengan memastikan ia benar-benar dapat membawa perubahan kepada masyarakat.

No comments: