Translate

Saturday, November 6, 2010

JAWATANKUASA DITUBUH BAGI TUNAI JANJI BN DI BATU SAPI


SANDAKAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman menerima ucapan tahniah daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di atas kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi, Khamis lalu.
Musa berkata ucapan tahniah itu turut ditujukan kepada seluruh jentera parti yang bertungkus-lumus memastikan kemenangan calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin.
"Perdana Menteri ada menghubungi menerusi telefon dan menyatakan rasa gembirannya dengan kemenangan kita yang menurut beliau rakyat Batu Sapi membuat pilihan tepat," katanya pada sidang media di kediamannya di Sri Libaran, pada malam Khamis lepas.
Musa yang juga Pengerusi BN Sabah menyifatkan kemenangan besar BN itu membuktikan bahawa rakyat semakin bertambah yakin dengan hala tuju parti.
Menurutnya, rakyat di Batu Sapi masih setia bersama BN dan terbukti keupayaan calon BN mengumpul majoriti besar biarpun jumlah peratusan pengundi rendah.
"Rakyat tahu kemampuan kerajaan BN yang selama ini lebih tertumpu kepada perjuangan membela nasib rakyat terutamanya dalam konteks transformasi yang sedang diperjuangkan oleh BN dengan pembangunannya dibuat secara teliti dan rapi.
"Justeru, kemenangan Datin Linda untuk mempertahankan semula kerusi Parlimen Batu Sapi memudahkan segala bentuk pembangunan yang pernah dirancang akan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Saya juga ingin menyampaikan ucapan syabas kepada pengundi Batu Sapi sebab membuat keputusan yang bijak," tambah Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah itu.
Musa juga menjelaskan, bagi menghargai sokongan para pengundi, beliau akan menubuhkan sebuah jawatankuasa yang akan dipengerusikan oleh beliau sendiri bagi menunaikan janji-janji yang telah dibuat selama berkempen.
"Kita mahu supaya rakyat tahu yang BN tidak bercakap bohong sebaliknya setiap apa yang dijanji akan di kota, selari dengan aspirasi kerajaan melalui Gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan," katanya.


No comments: