Translate

Saturday, November 6, 2010

KEMENANGAN BN BUKTI SOKONGAN RAKYAT KEPADA KM: SALLEH

Salleh bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta beberapa pemimpin BN pada malam pengumuman keputusan pilihan raya kecil Batu Sapi.

SANDAKAN: Kejayaan cemerlang Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerusi Parlimen Batu Sapi kelmarin, adalah bukti sokongan kuat rakyat terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata selaku pengarah pilihan raya kecil kawasan itu, Musa telah membuktikan sentuhan ajaib dan kecemerlangannya mengemudi jentera parti dan kerajaan, sekali gus berjaya meraih sokongan padu rakyat. Beliau berkata Musa yang mengemudi BN negeri kepada kemenangan besar dalam pilihan raya umum 2008, membuktikan kecekalannya untuk memenangi hati dan fikiran pengundi Batu Sapi.

Dalam pilihan raya umum lepas, BN negeri hampir menyapu bersih dengan memenangi 24 daripada 25 kerusi Parlimen dan 59 daripada 60 kerusi negeri."Ia juga membuktikan Sabah memang sebenarnya `fixed deposit' atau simpanan tetap buat BN," kata Salleh.

Sambil menyifatkan keputusan itu sebagai penerimaan rakyat terhadap gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata berkata kemenangan BN menunjukkan bahawa rakyat Batu Sapi mahukan politik pembangunan menerusi hubungan baik antara kerajaan negeri dengan Pusat.

"Penduduk Batu Sapi mengetahui dengan pasti bahawa hanya Barisan Nasional boleh membawa pembangunan untuk mereka. Mereka juga berharap konsep 1Malaysia untuk mengubah kehidupan mereka kepada yang lebih baik."Mereka tahu bawa mereka mempunyai masa depan lebih cerah dalam BN," katanya.

Salleh, bekas Ketua Menteri, berkata majoriti besar yang tidak dijangkakan itu membuktikan penolakan terhadap stail politik konfrontasional dan kedaerahan (Sabah untuk rakyat Sabah) yang diamal oleh SAPP dan jenama politik pembangkang.

Dalam pilihan raya kecil kelmarin, calon BN Datin Linda Tsen menang dengan majoriti besar 6,359 undi, menumpaskan dua calon pembangkang - Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ansari Abdullah. Tsen, dari Parti Bersatu Sabah (PBS), meraih 9,773 undi sementara Ansari dan Yong, masing-masing mendapat 3,414 dan 2,031 undi.

Salleh berkata kemenangan BN itu juga petunjuk jelas bahawa BN semakin mendapat sokongan rakyat negeri ini. "Ini adalah permulaan baru buat BN untuk meraih kembali keyakinan rakyat selepas tsunami politik 2008, terutama di Semenanjung Malaysia."Pengundi Batu Sapi termasuk masyarakat Cina memperakui bahawa BN adalah juga untuk rakyat Sabah. Kita harap rakyat Sabah akan terus menyokong Barisan Nasional dan menentukan Sabah terus menjadi simpanan tetap untuk parti gabungan yang memerintah," katanya.

No comments: