Translate

Sunday, November 21, 2010

LANGKAH PROAKTIF MENYUSURI ARUS PERDANA POLITIK

KEPUTUSAN Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) pada Sabtu lepas untuk meminda perlembagaannya dengan memperkenalkan keanggotaan bersekutu dan keanggotaan bergabung secara terus, adalah amat bermakna bagi gabungan itu untuk mengharungi serta menyusuri arus perdana politik negara kita.

Langkah proaktif tersebut bukan saja menjadikan BN lebih inklusif, malah menjadikannya wadah perjuangan golongan yang tidak berkepentingan tapi mendokong dan selesa dengan prinsip BN.

Bermakna, ia dapat menampung mereka yang tidak mahu terikat dengan prinsip parti-parti politik tertentu tapi mahu bersama-sama kepemimpinan BN.

Saya pernah menulis mengenai cadangan keanggotaan terus BN ini tidak lama dulu dan berpendapat keperluan ke arah itu wajar diambil serius, setelah mengambil kira prestasi kurang memberangsangkan dalam PRU-12 yang lepas.

Pasca pilihan raya umum itu mengkehendakkan kita untuk bekerja lebih keras lagi menghadapi pelbagai cabaran, baik di peringkat nasional mahupun domestik.

Saya katakan demikian kerana dalam keadaan dan suasana politik hari ini, rakyat sudah mempunyai pilihan. Biarpun mungkin tidak dianggap sebagai sistem dua parti secara mutlak, namun itulah sebenarnya yang wujud, iaitu satu komponen BN dan satu lagi gagasan Pakatan Rakyat (PR) yang pada realitinya tidaklah sehebat mana.

Yang saya lihat, pindaan perlembagaan BN bagi membolehkan keanggotaan terus dapat menjadikannya lebih dekat di hati rakyat.

Ini kerana mereka yang tidak berminat dengan parti-parti komponen tertentu, tetap boleh bersama-sama kita.

Ironinya pindaan perlembagaan BN itu adalah proses "re-branding" yang sekali gus dapat memastikan BN terus unggul dan relevan.

Seperti yang dijelaskan oleh Perdana Menteri merangkap Pengerusi BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, selepas mesyuarat pada Sabtu lepas bahawa keputusan bersejarah itu memperlihatkan usaha BN menjadi parti yang inklusif dan terbuka kepada semua yang berkongsi pada konsep, prinsip dan dasar perjuangan parti pemerintah dan selesa serta serasi jika menjadi anggota bersekutu.

"Mereka yang ingin menyertai BN boleh mohon secara terus menjadi anggota bersekutu. Bagaimanapun Dewan Tertinggi BN akan tentukan hak-hak dan keistimwewaan mereka yang menjadi ahli (anggota) bersekutu."Anggota bersekutu tidak mempunyai hak yang sama seperti mana anggota pada parti komponen tetapi kita ingin memperlihatkan BN sebagai parti yang inklusif dan bersikap pintu terbuka," katanya.

Beliau berkata Dewan Tertinggi BN turut memutuskan bahawa keanggotaan bergabung boleh dipohon secara terus yang bererti mana-mana pertubuhan politik, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan boleh memohon menjadi anggota.

"Ini satu usaha kita, untuk pergi kepada kumpulan-kumpulan lain yang ingin bekerjasama dengan BN kerana mereka percaya dengan matlamat perjuangan BN," katanya.

Dalam pada itu,pindaan perlembagaan itu juga melibatkan penubuhan Kelab Sahabat BN yang membuka peluang kepada sesiapa yang mahu menjadi sahabat dan rakan kepada BN.

Pindaan itu akan diwartakan dan tarikh ia berkuat kuasa akan dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Selain itu, Kelab Rakan Muda BN juga akan diwujudkan dengan kumpulan sasaran adalah mereka yang berumur antara 18 dan 21 tahun yang ingin menyokong dan menghayati perjuangan parti tetapi belum menjadi pengundi.

Semua usaha yang dilakukan oleh BN ini merupakan suatu anjakan paradigma dalam perjuangan memperkasa BN di persada politik tanahair.

Secara peribadi, saya berpendapat pentingnya BN melakukan suatu perubahan bagi menjadikannya lebih bersifat terbuka dan inklusif.

Bagi tujuan tersebut, BN perlu memiliki dasar formal sebagai landasan perjuangan, termasuk dalam konteks memberi pengiktirafan terhadap mereka yang berada di luar BN tetapi menyokong atau sealiran dengan misi BN.

Bagi saya, BN perlu menyajikan atau menghidangkan sesuatu yang menarik dan "fresh" kepada masyarakat, suatu polisi yang dianggap saksama dan adil, serta memberi penekanan kepada kepentingan masyarakat umum, bukannya untuk segelintir golongan elit semata-mata.

BN perlu mempunyai daya tarikan kepada anak-anak muda terdiri dari semua kaum supaya ia sentiasa relevan kepada setiap generasi, dan gagah mengharungi sebarang ancaman politik.

Yang penting, BN kena menjadi parti yang moden dan peka melihat masa depan. Tentunya ia akan menjadi inti perbahasan Konensyen BN pada 28 November ini

No comments: