Translate

Monday, March 22, 2010

ANTARA KEFAHAMAN DAN HARAPAN DI SEBALIK MEB


SEJAK beberapa hari kebelakangan ini, banyak orang bercakap tentang Model Ekonomi Baru (MEB). Laporan akhbar dan media alternatif serta siaran televisyen banyak memperkatakan mengenainya.

Saya mengikuti pandangan dan pendapat yang dikemukakan pelbagai pihak berhubung MEB. Perdebatan mengenainya agak hangat, lebih-lebih lagi dengan penglibatan orang politik yang mengulas dari sudut politik.

Sebenarnya, pelaksanaan MEB ini sudah lama disuarakan oleh kerajaan bagi menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi dan maju. Ia merupakan suatu pendekatan dan langkah berpandangan jauh untuk melonjakkan negara ke persada dunia.

Dengan memberi penekanan kepada inovasi, kreativiti dan nilai tambah yang tinggi. MEB diyakini boleh membawa anjakan perubahan dalam dimensi ekonmi negara jangka panjang.

Yang penting pelaksanaannya perlu mendapat dokongan dan sokongan daripada semua pihak. Apa yang dihajatkan tidak mungkin tercapai dengan jayanya tanpa pengemblengan usaha bersama antara kerajaan dan rakyat di semua peringkat.Tidak terkecuali anggota perkhidmatan awam kerana mereka merupakan kunci kepada kejayaan pelaksanaan MEB kelak.

Negara kita memerlukan perkhidmatan awam yang cekap, berkesan dan pantas selain bertintegriti demi menentukan proses peralihan kepada model ekonomi baru ini menjadi kenyataan.

Dalam hal ini, adalah penting inovasi dan transformasi menyeluruh diaplikasi dalam perkhidmatan awam bagi menjadikan lebih relevan dalam era dunia globalisasi kini.

Tanggapan umum di kalangan rakyat biasa terhadap MEB ini masih agak bercelaru kerana ramai berpendapat ia merupakan suatu model baru yang berlainan daripada apa yang dipraktikkan sekarang.

Malahan, ada yang beranggapan ia lebih menumpukan kepada soal pertumbuhan ekonomi sedangkan MEB merupakan suatu kerangka pembangunan yang lebih holistik.

Ini bermakna soal pembangunan menyeluruh menjadi keutamaan dalam sasarannya, termasuklah nasib rakyat luar bandar akan terus mendapat pembelaan.Hal ini dinyatakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razakdi Kuala Lipis, beberapa hari lalu, yang memberi jaminan bahawa kerajaan sesekali tidak meminggirkan masyarakat luar bandar ketika merangka pelan strategik MEB itu.

Malahan, beliau menyatakan bahawa kerajaan juga telah menambah peruntukan RM750 juta kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk melaksanakan pelbagai lagi program luar bandar bagi memastikan rakyat luar bandar terus maju dan makmur.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan berharap peruntukan itu dapat membantu 543,000 penduduk miskin yang berdaftar melalui e-kasih termasuk di Sabah dan Sarawak menambah pendapatan golongan tersebut.

Beliau juga menjelaskan bahawa melalui MEB kelak, pendapatan penduduk luar bandar terutamanya golongan petani dapat ditingkatkan lagi melalui pelbagai program pertanian baru seperti projek agropolitan.

Selain projek pengeluaran hasil pertanian, penduduk luar bandar turut dibekalkan dengan pelbagai ilmu keusahawanan dan budaya perniagaan.Dalam konteks ini, tentu saja menjadi harapan rakyat terutama golongan Bumiputera di kedua-dua negeri agar nasib dan kepentingan mereka terus terbela dalam MEB ini.

Adalah penting usaha terus diperkasakan untuk menentukan golongan Bumiputera menapak kukuh dalam kegiatan ekonomi, tidak terpinggir dalam perlumbaan ekonomi global yang mencabar.

Sementara penekanan diberi kepada soal ekonomi berintensif tinggi, aadalah disarankan juga supaya soal kepentingan ekonomi Bumiputera kekal menunjangi apa saja bentuk pendekatan yang dilaksana kelak,Ini penting supaya Bumiputera di Sabah dan Sarawak turut sama berkongsi menikmati kek ekonomi negara kita.

Saturday, March 6, 2010

MEMIKUL SATU LAGI AMANAH


SAYA sedang minum petang di coffee-house hotel di Chiengmai apabila menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) dari beberapa sahabat di Kota Kinabalu mengucapkan "tahniah" kerana dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras Barisan Nasional (BN) Bahagian Kota Belud.

Saya terkejut dan terharu menerima khabar itu. Terkejut kerana tidak menduga akan diberikan satu lagi amanah dan tanggungjawab baru, yang juga besar dan penting peranannya.

Terharu kerana pucuk pimpinan memberi kepercayaan tinggi kepada saya untuk memikul suatu tanggungjawab politik yang sangat mencabar bagi menjadikan BN sentiasa dekat di hati rakyat, dan relevan dalam perjuangannya.

Pelantikan saya sebagai Pengerusi Penyelaras BN Kota Belud diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, di Sri Gaya pada petang Khamis selepas satu mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin negeri.

Dalam senarai pengerusi penyelaras BN bahagian-bahagian di Sabah yang diumumkan oleh Datuk Musa pada petang itu, menyaksikan pelantikan 10 muka baru selain pengekalan 15 yang lain.

Bagi saya, pelantikan ini merupakan satu lagi amanah yang diberikan oleh pucuk pimpinan. Ia juga adalah pengiktirafan tinggi yang diberikan terhadap kepemimpinan kita untuk memacu kemajuan kepada BN.

Justeru, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Pengerusi BN Pusat, dan YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Hj Aman selaku Pengerusi BN Sabah yang memberikan kepercayaan dan melantik saya memegang jawatan ini.

Dengan melihat kepada senario politik tanahair secara keseluruhan ketika ini, tentulah tugas dan peranan saya dalam BN ini akan menjadi lebih penting biarpun mungkin dalam konteks Sabah, BN berada dalam kedudukan selesa berikutan status kita yang dianggap hampir kepada "zero opposition" dalam Dewan Undangan Negeri.

Sebenarnya keadaan sedemikian juga sebaliknya menuntut pengemblengan usaha semua pihak untuk mengekalkannya. Dalam pertandingan sukan misalnya, untuk mencari kejuaraan biasanya tidaklah terlalu rumit, tetapi untuk mengekalkan kejuaraan itu menuntut pengemblengan usaha serta komitmen yang tinggi.

Demikian juga realiti dalam politik. Maka dalam hal ini, seperti rakan-rakan lain dalam BN, sudah tentu saya akan terus bekerjasama erat dengan semua peringkat kepemimpinan bagi menentukan BN terus kukuh, khususnya di Sabah.

YAB Perdana Menteri sendiri pernah menyatakan bahawa Sabah diakui sebagai "fixed deposit" dan inilah sasaran yang harus kita pertahankan bersama. Untuk mengekalkannya, sudah tentu kerjasama, muafakat dan pengemblengan usaha bersepadu semua parti komponen BN adalah suatu perkara yang wajib. Dan di sinilah sebenarnya peranan pengerusi-pengerusi penyelaras BN bahagian.

Tidak dinafikan setiap parti komponen mempunyai aspirasi politik masing-masing. Tetapi semuanya menjurus kepada satu matlamat yang sama. Jika aspirasi itu dapat disatukan, digerakkan secara bersama, sudah tentu ia mampu menjadi satu unsur kekuatan bagi BN keseluruhannya.

Yang penting adalah kesediaan pemimpin-pemimpin komponen untuk mengambil sikap proaktif, mengutamakan perjuangan dan semangat setiakawan, mengetepikan agenda peribadi, serta menjauhkan sikap mementingkan diri dan kelompok sendiri.

Apabila ini semua dapat direalisasikan, ia pasti dapat menjana kekuatan baru, yang akhirnya membawa anjakan kekuatan yang membawa keuntungan bersama.

Seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini, BN akan mengadakan konvensyennya menjelang penghujung tahun ini, antara lain untuk meminda perlembagaan demi menjadikan BN sentiasa relevan dan kukuh perjuangannya. Antara yang disuarakan kemungkinan dipinda pada konvensyen itu ialah keanggotaan terus dalam BN.

Kini terpikul di semua bahu pengerusi-pengerusi penyelaras BN di peringkat bahagian, termasuk diri saya sendiri, untuk membuat persiapan ke arah itu.

Apapun yang hendak dilakukan, matlamat akhir adalah untuk menentukan BN kekal sebagai tunjang pemerintahan negara kita.