Translate

Sunday, May 23, 2010

MENGAMBIL IKTIBAR DARI SIBU, BN TERUS MELANGKAH KE HADAPAN

Sudah kira-kira dua minggu pilihan raya kecil Parlimen Sibu berlalu. Masih ramai yang bercakap mengenainya. Pelbagai analisa dibuat, bermacam diteori disuarakan. Parti pemerintah dan pembangkang masing-masing dengan alasan sendiri.

Biasalah dalam politik, yang menang akan memberikan sebab-sebabnya, dan yang kalah dengan alasannya.

Yang menang pasti menyatakan tentang kehebatan dan kelebihannya, manakala yang tewas akan mencari alasan, mencari punca dan mencari kesalahan.

Demikianlah yang berlaku dalam pilihan raya kecil Parlimen Sibu. DAP memenangi kerusi tersebut yang dulunya dipegang oleh BN. Parti pemerintah tewas tipis 398 undi.

Begitupun, realitinya BN tewas. Dalam pertandingan, kalah satu undi pun tetap dianggap kalah. Demikian juga menang satu undi, tetap dianggap sebagai satu kemenangan.Yang penting kini adalah meneruskan langkah ke hadapan.

Perjuangan politik BN tidak boleh berhenti di situ. Post-mortem yang dilakukan untuk mengenal pasti punca kekalahan hendaklah dijadikan iktibar memperbaiki kelemahan yang dihadapi, bagi menjadikan BN terus kukuh dan relevan di gelanggang politik.

Saya turut berkempen dalam kempen pilihan raya kecil Sibu. Dari maklum balas akar-umbi dan pengamatan saya sepanjang kempen, isu yang dibangkitkan di situ bersifat setempat dan bukan kerana kebencian terhadap BN atau dasar-dasar yang diperkenalkan.

Selain soal ekonomi dan pendidikan, isu lain yang dibangkitkan adalah berkaitan pengangguran, mitigasi banjir dan tanah adat.

Analisa pengundi juga menunjukkan bahawa penduduk luar bandar komited memberi sokongan kepada BN. Kebanyakan undi yang diperolehi pembangkang adalah dari kawasan bandar Sibu yang majoritinya pengundi berketurunan Cina.

Sebab itu, saya tidak bersetuju kenyataan seorang pemimpin Parti Liberal Demokratik (LDP) Sabah yang merumuskan bahawa keputusan Sibu memberi gambaran Sabah dan Sarawak tidak lagi boleh dianggap sebagai "fixed deposit" bagi BN.

Saya katakan demikian kerana apa yang berlaku di Sibu adalah bersifat domestik dan tidak menggambarkan sentimen keseluruhan orang Sabah dan Sarawak.

Agak menyedihkan juga apabila keputusan pilihan raya kecil itu dikaitkan pula dengan soal kepemimpinan BN di peringkat negeri.Saya tegaskan bahawa Sibu adalah Sibu, justeru keputusan pilihan raya kecil di situ yang memihak kepada pembangkang tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa Sabah dan Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN.

Bagi saya, keputusan pilihan raya kecil Sibu tidak menggambarkan sokongan keseluruhan masyarakat di akar-umbi. Ianya kes terpencil yang berasaskan isu-isu tempatan.

Saya percaya pengundi Sibu akan menyesal kerana dengan mengundi pembangkang tidak akan menyelesaikan masalah mereka, dan pada pilihan raya akan datang mereka pasti akan kembali kepada BN.

Majoriti rakyat di Sabah, dan saya percaya juga di Sarawak, masih menyokong BN. Kita tidak boleh membuat kesimpulan berasaskan pilihan raya kecil ini sahaja dan kita mesti membuat analisis atau bedah siasat.

Secara realitinya, BN Sabah masih teguh dan majoriti parti komponennya menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Ketua Menteri juga mendapat sokongan rakyat Sabah dan pemimpin persekutuan gembira dengan kepimpinan BN negeri.

Sebagai sebuah parti komponen BN, kita sepatutnya akur atau menyokong seorang pemimpin yang dipilih oleh kepimpinan BN.

Kesimpulannya, keputusan pilihan raya kecil Sibu tidak harus dikaitkan dengan senario politik di Sabah, apatah lagi memberi bayangan bahawa Sabah dan Sarawak kononnya tidak lagi harus dianggap sebagai 'simpanan tetap' BN.

Tuesday, May 18, 2010

SABAH SARAWAK TERUS JADI SIMPANAN TETAP BN

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak berpandangan Sabah dan Sarawak akan terus menjadi 'simpanan tetap' Barisan Nasional (BN) serta menolak tanggapan BN negeri sedang berdepan krisis kepimpinan.

Salleh yang juga Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Sabah berkata keputusan pilihan raya kecil Parlimen Sibu yang memihak kepada pembangkang tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa Sabah dan Sarawak bukan lagi 'simpanan tetap' BN.

"Ianya (keputusan pilihan raya kecil Sibu) tidak menggambarkan sokongan keseluruhan masyarakat di akar umbi. Ianya kes terpencil yang berasaskan isu-isu tempatan. Saya percaya mereka akan menyesal kerana dengan mengundi pembangkang tidak akan menyelesaikan masalah mereka, dan pada pilihan raya akan datang mereka akan kembali kepada BN.

"Majoriti rakyat di Sabah, dan saya percaya juga di Sarawak, masih menyokong BN. Kita tidak boleh membuat kesimpulan berasaskan pilihan raya kecil ini sahaja dan kita mesti membuat analisis atau bedah siasat," katanya kepada pemberita, di sini pada Selasa.

Salleh mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP) Datuk Chin Su Phin semalam yang menggesa pemimpin BN pusat agar berhenti melayan Sabah dan Sarawak sebagai 'simpanan tetapnya' dan mendakwa BN Sabah sedang menghadapi krisis kepimpinan.

Salleh berkata BN Sabah masih teguh dan majoriti parti komponennya menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

"Ketua Menteri juga mendapat sokongan rakyat Sabah dan pemimpin persekutuan gembira dengan kepimpinan BN negeri. Sebagai sebuah parti komponen BN, kita sepatutnya akur atau menyokong seorang pemimpin yang dipilih oleh kepimpinan BN," katanya.

Salleh juga kesal dengan kenyataan itu kerana dilahirkan oleh seorang pemimpin parti komponen BN sendiri.

"Saya tidak faham mengapa mereka membuat kenyataan secara terbuka kepada media sedangkan mereka menyatakan telah membangkitkan perkara itu kepada pucuk pimpinan BN (Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak).

"Kita ada saluran yang sesuai untuk meluahkan pandangan atau idea demi kebaikan BN. Contohnya, pemimpin parti komponen BN negeri itu boleh meluahkan pandangannya atau bertemu dengan pengerusi BN negeri atau membangkitkan isu itu kepada Kabinet negeri menerusi wakil LDP yang juga Timbalan Ketua Menteri," katanya. (Naib Presiden LDP Datuk Peter Pang adalah Timbalan Ketua Menteri Sabah).

Salleh berkata tindakan membuat kenyataan secara terbuka itu adalah tidak wajar dan tidak selaras dengan semangat BN.

Beliau juga menegaskan keputusan pilihan raya kecil Sibu tidak harus dikaitkan dengan senario politik di Sabah, sementelah memberi bayangan bahawa Sabah dan Sarawak tidak lagi harus dianggap sebagai 'simpanan tetap' BN.

Salleh seterusnya menyeru semua parti komponen BN negeri itu agar berganding tenaga untuk memastikan BN terus menjadi pilihan pertama rakyat.

Sunday, May 9, 2010

DALAM PASUKAN, SEMUA ADA PERANAN


BARU-BARU ini, saya telah dijemput untuk merasmikan mesyuarat agung tahunan PIBG SMK Arshad Kota Belud, salah sebuah sekolah menengah tertua di Sabah.

Sememangnya saya sentiasa bersikap terbuka dan menerima undangan bagi acara yang ada kaitan dengan pendidikan atau pelajaran. Kerana pada saya, setiap pemimpin wajib menetapkan bidang ini sebagai keutamaan dalam agenda perjuangan mereka.

Ini kerana melalui bidang inilah, kita mampu mencapai kemajuan dalam apa bidang sekali pun, termasuklah usaha membasmi kemiskinan, selain memberi persediaan kepada masyarakat kita untuk bersaing dalam dunia tanpa sempadan.

Dalam hubungan ini, semua pihak ada peranannya. Di peringakat sekolah misalnya, PIBG, guru-guru dan murid-murid perlu bekerjasama dan bertindak sebagai satu pasukan. Kita tidak boleh bertindak semata-mata sebagai kumpulan yang berasingan, sebaliknya bekerja bersama sebagai satu pasukan, dengan matlamat untuk memberikan sesuatu yang terbaik kepada anak-anak kita.

Sebenarnya, dalam perjuangan ini, termasuk dalam konteks sesebuah organisasi pun, adalah penting untuk pemimpin memberi penekanan kepada usaha membina satu pasukan dan bukan membuat kumpulan masing-masing. Demikianlah juga dalam konteks 1Malaysia, kita perlu satu pasukan untuk merealisasikan objektifnya.

Bercakap mengenai usaha membina pasukan dan bukan kumpulan ini, saya tertarik dengan kenyataan YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, pada Jumaat lepas, yang mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak mengamalkan sikap berkelompok dan berkomplot di kalangan mereka kerana kedua-dua elemen negatif itu boleh merebahkan parti.

Apa yang ditekankan oleh Perdana Menteri ketika merasmikan mesyuarat Umno di Pekan, Pahang, itu sebenarnya juga maksud yang saya sentuh, iaitu membina satu pasukan dan dalam pasukan ini, semua ada peranan masing-masing untuk menyumbang demi kemajuan dan kekuatan.

Dengan bekerjasama dan bersatu padu dalam satu pasukan, maka kita akan menjadi kuat. Sebaliknya, jika kita membawa haluan masing-masing, atau malahan berkomplot antara satu sama lain, ia akhirnya melemahkan parti. Dan apabila parti lemah, anasir-anasir luar mempunyai ruang untuk mengambil kesempatan dan akhirnya boleh merebahkan parti.

Menyedari hakikat inilah, maka Presiden Umno telah menegaskan bahawa kedua-dua sikap berkenaan harus dijauhi dan dielakkan.

Sebaliknya, kata beliau, semua ahli perlu bekerja dalam satu pasukan dan merancang apa saja pelaksanaan yang boleh memberi kebaikan kepada parti dan kepentingan untuk rakyat, bukannya menjatuhkan sesama ahli.

Sikap berpuak-puak atau mewujudkan kelompok boleh mengakibatkan ahli-ahli parti bermusuh sesama sendiri dan hilang tumpuan untuk berdepan dengan parti pembangkang serta melupakan tanggungjawab terhadap rakyat.

Gejala sedemikian juga, jika dibiar berterusan, boleh menjejaskan keupayaan UMNO memenangi pilihan raya umum akan datang.

Justeru, adalah penting bagi ahli parti memperkasa perjuangan dan bekerjasama sebagai satu pasukan untuk merancang masa depan. Sejarah lampau telah membuktikan betapa amalan berpuak-puak ini sangat merugikan parti, masyarakat, kerajaan dan negara keseluruhannya.

Banyak sejarah peradaban boleh menjadi iktibar dan teladan, bukan sekadar di luar negara tetapi di dalam negara kita sendiri.

''Andai satu hari nanti UMNO rebah, perkara itu bukanlah disebabkan oleh orang atau pihak lain sebaliknya ahli parti kita sendiri yang sibuk menjatuhkan sesama sendiri. Kita akan kalah sekiranya tidak mengubah perangai kita, jadi buatlah yang terbaik. Yang penting bukan diri kita, bukan kelompok atau komplot kita, tetapi UMNO yang memperjuangkan masalah dan kepentingan rakyat," demikian tegas Perdana Menteri, sambil menyatakan bahawa kekalahan UMNO dan Barisan Nasional (BN) di lima negeri ketika pilihan raya umum lalu perlu dijadikan iktibar bahawa parti itu tidak memiliki kekebalan politik.

Perdana Menteri tidak menolak kemungkinan perkara itu akan berulang lagi sekiranya ada ahli yang terus mengamalkan sikap suka berkelompok dan berkomplot.

Bagi saya, adalah penting peringatan Perdana Menteri itu diambil iktibar. Pemimpin di semua peringkat sewajarnya menunjukkan teladan yang baik, termasuk bagi memberikan persepsi positif dan mengelak parti dilihat sebagai hanya mementingkan politik dalaman, bukan memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Bersama-samalah mengukuhkan perpaduan dalam pasukan bagi mengelak amalan berpuak-puak yang boleh membawa perpecahan dan kehancuran.