Translate

Friday, July 30, 2010

SOKONGAN KEPADA PIMPINAN PRASYARAT KEMAJUAN TAMADUN BANGSA

Ketika lawatan ke Sabah baru-baru ini, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah menyeru seluruh lapisan rakyat untuk terus memberi sokongan kepada pimpinannya di peringkat Persekutuan dan kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman di peringkat negeri.

Alasannya, bukan saja untuk menentukan Barisan Nasional (BN) terus membawa pembangunan untuk rakyat, seterusnya menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Bagi saya, mesej yang disampaikan oleh YAB Perdana Menteri itu cukup jelas. Sokongan padu kepada kepimpinan merupakan prasyarat bagi kemajuan sesebuah tamadun bangsa.

Lanjutan daripada itu, Majlis Bekas Wakil-Wakil Rakyat (Mubarak) Sabah telah mengadakan kunjungan hormat kepada YAB Datuk Musa beberapa hari lepas dan dalam kunjungan tersebut telah menyatakan secara terbuka ikrar sokongan Mubarak kepada Ketua Menteri.

Langkah tersebut adalah pengiktirafan terhadap pimpinan YAB Datuk Musa sebagai peneraju yang telah banyak mengubah landskap pembangunan dan politik negeri ini di bawah payung UMNO sebagai parti dominan BN Sabah

.Hal ini turut saya tekankan sewaktu saya merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud, di mana saya mengajak semua lapisan rakyat, khususnya ahli UMNO memberi sokongan padu kepada kepimpinan YAB Datuk Musa, demi kelangsungan perjuangan parti sebagai pembela nasib rakyat.

Malahan, dalam mesyuarat tersebut, UMNO Kota Belud telah menyatakan pendirian terbuka menyokong penuh dan tidak berbelah-bahagi kepemimpinan YAB Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat Pusat selaku Perdana Menteri dan Presiden Umno, sementara di peringkat negeri pula, berdiri teguh di belakang YAB Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman selaku Ketua Menteri dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno.

Sokongan itu kita nyatakan atas kesedaran dan prinsip mahu menjadikan Umno sebagai satu-satunya wadah politik, demi perjuangan membela nasib rakyat di bumi bertuah.

Dalam ucapan saya pada mesyuarat tersebut, saya telah menyatakan pendirian "Sebagai Nombor Dua dalam kepimpinan Umno negeri, tugas dan tanggungjawab saya adalah untuk menyokong `Our boss' selaku pemimpin Nombor Satu demi kelangsungan kekuatan parti dalam jangka panjang."

Justeru, saya menyatakan kepada mereka harapan ikhlas agar seluruh ahli UMNO dapat memahami dan menghayati perjuangan sebenar ini.

Kita sebagai pemimpin perjuangan bangsa harus menampilkan nilai-nilai dan moral politik yang luhur, telus dan ikhlas. Amalan politik “lempar batu sembunyi tangan” hendaklah dielakkan kerana ia boleh melahirkan “parasit” yang akan membunuh seluruh sistem perjuangan.

Sejarah telah membuktikan, sikap berkelompok-kelompok mudah mewujudkan fitnah dan boleh mencetuskan perpecahan dan kehancuran.

Apabila kita mengharapkan sokongan dari orang lain, kita juga harus terlebih dahulu atau sedia menyokong orang lain.

Umno harus tampil sebagai ejen perubahan sikap, budaya dan sosial. Pengurusan dan pentadbiran yang cekap, cepat dan tepat hendaklah menjadi amalan, baik dalam pentadbiran kerajaan mahupun pengurusan politik.

Justeru, saya melontarkan persoalan kepada perwakilan untuk dihayati. Saya katakan bahawa untuk menentukan survival perjuangan UMNO di bumi Sabah, barangkali wajar diambilkira konsep "decentralisation" dan "delegation" dalam hal-hal tertentu supaya sesuatu keputusan boleh dibuat cepat tanpa menunggu rujukan ke Kuala Lumpur.Saya katakan demikian kerana Sabah ini cukup unik dan istimewa keadaannya.

Biarpun sebagai adik bongsu dalam keluarga besar, UMNO Sabah nyata memainkan peranan besar lagi signifikan, menjadi penentu dan pengimbang majoriti kemenangan dalam pilihanraya umum, sebagaimana terbukti dalam PRU-12 dahulu.

Monday, July 12, 2010

BINA PASUKAN, BUKAN KUMPULAN: SALLEH

KOTA BELUD: Pemimpin dan ahli Umno perlu membina sebuah pasukan dan bukannya membentuk kumpulan demi menjamin kekuatan parti, kata Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Pada masa sama, katanya, pemimpin dan ahli parti perlu mempopularkan pasukan itu supaya ia terus kuat dan mempunyai ramai penyokong.

"Dalam rangka menguatkan parti, kita harus membina sebuah pasukan, bukannya membentuk sebuah kumpulan. Sebuah pasukan yang popular dikuatkan oleh para pemainnya, justeru pemimpin bukan sekadar perlu mempopularkan diri, tetapi juga mempopularkan parti.

"Ini kerana seseorang individu tidak boleh membentuk kerajaan tanpa parti. Hanya parti yang kuat dan popular dapat membentuk kerajaan," katanya berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kota Belud di sini hari ini.

Dalam ucapannya yang bertemakan `Umno tunjang BN: Populariti parti keutamaan bersama', Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berkata populariti seseorang pemimpin dan sesebuah parti banyak mempengaruhi sokongan rakyat.

"Sementara kita mempopularkan diri menerusi perjuangan di atas landasan parti, kita hendaklah menentukan populariti parti mengatasi populariti diri kerana yang membentuk kerajaan bukannya individu, tetapi yang membentuk kerajaan adalah parti," katanya.

Salleh yang juga Ketua Umno Bahagian Kota Belud berkata kekuatan Umno Sabah sekarang terhasil daripada dua kunci utama, iaitu kesetiaan ahli kepada parti dan pembangunan berterusan yang memenuhi aspirasi rakyat.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh ahli parti memberi sokong padu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman, supaya dapat meneruskan agenda pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

"Sebagai Nombor Dua dalam kepimpinan Umno negeri, tugas dan tanggungjawab saya adalah untuk menyokong `Our boss' selaku pemimpin Nombor Satu demi kelangsungan kekuatan parti dalam jangka panjang," katanya.

Dalam hal ini, katanya, Umno Bahagian Kota Belud menyatakan pendirian terbuka menyokong penuh dan tidak berbelah-bahagi kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat Pusat dan Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman di peringkat negeri.

Salleh juga menegaskan pentingnya Umno tampil sebagai ejen perubahan sikap, budaya dan sosial demi kelangsungan perjuangan parti.

Katanya, pengurusan dan pentadbiran yang cekap, cepat dan tepat hendaklah menjadi amalan, baik dalam pentadbiran kerajaan mahupun pengurusan politik.

"Justeru, barangkali wajar diambilkira konsep `decentralisation' dan `delegation' dalam hal-hal tertentu supaya sesuatu keputusan boleh dibuat cepat tanpa menunggu rujukan ke Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, ini penting memandangkan Sabah cukup unik dan istimewa keadaannya berbanding Umno di negeri-negeri lain.