Translate

Tuesday, August 17, 2010

UMNO SABAH KESAL KENYATAAN DOMPOK PADA KONVENSYEN UPKO

KOTA KINABALU: UMNO Sabah kesal dengan kenyataan seorang pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) yang membayangkan UMNO menjadi halangan kepada usaha mempromosikan konsep 1Malaysia.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Datuk Seri Salleh Said Keruak menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak bertanggungjawab dan menegaskan UMNO Sabah benar-benar memahami dan komited sepenuhnya terhadap konsep itu.

"Oleh itu tidak perlu bagi presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Tan Sri Bernard Dompok mempersoalkan sama ada UMNO memahami maksud sebenar atau semangat konsep 1Malaysia," katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Katanya sebagai menteri Kabinet pusat dan presiden parti komponen BN, Dompok seharusnya tahu UMNO komited sepenuhnya kepada konsep yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Presiden UMNO.

Salleh berkata demikian ketika mengulas laporan media yang memetik Dompok sebagai berkata sama ada Najib akan dibenarkan oleh partinya dan mereka yang mengelilinginya melaksanakan konsep itu.

Dompok dilaporkan berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen UPKO Zon C (Penampang, Kota Kinabalu, Sepanggar dan Putatan) di Penampang, Ahad lalu.

Pada konvensyen tersebut, pemimpin bahagian UPKO mengulangi rasa tidak puas hati berikutan permintaan pemimpin UMNO untuk mendapatkan lebih banyak kerusi pada pilihan raya umum termasuk satu kerusi yang disandang oleh UPKO.

Mereka juga melahirkan rasa tidak puas hati dengan masalah pendatang tanpa izin di negeri itu yang sudah berlarutan sekian lama.

Salleh berkata adalah menjadi kebiasaan bagi mana-mana parti politik menuntut bilangan agihan kerusi yang banyak tetapi akhirnya keputusan muktamad terletak di tangan pucuk kepimpinan BN.

Mengenai isu pendatang tanpa izin, Salleh, yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, berkata adalah tidak adil bagi memberi persepsi salah kepada rakyat bahawa kerajaan pusat dan negeri tidak berbuat apa-apa bagi menyelesaikan masalah itu.

"Jutaan ringgit dibelanjakan bagi pasukan keselamatan dan pembelian peralatan canggih untuk digunakan di sepanjang pesisir pantai bagi tujuan pengawalan dan pemantauan.

"Kita semua mahu isu ini diselesaikan. Biar jangan satu pihak sahaja mendakwa menjadi wira dalam usaha ini," katanya.