Translate

Wednesday, October 27, 2010

BN TIDAK PANDANG MUDAH PEMBANGKANG: TPM

SANDAKAN: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Barisan Nasional (BN) tidak akan memandang mudah dua calon dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) dalam pilihan raya kecil Batu Sapi.

Menurut beliau BN tidak pernah mengambil pendekatan itu dan melihatnya sebagai satu cabaran yang bukan mudah dan akan dihadapi dengan strategi tertentu.

"Kita ada strategi tertentu yang akan disusun supaya pengundi Batu Sapi lebih yakin calon terbaik adalah Datin Linda (Tsen Thau Lin) dan mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan itu.

"Bagi saya, Datin Linda merupakan calon terbaik untuk bertanding di pilihan raya kecil Batu Sapi dan yakin dengan keputusan memilih beliau," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon di Dewan Masyarakat Sandakan di sini Selasa.

Pilihan raya kecil kawasan Parlimen Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Tsen calon BN dari Parti Bersatu Sabah, calon PKR, Ansari Abdullah dan Datuk Yong Teck Lee dari SAPP.

Muhyiddin, yang juga Penyelaras BN pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi berkata BN menyedari PKR dan SAPP akan membawa isu tempatan dan nasional dalam kempen pilihan raya kecil ini.

"Ia merupakan perkara biasa dalam pilihan raya dan kita akan mengenepikan perkara yang dibangkitkan oleh mereka kerana kita ada jawapan setiap perkara itu.

"Saya yakin kalau kita dapat mengenepikan masalah yang ditimbulkan dan memberi jawapan yang meyakinkan, pengundi akan memberi kepercayaan kepada calon kita," katanya.

Mengenai strategi BN menghadapi dua pilihan raya kecil Batu Sapi dan Galas, Muhyiddin berkata BN menyedari senario politik di dua kawasan itu adalah berbeza.

Katanya BN melihat kelainan senario politik di Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri Galas di Kelantan sebagai satu cabaran dengan memberi tumpuan kepada strategi mendekati pengundi.

Pilihan raya kecil Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu suami Tsen, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah dalam nahas jalan raya pada 9 Okt lepas di Kota Kinabalu.

STRATEGI KEMPEN SAPP SUDAH LAPUK: MUSA

SANDAKAN: Pendekatan kempen oleh Parti Maju Sabah (SAPP) yang mengetengahkan konsep 'Sabah untuk Sabah' atau 'mengembalikan autonomi kepada Sabah', sudah lapuk dan tidak selari dengan aspirasi negara, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata pemikiran seperti itu sudah ketinggalan zaman, kerana ketika ini seluruh rakyat hidup dalam suasana aman sejahtera di dalam sebuah negara, Malaysia.

"Sebagai rakyat Malaysia, mesti bercakap sebagai seorang warganegara Malaysia, jangan terlalu bersikap kenegerian," katanya dalam satu persidangan akhbar di Lapangan Terbang Sandakan di sini.

Terdahulu beliau mengiringi Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di lapangan terbang di sini, yang berlepas pulang ke ibu negara.

Musa yang merupakan pengarah operasi Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Batu Sapi, berkata demikian ketika mengulas strategi kempen SAPP pada pilihan raya itu yang dikatakan mengetengahkan konsep berkenaan.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi pada 4 November ini diadakan ekoran kematian penyandangnya Datuk Chong Ket Wah akibat kemalangan jalan raya pada 9 Oktober lepas, dan ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, calon Parti Keadilan rakyat (PKR) Ansari Abdullah, dan calon SAPP yang merupakan presiden parti itu sendiri, Datuk Yong Teck Lee.

Musa berkata proses penamaan calon yang berlangsung hari ini berjalan lancar hasil daripada kematangan penduduk di sini dalam berpolitik.

Katanya BN akan meningkatkan gerakan jentera pilihan raya bermula sekarang, dalam usaha memastikan kerusi tersebut kekal menjadi milik BN.

PERTANDINGAN TIGA PENJURU DI BATU SAPI

SANDAKAN: Seperti dijangkakan, pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Batu Sapi akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Barisan Nasional (BN), parti pembangkang Sabah Parti Maju Sabah (SAPP) dan parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Calon BN, Datin Linda Tsen Thau Lin daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) akan berhadapan dengan Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee, yang juga bekas ketua menteri Sabah, dan PKR diwakili peguam terkenal Ansari Abdullah, yang juga Ketua PKR Tuaran.
Senarai calon pilihan raya kecil pada 4 Nov itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Mohamad Hamsan Awang Supain, yang juga Setiausaha Majlis Perbandaran Sandakan, di pusat penamaan calon Dewan Komuniti Sandakan.
Mohamad Hamsan menerima borang pencalonan ketiga-tiga calon selepas tiada isu dibangkitkan semasa tempoh bantahan selama sejam.

Ansari mendahului calon-calon lain apabila tiba di Dewan Komuniti Sandakan pada pukul 9.02 pagi untuk menyerahkan borang pencalonan, diikuti oleh Yong pada 9.05 pagi dan selepas itu calon BN, Tsen pada pukul 9.06 pagi.

Ribuan penyokong hadir berkumpul seawal pukul 5.45 pagi untuk mengiringi calon masing-masing.

Dengan penuh bersemangat, mereka kedengaran melaungkan slogan parti masing-masing namun berdisiplin mematuhi arahan pihak berkuasa.

Pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Edmund Chong Ket Wah, yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 9 Okt lalu di Kota Kinabalu.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengetuai penyokong BN bersama-sama Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan para penyokong mengiringi calon parti itu, Tsen di pusat penamaan itu.

Antara pemimpin parti komponen BN adalah Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Presiden Parti Progresif Rakyat (PPP) Datuk M. Kayveas dan wakil-wakil parti komponen.

Linda, 54, merupakan balu kepada mendiang Chong. Pada pilihan raya umum 2008, Chong mendapat 9,479 undi menewaskan calon Bebas Dr Chung Kong Wing dengan majoriti 3,708 undi.

Sementara itu, Presiden PKR Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail, Timbalan Pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali mengiringi Ansari manakala Yong, yang merupakan calon SAPP, mengetuai sebilangan kecil penyokong ke pusat penamaan calon itu.

Sunday, October 24, 2010

HAPUSKAN SIKAP MALU DAN LESU: SALLEH

KUALA LUMPUR: Para anggota UMNO diminta jangan "malu dan segan" untuk mempertahankan hak-hak Melayu yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, semata-mata untuk menjaga hati kaum lain.
Wakil Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Salleh Tun Said berkata penjelasan umum mengenai fakta kedudukan orang Melayu serta bumiputera dan kepentingan kaum-kaum lain di dalam Perlembagaan Persekutuan wajar dibuat bagi menggelakkan kekeliruan.
"Kalau kita takut berjuang dalam bumi sendiri, di mana lagi kita berjuang. Undang-undang jelas, Perlembagaan jelas, apa lagi yang kita tunggu. Kita tidak boleh segan, kita tidak boleh malu untuk memperjuangkan bangsa kita.
"Kadang kala saya tengok dalam memperjuangkan isu ini kita seperti takut-takut. Takut hati orang lain pula terguris tetapi kalau hati kita yang terguris siapa yang peduli," katanya ketika membahaskan Usul Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2010 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, pada Jumaat.
Mohd Salleh berkata Sabah kagum dan bangga ketegasan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Perdana Menteri, apabila berani mempertahankan hak Melayu, memandangkan isu itu kini banyak diperbahaskan umum ketika ini.
Beliau turut memuji ucapan dasar Najib pada perhimpunan parti Melayu terbesar itu apabila mampu menterjemah dengan jelas semangat Sabah menyertai UMNO dan Barisan Nasional atas dasar mempertahankan kepentingan bangsa dan negara.
"Kami dari Sabah telah mendengar ucapan Presiden dengan teliti dan kita rasakan bahawa ada kejujuran dalam ucapan itu untuk membela rakyat, agama dan negara dan ini yang kita tunggu-tunggu dan telah mendengarnya.
"Kita daripada kapal kecil ke kapal besar... kita menaiki kapal besar tujuannya ialah untuk membela bangsa dan umat dan kelmarin, jelas Presiden tidak lari daripada landasan tersebut. Kalau itulah perjuangan kita, ayuh kita berjuang dan terus berjuang," katanya.
Mohd Salleh berharap pemimpin UMNO lebih agresif menyampaikan pandangan khususnya melibatkan isu-isu semasa yang sering diputarbelitkan oleh pembangkang hingga menyebabkan rakyat terkeliru.
"Kita tidak boleh lesu. Kita kena bersemuka dengan mereka (pembangkang) dan yakinkan (rakyat) bahawa kita lebih betul daripada mereka (pembangkang) kerana ini adalah politik. Kalau kita bersaing kita kena berani berbincang menegaskan kebenaran," katanya.

SALLEH BAHAS UCAPAN DASAR PRESIDEN


Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Salleh Tun Said Keruak mewakili Sabah membahaskan Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Umno di PWTC, Kuala Lumpur.
Ucapan perbahasan beliau mendapat liputan semua media arus perdana.

Sunday, October 17, 2010

MELIHAT SEMULA SISTEM KUOTA DALAM BN

LANDSKAP politik negara pasca pilihanraya umum ke-12 lepas sudah berubah. Selepas mengalami apa yang disebut sebagai tsunami politik, Barisan Nasional (BN) khususnya Umno melakukan pembaharuan mengangkat darjat dan martabat untuk disesuaikan dengan keperluan sejagat.

Pindaan terhadap Perlembagaan Umno antara pendekatan proaktif, bertujuan menganjak parti dalam jiwa dan pemikiran ahli akar-umbi. Biarpun belum teruji kerana pemilihan parti hanya dilangsungkan tahun hadapan, tetapi cakap-cakap luaran sehingga kini memberikan harapan positif.

Proses memperkasa Umno masih berterusan. Pimpinan tertinggi mengulangi saranan demi saranan bagi membawa parti kembali ke mercu kegemilangannya. Dan hal ini tentu saja akan menjadi topik perbahasan pada perhimpunan agung parti yang dijadualkan bermula pada 18 Oktober ini.

Begitupun, survival atau kelangsungan BN di atas pentas kekuasaan juga menuntut komitmen serta pengorbanan sesama anggota komponen. Sementara Umno kekal dominan, parti-parti lain juga mempunyai peranan masing-masing, baik kecil mahu pun besar.

Sebab itu saya tertarik dengan kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, di Rawang pada 9 Oktober lepas bahawa sistem kuota BN berhubung pembahagian kerusi untuk ditandingi dalam pilihan raya wajar dikaji semula.

Usaha ke arah itu wajar difikirkan dengan mengambil kira keadaan serta senario politik setempat, kerana pemikiran pengundi sekarang sudah jauh lebih matang berbanding dahulu dalam membuat penilaian.

Soal komposisi kaum sesebuah kawasan barangkali tidak lagi relevan dijadikan asas mutlak penetapan kuota kawasan. Yang penting, pengundi di kawasan berkenaan selesa dan gembira, serta sedia menerima calon yang diketengahkan tanpa mempersoal parti diwakili asalkan mewakili BN.

Seperti yang dijelaskan oleh Datuk Hishammuddin, perkara itu bagaimanapun hanya boleh dilakukan jika mendapat kesepakatan dan persetujuan bersama parti komponen kerana BN bergerak di bawah satu payung.

"Kalau kita rasa ia tidak sesuai dengan tempat dan masa, kalau calon itu sendiri tidak boleh diterima oleh rakyat, sistem kouta sedia ada perlu dikaji semula tetapi ia mesti dibincang secara konsensus kerana kita bergerak di bawah satu parti iaitu BN.

"Ini kerana kita keluar bukan untuk mengaburi mata rakyat dengan janji-janji kosong tetapi pendekatan yang diambil hari ini menentukan landskap politik untuk tempoh 53 tahun akan datang," kata Datuk Hishammuddin lagi.

Tidak dinafikan realiti bahawa landskap politik pada pilihanraya umum akan datang menuntut pendekatan berbeza daripada amalan sebelum ini, demi menentukan calon-calon yang bertanding beroleh kemenangan.

Pengundi hari ini yang majoritinya generasi muda mempunyai selera politik yang berbeza. Sentimen mereka tidak banyak kepada soal falsafah atau kredibiliti parti kerana bagi mereka ia retorik semata-mata, tapi penilaian lebih kepada aspek luaran, misalnya personaliti calon. Jika ini diambil kira, bermakna penampilan, keperibadian dan latarbelakang seseorang itu lebih penting daripada gagasan dan falsafah perjuangan partinya. Kerana bagi generasi muda, apapun agenda yang diperjuangkan, ia tentu saja secara automatik dan secara menyeluruh, akan menjurus kepada pembelaan kepentingan masyarakat sejagat.

Mungkinkah suatu hari ini, kawasan yang bukan majoriti Bumiputera Islam boleh ditandingi oleh calon dari parti Bumiputera Islam; kawasan majoriti pengundi India ditandingi calon Melayu; kawasan majoriti pengundi Kadazandusun ditandingi orang Cina; kawasan pengundi Cina ditandingi orang Melayu; atau majoriti pengundi Iban ditandingi calon orang Melanau?

Bunyinya agak pelik, tapi bukan mustahil apatah lagi jika diambil kira landskap politik negara pada hari ini.