Translate

Monday, December 13, 2010

PERCUTIAN MENGISI MASA BERKUALITI BERSAMA KELUARGA

MINGGU terakhir bulan Disember ini, dia sekeluarga bercuti di luar negara. Membawa bersama anak-anak yang bersekolah di pelbagai tempat. Dia merancang percutian itu sejak pertengahan tahun ini. Menempah tiket menerusi Matta Fair, iaitu pameran agensi pelancongan dan syarikat penerbangan. Kerana tempahan dibuat awal, maka kosnya tidaklah begitu membebankan.

Demikianlah cerita seorang kenalan kepada saya ketika kami bermain badminton baru-baru ini. Menurut dia lagi, itu telah menjadi amalannya sejak dahulu. Bercuti seisi keluarga sekurang-kurangnya sekali setahun. Biasanya di penghujung tahun ketika cuti panjang persekolahan. Dia merancangnya awal-awal, berbincang destinasi mahu dikunjungi. Mengikut bajet dan kemampuan.

Seperti kenalan tadi, saya juga akan bercuti bersama keluarga minggu depan ini. Kalau pada penghujung tahun lalu, kami menghabiskan percutian di Perth, Australia, iaitu tempat anak-anak kami belajar, kini kami memilih London sebagai destinasi. Perjalanan inipun kami sudah rancang awal, seperti juga pada tahun-tahun sebelumnya ketika kami bercuti di sekitar negara-negara Asean.

Seperti kebiasaan, dua anak yang masih kecil paling `excited' menantikan percutian ini. Oleh kerana, perancangan ini telah dimaklumkan kepada mereka lebih awal, maka mereka masing-masing membuat persiapan sendiri. Memilih pakaian dan beg sendiri.

Bercuti dan melancong bersama keluarga merupakan pengisian masa berkualiti. Tidak kira di dalam negeri atau luar negara, percutian membawa banyak kebaikan.
Selain dapat merehatkan minda dan melupakan seketika `stress' pekerjaan dan kehidupan, ia juga memberikan kita pendidikan dan pengalaman amat bermakna.

Dan paling istimewa, percutian bersama keluarga memperkukuhkan lagi jalinan kekeluargaan dalam sesebuah institusi rumahtangga.

Percutian tidak semestinya di tempat jauh. Dalam negeri juga banyak destinasi kunjungan, apatah lagi kini banyak tempat menyediakan kemudahan `homestay' yang menawarkan pakej menarik.

Yang penting, perancangan percutian itu sendiri. Dengan adanya pakej dan promosi syarikat penerbangan yang berlumba-lumba dalam persaingan, bukanlah sesuatu yang sukar untuk kita memenuhi impian bercuti bersalam keluarga di mana-mana tempat disukai.

Saya ada membaca promosi sebuah syarikat penerbangan tambang murah, yang menawarkan bayaran serendah RM400 untuk ke Paris, Perancis, iaitu kota fesyen terkemuka dunia yang terkenal dengan Eiffel Tower sebagai ikonnya.

Bagi saya, bercuti sambil melancong adalah suatu pengalaman menarik. Saya telah menjelajah ke banyak tempat, dan hasil perjalanan itu, saya belajar dan melihat banyak perkara. Tentang budaya dan cara hidup masyarakat berbilang bangsa.

Satu yang masih saya ingat ialah ketika percutian di China dan Jakarta bersama kawan-kawan dalam persatuan golf dan rekreasi Kota Belud, di mana kami melihat kegigihan masyarakat di sana dalam perniagaan.

Di Guangzou, China misalnya, peniaganya cukup gigih menjalankan perniagaan. Di kaki-kaki lima kedai, pelbagai barangan dijual. Sebahagiannya barangan kitar semula. Mereka ini pula begitu bijak memujuk dan menawarkan potongan harga. Mereka ada skill tawar-menawar.

Dengan menggunakan `calculator' (disebabkan masalah komunikasi), mereka menurunkan harga di luar jangkaan, sehingga menyebabkan ada ahli rombongan kami rambang mata.

Manakala di Jakarta, Indonesia, kami melihat kegigihan peniaganya menjual setiap produk yang diusahakan, daripada tenunan kain sehingga kepada hasil ukiran kraftangan. Cara mereka berniaga itu sesuatu yang boleh dijadikan iktibar.

Satu lagi pengalaman ketika saya bercuti bersama ahli Yayasan Kebajikan Suria ke Bukit Kayu Hitam, di sempadan Malaysia-Thailand tidak lama dulu, kami turut melihat bagaimana kegigihan peniaga wanita di selatan negara itu berniaga pelbagai barangan secara borong, termasuk kain sehinggakan banyak hasil dari sana dipasarkan di negara kita.

Barangkali itulah kebenaran kata peribahasa Melayu `jauh perjalanan, luas pandangan'. Bukan saja pandangan kita akan terbuka, malah kita dapat belajar dan menimba banyak ilmu.

Dan jika pengalaman serta ilmu itu diaplikasi dalam konteks diri kita, ia tentu saja boleh memajukan diri kita sendiri.

Masa belum terlambat untuk bercuti bersama keluarga. Jika tidak sempat mengatur percutian di tempat jauh, rancanglah percutian di tempat sendiri.

Pelancongan dalam negeri juga perlu kita sokong kerana ia dapat menjana pendapatan pengusaha, sekali gus menyokong industri pelancongan domestik.