Translate

Saturday, January 15, 2011

CATATAN AWAL TAHUN BARU 2011

MASIH belum terlambat bagi saya mengucapkan Selamat Tahun Baru kepada semua rakan dan kenalan yang melayari portal saya ini. Terima kasih kerana terus setia mengikuti kisah dan catatan saya di sini. Saya tahu ramai yang sentiasa mengikuti setiap tulisan saya, apatah lagi kini dunia ICT membolehkan kita semua melayari internet dari mana-mana saja.

Setelah menghabiskan percutian bersama keluarga penghujung tahun lepas, saya agak sibuk dengan beberapa urusan, termasuk mesyuarat, perjumpaan dan lawatan sama ada rasmi mahu pun tidak rasmi, atas berbagai kapasiti -- antaranya sebagai Penasihat Sains dan Teknologi Kepada Ketua Menteri, sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri dan sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Belud, selain badan NGO seperti Usbo dan Kelab Golf dan Rekreasi Kota Belud.

Selain itu, saya juga beriadah dengan sukan golf dan badminton,di mana kedua-dua sukan tersebut saya jadikan kesempatan melayani para sahabat dan kawan-kawan.

Pada tahun 2011 ini, perkembangan yang berlaku di sekeliling kita mengubah keadaan. Di peringkat Pusat, saya telah dilantik sebagai Pengerusi Finas yang baru, berkuatkuasa mulai 1 Januari. Dan di peringkat negeri, kerajaan memberikan tanggungjawab sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah.

Kedua-dua jawatan ini saya terima dengan penuh tanggungjawab sebagai menghargai kepercayaan dan amanah yang diberikan oleh kerajaan. Terus-terang saya katakan, bahawa saya tidak pernah terfikir atau mengharapkan jawatan sedemikian, jauh sekali melobi untuk mendapatkannya. Bagi saya, ia datang sebagai hadiah tahun baru buat saya dan keluarga, terutama isteri dan anak-anak yang menjadi sumber inspirasi saya.

Kepada Menteri Kebudayaan Kesenian dan Komunikasi, Datuk Seri Utama Rais Yatim, saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kepercayaan melantik saya ke jawatan sebagai Pengerusi Finas.

Mengenai pelantikan saya sebagai Speaker DUN Sabah pula, saya menghargai amanah dan kepercayaan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman dan saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Lebih penting lagi, terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang telah merestui pelantikan saya ini.

Selepas pelantikan saya diumumkan oleh Ketua Menteri sejurus selesai mesyuarat Kabinet negeri pada hari Rabu lepas, ramai kawan-kawan media yang menghubungi saya untuk mengucapkan tahniah serta meminta ulasan dan komen saya.

Saya memberikan ulasan ringkas dan menghantar melalui SMS kepada mereka, yang berbunyi: "Saya mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri kerana melantik saya sebagai Speaker DUN Negeri Sabah. Saya akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik mungkin. Selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah juga, saya akan terus membantu YAB Datuk Seri Musa untuk memperkuatkan parti di Sabah."

Atas kapasiti sebagai Speaker DUN Sabah ini, saya melihatnya sebagai satu tanggungjawab legislatif yang cukup besar. Biarpun dalam DUN Sabah tidak ramai anggota pembangkang, namun itulah sebenarnya satu cabaran bagi memastikan amalan demokrasi terus subur kerana Dewan Yang Mulia itu bukannya gelanggang sarkas yang boleh kita buat sesuka hati biarpun kita memiliki kuasa majoriti.

Kepada rakan-rakan yang menghantar ucapan tahniah sama ada menerusi telefon, SMS atau facebook, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Barangkali ada sebahagian ucapan tersebut tidak sempat saya jawap, maka anggaplah catatan ini sebagai satu jawapan atas segala kiriman ucapan tersebut.

Kepada rakan-rakan seperjuangan dalam Umno, marilah kita terus melangkah ke hadapan, menjunjung panji-panji perjuangan di bawah pimpinan Presiden Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Pengerusi Perhubungan Negeri, Datuk Seri Panglima Musa Hj Aman. Saya yakin dan percaya, jika kita terus bersatu dan bermuafakat, parti akan terus kukuh, kerajaan dan negara menjadi stabil, dan akhirnya rakyat menikmati kemakmuran. Insya-Allah.

No comments: