Translate

Saturday, January 1, 2011

JUHAR ANGKAT SUMPAH SEBAGAI YANG DIPERTUA NEGERI SABAH

KOTA KINABALU: Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Panglima Juhar Mahiruddin hari ini mengangkat sumpah sebagai
Yang Dipertua Negeri Sabah yang baru.
Beliau mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Ke-10 di hadapan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum pada upacara yang
berlangsung di Istana Negeri di sini.
Sejurus selepas Istiadat Lafaz Sumpah itu, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman memberi ucapan tahniah dan melafazkan ikrar taat setia kepada Juhar.
Juhar, 57, menggantikan Tun Ahmadshah Abdullah yang tamat perkhidmatan sebagai Yang Dipertua Negeri semalam selepas dua penggal memegang jawatan itu.
Di bawah Perlembagaan Negeri, Yang Dipertua Negeri yang dilantik akan berkhidmat selama empat tahun bagi satu penggal.
Juhar dilahirkan pada 5 Nov, 1953 di Kampung Tambisan, Sandakan dan berkelulusan Sarjana Muda Undang-undang dari Wolverhampton Polytechnic, England.
Beliau memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam sebagai majistret kelas pertama pada 1982, sebelum menjadi seorang setiausaha politik di Jabatan Ketua
Menteri empat tahun kemudian.
Beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat semasa menjadi anggota Parlimen kawasan Kinabatangan antara 1990-1999, sebelum memegang jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri pada 2002.
Juhar telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Seri Panglima Norlidah RM Jasni dan dikurniakan dua anak lelaki dan dua anak perempuan.

No comments: