Translate

Wednesday, January 12, 2011

SALLEH DILANTIK SPEAKER DUN SABAH YANG BARU

KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Tun Said Keruak dilantik sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang baru.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah mengambil alih tugas selaku Speaker yang kelapan, menggantikan Datuk Juhar Mahiruddin yang telah dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri mulai 1 Jan lalu.
Pengumuman mengenai pelantikan Salleh dibuat oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet negeri di Wisma Innoprise di sini kelmarin.
Musa berkata Salleh akan memegang jawatan tersebut pada 17 Jan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah diberitahu mengenai pelantikan itu.
Katanya, pelantikan Salleh dibuat berdasarkan pengalaman yang beliau miliki dan juga selaku Timbalan Badan Perhubungan Umno negeri Sabah.
Salleh yang juga Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri Sabah dilahirkan pada 7 Julai 1957 di Kota Belud.
Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik daripada Simon Fraser University, Kanada dan ijazah Sarjana (Politik dan Kerajaan) daripada Universiti Putra Malaysia.
Salleh memulakan kariernya dalam perkhidmatan awam pada 1983 sebagai Pegawai Daerah Kota Belud dan dua tahun kemudian dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri.
Belau kemudian menjadi Ketua Menteri dari 27 Dis 1994 hingga 17 Mac 1996 di bawah sistem penggiliran jawatan Ketua Menteri di kalangan tiga komuniti utama Sabah.
Beliau turut berkhidmat sebagai Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah pada 2003.
Salleh yang juga Presiden Pertubuhan Bajau Bersatu Sabah (Usbo) berkahwin dengan Datuk Hajah Raya Erom dan mempunyai empat orang anak.
Sementara itu, Salleh ketika dihubungi berterima kasih kepada Musa di atas pelantikannya sebagai Speaker.
"Saya akan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin," katanya.
Beliau berkata selaku Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah, beliau akan terus membantu Musa untuk memperkuatkan Umno di Sabah.

No comments: