Translate

Saturday, March 19, 2011

PERWAKILAN USBO SOKONG USUL SERTAI BN SEBAGAI ANGGOTA GABUNGAN

KOTA KINABALU: Perwakilan mesyuarat agung tahunan ke-21 Pertubuhan Bajau Sabah Bersatu (Usbo) hari ini menyokong usul untuk menyertai Barisan Nasional (BN) secara rasmi sebagai anggota gabungan.

Tambahan peruntukan dalam perlembagaan badan bukan kerajaan (NGO) itu yang diluluskan dalam mesyuarat yang dirasmikan Presiden Usbo Datuk Seri Salleh Said Keruak, membolehkannya menjadi NGO pertama di negara ini secara rasmi berbuat demikian.


Mesyuarat yang dihadiri perwakilan dari 20 cawangan dari seluruh negeri turut mengekalkan Salleh yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, sebagai Presiden Usbo, bersama-sama tiga Timbalan Presiden, iaitu Tan Sri Pandikar Amin Mulia, Datuk Amir Kahar Tun Mustapha dan Chandramata Sinteh.


Bagi jawatan Naib Presiden, tiga penyandang kekal iaitu Norzain Tawi, Mohamad Said Hinayat dan Abdul Rashid Alan, manakala seorang lagi adalah muka baru, iaitu Mohd Akhir Tikok.


Mesyuarat itu juga meluluskan penubuhan sayap Pemuda dan Wanita dalam Usbo.


Semua Anggota Majlis Tertinggi (MT) Usbo juga kekal termasuk tiga muka baru, iaitu Baharul Sawi (Kota Belud), Jamal Narubi (Papar) dan Mohd Maidin Haris (Beluran).


Sementara itu, Salleh yang juga bekas Ketua Menteri berkata keputusan menyertai BN merupakan komitmen sokongan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman di peringkat negeri.


"Sebagai NGO yang menyokong dasar kerajaan BN, kita berharap penyertaan dalam gabungan ini dapat memberi sumbangan bermakna termasuk dalam merealisasikan konsep gagasan 1Malaysia yang menekankan aspek perpaduan nasional dan memelihara kepentingan rakyat," katanya




No comments: