Translate

Tuesday, March 8, 2011

PRK KERDAU DAN MERLIMAU: WINNABLE CANDIDATES

SEPERTI dijangkakan, Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kerdau, Pahang dan Merlimau, Melaka, Ahad lepas.

Sebelum pun keputusan rasmi diumumkan pada malam tersebut, ramai sudah meramalkan tentang kemenangan itu. Cuma saja jumlah undi dan bilangan majoriti tidak dapat dipastikan.

Saya sendiri turut menerima beberapa Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) daripada kawan-kawan sebelum keputusan rasmi diumumkan. Mereka memaklumkan BN mendahului parti lawan.

Malahan, sejak kempen bermula lagi, ramai menyatakan bahawa kemenangan diyakini berpihak epada BN atas beberapa faktor.

Paling utama kerana pemilihan calon BN yang berasaskan kepada prinsip `winnable candidates' yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, iaitu calon mestilah popular, berilmu, anak tempatan dan diterima oleh parti.

Kedua-dua calon BN, iaitu Roslan Ahmad di Merlimau dan Syed Ibrahim Syed Ahmad di Kerdau, yang memenuhi kriteria tersebut nyata berjaya membawa kemenangan bergaya kepada parti, memperolehi majoriti undi yang lebih besar dan menjadi isyarat betapa rakyat kini semakin teguh bersama BN.

Di Merlimau, BN mengekalkan kerusi tersebut melalui Roslan yang mengalahkan Yuhaizad Abdullah dari Pas dengan majoriti 3,643 undi. Roslan meraih 5,962 undi sementara Yuhaizad 2,319 undi.

Manakala di Kerdau pula, Syed Ibrahim mengalahkan Hasannudin Salim dari Pas dengan majoriti 2,724 undi. Syed Ibrahim, yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Krau, memperoleh 5,060 undi manakala Hassanuddin, 2,336 undi.

Kemenangan kedua-dua mereka menyusuli kejayaan BN di DUN Tenang, Johor, Mohd Azahar Ibrahim, bekas ADO Rengit, yang lebih dikenali dengan nama Tok Ai di kalangan masyarakat setempat, yang diterima parti dan rakyat biarpun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam parti.

Inilah pendekatan dan transformasi politik yang dibawa oleh Perdana Menteri.

Daripada analisa keputusan pilihan raya di dua kawasan tersebut, ia menunjukkan perkembangan positif dan menampakkan trend sokongan pengundi terhadap BN yang semakin meningkat dan bertambah kukuh.

Demikianlah juga pandangan Perdana Menteri, yang turut menyifatkan sokongan pengundi, termasuk dari pengundi bukan Melayu terhadap BN sebagai trend menggalakkan, justeru BN akan terus berusaha mengukuhkan lagi prestasinya dalam melaksanakan janji kepada rakyat.

"Semakin hari kita dapat buktikan, apa yang kita janjikan dapat kita laksanakan. Saya percaya tahap sokongan dapat kita tingkatkan lagi. Apa isu yang ditimbulkan parti pembangkang, tidak diterima oleh rakyat kerana rakyat lebih melihat kepada jaminan masa depan mereka.

"Mereka yakin BN dapat memenuhi harapan dan jangkaan mereka untuk kecapi kualiti kehidupan yang lebih baik," kata Perdana Menteri, sambil mengakui kemenangan itu adalah berdasarkan beberapa faktor, termasuk jentera pilihan raya BN yang mantap selain pemilihan calon yang betul.

Justeru, kata Perdana Menteri, kriteria "winnable candidate' atau `calon boleh menang' akan terus ditekankan oleh BN dalam menentukan calon-calon untuk pilihan raya.

Realitinya, kemenangan berganda BN di Kerdau dan Merlimau membuktikan parti pemerintah terus mendapat sokongan rakyat, termasuk kalangan pengundi Melayu selain kaum India dan Cina yang yang terus berdiri teguh di belakang pimpinan kerajaan, yang disatukan Perdana Menteri menerusi gagasan 1Malaysia.

Momentum kemenangan berterusan BN dalam siri pilihan raya kecil ini juga menunjukkan betapa pakatan pembangkang semakin goyah dan ditolak oleh rakyat. Bermula di Galas (Kelantan) dan Batu Sapi (Sabah), kemudian di Tenang (Johor) dan kini di Kerdau dan Merlimau.

No comments: