Translate

Thursday, August 11, 2011

BERBELANJA SECARA BERHEMAH

SALAM Ramadan kepada semua pembaca laman blog ini.

Seperti lazimnya, setiap kali menjelang Ramadan, banyak undangan majlis berbuka puasa. Ada yang dianjurkan kerajaan, parti politik dan tidak terkecuali individu dan kenalan serta anggota keluarga terdekat.

Ramadan pada tahun ini begitu istimewa kerana bertepatan dengan bulan kemerdekaan. Sambutan Aidilfitri juga sungguh signifikan, bersamaan ulangtahun kemerdekaan 31 Ogos. Kerana pertindihan itu, maka sambutan kemerdekaan akan diadakan pada 16 September.

Apapun, pada bulan mulia, Ramadan Al-Mubarak 1432 Hijrah ini, kita umat Islam digalakkan untuk memuliakannya dengan bersedekah dan mengingati mereka yang memerlukan tanpa kita melakukan pembaziran.

Hal ini antara disebutkan oleh YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, dalam perutusannya menerusi laman blog 1Malaysia: "Hakikatnya, bulan ini menggalakkan kita untuk saling bersedekah dan berkongsi juadah. Bulan di mana kita menzahirkan keprihatinan kita kepada jiran dan handai taulan kita tanpa mengira batas kaum dan agama. Inilah masanya juga kita sama-sama berdiri di dalam satu saf untuk solat berjemaah dan bertarawih. Bulan ini juga menganjurkan kita mengukuhkan tali persaudaraan dan perpaduan sesama kita. Pendek kata, suntikan perasaan kerahmatan ini amat sesuai untuk membugarkan Gagasan 1Malaysia. Malah ianya membentuk konsep ‘Penerimaan’ sepenuhnya di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini."

Dalam konteks yang sama, saya ingin mengajak kita semua supaya menghayati pesanan Perdana Menteri agar tidak melakukan pembaziran, sebaliknya berbelanja secara berhemah, sesuai dengan semangat yang dianjurkan oleh Ramadan.

Perlu diingat bahawa pada bulan puasa ini juga mendidik hati dan jiwa kita untuk mengawal nafsu sebaik mungkin. Kita janganlah rambang mata apabila meninjau ke bazar Ramadan yang menjual sekian banyak juadah. Jangan kita borong kuih-muih dan lauk-pauk. Jika mahu membeli makanan untuk berbuka puasa, belilah makanan ala kadar saja.

Mengikut laporan akhbar, harga jualan makanan di bazar Ramadan juga sesetengahnya agak mahal. Oleh itu, kita hendaklah berhemah dalam merancang perbelanjaan. Apatah lagi, tidak lama nanti Hari Raya Aidilfitri akan menjelang tiba dan ia pastinya akan melibatkan tambahan perbelanjaan.

Dan dalam membuat persediaan Aidilfitri ini, kita hendaklah juga membuat perhitungan bijak. Tidak boros dan membazir dengan barangan yang difikirkan tidak perlu. Seperti sudah menjadi kebiasaan, ramai menukar langsir dan hiasan rumah walaupun masih dalam keadaan baik gara-gara terpengaruh dengan tawaran kedai-kedai perabot yang kononnya menawarkan potongan istimewa sempena Aidilfitri. Saya ada melihati satu papan iklan sebuah kedai perabot menawarkan barangan rumah secara ansuran tanpa deposit dan bayaran pertama hanya akan dijelaskan selepas Aidilfitri. Ini bermakna, ambil saja perabot itu sekarang tanpa membayar satu sen pun. Tapi ini adalah taktik peniaga melariskan jualan mereka dan pengguna akan menanggung beban hutang yang bertahun lamanya untuk dilangsaikan.

Barangkali lebih bijak jika kita kumpulkan duit sebelum membeli sesuatu barangan itu secara tunai. Ia lebih menjimatkan kerana kita boleh meminta diskaun yang banyak.

Akhirnya, saya dan keluarga mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam dan sama-samalah kita mensyukuri nikmat kemerdekaan yang kita kecapi.

Ikhlas daripada
Salleh Said Keruak

No comments: